Sunday, 5 February 2012

Dalam Diam

Dalam Diam 



ada..sesungguhnya ada….
ada rasa cinta kepada dia..
ada rasa rindu pada dia…
namun sahabat..aku tidak tahu siapa..

selalu ku doa untuknya….
agar dia baik2 saja…
dipelihara iman..terhindar dari kemaksiatan
dipermudahkan segala urusan…
walau di mana berada..
pinta ku pada Tuhan yg Maha Kuasa…
agar Dia melindungi dia..
kerna Dia maha tahu segala…
sedang aku tiada daya…tiada kuasa…

sering juga ku pinta…
dalam istikharah cinta..
agar dijelmakan dia…
dalam lena atau jaga…

namun ku redha..ku mengerti..
Dia lebih mengerti perihal diri ini…
belum masanya kami mengenali..
cukuplah doa ku sering mengiringi…

aku menanti untuk yg halal hadir
menjemput diri seperti yang ditakdir
kerna namanya telah tertulis sejak azali
dalam kitab suci perjalanan insani..
dlm doa kudusku setiap mlm..
aku memang mencintai dia dalam diam…

Wallahu'alam.........
...ustazpenang...

Sahabat, Kau Istimewa…

Sahabat, Kau Istimewa…


Terlalu sunyi kehidupan ini tanpa kehadiran seorang sahabat yang sejati.
Bertambah sunyi tanpa sesiapa yang menemani.  Dalam mengharungi keindahan berteman dan bergembira, tentunya ada tercalit sedikit sebanyak sembilu yang terbenam di jiwa.  Namun, biasanya sahabat akan terus memendam rasa demi persahabatan yang dicinta.  Diamnya penuh doa agar persahabatan akan berlangsung dengan lebih sempurna.  Sebarang kekurangan akan bisa diperbaiki segera.

Tatkala berteman, jagalah tutur kata.  Bergurau menambah ceria, namun terlebih gurau juga kan menukar rasa.  Kita jangan samakan sahabat kita seperti kita.  Mungkin sesuatu yang boleh kita terima dan kita anggap simple, namun baginya sesuatu yang sensitive yang boleh mengundang sedikit hampa.

Selami hati sahabat kita, sepertimana kita mahu dia memahami kita dan menjauhi perbuatan-perbuatan yang tidak kita suka.

Seorang sahabat akan menerima segala baik buruk yang ada pada diri sahabatnya.  Kerana dia tahu, sahabatnya itu tidak sempurna dan sahabatnya itu memerlukan dia untuk sama-sama memperbaiki sebarang cela.  Jika kita hanya mencari kesempurnaan untuk menobatkan seseorang sebagai sahabat, kita sedang mencari bayang-bayang hitam yang sememangnya tidak akan pernah tergenggam.
Kau punya cara dan dia jua.

Janganlah kita mempersenda atau memperlekehnya hanya kerana caranya yang sedikit berbeza atau sedikit pelik berbanding orang lain.  Hormati caranya selagimana ia tidak menyalahi apa-apa.  Biarlah dia dengan sifat diamnya, kita tidak boleh memaksanya membuka mulut menjadi seperti yang kita suka.  Atau biarlah dia dengan kegirangannya,dan kita boleh untuk tumpang ceria.

Dan, paling penting.. seorang sahabat tidak akan pernah membuka cerita tentangmu kepada teman-teman yang lain.  Dalam erti kata lain, mengumpat! Sahabat akan selalu melindungi sahabatnya dari menjadi buah mulut orang lain.  Menegur tidak salah malah itulah tanda cinta.

Tapi, bagaimana caranya? Ajak dia berbincang dengan baik, bersemuka dua muka, dan bagitahu sedalamnya apa kesalahan yang telah diperbuat.  Bukannya kita mencari kesalahannya dan membuka sesi bual bertopikkan dia.

Jika sama-sama cuba mencari jalan penyelesaian, itu tidak mengapa.  Perindahkan cara supaya tiada hati yang akan terluka.  Apa guna persahabatan yang di luaran memang rapat tidak berjauhan, tetapi di hati menyimpan sesalan dan cemuhan.
Sahabat itu istimewa, kerana perhubungan sejati kerana Ilahi tidak akan terpisah, berjauhan akan bersambung melalui untaian doa yang tidak sudah, kematian ditemani kiriman-kiriman doa sebagai hadiah, dan inshaAllah bertemu pula nanti di alam syurga yang indah.

Wallahu'alam.........


...ustazpenang...


Perkahwinan Yang Ku Damba Menyempurnakan Agamaku.

Perkahwinan Yang Ku Damba Menyempurnakan Agamaku.


Berkahwin bukan semata-mata kerana cinta tetapi untuk menyempurnakan agama.
Rasulullah SAW bersabda, “Jika seorang hamba menikah, maka telah sempurnalah setengah agamanya. Maka hendaklah dia bertakwa kepada Allah pada setengah yang lain.”
Seperti mana sebuah cinta yang mendalam boleh pudar begitulah jua cinta yang tiada kan bisa dipupuk.  Cuba kembali ke zaman dahulu di waktu nenek dan datuk kita bertemu dan bersatu.  Kebanyakan dari mereka ditentu jodoh oleh ibu bapa.  Tanpa bantahan tanpa bicara, perkahwinan di setuju asalkan calon menantu seorang yang baik dan beriman.

Statistic penceraian yang terjadi di waktu itu tidak lah menghampakan seperti sekarang.  Walau mereka bersatu bukan atas dasar cinta tetapi lama-kelamaan rasa itu bisa dirasa.  Disitu lah hikmahnya sebuah restu orang tua.

Tetapi cuba kita buka mata dan melihat dunia hari ini.  Penceraian demi penceraian sering kita kedengaran.  Hampir sahaja perkara tersebut di anggap biasa dan kini  kita sudah tidak terkejut mendengar penceraian yang berlaku di mana-mana pun.  Entah apa puncanya.  Berkahwin kerana cinta sama cinta pun masih banyak masalah melanda.  Bercinta hampir 5 tahun, berkahwin tak sampai 5 bulan.  Mengapa terjadinya kejadian-kejadian yang terlalu mengecewakan ini?

Daripada Abu Hurairah daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
“Perempuan itu dinikahi kerana empat perkara, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan kerana agamanya, lalu pilihlah perempuan yang beragama nescaya kamu bahagia.”
Perkahwinan sebenarnya sangat suci dan merupakan ikatan antara dua hati.  Disitu kan teruji sebuah kesabaran, kesetiaan, ketaatan dan keyakinan.  Berkahwinlah dengan niat untuk menyempurnakan agama.  Makanya, pasangan yang dipilih jangan kerana nilai material yang ada padanya.  Jika berkahwin semata-mata hanya kerana cinta, suatu masa nanti cinta akan pudar jika tidak di baja atau pun tatkala hati bertemu dengan insan yang lebih sempurna.

Berkahwin kerana kesempurnaan dan kecantikan, suatu masa nanti tatkala kau jumpa kelemahannya, kau akan mula berasa hampa dan tidak berguna.

Oleh itu, berkahwinlah kerana agama.  Perbetulkan niat kerana Allah yang lebih utama.  Bukan berharap pada kesempurnaan dia semata-mata, tetapi tekadlah untuk sama-sama melengkapi kekurangan diri.  Sama-sama membimbing ke jalan yang diredai.

Kehidupan ini tidak lama, kematian akan membawa kepada sebuah alam yang kekal.  Di alam sana kita mahu bersama keluarga kita kembali, berkumpul dan bersatu lagi.  Tetapi jika kita tidak bentuk diri menjadi insan yang bertaqwa, bagaimana kita akan menemukan insan yang bertaqwa dan bagaimana nanti kita akan memimpin pasangan kita untuk bersama-sama dunia akhirat?
Allah S.W.T berfirman, “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur’:26)
 Tidak mengapalah jika pasangan kita kurang rupa, asalkan dia orang yang kuat agama.  Kecantikan dunia tidak akan kekal lama.  Meningkat usia rupa sudah hilang mudanya.  Dan perhatikan pula jika berlaku kemalangan yang menjejaskan rupa, mencacatkan anggota dan menghilangkan keupayaan kita, hilang ranap segala yang kita banggakan itu.  Itulah kecantikan yang ada di dunia.

 Tetapi,   di alam syurga, semua manusia akan jelita dan kacak bergaya.  Itu akan kekal abadi, dan mata tidak akan pernah jemu-jemu menatapnya. Subhanallah!

Jangan hampa jika pasangan kita tidak kaya, asal hatinya kaya dengan zikir-zikir mengingati yang Esa.  Harta dunia cuma tipu daya.  Kemiskinan satu ujian dan kekayaan jua suatu ujian.  Malah jika iman menipis di dada, kekayaan yang melimpah ruah itu sememangnya sukar dijaga.  Dan di akhirat nanti setiap sen yang kita ada akan dipertanggungjawabkan dan dipersoalkan.

Cukuplah sekadarnya kita punya, asalkan kita masih mampu menjalani kehidupan dengan mudah dan sempurna.  Asalkan kita mampu mencari rezeki yang halal yang tidak bergelumang hutang piutang, itu sudah memadai.   Berdoalah kepada Allah memohon perlindungan dan kekuatan dari nafsu yang tidak jemu merayu.  

Di alam syurga yang kekal sana, tiada lagi manusia yang miskin, segala apa yang dihajati akan sampai hatta dengan sekali niat sahaja.  Rumah-rumah bersalut kemewahan, kenderaan yang jauh lebih hebat dan tidak mampu di bayangkan.  Subhanallah,cukup besar anugerah Allah kepada mereka yang tidak melupakanNya.
Dari Abu Musa Al Asy’ari dari Nabi shallallaahu alaihi wa sallam beliau bersabda, “Sesungguhnya bagi orang-orang mukmin di dalam syurga disediakan rumah yang terbuat dari mutiara yang besar dan berlubang, panjangnya 60 mil, di dalamnya tinggal keluarganya, di sekelilingnya tinggal pula orang mukmin lainnya namun mereka tidak saling melihat satu sama lain.”[11]
Allah berfirman yang maksudnya:
“Dan sampaikanlah berita gembira kepada yang beriman dan berbuat baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai didalamnya”. (QS al-Baqarah : 25)
Bentuklah keluarga menjadi keluarga yang bahagia.  Bahagia bukan hanya mendamba meterialistik semata-mata.  Tetapi bahagia akan hadir dalam reda Dia. Kukuhkan iman dalam ketaqwaan, biar derita menjadi ujian, asal penghujungnya sebuah keindahan yang berkekalan.

Wallahu'alam.......


...ustazpenang...


Bicara Tanpa Suara

Bicara Tanpa Suara


Saat lidah kelu tanpa suara, kucapai helaian warkah kosong…kubiarkan pena menari rancak, melakar sebuah rahsia hati, mencurah secebis rasa yang terpendam di dalam jiwa, menyingkap kebuntuan yang terkunci di minda…biarlah tiada jawapan yang terbalas…,biarlah tiada siapa yang peduli…,biarlah dunia menjauhi diri…,kerna di sisiku ada Dia yang Maha Melindungi…,Dia yang Maha Kekal…,

Dia yang mengukirkan senyuman di bibirku saat aku merasa gembira dan bahagia..,
Dia yang menitipkan airmata di mataku saat aku merasa sedih dan berduka..,
saat teman tiada menemani..,
Dia tetap setia mendampingi diri..,
di waktu senang..,
mahupun di waktu sukar..,
teman dan keluarga yang kumiliki kini,
bukanlah milikku selamanya,

kerna..,
bila sudah tiba waktunya,
semuanya akan pergi meninggalkanku sendiri,

kerna..,
segalanya adalah milik Dia yang Maha Memiliki,
namun…,walaupun dalam sedar..,
aku masih selalu menyombongkan diri kepada Dia,
kerna sesungguhnya aku hanya insan biasa,
insan yang sering lupa dan leka,
adakalanya aku mengingkariNya biarpun aku sedar Dia melihatku,
ya Rabbi…ya Muhaimin…,

Engkau yang membolak-balikkan hati-hati,
janganlah Engkau palingkan hatiku dari agamaMu,
janganlah Engkau tarik nikmat iman dan Islam dariku,
biarpun dosaku sebanyak buih di lautan luas,

biarpun amal kebaikanku hanya sedikit cuma,
jauhkan diriku dari bisikan syaitan yang menyesatkan,
hindari diriku dari hasutan nafsu yang memusnahkan,
pelihara diriku dari perasaan riak dalam amalan,

lindungi diriku dari tipuan dunia yang menyesakkan,
pimpinlah diriku dalam kesederhanaan,
bantulah diriku dalam kesempitan,
bimbinglah diriku dalam kesabaran,
tuntunlah diriku dalam kejayaan,
“…ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau, kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi(kurnia)…
“…ya Allah ya tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh-kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia…”

Wallahu'alam...........



...ustazpenang...


Indahnya Dugaan Menyapa

Indahnya Dugaan Menyapa

“ Ktuk, ktuk… ”
Seorang pegawai British di India berhenti dari menghirup tehnya dan menyahut,
“Siapakah itu ?”
“ Ini saya, tuan. Tukang cuci tuan. Saya datang untuk mengumpulkan pakaian kotor tuan. ”
“ Owh, masuklah. Kamu apa khabar ? ”

“ Alhamdulillah, saya sihat. Segala puji pada Allah ”
“ Bagaimana pula dengan anak-anak kamu ? Bagaimana dengan anak kamu yang sedang sakit itu ? ”
“Semuanya baik tuan. Alhamdulillah”
“ Seorang menghidap penyakit malaria. Dia sedang mengalami demam panas. Namun dengan kehendak Allah, dia akan pulih. ”
“ Dan yang lain semuanya sihat tuan. Allah cukup baik terhadap kami. Dia sentiasa menjaga kami sepanjang masa. ”
“ Huh… bagaimana pula dengan suami kamu ? Terlupa pula saya bertanya mengenai dia selama ini ”

“ Owh, dia telah meninggal dunia tuan. Enam tahun dahulu. Allah telah mengambil semula apa yang telah Dia pinjamkan kepada kami. Allah telah menentukan semua qada dan qadar kami. ”
.
PEGAWAI BRITISH ITU KEMUDIANNYA MENERIMA HIDAYAH DAN MEMELUK AGAMA ISLAM.

PERBUALAN INI MERUPAKAN TITIK PERMULAAN DIA UNTUK MENGENALI AJARAN ISLAM.   
.
Bagi seorang muslim, tiada apa yang pelik berhubung perbualan ini.
Namun, bagi seorang yang sedang bergelut untuk memahami erti dan tujuan kehidupan ini,
falsafah kehidupan Islam yang terkandung di dalam perbualan itu cukup mengagumkan.
Kebanyakkan dari kalangan kita masih tercari-cari jalan terbaik untuk mengharungi kehidupan ini.
Dan seringkali merasa tertekan, tanpa mengetahui puncanya.

Seseorang yang benar-benar berserah diri kepada Allah, si pencuci pakaian dalam konteks perbualan di atas mempunyai rasa bersyukur dan redha yang tinggi.

Bersyukur dan redha di atas setiap peristiwa yang menimpa hidupnya.
Dengan pakaian yang compang camping, anak yang sedang sakit dan kehilangan tempat bergantung disebabkan kematian suami, setiap bebanan kini terpikul di atas bahunya.
Meskipun begitu, si pencuci pakaian tadi tetap mampu menikmati kehidupannya itu.

Dia jarang mengakhiri setiap pertuturannya tanpa memanjatkan kesyukuran kepada Allah.
Dia mempunyai apa yang pegawai British itu tercari-cari selama ini.
Sentiasa redha dan syukur di atas setiap perkara yang berlaku.

ITULAH DIA KEBAHAGIAAN SEJATI.
“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram”
(Surah Ar-Ra’d, 28)
“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada mereka yang sabar. (yaitu) orang-orang yang ketika ditimpa musibah, mereka berkata “Inna lillahi wa inna ilaihirojiun” – sesungguhnnya kami milik Allah dan kepadaNya kami kembali. (Surah Al-Baqarah, 155- 156)

Wallahu'alam...........



...ustazpenang...

Kalian Adalah Insan Yang Mampu Tersenyum.

Kalian Adalah Insan Yang Mampu Tersenyum.


Kesulitan pasti ada mengekori kehidupan ini kerana hidup ini akan selalu teruji.  Kita semua sama, berdepan dengan dugaan yang tersendiri, cuma yang membezakan kita ialah cara kita mendepani.

Ketika hati sudah tidak tertanggung derita dan bibir masih sempat mengukir tawa, alangkah indahnya.  Dia sembunyikan segala rasa untuk dicurahkan kepada Allah satu-satunya.  Kerana menampakkan kemuraman wajah di hadapan manusia tidak akan menyelesaikan apa-apa.  Mungkin kita akan memperoleh simpati tetapi selebihnya hanya Allah tahu jalan penyelesaiannya.

Ketika di timpa bencana,senyumlah kerana  ujian adalah tanda kasih sayang Allah.  Tidak Allah biarkan manusia yang disayangNya terlena dalam kenikmatan yang melupakan dia untuk mengingatiNya. Lalu di kirim sedikit ujian supaya manusia itu tersedar dari lena dan kembali padaNya.

Memang benar, cuba bandingkan manusia yang dalam kegembiraan dan manusia yang dalam kesakitan/kesedihan,  berapa lama waktu mereka sempat habiskan di atas tikar sejadah?  Kebanyakan manusia terlalu mudah lupa, dan hanya tersentak apabila Allah mengetuk mereka dengan kegundahan dan masalah.

Tersenyumlah dengan setiap permasalah kerana masalah adalah jalan untuk kita kembali dalam istikharah dan memohon petunjukNya.  Allah sesekali tidak zalim, sentiasa memberikan peringatan untuk hambaNya.  Kehidupan adalah tidak bermakna sedikitpun tanpa mengingatiNya.  Kita bernyawa, berdiri, bersuara dan segalanya adalah dengan izinNya.  Bersyukurlah.

Tersenyum dan bersyukurlah, maka kau tidak akan pernah berasa untuk menuturkan “jikalaulah aku dulu…….”, sedar atau tidak bahawasanya kehidupan ini telah berjalan seiring kehendakNya.  Jika kita berkeluh kesah menyaksikan ujian demi ujian yang sedang merapat, kita akan mudah tersungkur dan meratap.
Kerana kita tidak pernah redha dengan apa yang Allah tetapkan sebagai jalan kehidupan yang perlu kita redah.  Maka bersabar dan berserahlah hidup matimu dan  suka dukamu hanya pada Dia yang maha mengetahui.

Tersenyumlah kerana kita masih bernyawa dan di beri kesempatan untuk meneruskan perjuangan di jalanNya.  Kita masih ada waktu untuk menyelesaikan segala hutang dan pinjaman yang telah kita lakukan.  Kita masih ada masa untuk bertaubat di setiap kesilapan.

Kita masih mampu bersyukur dengan setiap pemberian.  Bandingkan kita dengan mereka yang telah terbaring kaku jasadnya di tanah, mereka sudah tidak mampu berbuat apa-apa.  Apakah  kita masih tidak mengambil iktibar? Kita masih boleh lagi menambah amalan dan ketaqwaan kepada Allah dan menyempurnakan bekalan kita di alam sana.  Tatkala roh dipanggil dan diangkat pergi, menyesal ketika itu sudah tidak bererti!

Dan paling penting, anda terlalu bertuah maka tersenyumlah kerana kita terpilih sebagai seorang MUSLIM.  Kita ada Allah yang sentiasa bersama di setiap langkah kita.  Di setiap hari, kita kan berjumpaNya dalam solat.  Allah izinkan kita meminta padaNya setiap apa yang kita perlu.

Allah damaikan hati kita yang keresahan apabila kita bersamaNya.  Allah maha mengampunkan segala dosa yang telah kita perbuat apabila kita bertaubat.  Allah menjanjikan kita nikmat-nikmat yang tidak terhitung apabila kita bertaqwa.  Allah sediakan ganjaran bagi mereka yang sabar.  Allah mengaturkan kehidupan kita dengan sempurna dan segala yang ditetapkan adalah untuk kebaikan hambaNya.   Ya Allah, terlalu beruntungnya kami.
Abu Darda’ Radhiyallahu ‘anhu berkata , “ Sesungguhnya aku akan tertawa untuk membahagiakan hatiku.”
Tersenyumlah sentiasa, ia tidak menyakitkan malah ia pengubat hati yang sakit.  Bukannya bererti senyum itu kerana dia tidak punya masalah dalam kehidupannya, tetapi menunjukkan hatinya reda dengan setiap takdirnya.

Wallahu'alam...........


...ustazpenang...


Perpisahan Itu Terlalu Menyakitkanku

Perpisahan Itu Terlalu Menyakitkanku


Pertama sekali cuba kita fahami fitrahnya alam dunia ini.  Tiada satu pertemuan pun yang berlaku tanpa di sudahi dengan perpisahan.  Ini menandakan bahawa apa tiada yang kekal di dunia ini kecuali Dia.

Perpisahan sungguhpun mudah disebutkan di bibir insan, tetapi ternyata ia keadaan paling sukar dihadapi dengan tenang.  Tiada manusia yang tidak sedih dengan sebuah kehilangan.  Mana ada manusia yang mahu kebahagiaannya hilang.  Namun, kita perlu sedar bahawa kehidupan bukanlah seperti apa yang kita bayangkan.  Di saat pertemuanmu dengan seseorang, persiapkan diri menghadapi perpisahan dengannya suatu hari nanti.

Sakitnya kehilangan tiapa siapa mampu ungkapkan dengan perkataan.  Hanya airmata menjadi jawapan.  Tambahan pula perpisahan melibatkan insan yang disayang.  Perpisahan dengan ibu bapa, saudara, sahabat-sahabat dan mungkin isteri/suami tercinta tentunya akan mengukir parut yang tidak hilang bekasnya lantaran kenangan dan keindahan yang sering terimbas kembali di minda fikiran.

Namun, hakikatnya hidup terlalu singkat untuk di habiskan dengan memikirkan segala jam yang telah lepas.  Mungkin kalaupun tidak terpisah kerana jodoh dan pertemuan yang kuat, nanti akan terpisah jua oleh maut yang pasti sedang mendekat.  Apa yang penting, sesakit apa pun perasaan yang mencucuk di dalam.  Jangan lupa kembali mengingati Allah.  Segala apa yang kita ada hanya pinjaman.  Segala yang termiliki akan dipulangkan.

Kita tidak pernah memiliki apa-apa tanpa pemberianNya.  Allah pinjamkan mereka untuk kita merasa bahagia.  Untuk kita belajar berkasih sayang.  Untuk kita saling menebarkan peringatan.

Tetapi jangan gundah dan jangan hancur dalam kesedihan.  Kita masih ada peluang untuk bertemunya lagi.  Masih ada!  Iaitu di alam abadi.  Di tempat yang tidak akan ada lagi perpisahan ke dua kali.  Kerana itu kita perlu saling menasihati dan saling memperbaiki diri, semoga Allah kumpulkan kita sekali lagi di sana nanti.  Bertaqwalah kepada Allah, nanti Allah akan cukupkan kita dengan segala kurniaanNya.
 Ya Allah, kami punya tali persaudaraan yang sukar di tafsirkan, didiklah hati kami dan jadikan kami hambaMu yang Kau redhai, maka dari itu, ku mohon bawalah kasih sayang kami ini sehingga ke syurgaMu, Ya Allah.

Wallahu'alam.........


...ustazpenang...