Saturday, 14 January 2012

Disaat Usia Bertambah..

Disaat Usia Bertambah..

cinta

Pada usia kamu yang bertambah,
Disaat sahabat lain diraikan oleh seorang lelaki ajnabi,
Kamu masih bersendiri meraikan hari jadi…

Disaat sahabat lain ditemani kekasih hati,
Kamu hanya ditemani rakan rakan..

Disaat teman sebilik mendapat kejutan dari teman lelaki,
Kamu menjalani hari jadi tanpa sebarang surprise dan kejutan.
Tanpa mawar merah, tanpa kata – kata “i love you” , tanpa coklat, tanpa patung beruang.

Pada usia kamu yang bertambah,
Saat teman – teman risau mencari.
Kamu tetap tenang menanti.

Saat teman – teman bimbang mengharungi perhubungan,
Kamu masih sabar mengharungi kehidupan bersendiri.
Pada usia kamu yang bertambah.

Kamu semakin kuat dalam pengharapan.
Kamu semakin teguh dalam penantian.

Berkongsi keluh kesah mu bukan pada lelaki tapi pada Ilahi…
Bercerita tentang pengharapan bukan pada kekasih tapi pada Rabbi…
Pada usia kamu yang bertambah.
Kamu semakin yakin.
Bahawa penantian adalah ujian, dan perjalanan adalah pengalaman.

Bersungguh dan semakin teguh dalam istikarah cintamu.
Menanti DIA mngutuskan seseorang.
Mengharap DIA menunjukkan jalan.
Selamat hari lahir..

Wallahu'alam.........
...ustazpenang...

Tanda lelaki benar-benar jatuh cinta..

Tanda lelaki benar-benar jatuh cinta..

risaugc0.gif sedihee8.gif
” female n male.. zaman skang boy lagi manja dari gurl. eyakah??“
Bila lelaki benar-benar jatuh cinta dan setia pada kekasihnya dengan ikhlas, perubahan sikapnya amat mengejutkan. Hati lelaki yang dianggap keras selama ini, tiba-tiba secara semulajadi menjadi selembut kapas apabila sudah jatuh cinta dengan relanya. Bahkan lelaki yang mabuk cinta sanggup berkorban dan buat apa sahaja untuk kekasihnya.Sekeras manapun hati lelaki ia akan mengalirkan air mata apabila hatinya dilukai. untuk melihat lelaki menangis amatlah payah.
Diantara tanda-tanda lelaki yang jatuh cinta dengan hebat ialah:

1. Dia bersungguh-sungguh melakukan sesuatu untuk kekasihnya dengan rela bukan kerana terpaksa.

2. Dia sentiasa ingin menghiburkan kekasihnya dan berubah menjadi orang yang kuat bercakap.

3. Dia banyak menasihati kekasihnya kerana dia amat menyayangi kekasihnya.

4. Dia berusaha mengongkong kebebasan kekasihnya kerana perasaan cemburunya yang meluap-luap.

5. Dia sentiasa takut kehilangan kekasihnya.

6. Dia sentiasa mengawasi pergerakan kekasihnya kerana dia sentiasa berasa curiga.

7. Dia tidak suka ada lelaki lain rapat dengan kekasihnya.

8. Dia mudah merasa cemburu dan sensitif apabila kekasihnya tidak menumpukan sepenuh perhatian kepadanya.

9. Adakalanya dia seperti seorang anak kecil yang meminta perhatian kerana dia mahu kekasihnya melayannya lebih dari orang lain.

10. Dia menjadi orang yang paling rajin dan sanggup membantu kekasihnya melakukan apa saja.

11. Dia pandai merajuk hati kerana ingin dipujuk oleh kekasihnya.

12. Dia akan mengelabah apabila kekasihnya berjauhan daripadanya terlalu lama.

13. Dia sentiasa mempastikan keselamatan kekasihnya.

14. Dia mementingkan kekasihnya daripada dirinya sendiri.

15. Dia kerap bertanya adakah kekasihnya mencintainya kerana dia merasa kasihnya lebih kuat daripada kekasihnya.

16. Dia tidak akan melayan perempuan lain yang tidak ada urusan penting dengannya.

17. Dia cuba meluangkan lebih banyak masa dengan kekasihnya walaupun terpaksa menunggu kekasihnya dengan sabar.

18. Dia membanggakan kekasihnya di depan orang lain.

19. Kalau ditinggalkan oleh kekasihnya, ia akan berasa serik dan tidak percaya dengan cinta perempuan lain namun dia sentiasa mengharap kekasihnya kembali kepadanya.

20. Apabila timbul orang ketiga, dia akan hilang akal dan sanggup berbuat apa saja untuk merebut kembali kekasihnya.

21. Dia menganggap kekasihnya sebagai orang yang paling dipercayainya dan sanggup menyerahkan harta walaupun nyawanya sendiri.

22. Dia tidak akan berlaku curang kepada kekasihnya namun jikalau dia berbuat demikian itu bererti hatinya belum 100 peratus mencintai kekasihnya.

23. Bukan semua lelaki sanggup menitiskan airmata hanya untuk seorang perempuan.

HARGAILAH MEREKA
Kepada semua wanita yang bertuah menerima cinta sebegini dari seorang lelaki… Hargailah mereka seadaanya… kerna jika seorang lelaki itu menangis ditinggalkan teman wanitanya, lihatlah, bertapa bodohnya wanita itu…

Wallahu'alam.........


...ustazpenang...

Friday, 13 January 2012

Jodohmu Ada Di Tahajjudmu

Jodohmu Ada Di Tahajjudmu



Saya berani katakan, jodoh kamu semua adalah bergantung pada tahajjud kamu. Mengapa pula begitu???
Jodoh yang biasa-biasa adalah dari kalangan orang yang biasa-biasa dengan pertemuan yang biasa-biasa dengan cara berpacaran yang biasa-biasa muda-mudi lakukan.
Manakala,
Jodoh yang luar biasa dari golongan orang yang soleh, solehah yang luar biasa amalan mereka di sisi Allah. Bertemu dalam redha, berpisah jua redha. Luar biasa.
Jom pergi kepada dalil:
1.  Nikmat dan rahmat tersembunyi TERAHSIA di sebalik tahajjud. 
Firman Allah dalam Surah al-Sajdah (32):16-17:


2. Tahajjud bukan sahaja untuk minta jodoh yang baik, malah menjadi pembeza antara kamu dan manusia lain di akhirat:
Imam al-Mubarakfuri berkata: 
"Suatu malam aku bangun dan merenungi al-Quran, lalu aku bandingkan amalanku dengan amalan ahli syurga. Ternyata, aku dapati bahawa amalan mereka begitu berat (mantap). Hampir tidak ada malam yang berlalu tanpa mereka gunakan untuk beribadah. Setiap malam mereka bersujud dan berdiri di hadapan Rabb mereka. Ku lihat diriku bukanlah termasuk di antara mereka."
3. Doa terkabul di sepertiga malam, insyaAllah! Doalah minta jodoh yang baik.

Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Maha Tinggi turun ke langit dunia setiap malam, pada sepertiga malam terakhir dan berfirman, 'Barangsiapa yang berdoa kepadaKu pasti Aku kabulkan, barangsiapa meminta kepadaKu pasti Aku beri, dan barangsiapa yang memohon ampunanKu pasti Aku ampuni'." 
(HR Bukhari)
****
Jadi, tenang sahajalah menanti jodoh yang baik itu akan datang sendiri hasil dari usaha tahajjud yang berterusan dan istiqamah. Ikhlas kerana Allah Ta'ala. Jangan buat kerana jodoh semata-mata ya. Usaha sebenar adalah usaha kita minta dengan DIA, bukan dengan merayu kasih pada si dia-si dia hanya kerana hati gelisah mahu hidup berteman. Hati gelisah takut si dia yang kacak terlepas, takut si dia yang cantik jatuh ke tangan orang. Minta dengan Allah, Allah bagi segala. Cepat atau lambat bukan kita penentu. Jodoh adalah sunnatullah. Sunnatullah tidak boleh digesa, tidak boleh dilengahkan bila sampai masanya. 
Sabarlah. Tenanglah. Tahajjudlah.
 
Wallahu'alam........
 
 
...ustazpenang...

Thursday, 12 January 2012

Jangan Izinkan Aku Jatuh Cinta Andai Masanya Belum Tiba

Jangan Izinkan Aku Jatuh Cinta Andai Masanya Belum Tiba 



Ya Allah,
Andai masanya belum tiba,
Jangan izinkan aku untuk jatuh cinta,
Aku memohon agar Kau tunjukkan jalan,
Agar Kau tunjukkan aku tuntutun yang perlu aku lakukan,
Jauhkanlah aku daripada kemaksiatan,
Jauhkanlah aku daripada perkara yang tidak dapat memberi manfaat,
Dan jauhkan aku daripada perkara yang Engkau murkai,
Agar aku dapat menjaga diri.

Ya Allah,
Jika aku jatuh cinta,
Izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut pada-Mu,
Jadikanlah aku yang mencintainya kerana agama yang ada padanya,
Jika dia hilangkan agama yang ada dalam dirinya,
Maka hilanglah cintaku padanya,
Sesungguhnya, cinta yang suci itu tidak buta.

Ya Allah,
Dan jika dia mencintai aku,
Biarkanlah dia mencintai aku kerana agama itu juga,
Asalkan dia tidak lebihkan cinta kepadaku melebihi cinta kepadaMu,
Supaya cinta itu bersemi di lembayung keredhaan-Mu,
Kerna dari situ lahirlah rahmah dan mawaddah dalam rumahtangga.

Ya Allah,
Jika ini bukan masanya,
Jika ini belum saatnya,
Dan jika Kau tahu kami belum bersedia,
Selamatkan kami,
Jarakkan kami,
Pisahkan kami,
Agar kami jauh dari khilaf yang merosak izzah dan iffah,
Agar kami tak mengundang murka-MU,
Agar kami dapat lebih menjaga hati,
Agar hati menjadi yang diredhai ilahi.

Ya Allah,
Andai dia bukan untuk ku,
Andai dia bukan jodohku,
Maka berilah ganti yang lebih baik buatnya,
Berikanlah dia insan yang benar benar terbaik buat kehidupannya,
Insan yang benar-benar mampu memimpinnya ke syurga-Mu,
Dan bantulah aku untuk memperbaiki diriku,
Agar aku kukuh dalam mencari cinta-Mu.

Wallahu'alam.........


...ustazpenang...

Tuesday, 10 January 2012

Bagaimana Memilih Pasangan Tanpa Couple???

Bagaimana Memilih Pasangan Tanpa Couple???

Masalah memilih bakal pasangan hidup, perlu diberi perhatian di awal perkenalan dengan pasangan masing-masing. Islam sangat bersifat selektif. Sebab itu disyarakkan diadakan fitrah pertunangan supaya terdapat jangkamasa yang cukup untuk mengenali pasangan. Mengenali pasangan bukanlah pada dasarnya keluar berjalan-jalan dating dan berborak tanpa batasan. Konsep lima `K’ diperkenalkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu “Kenal”, “Kelas”, “Kufu”, “Kasih” dan akhir sekali “Kahwin”.


KENAL 
Kita di suruh kenal/takruf pasangan terlebih dahulu bukanlah dalam istilah luaran @ fizikal semata mata. Erti kenal termasuk hati budi dan pegangan hidupnya. Untuk kenal orangnya, hati budinya, carilah orang yang boleh dipercayai agamanya merisik corak hidupnya dan juga keperibadiannya.

Terdapat kisah seorang sahabat Nabi, Umar r.a. di mana beliau bertanya kepada seorang lelaki apabila melantik seorang saksi.
“Apakah kamu kenal lelaki ini?” tanya Umar.
“Ya, saya kenal,” jawab lelaki tersebut. Umar bertanya lagi…
“Pernahkah kamu berjalan dengan saksi ini dalam musafir?” Lelaki itu menjawab tidak pernah. Umar bertanya lagi,
“Pernahkah kamu bermuamalah supaya kamu tahu setakat mana waraknya dia? Pernahkah kamu menjadi jirannya supaya kamu tahu kemana perginya dan setakat mana pergaulan, siapa keluarga dan kawan-kawannya?”
Itulah yang di namakan takruf sebenarnya dalam Islam supaya kita dapat tahu apakah pasangan itu sesuai dengan kita atau sebaliknya.. Risik merisik latarbelakang pasangan perlu dibuat untuk mengetahui sejauh manakah pergaulan dan kewarakannya.. Pada dasarnya, kita boleh kenal melalui corak kelakuan sahabat-sahabatnya yang akrab. Adalah berdosa besar jika antara kedua dua belah pihak BERBOHONG. Apabila sudah saling mengenali, TOLAK ANSUR dapat dibuat dalam apa juga perkara.

KELAS
Kita kenal tetapi kita kena bersifat pemilih supaya terjamin akhlak dan agamanya. Kelas yang dimaksudkan bukan hanya merujuk kepada golongan yang berkelulusan agama, berjanggut dan berserban sahaja. Kelas yang baik adalah golongan yang mengamalkan ajaran agama kerana golongan ini akan menghormati pertalian perkahwinan. Mereka yang ada kefahaman dan penghayatan Islam akan memegang perkara asas dalam Islam, sentiasa ‘alert’, sanggup MENERIMA TEGURAN dan MEMBERI TEGURAN dan saling bersifat ‘MEMBINA’ untuk menjaga akhlak dalam Islam.

KUFU
Kufu amat diberatkan, dari segi pendirian, pemahaman agama dan keturunan juga perlu diseimbangkan. Jika terdapat keturunan golongan atasan, wajar dia mencari keturunan yang sama supaya tidak wujud jurang yang dalam.

Begitu juga dari segi harta, ulama yang bernama Mawardi menjelaskan ia perlu di titikberatkan kerana seseorang yang datang dari keluarga miskin, sukar untuk seiring dengan keturunan kaya. Bahkan ulama yang ke belakang ini juga mementingkan tahap umur.

Memang betul, soal jarak umur diantara Rasulullah 25 dan Siti Khadijah 40 tidak wujud kerana Rasulullah , Siti Khadijah dan Aisyah mempunyai akhlak yang sempurna. Dan tidak seperti kita yg serba cetek. Malah rupa dan fizikal wanita yang cepat rosak boleh diselaraskan kesesuaian dengan suaminya bila sudah lama berumahtangga.

KASIH
Kasih bukan bermakna berkasih atau bercinta tetapi yang sebenarnya yang ditekankan ialah di antara kedua dua belah pihak lelaki dan wanita itu perlu wujud unsur-unsur kasih sebelum berkahwin. Merujuk kepada sebuah hadis……
“Tidak ada yang lebih baik bagi kedua pasangan yang berkasih ini melainkan mengakhirinya dengan perkahwinan.”
Andaikata lelaki itu berkenan kepada seorang wanita, perlulah lihat wanita itu tersebut tetapi mengikut syariat Islam. Rasulullah bersabda:
“Pergi lihat dahulu wanita itu, kalau kalau dengan melihat itu boleh menjamin kasih sayang di antara kamu.”
Kalau kawan tolong canang kata begitu dan begini amat susah juga. Sememangnya terdapat “Orang -orang yang benar benar redha dengan pasangan yang ditentukan oleh Allah tetapi pokok pangkalnya banyak terletak pada HATI kaum lelaki”.
Kalau tak berkenan, jangan dipaksa paksa hati sebab ia bukan satu permainan pondok-pondok. Kasih yang dipupuk biarlah kerana Allah kerana ia menjamin kebahagian rumahtangga.
Hadis Nabi ada menyatakan:
“Barangsiapa yang berkahwin dengan wanita kerana KEDUDUKAN ia hanya mendapat kehancuran sebagai balasan, Barangsiapa yang berkawin dengan wanita kerana KEKAYAAN, Allah menjanjikan kemiskinan. Barangsiapa yang menikahi kerana KETURUNAN , Allah akan menghina keturunanya dan Barangsiapa yang berkawin dengan NIAT BAIK dan kerana ALLAH demi menutup pandangan dan kemaluannya atau menyambung silahturrahim, Allah akan memberkati kedua-duanya.”
Keberkatan memang dititik beratkan. Apabila nawaitu/niat kita dipasakkan dengan betul. Insyallah perkahwinan akan diberkati dan di lindungi. Setiap gerak geri dan tindak tanduk mendapat pengawasan dan hidayah daripada Allah dan tidak timbul perselisihan faham.

REDHA
Redha terhadap pasangan masing-masing adalah penting. Rasulullah sering bertanya:
“Apakah kamu redha dengan pasangan ini? Kita berkahwin dengan manusia yang mempunyai unsur-unsur kebaikan dan keburukan. Tidak ada manusia yang sempurna dan apabila kita REDHA dangan pasangan bermakna kita redha dengan KEKURANGAN mereka”
“Apa yang di katakan baik bukan sekadar mengikut telunjuk isteri @ suami. Baik yang dimaksudkan sanggup mengaku kekurangan diri dan mencari jalan mengatasinya”
Istilah kufu banyak ditekankan dalam Surah AnNur: Ayat 26:
“Seorang lelaki yang tidak baik itu sesuai dengan wanita yang tidak baik dan seorang lelaki yang baik itu adalah untuk wanita yang baik.”
Istilah kufu sangat ditekankan kerana jika isteri dianggap kelas kedua, segala teguran daripada pasangan tidak boleh diterima. Jika isteri mempunyai jawatan dan pangkat besar serta tidak ada kufu, dia tidak dapat menerima kepimpinan daripada suami. Tetapi kalau ada persamaan pendirian, sikap tolak ansur dapat diwujudkan. Sebaliknya perbezaan pendapat boleh menyebabkan hubungan semakin renggang.

Misalnya seorang suami yang rapuh pegangan agama tidak mahu memantapkannya selepas berkahwin. Sikap kurang mahu ini akan menjadi tolak bengit sekiranya pula si isteri sememangnya seorang yang suka menghayati Islam dan cuba memantapkannya dari masa ke semasa. Begitu juga sebaliknya, masalah akan berlaku.

Kata sebahagian lelaki, dah dapat perempuan yang berkenan di hati nanti “AKU UBAHLAH PERANGAINYA”. Tetapi anda perlu ingat, bukan semua perempuan mempunyai hati yang lembut dan mudah di bentuk.

Keimanan dan kekuatan sikap merealisasikan Islam perlu ada pada lelaki. Perempuan yang beriman mesti mencari lelaki yang lebih kuat imannya daripadanya kerana lelakilah yang menjadi ketua keluarga….

Sebuah Kisah Yang Perlu Diambil Iktibar
Seorang sahabat, Marsat Bin Abu Marsar Al Ghanawi, seorang pemuda turut berhijrah dari Mekah ke Madinah bersama Rasulullah saw. Suatu hari Baginda Rasulullah menghantar beliau balik ke Mekah untuk membuat rundingan dengan orang Quraisy, tentang pembebasan beberapa orang Islam yang di tawan.

Sewaktu balik, Marsat bertemu kekasih lamanya, Inaq, seorang wanita yang sangat cantik dan menjadi rebutan. Inaq berjumpa Marsat dan duduk berdua-duaan kerana kedua-duanya sudah lama tidak bertemu. Marsat menolak dengan alasan dia kini berugama Islam sedangkan Inaq masih kafir dan ia membataskan hubungan.

Marsat menyuruh Inaq bersabar dan akan bertanya perihal itu kepada Rasulullah jika diizinkan oleh baginda untuk berbuat demikian. Mendengar kata kata Marsat ini, Inaq terlalu marah sedangkan selama ini dia menjadi rebutan ramai lelaki. Akibat terlampau sakit hati, Inaq telah mengupah kaki pukul Quraisy menyekat Marsat dan membelasahnya dengan teruk. Tetapi kerana cintanya yang mendalam kepada Inaq, beliau bertanya kepada Rasulullah samada beliau boleh berkahwin dengan Inaq.
Maka turunlah Surah Al Baqarah:
“Janganlah kamu berkahwin dengan orang musyrik, kerana sesungguhnya berkahwin dengan hamba mukmin itu lebih baik daripada seorang musyrik walaupun cantik.”
 

Wallahu'alam..........


...ustazpenang...

Sunday, 8 January 2012

Mengapa Selalu Fikir Tentang Cinta dan Hati???

Mengapa Selalu Fikir Tentang Cinta dan Hati???

Hati dan perasaan cinta merupakan satu fitrah insaniah tidak kira sesiapapun. Manusia perlukan cinta dan memerlukan kasih sayang. Perasaan untuk mencintai kepada lawan jantina memang tidak dinafikan, ia merupakan sesuatu yang perlu bagi setiap manusia.

Tapi, mengapa kita terlalu sibuk memikirkannya?
Adakala setiap masa dan waktu kita fikirkannya,
Sampai satu tahap, jika sentiasa memikirkan hal ini, kita pasti akan terjebak dalam "couple". Bukankah couple itu sebuah jalan yang penuh dengan liku-liku yang salah?
Jika anda masih belum mampu, jangan sekali bermain dengan perasaan. Ia tidak akan membawa kemana-mana. Perjalanan masih terbentang jauh.
Jodoh?
Bukankah Jodoh itu telah ditetapkan oleh-Nya?
Anda punyai misi untuk islam. Mengapa mudah goyah kepada perasaan dan cinta. Ramai yang mengatakan "aku mahu berkahwin, bernikah" tetapi dimanakah persediaan kita? untuk menjadi isteri kepada seorang suami atau suami kepada seorang isteri?
Ia bukanlah sebuah perkara yang mudah. Adakah ia hanya sebuah keseronokan? Untuk merealisasikan mimpi indah? Tidak. Ia satu tanggungjawab yang akan ditanya oleh Allah SWT suatu ketika nanti. Adakah kita telah melaksanakan tugas sebagai khalifah dengan sebaik-baiknya
Mari Menjadi Hamba kepada pencipta
Menjadi sebaik-baik hamba memerlukan pengorbanan bukan hanya pada kata-kata. Jika kita imbas kembali bagaimana sahabat-sahabat rasulullah yang sentiasa memperbaharui dan meningkatkan Iman mereka. Keyakinan mereka adalah di tahap yang tinggi. Mereka melihat syurga di hadapan mereka. Amal yang mereka lakukan adalah semaksimum yang mungkin.
Bukan seperti kita? Mengimpikan syurga tetapi kita hanya bermimpi tanpa mempertingkatkan amal. Sedarlah! Hidup ini satu perjuangan. Jadi, berusahalah Untuk Menyihatkan IMAN!

Jangan terlalu fikirkan cinta
Cinta dan perasaan satu keperluan. Tetapi kita mesti pandai menguruskannya. Bercintalah tetapi melalui jalan-jalan yang Islam telah tunjukkan. Buat persediaan, dan lakukan ta'aruf  dan seterusnya. Islam itu dipenuhi cinta dan kasih sayang, tapi banyak cinta dan kasih sayang yang menyimpang dari islam kerana kita tidak menghayati Islam sepenuhnya.
Jom sama-sama kita mencari cinta dan RedhaNya.
Lihatlah cinta yang sebenar ini!
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya ALLAH TA'ALA berfirman pada Hari Kiamat kelak; mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-KU? Hari ini KU-naungi mereka, di mana tidak ada naungan yang lain selain naungan-KU."

Wallahu'alam..........
...ustazpenang...

Friday, 6 January 2012

Di Mana Harga Seorang Wanita

Di Mana Harga Seorang Wanita


Hingga kini dunia islam bagai hilang punca, tertanya-tanya apakah jalan keluar sebenarnya bagi krisis kemanusiaan seperti pembunuhan, rompakan dan rogol? Mengapa masalah itu timbul? Jawabnya tidak lain adalah kerana insannya tidak dibangunkan. Selama ini yang dititik beratkan hanya pembangunan fizikal dan material.

Akhirnya materialnya maju tetapi manusia hidup kalau tidak seperti haiwan, tak ubahnya seperti syaitan!


Ittaqullah! Takutlah kamu kepada Allah! Di antara tanda-tanda Hari Kiamat semakin hampir adalah kebanyakan wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang! Seperti yang diriwayatkan dari Abu Hurairah RA : “Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang”.

Terjadinya huru-hara dan peperangan yang semakin parah di dunia hari ini adalah bersumber dari jiwa manusia yang tidak didorong, dipandu dan disuburkan untuk cinta dan takut pada Allah. Hati dan jiwa yang jahat telah mencetuskan kekacauan yang berterusan. Walau ilmu tinggi melangit, pengalaman berpuluh tahun, namun selama hati jahat, selama itulah manusia tidak akan dapat mendamaikan dunia ini.


Mengapa manusia seolah-olah kembali kepada peradaban penghambaan? Menjadi hamba kepada nafsu dan syaitan? Dalam sabda Nabi SAW:
“Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu, yang berada diantara dua lambung engkau”. (Riwayat Al Baihaqi)
SYAITAN YANG KREATIF DAN KRITIS
Syaitan memiliki pelbagai cara strategi dalam menggoda manusia, dan yang sering dieksploitasi sebaik-baiknya oleh mereka adalah dengan memanfaatkan hawa nafsu yang memang memiliki kecenderungan mengajak kepada keburukan. Syaitan tahu kecenderungan nafsu kita, dia terus berusaha agar manusia keluar dari garis yang telah ditentukan Allah, termasuk melepaskan hijab atau pakaian muslimah.

Mengapa muslimah (wanita islam) menjadi sasaran utama syaitan?
Mungkin kita sering dengar di majlis-majlis agama, di surau-surau, di masjid, di dewan, para ustaz, mubaligh, guru dan pensyarah kerap menyatakan ungkapan ini, bahawa “kaum Lelaki mempunyai hanya 1 Nafsu tetapi mempunyai 7 Akal. Manakala kaum kanita memiliki 7 Nafsu dan hanya 1 Akal”. Mungkin ada riwayat yang menyatakan hal ini tetapi pasti ianya hanya bersifat mendidik manusia.
Jadi, kita bertanya bagaimana dan apakah strategi syaitan menggoda muslimah?

Berikut adalah cara bertahap :
I. Menghilangkan Definisi Hijab
Dalam tahap ini syaitan membisikkan kepada para wanita, bahawa pakaian apapun termasuk hijab (penutup) itu tidak ada kaitannya dengan agama, ia hanya sekadar pakaian, gaya hiasan atau fesyen ikutan bagi para wanita. Jadi tidak ada pakaian syar’i, dengan apa pun bentuk dan namanya tetap pakaian. Sehingga akibatnya, ketika zaman telah berubah, atau kebudayaan manusia telah berganti, maka tidak ada masalah pakaian mengikut peredaran zaman.

Berbeza pula jika seorang wanita berkeyakinan, bahawa hijab adalah pakaian syar’i (identiti keIslaman), dan memakainya adalah ibadah bukan sekadar gaya ( fesyen). Biarpun hidup bila dan di mana saja, maka hijab syar’i tetap dipertahankan.

Apabila seorang wanita masih bertahan dengan prinsip hijabnya, syaitan tetap tidak putus asa. Syaitan akan beralih dengan strategi yang lebih halus.


Caranya?
Pertama, Membuka Bahagian Tangan
Telapak tangan mungkin sudah kebiasaannya terbuka, maka syaitan membisikkan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan model yakni membuka bahagian hasta (siku hingga telapak tangan). “Ah tidak apa-apa, kan masih pakai jilbab dan pakai baju panjang? Begitu bisikan syaitan. Dan benar si wanita akhirnya memakai pakaian model baru yang menampakkan tangannya, dan ternyata para lelaki melihatnya juga seperti biasa saja. Maka syaitan berbisik,” Tu.. tidak apa-apa kan?

Kedua, Membuka Leher dan Dada
Setelah menampakkan tangan menjadi kebiasaan, maka datanglah syaitan untuk membisikkan perkara baru lagi. “Kini buka tangan sudah menjadi lumrah, maka perlu ada peningkatan model pakaian yang lebih maju lagi, yakni terbuka bahagian atas dada kamu.” Tapi jangan sebut sebagai pakaian terbuka, hanya sekadar sedikit untuk mendapatkan hawa, agar tidak panas. Cubalah! Orang pasti tidak akan peduli, sebab hanya sebahagian kecil sahaja yang terbuka.

Maka dipakailah pakaian fesyen terbaru yang terbuka bahagian leher dan dadanya dari yang fesyen setengah lingkaran hingga yang fesyen bentuk huruf “V” yang tentu menjadikan lebih terlihat lagi bahagian sensitif lagi dari dadanya. Lelaki pula tidak kisah boleh melihat dan mengagak bentuk dan saiz dada muslimah mengikut kesukaannya.

Ketiga, Berpakaian Tapi Telanjang
Syaitan berbisik lagi, “Pakaian mu hanya gitu-gitu saja, “cool”, jom cari fesyen atau bahan lain yang lebih bagus! Tapi apa ye?” Si wanita berfikir. “Banyak fesyen dan kain yang agak tipis, lalu bentuknya dibuat yang agak ketat biar lebih sedap/cantik dipandang. Bentuk badan kamu ramping dan kurus, kamu mesti serlahkan kecantikan agar lelaki tertawan denganmu,” syaitan memberi idea baru.

Maka tergodalah si wanita, dicarilah fesyen pakaian yang ketat dan kain yang tipis bahkan transparent. “Mungkin tak ada masalah, kan potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan fesyennya saja yang agak berbeza, biar nampak lebih feminin,” begitu dia menokok-nambah. Maka, pakaian tersebut akhirnya menjadi budaya ikutan di kalangan wanita muslimah, semakin hari semakin bertambah ketat dan transparent, maka jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi sebagai wanita kasiyat ‘ariyat (berpakaian tetapi telanjang).

Keempat, Agak di Buka Sedikit
Setelah para muslimah mengenakan pakaian yang ketat, maka syaitan datang lagi. Dan sebagaimana biasanya dia menawarkan idea baru seperti “cool” dan “vogue”, dibisiki wanita itu, “Pakaian seperti ini membuat susah berjalan atau duduk, soalnya sempit, bukankah sebaiknya dibelah hingga lutut atau mendekati paha?” Dengan itu kamu akan lebih selesa, lebih kelihatan lincah dan energetik.” Lalu dicubalah idea baru itu, dan memang benar dengan dibelah mulai dari bahagian bawah hingga lutut atau mendekati paha ternyata lebih selesa, terutamanya ketika duduk atau naik kenderaan. “Yah…. tersingkap sedikit tak apa-apa lah, yang penting selesa dan simple,” katanya.

Inilah tahap-tahap awal syaitan merosak kaum wanita, sehingga ke tahap ini pakaian masih tetap kekal dan panjang, hanya fesyen, corak, potongan dan bahan saja yang dibuat berbeza dengan hijab syar’i yang sebenarnya. Maka kini syaitan memulakan tahap berikutnya.

II. Terbuka Sedikit Demi Sedikit
Kini syaitan melangkah lagi, dengan tipu daya lain yang lebih “power” dan berani, tujuannya agar para wanita menampakkan bahagian aurat tubuhnya dan kelihatan seksi.

Pertama, Membuka Telapak Kaki dan Tumit
Syaitan Berbisik kepada wanita, “Baju panjang benar-benar tidak selesa, kalau hanya dengan membelah sedikit bahagiannya masih kurang selesa, lebih elok kalau dipotong sahaja hingga atas mata kaki.”
Ini baru agak longgar. “Oh…… ada yang yang terlupa, kalau kamu pakai baju sedemikian, maka jilbab yang besar tidak sepadan lagi, sekarang kamu cari jilbab yang kecil agar lebih serasi dan sepadan, ala……. orang tetap menamakannya dengan jilbab.”

Maka para wanita yang terpengaruh dengan bisikan ini terburu-buru mencari fesyen pakaian yang dimaksudkan. Tak ketinggalan kasut tumit tinggi, yang kalau untuk berjalan, dapat menarik perhatian orang.

Kedua, Membuka Seperempat Hingga Separuh Betis
Terbuka telapak kaki telah biasa ia lakukan, dan ternyata orang yang melihat juga tidak begitu ambil peduli. Maka syaitan kembali berbisik, “Terbukti manusia menyukai apa yang kamu lakukan, mereka tidak ada reaksi apa-apa, kecuali hanya beberapa orang. Kalau langkah kakimu masih kurang selesa, maka cubalah kamu cari fesyen lain yang lebih menarik, bukankah kini banyak skirt separuh betis dijual di pasaran? Bukankah itu lebih seksi dan menggoda siapa sahaja lelaki yang melihat?

Benar-benar bisikan syaitan dan hawa nafsu telah menjadi penasihat peribadinya, sehingga apa yang saja yang dibisikkan syaitan dalam jiwanya dia turutkan. Maka terbiasalah dia memakai pakaian yang terlihat separuh betisnya kemana saja dia pergi.

Ketiga, Terbuka Seluruh Betis
Kini di mata si wanita, zaman benar-benar telah berubah, syaitan telah berjaya membalikkan pandangan jernihnya. Terkadang si wanita berfikir, apakah ini tidak bertentangan dengan suruhan agama. Namun bisikan syaitan dan hawa nafsu menyahut, “Ah zaman sudah berubah! Sekarang zaman moden, mesti ikut perkembangan fesyen terkini, nanti orang gelar ketinggalan zaman pula.”
Tetapi? Apakah itu tidak menjadi fitnah bagi kaum lelaki.

Fitnah?
Ah…… itu kan zaman dulu, ketika itu kaum lelaki tidak suka kalau wanita menampakkan auratnya, sehingga wanita-wanita mereka lebih banyak di rumah dan pakaian mereka sangat tertutup. Tapi sekarang sudah berbeza, kini kaum lelaki kalau melihat bahagian tubuh wanita yang terbuka, malah senang dan mengatakan “ooooh!” atau “wow! hot girl”, bukankah ini bererti sudah tidak ada lagi fitnah, kerana sama-sama suka?
Lihat saja fesyen pakaian di sana-sini, dari yang di pasar malam hingga yang berjenama di pusat membeli belah, semuanya memperagakan fesyen yang dirancang khusus untuk wanita moden di zaman ini. Kalau kamu tidak mengikutinya, akan menjadi wanita kampung.

Demikianlah, maka pakaian yang menampakkan seluruh betis akhirnya menjadi kebiasaan, apalagi ramai yang memakainya dan sedikit sekali orang yang mempersoalkannya. Kini tibalah saatnya syaitan melancarkan tahap terakhir dari tipu dayannya untuk melucuti hijab wanita.

III. Serba Mini
Setelah pakaian yang menampakkan betis menjadi pakaian seharian dan dirasa biasa-biasa saja, maka datanglah bisikan syaitan yang lain. “Pakaian memerlukan variasi, jangan yang itu-itu saja, sekarang ini fesyen skirt mini, dan agar sepadan, rambut kepala harus terbuka, sehingga benar-benar kelihatan indah.”

Maka akhirnya skirt mini yang menampakkan bahagian bawah paha dia pakai, bajunya pun bervariasi, ada yang terbuka hingga lengan tangan, terbuka bahagian dada sekaligus bahagian punggungnya dan berbagai fesyen lain yang serba pendek dan mini. Koleksi pakaiannya sangat beraneka ragam, ada pakaian untuk berpesta, bersosial, pakaian kerja, pakaian rasmi, pakaian malam, petang, dan lain-lain, tak ketinggalan seluar pendek separuh paha pun dia miliki, fesyen dan warna rambut juga ikut bervariasi, semuanya telah dicuba.
Begitulah sesuatu yang sepertinya mustahil untuk dilakukan, ternyata kalau sudah dihiasi oleh syaitan, maka segalanya menjadi serba mungkin dan diterima oleh manusia.

Hingga suatu ketika, muncul idea untuk mandi di kolam renang terbuka atau mandi di pantai, di mana semua wanitanya sama, hanya dua bahagian paling ketara saja yang tersisa untuk ditutupi, kemaluan dan buah dada. Mereka semua mengenakan pakaian yang disebut “bikini”. Kerana semuanya begitu, maka harus ikut begitu, dan na’udzubillah bisikan syaitan berhasil, tujuannya tercapai, “Menelanjangi Kaum Wanita.”

“Selanjutnya terserah kamu wahai wanita, kalian semua sama, telanjang di hadapan lelaki dan di tempat umum. Aku berlepas diri kalau nanti kelak kalian sama-sama di neraka. Aku hanya menunjukkan jalan, engkau sendiri yang melakukan itu semua, maka tanggung sendiri semua dosamu” Syaitan tak ingin ambil risiko.

Demikian halusnya cara yang digunakan oelhsyaitan, sehingga manusia terjerumus dalam dosa tanpa terasa dan tidak perasan. Maka hendaklah kita semua, terutamanya orang tua jika melihat gejala menyimpang pada anak-anak gadis dan para wanita, bersegeralah diambil tindakan. Jangan biarkan berlarutan, kerana kalau dibiarkan dan telah menjadi kebiasaan, maka akan menjadi sukar bagi kita untuk mengatasinya.
Mencegah lebih baik daripada merawat.

Membiarkan mereka membuka aurat bererti merelakan mereka mendapatkan laknat Allah, kasihanilah mereka, selamatkan para wanita muslimah, jangan jerumuskan mereka ke dalam kebinasaan yang menyengsarakan, baik di dunia mahupun di akhirat.

Wallahu'alam.............


...ustazpenang...