Thursday, 28 July 2011

Cinta Seorang Playboy Itu..

Cinta Seorang Playboy Itu..

Zaman remaja sememangnya zaman yang indah dan bahagia buat dia. Zaman di mana dia dipuja dan dipandang tinggi oleh wanita-wanita di sekelilingnya. Dia tersenyum bangga. Berbekalkan wajah yang sempurna, ketinggian yang mantap dan bentuk tubuh yang bisa menambat hati gadis-gadis, dia rasa begitu selesa dengan kehidupannya. Hatinya kini milik seribu wanita yang bergelar 'hawa'.

Untuk apa dia setia? Sedangkan rakan-rakannya yang lain kerap dipermainkan wanita walaupun mereka setia. Ada yang sanggup berhabis wang ringgit untuk teman wanita, akhirnya apabila sudah kopak, gadis tersebut meninggalkan mereka terkontang-kanting. Dia sendiri pun apa kurangnya. Sudah dua kali dia dicurangi makhluk yang bergelar kaum hawa itu walaupun dia telah korbankan segala kesetiaan dan kepercayaan kepada mereka.

Sudah dua kali juga dia menetapkan bahawa merekalah yang bakal menjadi permaisuri hidupnya tetapi sesungguhnya semua itu hanyalah sia-sia. Sekarang dia tersenyum puas. Puas kerana dapat mempermainkan hati lima gadis serentak! Dania, Ida, Zurin, Rushaida dan Lisya semuanya dia taburkan dengan janji-janji dan kasih sayang palsu. Andai salah seorang daripada mereka tidak berpuas hati pun dia tidak peduli. Asalkan dia bahagia melihat gadis-gadis tersebut terulit dibuai janji kosong.

Cuaca pagi itu tenang dan damai. Burung-burung bahagia berkicauan. 'Mungkin burung-burung tu pun bahagia sebab ramai awek,' bisik hati kecilnya. Dia tersenyum riang. Hari ini merupakan hari pendaftaran degree in law untuk pelajar junior. Jika bernasib baik, mungkin akan adalah seorang 'awek' cun tersangkut kat dia lagi. Sedang dia berdiri memerhati gerak-geri junior-junior yang kebanyakannya comel-comel belaka, pandangannya terhenti kepada salah seorang gadis ayu yang sedang duduk memerhatikan jam tangan di tepi kaunter pendaftaran kolej kediaman. Di dalam hatinya, itulah gadis yang bakal menjadi mangsanya seterusnya.

Sejak hari pendaftaran itu, dia bersungguh-sungguh mendapatkan serba sedikit maklumat mengenai gadis tersebut daripada rakan-rakannya dan junior. Hatinya menjadi lebih panas apabila mendapat tahu bahawa gadis tersebut merupakan seorang gadis yang sering mempermainkan perasaan lelaki. Hatinya melonjak untuk mengenali gadis tersebut agar dia dapat mempermainkan gadis tersebut pula! Dia cuba memulakan langkah untuk berkenalan dengan gadis tersebut. Dia mengatur ayat-ayat manisnya yang sememangnya menjadi bagi menjerat hati seorang gadis. Setelah seminggu lebih menjengah khabar berita daripada rakan-rakan dan junior, dia berjaya juga mengetahui serba sedikit tentang gadis itu.

Namanya tidaklah seglamour wajahnya. Bukan Aleesya, Areefa atau Natasya. Nama-nama tersebut adalah nama-nama biasa gadis-gadis cun yang dikenalinya selama ini. Tetapi kali ini, nama gadis yang cuba dikenalinya ini sungguh dalam maknanya. Gadis yang bernama Halimahtussaadiyah ini berasal dari Selangor. Setelah menaburkan ayat-ayat manis seperti biasa, tepat pada tarikh 8 Julai 2004, termaktublah bahawa mereka secara rasmi sudah menjadi sepasang kekasih.

Allah S.W.T  Yang Maha Berkuasa  tahu apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya. Dengan termeterainya perhubungan itu, niat yang pada mulanya berunsur khianat telah bertukar sepenuhnya. Perkenalan itu menjadikan mereka kenal akan erti kesetiaan, kasih sayang dan cinta. Tiada lagi istilah playboy dan playgurl dalam diri mereka. Tiada lagi istilah curang, khianat atau mempermainkan hati masing-masing. Dia telah pun memohon ampun dan maaf kepada bekas-bekas kekasihnya di saat zaman playboy nya dahulu. Hatinya kini terpaut kepada Halimahtussaadiyah seorang dan dia tidak berniat untuk bermain-main lagi dalam percintaan.

Episod-episod bahagia telah menjengah hari-hari mereka berdua. Dia yakin pada kata hati bahawa Halimahtussaadiyah lah yang sebenar-sebenarnya jodoh kurniaan Allah S.W.T baginya. Mereka bagaikan belangkas. Ke mana sahaja pasti bersama.

Tetapi lama kelamaan perkara ini menjadi masalah buat mereka. Akibat selalu kelihatan berdua-duaan, mereka telah dipanggil oleh jawatankuasa perwakilan Persatuan Rohani IPTA. Ketika itu mereka tersedar bahawa mereka telah melakukan dosa yang menghampiri fitnah dan zina. Walaupun setakat ini, mereka masih mengawal perilaku mereka, perkara sebegini masih haram di dalam Islam.

Sedangkan ber-couple itu juga adalah haram apatah lagi berdua-duaan. Astagfirullahalazim!
Namun mereka sudah terlalu mencintai antara satu sama lain. Setelah berbincang dengan ibu bapa masing-masing, mereka mengambil keputusan untuk bertunang dan bernikah. Bukan mudah untuk meyakinkan ibu bapa pada mulanya namun, mereka tetap bersungguh agar tidak dipisahkan.

Maka, tanggal 3 September 2005, mereka pun bertunang. Ketika majlis pertunangan dilangsungkan, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk memilih tarikh pernikahan pada bulan Disember 2005 iaitu pada tahun yang sama agar dapat mempercepatkan urusan membina masjid tersebut. Selepas bertunang, mereka menjaga pergaulan mereka. Mereka tidak lagi kerap berjumpa kecuali untuk urusan-urusan penting sahaja. Namun di dalam hati, masing-masing terasa sangat berdebar-debar menanti ketibaan hari yang ditunggu-tunggu.

Tetapi kata orang, kita cuma mampu merancang. Allah juga yang Maha Menentukan. Tanggal 21 September 2005, iaitu hanya beberapa minggu selepas mereka bertunang, hadirlah suatu peristiwa yang tidak akan pernah dia lupakan. Tarikh itu, tarikh dimana nyawa Halimatuhsaadiyah diragut kerana kemalangan jalan raya di Lebuhraya Elite sebaik pulang daripada rumahnya kerana terdapat perbincangan mengenai persiapan perkahwinan.

Halimatussaadiyah meninggal di Hospital Besar Kuala Lumpur tepat pada jam 9.30 malam itu. Kemalangan ngeri itu telah mengakibatkan gegaran otak yang kuat dan menyebabkan pendarahan di dalam kepalanya. Dia yang turut terlibat di dalam kemalangan tersebut hanya patah kaki dan koma selama beberapa jam namun, oleh kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, dia tidak dapat hadir ke pengebumian Halimatussadiyah, seorang gadis yang amat dia cintai.

Saat dia sedar daripada koma, soalan pertama yang terbit dibibinya ialah di mana Halimahtussaadiyah dan bagaimana keadaannya? Bagi mengelak kejutan yang teruk dan atas nasihat doktor, ibu bapanya terpaksa menipu dengan mengatakan keadaan Halimahtussaadiyah stabil dan sedang dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Hari ke enam pada bulan Ramadhan, dia dikeluarkan daripada Hospital. Sepanjang berada di rumah, die sibuk bertanyakan perihal Halimahtussaadiyah dan ibu bapanya hanya berdiam diri kerana takut terjadi perkara yang tidak diingini padanya jika terus berselindung, ibu bapanya meminta bantuan daripada ibu bapa Halimahtussaadiyah untuk memberitahunya khabar berita bahawa Halimahtussaadiyah telah pun kembali ke rahmatullah dan telahpun selamat dikebumikan. Sebaik mengetahui bahawa gadis yang dicintainya itu telah pun kembali pada Tuhan yang Maha Esa, hidupnya menjadi tidak keruan. Dia tidak mahu makan, tidak mahu mandi dan asyik menghabiskan waktunya untuk menangis dan meratapi. Hidupnya seakan-akan tidak terurus lagi. Pelajarannya ditinggalkan begitu sahaja.

Tetapi kisah dukanya tidak hanya terhenti di situ. Setelah tiga minggu mengetahui berita bahawa Halimatuhsaadiyah telah meninggalkannya selama-lamanya, dia mengalami masalah hilang ingatan akibat terlalu stress dan terlalu banyak berfikir. Ibu bapanya sudah puas menghantarnya membuat rawatan di hospital dan bertemu dengan ustaz-ustaz yang boleh mengubatinya namun masih tidak berhasil. Inilah ujian daripada Allah. Mungkin Allah S.W.T hanya akan mengizinkannya untuk mendapatkan kembali memorinya setelah dia tenang dan redha dengan pemergian Halimatuhsaadiyah. 

Alhamdulillah setelah berusaha tanpa jemu, pada pertengahan bulan Mac pada tahun 2008, barulah ingatan dia kembali pulih seperti biasa. Ketika itu, dia telah redha dengan pemergian bekas tunangnya dan berdoa agar roh Halimatuhsaadiyah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman..

Sekarang, dia hanya meneruskan kehidupannya seperti biasa walau pedih untuk ditanganinya. Dia pernah bercerita, di dalam mimpinya arwah pernah hadir dan mengucapkan kata-kata yang telah membuatakn dia sedar apa yang patut dilakukannya. Arwah memintanya agar tidak berterusan bersedih hati dan terus mencapai impian merealisasikan cita-citanya.

Ajaib bukan? Seorang playboy bertukar menjadi seorang yang setia kerana kehendak-Nya. Seorang playboy diuji oleh Allah untuk menghapus dosa-dosanya. Jika selama ini dia menguji hati gadis-gadis yang dipermainkannya, kini hidupnya sarat dengan ujian Allah yang Maha Berkuasa. Allah menjadikan sesuatu pasti ada hikmahnya. Dipinjamkan oleh-Nya intan permata namun bisa ditarik bila-bila yang dikehendaki-Nya.

Di kesempatan ini inginku hadiahkan al-Fatihah buat Allahyarhamah Halimahtussaadiyah Binti Mohd Yusof (10 Dis 1985 – 21 Sept 2005). Jangan risau akak, impian dan cita-citanya tetap dia teruskan walaupun akak sudah tiada lagi di sisinya.

Wallahu'alam..........



...ustazpenang...

Mendabik Dada Atau Berkongsi Rasa???

Mendabik Dada Atau Berkongsi Rasa???

Saya tidak sangka dapat bertemu dengan wira bina badan negara, Dato' Malek Noor di Madinah sewaktu mengerjakan umrah. Ketika itu, kami sama-sama beratur untuk mengambil hidangan makan tengahari di hotel penginapan kami. Malek berbaju Melayu teluk belanga, berkain pelekat dan berkopiah, menampilkan kejohorannya.

Meskipun belum pernah berkenalan, namun senyuman manis dan sikap peramahnya menjadikan saya tidak kekok menyapanya. Malek menceritakan yang dia sudah tiga hari sampai daripada Makkah. Perbualan kami menjurus kepada pengalaman beliau ketika di Masjidil Haram.

Dengan wajah ceria, Malek Noor bercerita yang beliau mendapat apa yang dihajatinya. Walaupun tubuhnya sasa, nafasnya sesak juga apabila dirempuh jemaah lain, sehinggalah beliau dapat mengucup Hajarul Aswad. Dia juga dapat bersolat di Hijr Ismail dan berdoa di Multazam.

Sehari kemudian, saya terserempak lagi dengan Malek di lobi hotel. Kali ini beliau menceritakan pula bagaimana pada malam sebelumnya, beliau dapat bersolat di hadapan mimbar raudhah yang sentiasa penuh sesak dengan para jemaah sebelum menziarahi makam Rasulullah s.a.w. Saya kagum dengan rezeki yang diperoleh Malek. Itulah impian setiap orang yang berkunjung ke Masjid Nabawi.

Sekali pandang, apa yang diceritakan oleh Malek Noor seperti orang yang bercakap besar, seolah-olah bercerita dengan mendabik dada bahawa akulah orang yang dipilih Allah hingga mampu memperoleh semua yang dihajati. Namun, melihatkan keikhlasannya bercerita, saya tahu yang Malek hanya ingin berkongsi rasa. Sebab itulah hati saya tumpang gembira dan tidak meluat dengan ceritanya. Di dalam hati, saya ingin sekali mengikut jejaknya untuk memperoleh apa yang telah beliau lalui.

Bercakap besar dan berkongsi rasa adalah dua perkara yang berbeza. Bercakap besar ialah menyampaikan kejayaan-kejayaan diri dengan wajah riya', seolah-olah kita sahaja yang boleh mendapat atau mampu melakukan sesuatu sedangkan orang lain tidak boleh. Rasa bangga diri orang yang bercakap besar seumpama seorang kanak-kanak yang berdiri di atas busut seraya mendabik dada seolah-olah dia sudah berada di puncak gunung.

Sedangkan orang yang berkongsi rasa, menceritakan apa yang dialami serta kejayaan yang diperolehi dengan harapan si pendengar dapat mencontohinya. Kita di pihak yang menerima, andainya berfikiran positif, bersangka baik atau husnu dzon, kita akan memperoleh banyak sekali ilmu yang disampaikan. Sebaliknya, andainya kita mempunyai sikap negatif, bersangka buruk, atau suu dzon, maka apa jua kebaikan yang disampaikan akan disambut dengan senyuman sinis kerana memperlekeh apa yang dikongsikan.

Barangkali, oleh sebab bimbang dikatakan sebagai orang yang bercakap besar, maka ramai di antara kita lebih senang berdiam diri meskipun kita mengetahui sesuatu lebih daripada orang lain. Kejayaan kita dalam perniagaan, pendidikan anak hingga berjaya dalam kerjaya, pengurusan kewangan, teknik belajar, malah rahsia kita membuat teh tarik yang sedap adalah di antara kebaikan-kebaikan yang seharusnya dikongsikan dengan orang lain.

Kita mesti berani dan tidak segan untuk berkongsi rasa. Jangan sekali-kali kita berasa bimbang dianggap bercakap besar kerana yang utama adalah berkongsi ilmu. Tentu sekali dalam sepuluh orang yang mendengar perkongsian rasa kita, akan ada seorang dua yang mencemuh, tetapi itu tidak harus mematahkan semangat kita untuk menceritakan kebaikan pengalaman dan pengajaran yang kita lalui.

Apa jua kebaikan yang kita peroleh itu tidak harus disembunyikan dari pengetahuan orang lain. Lagi ramai orang lain tahu tentang kebaikan yang kita kongsikan, ia lebih bagus. Malah, daripada sudut agama pun, kita dituntut untuk menyebar kebaikan yang dialami sebagai tanda syukur kita terhadap nikmat Allah s.w.t.
Wa amma bi ni'mati rabbika fahaddith. Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (zahirkan sebagai tanda bersyukur kepada-Nya). Surah ad-duha, ayat 11 jelas menggalakkan kita untuk berkongsi rasa. Itu jua cara untuk memperoleh pahala. Kerana itu, jangan rasa malu untuk menceritakan kejayaan-kejayaan diri.

Wallahu'alam.........



...ustazpenang...

Magnet Hati

Magnet Hati

Kehidupan ini memiliki suatu misteri tersendiri. Bumi kita memiliki medan magnet yang sangat besar, Alam semesta pun memiliki medan magnet dan gaya gravitinya tersendiri. Semua beredar pada orbitnya dan berputar pada paksinya.

Manusia juga memiliki misterinya sendiri, kemampuan yang membuat seseorang boleh menjadi sangat ‘kecil’ mahupun boleh menjadi sangat ‘besar’.  Apabila terkongkong oleh fikirannya sendiri, manusia akan menjadi sangat kerdil. Dengan kebesaran hatinya juga manusia dapat menjadi besar. Kekuatan fikiran manusia adalah sangat tidak terbatas.

Dengan ‘magnet hati’ yang akan membuatkan kita mengenali kemampuan diri sendiri..
Mengapa ada orang yang senang berkawan dengan kita?
mengapa ada yang menolak kita? 
mengapa ada daya tarik menarik antara kita?
dan ada daya tolak menolak diantara kita?

Ini semua kerana disebabkan oleh magnet hati yang kita miliki.
Dari gelombang magnet yang kita pancarkan, itulah yang akan menarik apa-apa di sekeliling kita, yang sesuai dengan gelombang tersebut.

Medan magnet yang positif, akan membawa kebahagiaan.  Dengan mengunakan kekuatan gelombang medan magnet ditmabah dengan (cinta kasih, kasih sayang dan kesabaran) tentunya akan menghasilkan medan magnet yang dahsyat dan luar biasa.  Ia akan memberikan kita perkara yang positif pula. Ia akan memberikan kebahagiaan
Memberi kekuatan dalam menjalankan hidup kita, kerana semua perkara yang positif sudah terlekat pada diri kita.

Medan magnet negatif tidak perlu dibahaskan lagi, kerana tanpa disedari, setiap saat, setiap detik akan menghasilkan sesuatu seperti yang sering kita rasakan, iaitu derita yang tiada akhir…
Oleh itu, jika mahu mengubah hidup, hanya pilih medan magnet hati apa yang ingin kita gunakan.
Hidup ini penuh dengan suka dan  silih berganti,  seperti magnet dengan daya tarikan atau tolakan..

Wallahu'alam.........



...ustazpenang...

Terima Kasih

Terima Kasih

Sebenarnya, masalah merupakan peluang untuk membuatkan diri kita menjadi kuat..
Berterima kasihlah kepada orang yang telah menyusahkan dan mengecewakan kita,
Kerana dia telah melatih kegigihan hati kita..


Berterima kasihlah kepada orang yang telah menipu kita,
Kerana dia telah menambah pengalaman kita.

Berterima kasihlah kepada orang yang telah mengejar kita
Kerana dia telah membuatkan kita berlari sangat kencang,
melebihi kelajuan normal kita..

Berterima kasihlah kepada Orang yang telah menjatuhkan kita,
kerana dia telah menguatkan Kemampuan kita..

Berterima kasihlah kepada orang yang telah memarahi kita,
Kerana dia telah membantu menumbuhkan Ketenangan & Kebijaksanaan kita..

Berterima kasihlah kepada semua orang yang telah membuat kita kuat, tabah & berjaya..

Wallahu'alam..........



...ustazpenang...

Al-Quran Menjadi Peneman Hidup

Al-Quran Menjadi Peneman Hidup

Al-Quran merupakan senjata yang paling mujarab yang mana didalamnya terdapat ilmu yang melimpah ruah, mata air yang tidak mungkin kering, dipenuhi dengan nur hidayah rahmat dan zikir.
Al-Quran diturunkan untuk mengajar manusia tentang pengesaannya kepada Allah (tauhid). Konsep ibadat yang jelas dan menyeluruh agar manusia sentiasa mendapat bekalan yang baru dan segar. Mengajak manusia berfikir tentang ciptaan, pengawasan dan penjagaan yang ditadbirkan oleh yang Maha Agung agar dapat mengenal sifat-sifatNya yang Unggul.


Di dalam Al-Quran dipaparkan juga contoh tauladan dan juga kisah-kisah yang benar berlaku sebelum turunnya Al-Quran dan pada masa penurunan Al-Quran. Dengan itu manusia mendapat pengajaran dan panduan dalam mengharungi kehidupan sebagai muslim yang sejati dan benar dalam semua bidang kehidupan.

Al-Quran menjelaskan juga persoalan tentang akhir kehidupan manusia, situasi terakhir yang akan dirasai oleh manusia sebelum bumi ini dihancurkan oleh Allah untuk bermulanya hari qiamat dan nasib tiap-tiap insan sama ada ke syurga atau ke neraka.
Rumah yang jika dibaca di dalamnya al-Quran, akan dikunjungi para Malaikat dan dijauhi syaitan dan selesa kehidupan ahli rumah tersebut dan banyak kebaikan dan kurang kejahatan dan ada pun rumah yang tidak dibaca di dalamnya al-Quran dikunjungi para syaitan dan dijauhi para Malaikat. Tidak selesa kehidupan ahli rumah tersebut, sedikit kebaikan dan banyak kejahatan.
Bersempena dengan Bulan Ramadhan yang bakal menjelang, eloklah kita menjadikan Ramadhan kali ini sebagai medan untuk kita belajar memahami dan memperbaiki bacaan kita kerana di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menurunkan kitab suciNya (Al-Qur’an) yang menjadi petunjuk bagi manusia. Firman Allah SWT :
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah Al-Baqarah 2 : 185)
Inilah intipati dan agenda utama di dalam Bulan Ramadhan. Kita harus mendekati, berdampingan dan hampir dengan Al-Quran. Sepanjang masa dengan Al-Quran.
Marilah kita semua bersama-sama menghidupkan Ramadhan suasana Al-Quran. Bayangkan, di dalam bas, sekolah, dan masjid semua orang sibuk menatap, membaca dan memegang Al-Quran. Suasana yang sangat menyentuh hati!


Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:
“Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan menjadi kemegahan kebanggaan umatku ialah Al-Quran yang mulia”

Wallahu'alam......



...ustazpenang...

Susahnya Menolak Cinta

Susahnya Menolak Cinta

Sebenarnya, kehidupan tentang membuat pilihan cinta memang banyak ragam. Ada yang sukar mendapat jodoh kerana terlalu pemilih, ada juga yang sangat mudah mendapat jodoh namun akhirnya ditolak dengan alasan-alasan tertentu.
Memang susah untuk menolak seseorang apatah lagi jika dia pernah dekat dengan kamu. Tidak mahu menyakiti, takut kehilangan sahabat dan takut-takut yang lain lagi.


Jangan terlalu memberi perhatian kepada yang berlainan jantina

Bila kita memberi perhatiaan yang lebih terhadap rakan yang berlawanan jantina, orang mana yang tidak akan salah sangka. Mungkin dia menyangka kamu sukakan dia dan terus mengajak  kamu untuk bertunang.  Padahal perhatian diberikan kita adalah sama sahaja dengan semua rakan – rakan yang lain.

Inilah pentingnya untuk kita membataskan diri bergaul dengan lawan jenis. Bukan hanya untuk keperluan kita sendiri, tetapi juga orang – orang yang rasa mendapat perhatian dari kamu. Jika orang tersebut mengetahui kamu sebenarnya tiada perasaan terhadapnya, dia akan rasa dipermainkan. Dan kita sudah tidak akan dipercayai lagi.

Berhenti memberi perhatian kepada perkara yang tidak penting buat rakan yang berlainan jantina. Bergaulah sewajarnya, hanya yang sewajarnya. Jangan sehingga kita menyakiti sesiapapun,  sehingga merosakkan sebuah ukhuwah.  

Cuba fikir dan bayangkan, jika kita atau saudara kita terkena perkara yang sama, iaitu merasa dipermainkan setelah diberi perhatian sekian lama, pasti kita akan merasa marah bukan?

Jangan tertipu Oleh Perhatian
Akibat dari sebuah perhatian, biasanya bermula pada hati kecil yang mula merasakan jatuh cinta. Maka, kita  janganlah   mengambil kesimpulan bahawa si dia jatuh hati sdengan kita. Hindarilah perasaan-perasaan ini jika berdekatan dengan si dia, jangan disalah sangka setiap perhatian dari si dia. Ini sememangnya tidak mudah kerana fitrahnya manusia sangat suka diberi perhatian
Penyakit  tipuan hati ini memang lebih banyak dirasakan oleh wanita, kerana secara fitrahnya wanita suka dipuji, di berikan perhatian yang lebih. Sebab itu juga wanita yang paling banyak mengalami patah hati.
Oleh itu, batasilah berhubungan dengan lawan jenis yang boleh membuat semuanya kacau. 

Menolak Cinta
perkara sukar tetapi sebenarnya mudah, kesulitannya hanya kerana kita enggan menyakiti seseorang. kalau dia mengajak kita untuk berkapel, maka tolak sahaja. Jangan takut menyakiti hatinya, kerana dia hanya mengajak kita kearah kemaksiatan. Yang mana kita pilih, samada menyakiti dia ataupun menyakiti Allah?

Jika dia ingin ta’aruf, suruhlah dia datang terus ke rumah ibu bapa kita. Janganlah sampai kita tertipu ta’aruf kosong, iaitu menghalalkan kapel dalam bungkusan ta’aruf. Jika kita tidak sukakan dia, jangan terus menolak, apatah lagi jika dia mengajak kamu berkahwin. Lakukan Istikharah dahulu, serahkan semuanya pada Allah. Kerana siapa yang tahu jika ternyata dia yang terbaik untukmu.
Ingat, apabila kita ingin menolak, rendahkan suara kita. Jangan menggunakan nada yang tinggi. Agar ukhuwah tidak rosak.
 Wallahu'alam...........




...ustazpenang...

Andai Ini Adalah Solat Terakhirku

Andai Ini Adalah Solat Terakhirku

Ya Allah,
Andai aku tahu ini adalah solat terakhir ku,
Maka aku akan menyempurnakan wudhu dan niat solat ku
Akan ku baca ayat Mu dengan penuh penghayatan dan pemahaman
Akan ku penuhi sujud ku dengan doa kepada mu
Akan ku basahi sajadah ku dengan air mata pengingatan terhadap Mu
Akan ku biarkan derai ku mengiringi permohonan ampun ku kepada Mu

Ya Allah,
Jika aku tahu ini adalah solat terakhir ku
Aku tidak akan pernah menundanya walau hanya sedetik
Aku tidak akan menyegerakan rakaat agar solat ku cepat selesai
Aku tidak akan pernah terfikir pada urusan dunia yang sering  difikiran
Sungguh,
Aku tidak akan pernah menyiakan kesempatan terakhir ku untuk menganggungkan asma Mu

Tetapi Ya Allah,
Apakah aku tahu,
Yang manakah yang akan menjadi solat terakhirku?
Tetapi mengapa aku mensia-sia waktu seolah-olah aku akan tetap hidup selamanya

Yang manakah yang akan menjadi solat terakhirku?
Ketika semua yang ku lakukan hanya untuk menggugurkan kewajipanku
Terburu-buru ku habiskan dialogku dengan Mu
Hanya agar aku dapat segera kembali pada urusan dunia
Hanya untuk mengagungkan kefanaan

Aku tidak pernah merasa perlu memohon ampunan Mu
Aku belum merasa perlu bersyukur atas nafas dari Mu

Yang manakah yang akan menjadi solat terakhirku?
Ampuni aku Ya Allah…
Astaghfirullah..


Wallahu'alam..........



...ustazpenang...