Saturday 22 September 2012

RENUNGAN : ANTARA PERKAHWINAN, HANTARAN DAN ZINA

RENUNGAN : ANTARA PERKAHWINAN, HANTARAN DAN ZINA




Gadis : Masuk lah dulu, jumpa dengan ayah saya

Teruna : Boleh ke?
Gadis : Masuk je lah, saya nak siap



Menyusup masuk si teruna melalui pintu utama. Pintu yang siap terbuka mengaluka-alukan kedatangan si Teruna.



Teruna : Assalamualaikum.
Bapa G : Waalaikumussalam.



Melihat pada lantangnya suara bapa si gadis, terus si teruna kaku membatu. Lantas si gadis menarik tangan si teruna menyedarkan dari lamunan itu.



Gadis : Mari, duduk kat kerusi
Teruna : eh.



Setelah tangan dihulur dan salam bertaut, duduklah si teruna di kerusi hampir menghadap bapa si gadis. Hanya surat khabar yang menjadi tabir antara mereka.



Bapa G : nak jalan kemana hari ni?
Teruna : Bandar je cik, dia nak carik barang katanya. Barang apa tak tau lah saya
Bapa G : oh..
Teruna : ??



Hampir 5 minit senyap tanpa suara. Dan ibu si gadis keluar dari tabir ruang utama dan ruang belakang membawa air serta biskut kering. Si teruna senyum kelat.



Ibu G : minum la ni sikit. Kamu sudah sarapan?
Teruna : ehh. Sudah cik. Terima kasih.
Ibu G : kamu malu-malu pula dengan kami.
Teruna : segan cik. Hehe
Bapa G : bila kamu nak hantar rombongan?
Ibu G : eh. Apa ayahnya ni?
Teruna : ehh. Duit takde lagi. Hehe
Bapa G : kamu bawa anak kami kehulu-kehilir. Apa orang kata nanti
Teruna : (eh. Malu ngan orang ke malu ngan Allah, lagi takut orang kata dari Allah yang menghukum) Kami naik kereta je cik, tak de la nampak berkepit sangat. Boleh saya tanya cik sikit
Bapa G : boleh takda masalah
Teruna : pakcik ngan makcik nak letak wang hantaran berapa ye?
Bapa G : kalau boleh 20 ribu
Ibu G : ehh. Tak kisah la, tapi kalau boleh acik nak lebih tinggi sikit dari orang sebelah ni
Teruna : Berapa tu cik?
Ibu G : dalam 25 ribu ke atas dan dulang 25 keatas pihak lelaki
Teruna : (amboi, ko melantak dulang ke ape? Wuhaa.. 25 ribu. Mana nak dapat, aduh) Tingginya acik, tak boleh rendah lagi ke?
Bapa G : itu nasib kamu la, kamu yang nak kat anak kami. Lagipun dialah satu-satunya anak perempuan kami, kene lah market sikit. Nak grand-grand camtu.



Si teruna hampir hilang akal apabila disebutkan harga si gadis itu. Dan si teruna cuba berbincang untuk merendahkan harga si gadis.



Teruna : nak Tanya lagi, kenapa anak acik tak pakai tudung?
Bapa G : itu kenalah Tanya maknya
Teruna : (ehh. Boleh pas-pas pulak dah)
Ibu G : ehh. Awak lah. Apa pulak saya. Awak yang sepatutnya didik anak
Bapa G : saya kan kerja. Mana ada masa
Teruna : (pulak dah, gaduh nanti) Ehh-ehh. Makcik pakcik. Kita lupakan dulu soalan tadi sebab kalau ikut makcik pun tak tutup kepala jugak. Maksudnya lebih kurang jugaklah. Nak Tanya lagi, anak acik pandai masak?
Bapa G : hmm.. haram. Tau-tau bangun tido pukul 12 lebih, bukan bangun pagi dah tu. Bangun tengahari. Terus makan tengahari.
Ibu G : apa la ayahnya, orang ni nak buat anak kita bini, dia cerita buruk-buruk pulak.
Bapa G : maknya pun sama suka bangun lambat juga.
Ibu G : abahnya!
Teruna : (kah kah kah.. bengong. Camtu pun nak cerita) Ehh.. acik sekarang saya da tau. Okeh. Soalan lagi. Boleh tak dia baca quran?
Ibu G : boleh sikit-sikit kot
Teruna : kali terakhir bila?
Ibu G : err. Darjah 1 agaknya.
Teruna : hmm.
Ibu G : kenapa?
Teruna : takda apa makcik. Soalan cepumas. Dia solat tak?
Bapa G : apa motif kamu Tanya semua ni. Dia kan selalu ikut kamu. Kamu tau la.
Teruna : kalau kat luar saya ajak dia solat, dia cakap datang bulan. Hari-hari datang bulan. Dia tau solat atau tak?



Hampir terkedu si bapa dan si ibu. Dan pada raut wajah mereka berdua terdapat tanda-tanda kemerah-merahan menahan amarah.



Teruna : boleh saya sambung lagi. Dia tak reti masak, tak reti solat, tak reti mengaji, tak reti nak tutup aurat sebelum dia jadi bini saya lagi. Dosa-dosa dia terang-terang pegi kat makcik ngan pakcik. Lagipun tak berbaloi harga 25 ribu untuk dia. Lain lah dia ni hafizah, 30 juzuk dalam kepala, bertutup litup habis dari bawah sampai ke atas dan tau jaga batas, haa.. itu barulah berbaloi 100 ribu pun saya sanggup bayar. Tapi orang macam tu kalau kahwin mereka memilih untuk serendah-rendah mahar. Sebab sebaik-baik perkahwinan adalah serendah-rendah mahar. Mata bapa si gadis direnung tajam oleh mata ibu si gadis. Keduanya senyap tanpa suara. Ketiga mereka menundukkan kepala. Lumrah adat untuk menjadikan anak perempuan untuk dijadikan objek pemuas nafsu hati menunjukkan kekayaan serta bermegah-megah dengan apa yang ada. Terutamanya pada majlis perkahwinan. Adat mengatasi agama. Dibiarkan anak perempuan dihias dan dibuat pertunjukkan di khalayak ramai. Sedang pada waktu itu akad telah dilafaz si suami, dan segala dosa anak perempuan sudah mula ditanggung oleh si suami. Amatlah rugi. Mahar berpuluh ribu dibayar pada isteri dan sepatutnya hanya si suami seorang yang berhak melihat, tetapi pada hari pertama perkahwinan iaitu semasa persandingan sahaja berpuluh ribu mata yang melihat si isteri. Seolah-olah si suami membayar mahar untuk mereka sekali.

Bapa G : tapi kan. Pakcik nak anak pakcik rasa sekali. Benda seperti tu kan sekali seumur hidup.
Teruna : pakcik nak anak pakcik rasa ke pakcik yang rasa grand?
Ibu G : tentulah kami berdua pun turut gembira.
Teruna : yeke? Saya sambung lagi ya. Acik, saya bukan apa. Sekarang dosa anak pakcik, pakcik yang tanggung. esok lusa lepas akad nikah terus dosa dia saya yang tanggung. pastu pakcik nak buat bersanding pulak. Setiap mata yang memandang saya akan dapat dosa. Lagilah saya berdosa sangat-sangat. 

Ibu si gadis segera mengambil langkah mudah dengan menarik diri daripada perbualan itu. Si ibu tahu, si teruna bercakap menggunakan fakta islam. Dan tidak mungkin ibu si gadis dapat melawan kata si teruna itu.

Bapa G : kau memandai pulak nak cakap agama ngan kami.
Teruna : ehh. Sory pakcik. Bukan saya nak cakap pasal agama. Tapi itulah hakikat sebenar. Kita terlalu pandang pada adat sampai lupa agama.
Bapa G : camni lah. Kamu sediakan 25 ribu, ngan 31 dulang. Kalau takde, kamu tak boleh kahwin ngan anak aku!
Teruna : lama lagilah camtu. Dalam umur saya 30 lebih, baru dapat masuk meminang. Kalau camtu pakcik, ‘izinkan saya berzina ngan anak pakcik’?
Bapa G : hoi! Kau dah melampau, ko baik-baik sikit cakap tu. Jangan main sedap mulut je.
Teruna : dengar dulu penjelasan saya pakcik. Pakcik tau tak apa sebab orang berzina dan banyak anak luar nikah? Sebab benda nil ah pakcik. Selalu ibu bapa perempuan yang meletakkan berpuluh ribu ringgit sampai pihak lelaki terpaksa menangguh hasrat untuk berkahwin. Tetapi cinta dan nafsu kalau tidak diiringkan dengan betul, syaitan yang jadi pihak ketiga untuk menyesatkan manusia. Akhirnya mereka mengambil jalan pintas memuaskan nafsu serakah dengan berzina. Mula-mula memang ringan-ringan dahulu pakcik, pegang-pegang tangan, peluk-peluk, pegang pinggul, dan sebagainya. Tapi lama-lama jadi berat-berat. Yang berat-berat tu pakcik sendiri pun boleh bayangkan.

Bapa G : apa kaitan kamu nak berzina pula
Teruna : yalah. Dah pakcik tak bagi kami kahwin sekarang, biar ada duit dulu baru boleh kahwin. kami nak lepaskan nafsu camna pakcik? Tiap hari saya tengok dia, dia tengok saya. Susah pakcik. Nafsu. Sebab tu saya dengan rendah hati minta izin pada pakcik untuk berzina ngan anak pakcik. Apa yang penting pakcik tahu yang saya dan dia nak berzina. Sebab rata-rata orang yang berzina ni ibu bapa tak tau. Nampak je biasa-biasa sedangkan da berzina. Err.. berzina bukan sahaja yang ehem-ehem je. Ada yang zina-zina ringan. Tapi sebab ringan tu yang akan jadi berat.
Bapa G : hmm. Kamu ni peliklah. Nasib baik pakcik cool je. Kalau orang lain, da lama angkat parang. Tapi kalau takde duit, camna kamu nak bagi dia makan
Teruna : hehe. Pakcik. Pakcik lupakah dengan apa yang telah Allah bagitau.



“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.” (an Nur 32). Takkan la kita tak yakin dengan apa yang Allah janjikan. Lagipun pakcik, kalau makan dan minum tu insyaAllah, berdaya lagi untuk saya beri pada dia. Tempat tinggal tu kita boleh bincang lagi. Kalau benda ni boleh menghalang kami dari melakukan perkara dosa dan sia-sia. Baiklah disegerakan. Pakcik pun tak mau perkara-perkara tak elok kan. Senyap tanpa kata bapa si gadis, merenung kata-kata si teruna. Segera bapa si gadis memikirkan cara untuk mematahkan kata-kata si teruna. Dan bapa si gadis mendapat akal.



Bapa G : kamu tau la zaman sekarang ni. Kalau ikut cara kamu tu. Mungkin kamu tak suka dengan persandingan, pakcik boleh terima. Tapi kamu kena la ambil kira apa orang lain yang akan kata. Tau-tau orang akan mengata anak aku kena tangkap basah dan kena nikah paksa dengan kamu. Mana nak letak muka ni.
Teruna : bagus juga cadangan pakcik tu. Kena tangkap basah 2 ribu je denda. Kat Malaysia takde hudud, dan kalau untung. Boleh nikah masa tu jugak. Bagus-bagus.
Bapa G : serius lah sikit.
Teruna : betul dah tu pakcik. Hehe. Tapi pakcik, saya tak kata pun takde walimatul urus. Sedang walimatul urus itu perlu untuk hebahkan yang anak-anak dah kahwin. itu cara islam. Ok. Tapi yang tak oknya, bersanding tu ha. Kesian saya pakcik, saya seorang bayar mahar untuk anak pakcik, orang lain pun dapat tengok. Siap kalau berhias secara berlebihan dan orang lain yang lihat menaikkan nafsu syahwat mereka, saya yang berdosa pakcik. Saya yang tanggung dosa dia. insyaAllah pakcik. Kita bukan nak buat apa pakcik. Syariat memang camtu. Maha baiknya Allah sebab jaga kita selama ini, tapi benda remeh-temeh camni pun kita masih pandang ringan dan kita tak menjaga apa yang telah Allah janjikan. Susah lah camtu pakcik.,Sory lah pakcik kalau ada kata saya yang membuat pakcik kurang senang ngan saya. Segala-galanya kita serah pada Allah, kita merancang je. 

Azan zohor berkumandang, jaraknya tidak sampai 10 dari surau berdekatan rumah si gadis. Si teruna memohon untuk ke surau dan mengajak bapa si gadis untuk pergi bersama. Namun ajakan ditolak dengan lembut. Lantas memberi salam dan memohon untuk keluar. Di birai tingkap bapa si gadis melihat si teruna mengeluarkan kopiah dari poketnya dan segera di pakainya. Masuk ke dalam kereta dan hilang dari penglihatan bapa si gadis tadi. Sedang si gadis yang sedari tadi berdiri di balik tirai bersama ibunya menitiskan air mata mendengar luahan kata-kata si teruna terhadap ayahnya. Tudung pemberian si teruna sebagai hadiah pada hari jadinya yang lepas digenggam erat. Ibu si gadis juga menitiskan air mata melihat pada kelakuan anaknya. Segera ibu dan si gadis ke ruang tamu menghadap ayahnya.



Ibu G : apa yang budak tu kata betul. Kita ni tak beratkan pada agama selama ni. Kita sambil lewa abahnya.
Bapa G : hmm.. ntahlah, tak tahulah saya. Keras betul budak tu kata tadi. Satu-satu kena. Dia pesan tadi, suruh bersiap, lepas zohor dia amik kamu.
Gadis : takde mood nak pegi la ayah. Ntah,,



Si gadis terus mencapai telefon bimbitnya dan menaip mesej.



Si teruna yang selesai mengambil wuduk tersenyum apabila membaca mesej yang baru sahaja diterima daripada si gadis



“andai Allah telah memilih dirimu untukku,
aku redha dan akan terus bersama mu,
aku juga akan terus pada agama yang ada padamu.” 



“petang ni takde mood nak keluar, Sory."



Minggu depan ayah suruh hantar rombongan.


Wallahu'alam.......

...ustazpenang...

Friday 14 September 2012

Hanya Cinta Pertama

Hanya Cinta Pertama



Yang mana satu pilihan anda, antara buah yang sedia jatuh berguguran ke tanah atau yang masih berada di atas pokok? Tentunya ramai yang akan lebih memilih yang di atas berbanding yang di bawah.
Demikian lah juga dengan saya. Akan memilih yang di atas dari yang di bawah. Kerana apa? Kerana biasanya buah yang jatuh berguguran itu telah rosak dan ada yang telah ditebuk binatang sebagai contoh dimakan oleh seekor atau lebih seekor dari serangga. Mungkin juga di makan oleh tupai atau monyet liar. Tetapi tidak buah yang di atas, belum disentuh dan menjadi idaman hampir setiap orang yang memandang. 
Begitulah boleh diumpamakan dengan nilai diri kita dalam memulakan episod cinta pertama. Rasa cinta pasti hadir bila tiba saatnya. Tanpa dijemput atau dipinta. Ia pasti hadir membuai rasa di hati kita. Keinginan untuk mencintai dan dicintai tidak perlu dipelajari. Itu fitrah. Tetapi jangan kita lupa, fitrah juga perlukan hidayah. Hidayahlah yang akan menunjuk arah sebenar perjalanan sebuah cinta suci.
Bagaimana yang dikatakan dengan cinta suci? Adakah seperti cintanya Romeo dan Juliet? Atau umpama cintanya seorang penyair Arab yang menyintai seorang wanita bernama Laila? Sehingga ia digelar "Laila Majnun" oleh masyarakat waktu itu kerana cintanya yang menggunung? Begitukah cinta suci yang kita inginkan?
Cinta suci meletakkan Allah sebagai 'matlamat'tertinggi. Cinta sesama makhluk cuma sebagai 'alat'. Alat untuk mencapai matlamat meraih kasih sayang dan redha Allah SWT. Untuk itu, sebelum terjebak dalam cinta, seharusnya kita berusaha 'menjadi diri yang tepat untuk mencintai' sebelum bersantai-santai 'mencari diri yang tepat untuk dicintai'. Semua ini tidak dapat lari dari 'hukum tarikan cinta' -sunnatullah yang tidak dapat diingkari. Saling cinta menyintai, saling lengkap melengkapi.
Namun, jangan ungkapkan kalimah cinta terlalu awal. Sebelum diri benar-benar siap menjadi diri yang tepat. Usah risau diri tidak disapa cinta manusia. Yakinlah pada aturan yang Allah lakarkan dalam setiap kehidupan yang ada. Telah tertulis jodoh, rezeki, ajal di tanganNya. Serahkan sahaja kepada Allah SWT. Apabila tiba saatnya, Allah akan temukan hati yang satu lagi. Hati yang penuh cinta untuk memberi cinta. Saat itu, hati kita telah sedia untuk menerima cinta. Tepat waktunya dan sesuai keadaanya.
Ayuh kita teruskan usaha untuk menjadi diri yang tepat. Usah risau soal bila cinta pertama akan menjelma. Itu urusan Allah, pasti ada aturan dari-Nya. Akan sampai satu masa, tempat dan keadaan yang tepat, cinta itu bakal muncul jua. Tanpa diayat, tanpa digoda, tanpa dipujuk rayu kita dengan mudah menyahut cintanya. Kerana cinta itu adalah soal rasa.
Saat itu, rasa hati yang menghadirkan rasa yakin dalam diri kita seolah-olah berkata, "Inilah dia cinta pertamaku yang ditunggu selama ini." Pada ketika itu, diri kita telah menjadi tepat. Tepat untuk memberi cinta dan menerima cinta.
Sesungguhnya janji Allah itu benar. Apabila kita telah tepat memilih untuk sebuah cinta, pasti akan hadir cinta yang tepat untuk kita. Hanya dengan menjadikan landasan cinta itu sebuah cinta suci, maka perjalanannya juga akan seiring dengan laluan matlamat utamanya. Matlamat yang hanya untuk meraih sebuah cinta yang hakiki. Cinta Ilahi. Apabila laluannya adalah tepat dengan tujuannya, pasti kita akan temui orang yang tepat menyambut dan meraih cinta kita. 
Yakinlah, kita tidak akan disia-siakan. Allah jualah sebaik-baik pentadbir dan pentaqdir sebuah kehidupan. Jika matlamat cinta telah utuh semata-mata kerana Allah, jadilah ia buah cinta yang ranum di atas pohonan rahmat dan kasih sayang-Nya. Lantaran cinta itu terpelihara di dalam jagaanNya. Jatuhnya hanya setelah ranum di atas dahan Rahmat. 
Dan mengkin juga buah cinta itu tidak akan jatuh sekalipun telah ranum di atas pohonan rahmat cinta Allah, akan tetapi hanya akan di capai dengan hormat dan selamat. Tidak ternoda oleh tangan-tangan nafsu yang mengikat. Dinikmati dalam bahagia yang penuh dengan keredhaan dan keampunan.
Dan itulah cinta pertama dan cinta selamanya (sampai ke syurga). Cinta yang tiada untuk yang kedua kalinya.

Wallahu'alam.......

...ustazpenang...


Remajaku, Mengapa Begitu?

Remajaku, Mengapa Begitu?



Rindu dan cemburu adalah permainan perasaan, ianya wujud pada setiap manusia. Tidak perlu disangkal rasa seumpama itu, kerana ianya adalah fitrah. 
Namun, agak janggal bagi setiap pasangan yang bercinta. Kelibat rindu dan cemburu melebihi segala-galanya. Perasaan sedemikian mengubah corak hidup mereka. Tiada lagi kebahagiaan, tiada juga ketenangan.
Kebiasaannya, bagi mereka yang tidak bercinta , rasa cemburu dan rindu berada pada tempatnya. Tidak dibayangi dengan ketakutan yang tiada jasadnya. Jika ada sekalipun, perasaan itu langsung tidak membunuh jiwa si pemilik nyawa.
Jiwa Tidak Bebas
Manusia yang dirantai dengan perasaan cemburu dan rindu berlebihan terpaksa menjalani kehidupan yang meresahkan. Setiap hari dan setiap masa fikiran mereka melayang jauh memikirkan perkara yang membebankan.
" uish.. Awek aku ni buat apa ni. Apasal tak balas mesej?"..
"hmm..pakwe aku ni keluar dengan perempuan lain ke, kenapa off handset?"
Walaupun pada mereka nampak bahagia, namun hakikatnya susah hidup dengan kehidupan sebegitu rupa. Ruang masa yang sepatutnya bebas untuk dinikmati dengan bahagia kini bertukar sengsara. Jiwa terasa sempit kerana asyik memikirkan hal orang lain yang belum tentu menjadi miliknya. Itu belum lagi termasuk hal peribadi yang lain.
Sedangkan jika sebelum status "single" bertukar kepada " couple" setiap urusan begitu indah untuk ditempuhi. Tidak perlu menyibukkan diri untuk memikirkan perkara yang remeh temeh, apatah lagi untuk menyeksa perasaan mencintai sesuatu yang belum halal.
Ini Puncanya!
Manusia yang berhadapan dengan situasi sebegini sebenarnya hanya perlu tahu seperkara agar hidup tidak lagi terganggu. Anda hanya perlu tahu bahawa anda terpaksa menelan pahit ketika ini kerana kekasih anda masih belum halal untuk dimiliki.
Tidak boleh disentuh, sedangkan anda ingin yang disebaliknya.
Tidak boleh keluar berdua-duaan sedangkan hati anda mahu sentiasa bersamanya. Walaupun hakikatnya pada saat ini ramai yang lebih gemar melanggar 'jalan agama' asal dapat keluar berdua-duaan bersama orang yang dicinta.
Tidak boleh berpisah dengannya, sedangkan jika diikut kata hati, pasti anda mengikutnya ke mana sahaja pasangan anda pergi. Walau beribu batu jauhnya, walau dekat sejengkal, anda ingin tetap bersamanya. Hatta walau dia hanya mahu membuang hajat sekalipun, anda ingin mengekorinya. Benarkan? Tetapi itulah realitinya.
Kesimpulannya, begitulah perasaan rindu dan cemburu yang menyeksakan kerana seseorang itu belum memiliki sesuatu yang dimahukan. Ironinya, inilah yang dimaksudkan dengan cinta yang berlandaskan nafsu semata-mata.
Lihat Mentari Esok
Di sebalik langsir kehidupan tanpa ikatan, cuba anda bayangkan pula situasi selepas kahwin. Pasti semuanya berubah bukan? Jika dahulunya tidak boleh berpisah biarpun sementara kini 24 jam si dia di sisi anda. Siang dan malam asyik mengadap muka yang sama.
Makan bersama, tidur bersama dan melakukan pelbagai aktiviti lain juga bersama. Akhirnya Perasaan suka mungkin bertukar jemu. Malah kemungkinan tiada lagi perkara yang patut untuk disembunyikan. 
Jika dulu adab sopan di jaga. Namun, selepas kahwin kentut pun dilepaskan begitu sahaja. Bertahak di hadapan pasangan sudah menjadi perkara biasa. Tiada yang istimewa menjadi rahsia untuk diterjemah. Semuanya telah diketahui sebelum ikatan suci bersemi. Akhirnya itulah perkara yang bakal menghiasi setiap hari pasangan berumah tangga.
Romantik sudah tiada, perasaan rindu dan cemburu pula entah ghaib hilang entah ke mana.
Bersabar Sementara
Kini, apakah anda sudah mengerti? Bahawa kita sebelum ini diperbodohkan dengan mainan perasaan yang dikawal syaitan. Jarumnya mencucuk hati dan fikiran manusia agar ia dapat mentertawakan manusia yang telah tunduk dengan arahannya.
Islam telah sempurna mendidik manusia dalam segenap sudut, termasuklah dalam aspek percintaan. Sebab itulah dalam hubungan umat islam dilarang sesekali melakukan perkara yang dilarang.
Tidak boleh keluar bersama selagi tiada ikatan, tidak boleh bersentuhan dan tidak boleh berurusan tanpa sebab-sebab yang utama.
Setiap perkara seakan ada halangannya, susahkan?
Anda tidak akan merasa sebegitu andai anda bijak meneka hikmah di sebalik semua itu. Kita hanya perlu menjauhi perkara yang dilarang dalam hubungan agar segala kekusutan terhindar.
Hanya perlu bersabar seketika, kerana itu ialah penawar untuk menempuh hidup yang bahagia di dalam alam rumahtangga. Namun jika anda masih tidak berpuas hati, Bernikahlah segera!

Wallahu'alam....
...ustazpenang...

Jiwang Karat Bersalut Islamik

Jiwang Karat Bersalut Islamik



Sejak akhir-akhir ni, ramai yang sudah mulai sedar mengenai haramnya bercouple sebelum nikah. Mungkin ramai yang kurang setuju dengan pendapat syadid ini. Apapun pandangan yang ada... Alhamdulillah, ianya sedikit sebanyak membawa satu perubahan yang sangat positif. Ramai yang semakin berusaha untuk mencari nilai cinta "High Class".
Tapi....
Tidak dinafikan adakalanya diri ini naik mual dengan ayat-ayat yang di'post' di alam maya, seperti..
"Duhai mujahidku, mujahidahmu menanti di sini"
"Wahai my future husband, saya sedang upgrade diri saya ni. Di manakah anda?"
"Nak solat tahajjud sama-sama dengan suami nanti..."
"Kasih saya hanya untuk suami"
Dan berbagai-bagai lagi status jiwang karat bersalut islamik di'post' di alam maya.
Ya, cinta itu fitrah insani, tetapi tak perlulah sehingga terlalu berjiwang-jiwang dan berangan-angan di alam maya.
Ingatlah... isu ummah bukanlah couple yang dianggap halal semata-mata, tetapi banyak lagi sebenarnya. Isu membalut aurat dan bukannya menutup aurat, isu syria, isu palestin, dan banyaaaak lagi yang perlu kita titikberatkan.
Dan, kita juga perlu ingat, kita berubah menjadi lebih baik bukanlah kerana inginkan teman hidup yang baik semata-mata, tetapi kita ingin mendapatkan redha Allah!
Kenapa saya titikberatkan hal ini?
Cuba bayangkan. Kita upgrade diri kita menjadi orang yang lebih baik (contoh: memakai tudung) dengan harapan akan mendapat pasangan hidup yang baik.
Kemudian ditakdirkan Allah kita tidak mendapat juga pasangan hidup yang baik, sebaliknya dapat pula pasangan hidup yang kurang baik. Mungkin kita akan kecewa dengan Allah, dan mengatakan Allah memungkiri janji-Nya. Pada saat itu, ada tak kemungkinan untuk kita kembali menjadi seorang yang freehair? Ada kan?
Matlamat kita perlu jelas, iaitu untuk mendapatkan redha Allah dan mendapatkan syurga-Nya. Oleh itu, walau apa pun yang kita buat, biarlah ianya diniatkan kerana Allah!

Wallahu'alam....
...ustazpenang...




Khabarkanlah Cintamu Kepada Allah

Khabarkanlah Cintamu Kepada Allah



"jika kita mencintai seseorang biarlah kita mendiamkan diri kerana apabila kita diam itulah yang menjadi tanda cinta kita pada nya. Dan khabarkanlah perkara ini kepada Allah, kerana dia mengetahui segalanya daripada kita"
Memang benar apa yang apa yg terdapat dalam ayat di atas, dan saya tidak nafikan dan bukannya untuk dibanggakan tetapi sebagai perkongsian bersama kerana perkara inilah yang saya pegang hingga hari ini. Tapi bagi sesetangah orang perkara ini payah kerana ada segelintir orang sahaja yang sanggup menaggung rasa di hati dan menyatakan nya kepada Sang Pencipta.
Di sini saya ingin berkongsi apa yang saya baca mengenai "Cinta Mengikut Islam" ini;
1 ) Pendam dan luahkan pada Allah
Pertama sekali, jika kita mencintai seseorang haruslah kita pendamkan dahulu dan menyatakan hasrat kita kepada Allah. Kita tidak perlu terburu buru takut perempuan/lelaki itu mencintai orang lain kerana jodoh ini adalah semua aturan Allah. Allah lebih mengetahui apa yang kita tidak ketahui.
Justeru, menyatakan perasaan kita kepada Allah terlebih dahulu, itulah cara yang paling terbaik kerana insyaAllah, Allah tidak akan memberi sesuatu kepada kita melainkan kita berhak mendapat nya dan dalam bab jodoh ini kita berusaha lah menjadi hamba Allah yang terbaik. Niatkan pertamanya apa yang kita lakukan ini bukanlah semata-mata untuk mendapatkan jodoh yang baik, tetapi adalah semata-mata kerana Allah.
Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Setiap kebaikan itu pastinya akan diganjari dengan kebaikan pula. Demikianlah juga dalam perihal jodoh sesudah kita mantapkan diri atas apa yang kita lakukan semata-mata kerana-Nya, sudah tentulah Allah akan berikan yang 'sekufu' iman dengan kita. Jika kita berusaha menjadi hamba yang soleh/solehah, maka Allah berikan kebaikan ke atas usaha itu.
2) Nilai dan selidiki sebelum mencintai
 Cinta itu hadir tanpa kita sangka. Kadang-kadang ianya berputik tanpa kita sedari. Ada pula yang hadirnya walau hanya pertama kali bertentang mata (sekali pandang). Namun, sebelum kita membiarkan cinta itu tertanam di lubuk hati kita yang paling dalam, maka nilailah cinta kita itu semula.
Adakah cinta kita itu untuk dunia sahaja? Kerana kemewahannya kah? Untuk memuaskan nafsu diri kah? Atau semata-mata kerana untuk menyempurnakan agama? Andai cinta kita kepada seseorang itu hanyalah kerana nafsu dan dunia, maka rugilah kita kerana kita tidak akan dapat apa-apa melainkan kepuasan hanya di dunia. Tetapi jikalau kita mencintai seseorang kerana Allah dan berniat untuk memuliakannya dengan ingin menikahinya maka besarlah pahalanya sedang perkahwinan itu diibaratkan seperti membina sebuah rumah Allah.
Mungkin ada yang berkata;
" Tak kan la awak kahwin itu bukan sebab kecantikannya"
"Aik, awak nikah ni tanpa nafsukah?" 
Ya, benar!. Sebagai manusia kita dikurniakan nafsu, cintakan kecantikan. Hakikatnya semua manusia cintakan kecantikan, hatta Allah juga sangat mencintai kecantikan kerana Allah itu bersifat dengan kesempurnaan. Begitu juga dengan bernikah kerana nafsu. Namun, antara asbab itu, jadikanlah pernikahan kerana Allah itu berada di tingkatan yang paling atas. Nikah kerana Allah itu yang paling utama dan pertama.
3) Jauhilah 'bercouple"
Andai diri telah mencintai seseorang, maka berusahalah untuk menghindarkan diri kita dari ber "couple" kerana perkara ini langsung tidak dianjurkan dalam Islam. Sesungguhnya budaya couple ini bukanlah satu pegangan Islam kerana padanya terlalu banyak perkara-perkara yang boleh membuatkan pasangan bercouple ini lebih cenderung kepada mendekati zina.
Sepertimana di dalam al-Quran ada menerangkan, "la taqrabuz zina" yang bermaksud, "Janganlah kamu dekati zina"  yang mana para ulamak mengistinbatkan hukumnya sebagai haram. Maka, apakah dengan bercouple juga tidak termasuk di dalam mendekati zina? Walaupun mungkin ada antara pasangan couple yang berkata;
"Saya tidak pernah keluar berdua dengan dia"
"Ana jarang telepon..."
"Awek aku tak pernah sms pun. Kalau ada pun perkara yang penting je"
Namun, tanpa sedar kita tidak tahu bahawa kita sedang melaku zina hati yang mana sedikit demi sedikit akan membawa kita melakukan dosa yang lebih besar. Nau'uzubillah
4) Solat Istikharah dan musyawarah (berbincang)
Sebaik-baik keputusan ialah dengan meminta petunjuk kepada Allah dan bermusyawarah (berbincang) meminta pendapat daripada orang yang dipercayai. Tiada seorang pun yang Allah janjikan akan merasa rugi dengan bermohon kepadaNya. Maka, andai diri telah nekad dan memilihnya kerana Allah atas asbab agamanya, solatlah istikharah mohonkan petunjuk yang terbaik untuk agama kita, kehidupan kita pada masa itu mahupun pada masa yang mendatang. 
5) Bertindaklah ke arah kesempurnaan Iman
Alhamdulillah, jika Allah telah berikan kelapangan di atas solat istikharah yang kita lakukan. Salah satu daripada petunjuk istikharah selain mimpi ialah apabila hati kita terasa lapang dan yakin dengan keputusan yang ada. Maka, bertindaklah. Bertindak di sini ialah dengan memilih seseorang menjadi wakil kita untuk meneruskan hajat kita.
Sesungguhnya Islam agama yang indah. Jika dijadikan pegangan dan cara hidup pasti hidup terasa mudah. Demikianlah juga adat yang ada. Maka, selagi adat tidak menyalahi syariat, gunakanlah 'adat' seperti merisik, bertunang dan seterusnya. Semoga Allah merahmati dalam menuju ke arah kesempurnaan iman itu.
Saudara saudari saya sekalian, couple ni memang indah tetapi beracun. Saya tidak mahu rakan-rakan saya diluar sana terkena mainan syaitan ini kerana saya juga pernah merasainya sekali suatu ketika dahulu. Memang benar, pada mula berasa semuanya manis, namun pertengahannya semakin kurang dan akhirnya tawar dan pahit sekali untuk ditelan. Moga ianya menjadi pengajaran buat saya.
Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah supaya semua hubungan kita dengan manusia mendapat keredhaanNya dan Allah akan menjadikan kita insan yang lebih baik supaya insyaAllah kita dikurniakan pasangan yang juga baik. 

Wallahu'alam.......

...ustazpenang...