Sunday, 5 February 2012

Kesan Mandi Pada Waktu Malam

Kesan Mandi Pada Waktu Malam


ADAKAH ia satu mitos tentang mandi pada waktu malam boleh mendatangkan kemudaratan pada kesihatan? Ramai kalangan masyarakat Malaysia mengatakan amalan sebegini boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan.

Adakah benar persepsi tentang tabiat mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit kronik? Apa kata pakar dalam penjagaan kesihatan tentang isu ini?

Dr. Anies Tan, seorang doktor perubatan di hospital swasta menjelaskan kajian menunjukkan yang mandi bukan sahaja boleh membersihkan badan daripada kotoran tetapi juga boleh menghilangkan stres.

Katanya, mandi memainkan peranan penting dalam mempertingkat sistem imun badan selain mengelak berlakunya penyakit kulit seperti ekzema dan masalah kesihatan lain.

"Kebanyakan penyakit kronik antaranya diabetes, hipertensi, kegagalan buah pinggang dan masalah kardiovaskular muncul daripada kegagalan sistem dalam badan, cara pemakanan dan gaya hidup kita. Tiada bukti yang mengatakan mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit-penyakit ini," kata beliau.

Menurut Dr. Tan, air mandian suam boleh membuka liang-liang roma badan dan membantu menghilangkan toksin.

"Mandi dengan air hangat boleh mengurangkan sakit otot dan membantu usus berfungsi dengan baik. Tapi kalau anda sedang mengalami stres, mandi dengan air sejuk boleh membantu.

Tetapi bagaimana dengan isu mandi pada waktu malam?

Kata Dr. Tan, negara ini mempunyai iklim tropika di mana cuacanya adalah panas dan lembab dan oleh itu mandi malam tidak mendatangkan kemudaratan.

"Lainlah kalau anda menghidapi pneumonia dan tinggal di negara yang mempunyai iklim musim sejuk. Mandi malam adalah baik kerana ia membersihkan badan daripada bakteria dan virus.

"Amalan mandi adalah penting bagi gaya hidup sihat. Di hospital juga, pesakit yang boleh berjalan dan boleh mandi, memang kami galakkan mandi". Kata beliau, kegagalan mandi yang secukupnya boleh mendatangkan penyakit kulit dan juga bau badan.

"Bakteria boleh bertindak pada peluh dan ini membangkitkan bau badan," katanya sambil menambah bahawa kesegaran mandi membuatkan badan lebih sihat, selain membersihkan bakteria daripada permukaan kulit.

"Pembersihan kulit berlaku bila kita mandi. Lebih baik lagi jika kita menggunakan sabun antibakteria," katanya dan menerangkan prinsip yang sama pada amalan membasuh tangan.

"Ia satu amalan kebersihan yang baik bila kita kerap basuh tangan terutama sebelum makan, sama juga bila kita mandi walaupun pada waktu malam," kata beliau.

Ekzema

Ekzema adalah penyakit kulit kronik yang menyebabkan kulit menjadi kering, senang mengalami iritasi dan kegatalan. Tiada ubat bagi masalah ini tetapi penjagaan kulit yang baik membantu mengawalnya.

"Bila kulit anda kering, ia bukannya kurang minyak tetapi kurang mengandungi air. Untuk itu, penjagaan kulit harian yang baik serta fokus pada mandi dan penggunaan pelembab diperlukan," terang Dr. Tan.

Katanya, rawatan bagi kulit yang kering adalah dengan membuatkan kulit mengandungi air dan cara yang terbaik dengan berendam ketika mandi dan menggunakan losyen pelembab selepas itu.

"Tujuan mandi dan memakai pelembab adalah untuk memulihkan kulit kering.

Bagi tujuan ini, kita perlu kurangkan kehilangan air daripada kulit.

"Pakar dermatologi (kulit) mengesyorkan mereka yang ada masalah ini supaya mandi dan menggunakan pelembab pada waktu malam. Kulit anda tidak mungkin kering semasa anda tidur, jadi air lebih senang meresap ke dalam kulit," terangnya.

Jadual kerja ketat

Ada juga ramai yang tidak punya masa untuk mandi secukupnya kerana jadual kerja yang agak ketat. Ada juga yang bermasalah bila berjauhan dari rumah dan tidak sesuai dengan tempat di mana mereka berada.

Pengamal perubatan, Hassan Saidin menerangkan jadual kerja yang ketat menyebabkan ramai ahli perniagaan serta peniaga enggan mandi secukupnya.

Ramai peniaga perlu keluar berniaga pada awal-awal pagi lagi dan hanya pulang ke rumah pada lewat malam. Ini menyebabkan mereka malas mandi kerana menyimpan tenaga untuk aktiviti perniagaan pada esoknya.

"Gagal mandi adalah tidak baik bagi kesihatan dan ini boleh mengundang pelbagai penyakit yang mengganggu kehidupan kita. Ia juga boleh mengganggu keyakinan dan produktiviti kita," kata beliau.

Tetapi kenapa orang tua-tua mengatakan mandi malam tidak baik?

"Nasihat sebegitu mungkin tidak berapa boleh dipakai lagi pada masa kini.

Mungkin pada dekad-dekad yang lampau masyarakat masih belum maju dan kebanyakan rumah tidak punya saluran bekalan air paip.

"Satu masa dulu, ramai yang tinggal di luar bandar serta menggunakan perigi dan sungai untuk mandi. Untuk pergi ke perigi dan sungai pada waktu malam tanpa cahaya lampu dan suasana gelap gelita mungkin mengundang pelbagai bahaya seperti binatang berbisa dan juga bahaya di sungai, sebab itulah mungkin orang tua melarang kita daripada mandi waktu malam.

"Kini kita semakin maju dan mempunyai kemudahan yang jauh lebih baik. Bagi mereka yang pulang malam, eloklah bersihkan badan terlebih dahulu sebelum ke tempat tidur," kata beliau.

Pemulihan badan

Menurut Hassan, mandi adalah kaedah baik bagi merehatkan otot badan.

"Setelah bekerja sehari suntuk, otak dan badan anda perlukan rehat. Mandi pada malam hari (sebelum tidur) boleh membantu mengembalikan ketahanan fizikal dan emosi.

"Terdapat banyak salah faham tentang isu mandi di waktu malam kerana ramai orang berpendapat ia lebih banyak mudarat daripada kebaikan termasuk mendatangkan penyakit," katanya.

Jadi, adakah mandi malam sememangnya satu amalan tidak sihat?

Kata Hassan: "Sudah tentu tidak. Ia bukan memudaratkan bagi orang yang sihat". Menurut Hassan, mandi menggunakan air hangat akan membuka liang roma dan membersihkan badan dengan mengeluarkan toksin dan memberikan kesan yang segar kepada seseorang itu.

"Mandi juga membuatkan anda dapat tidur dengan lena dan membantu mengurangkan insomnia (susah untuk tidur)," tambah beliau.

Menurut pengamal homeopati itu lagi, mandi adalah satu amalan semula jadi bagi memberi regangan kepada minda dan badan.

Seseorang itu bukan hanya dapat tidur lena tetapi juga tidur dengan lebih lama jika beliau mandi sebelum tidur.
 
 
Wallahu'alam........
 
 
...ustazpenang...

Takdirku Telah Tertulis..

Takdirku Telah Tertulis..


Teruji sekeping hati dengan kehadiran insan yang memiliki ciri-ciri insan idaman.  Hati yang tertutup rapat dari sesiapa yang pernah datang mula menerima kehadiran seseorang yang menghulurkan tali ikatan.  Sungguh tidak terduga sebuah perasaan yang terpendam sendirian rupanya mendapat balasan.  Hati mana tidak berbunga harapan.

Setulus itu dia datang dan menyampaikan pesanan beserta sekalung ucapan yang terlalu indah dirasakan.  Namun, tidak terduga tangan yang sedang berupaya menyambut rupanya tidak kesampaian.  Dicantas tegahan dan mundur segala keriangan.

Di saat hatimu teruji dengan ujian yang sukar dilawan, kehendakmu ditentang tiada sokongan, pertemuan kian di jemput perpisahan, sudah pasti tiada suatu kata bisa menggambarkan hancurnya perasaan.  Namun, kita harus percaya pada takdir dan ketentuan.  Setiap segala yang berlaku diluar perancangan kita, barulah kita sedar bahawa ada kuasa yang maha Agung telah mengaturkan semuanya.

Jika sesuatu ditakdir menjadi milik kita,  berbekal usaha yang sedikit cuma, sudah mampu diraih dengan mudah.  Namun, jika sesuatu itu bukanlah ditakdirkan menjadi milik kita, perancangan paling mega yang kita cetuskan pun tidak mampu menandingi takdir Ilahi, sudah pasti kita tidak akan bisa memilikinya.

Segala yang ada di dunia ini adalah hak Allah.  kerajaanNya luas meliputi alam raya, angkasa dan segala-galanya adalah milik Allah.  Dan apa yang Allah kurniakan kepada kita, itulah rezeki kita jua dariNya.  Bersyukurlah.  Jangan di tangisi apa yang bukan menjadi milik kita.  Allah tidak mengizinkannya kerana Allah tahu kita berhak memiliki yang lain.  Allah sedang menilai kesabaran kita dan jika kita bersabar tentunya ada anugerah dariNya buat kita.

 Ibnu Atoillah : “Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

Terkadang cinta yang menginap di hati manusia jua suatu ujian.  Dihadirkan perasaan itu dan pula dijauhkan dari mendapatkannya.  Makanya, kita teruji dan mendepani hari-hari suram.  Cubalah sedaya upaya untuk menepis setiap godaan.  Percayalah bahawa jika sesuatu yang ditakdirkan betul-betul untuk kita, sesukar apa pun, dia akan kembali kepada kita.  Begitu jua lah sebaliknya.

“Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal. (Surah al-Taubah 9: 51).”
Sapulah air mata yang terbit dari rasa kecewa.  Kau terluka dan merana, tentunya Dia mengetahuinya.  Alangkah indahnya jika perasaan itu diganti dengan tawakal dan reda.  Berdoalah pada Allah yang memiliki segalanya.  Semoga Allah ubati kekecewaan yang dirasa dengan bahagia yang akan hadir di kemudiannya.

Wallahu'alam..........


...ustazpenang...


Nota Cinta

Nota Cinta


mungkin dia silap memilih orang.
silap memilih pada waktu, pada ruang, pada tempat.

mungkin pilihannya cuma pilihan dunia.
yang hanya mampu memberikan kebahagian sekejap cuma,
setahun, sebulan, seminggu, ataupun sehari.
yang kemudiannya tidak akan membuat dia  gembira,
dan bahagia.

untuk selama-lamanya.
dia sedar, 
tidak mungkin ikatan seperti itu,
yang hanya dibuat demi kebahagiaan dunia,
tanpa asas yang kukuh,
tanpa kefahaman yang mendalam, 
mampu membahagiakan.
tambahan, hubungan seperti itu,
tiada barakah Tuhannya.

jika hubungan itu terus dibina,
dia telah memulakan hubungan yang tidak diberkati.
dia merosakkan hidupnya, agamanya dan imannya,
hanya untuk bersama pasangan yang indah di mata,
yang hatinya cuma berpaut pada dunia.

dia memikirkan akan masa depannya,
masa depan bakal anak-anaknya.
dia tidak mahu menjadi penyebab,
anak-anaknya jahil tentang agama.

dia memilih untuk menilai watak pasangannya,
berdasarkan agamanya, wataknya dan akhlaqnya, 
yang jika terdapat ciri-ciri seperti ini,
dia yakin, 
segalanya akan menjadi satu keberkatan yang besar dalam hidupnya.

dia cuma mahu pasangan yang bukan hanya tahu berpegangan tangan,
tetapi pasangan yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pegangan.

bukan pasangan yang hanya tahu berbelanjakan wang ringgit, 
tetapi yang setia mendengar segala permasalahan yang menghimpit.

bukan pasangan yang hanya mempersembahkan keindahan dunia,
tetapi yang membawanya ke syurga sana. 

dan dia yakin menunggu akan kehadiran pasangannya,
yang kelak akan dihantar oleh Tuhannya.
dan keyakinnya bertambah tinggi,
di saat membaca kalam dari TuhanNya.

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
( Surah Ar-Ruum ayat 21 )

Wallahu'alam..........


...ustazpenang...

Waktu Terluang, Bahaya atau Berharga???

Waktu Terluang, Bahaya atau Berharga???


Kehidupan tanpa pekerjaan tentunya mengundang masalah yang tiada sudah.  Apabila kita dalam keseorangan tentunya sang sepi akan merajai hati.  Makanya, fikiran yang jernih mulai keruh memikirkan bermacam perkara yang masih tidak langsai berada di minda.

Kita akan terkenang-kenangkan kisah lalu yang begitu menggamit rindu.  Padahal kisah duka itu sudah berlalu.  Sengaja pula kita membenamkan pisau di atas luka yang kian sembuh dari darahnya.

Ditambah pula dengan asyikan lagu-lagu yang dialun di bibir radio atau tv. Makin bertambah lena kita menghirup madu-madu dan kenangan indah masa lalu.  Kita mula akan memikirkan kembali tentang impian-impian yang telah berlalu di terbangkan angin menjadi debu.

Kita membina kembali impian using di dalam minda sendiri yang ternyata impian itu sebenarnya sudah ranap.  Lalu sekali lagi kita akan perit dan sakit apabila mula terjaga dari lena.

Minda yang kosong akan mudah melayang-layang jauh dari dunia nyata.  Tiada mampu bersuara dan menyedarkan minda sendiri yang jauh di bawa awan.  Padahal berada di dunia angan-angan hanya mimpi yang akan hilang.

Lagi teruk jika minda yang terdidik untuk menjadi manja dengan hanya memikirkan kemungkinan-kemungkinan masa depan yang disangka parah dan penuh kepedihan padahal masa itu belum pun terjadi.  Kita sudah menghukum diri! Alangkah malangnya.

Waktu kosong sebenarnya adalah seperti seksaan halus di penjara Cina, meletakkan tahan di bawah paip air yang hanya akan menitis dalam waktu seminit sekali selama setahun.  Penantian yang panjang itulah seseorang akan menjadi gila.

Waktu terluang sememangnya ada.  Kita mendapat nikmat untuk merehatkan minda.  Gunakanlah waktu yang telah di anugerahkan itu pada jalan yang benar.  Mungkin kesibukan yang melanda mencipta jarak antara kita dengan yang Esa.

Namun, waktu terluang itulah masa berharganya.  Sedikit kekosongan yang dirasa kan mampu menjadi saat yang paling berharga apabila kita penuhkan ruang itu dengan berzikir dan bermunajat kepadaNya.

Masa yang terluang itulah masa yang terbaik kita muhasabah diri menjalani kehidupan selama ini.  Seberapa banyak syukur yang telah terjadi atau kita sama sekali lupa untuk berterima kasih pada Allah yang maha memberi.

Inilah waktunya kita cuba  menghayati keindahan alam raya ini, menghasilkan rasa kekerdilan diri di hadapan pencipta yang satu.
Binakan sebaik mungkin mutiara yang terindah dan berharga mengisi ruang waktumu yang kosong dan bukannya mencipta bahaya dengan membiarkan angan-angan yang tanpa akar terus bermaharajalela.

Wallahu'alam............



...ustazpenang...


Apa Yang Sedang Kau Nikmati Itu Milik Allah.

Apa Yang Sedang Kau Nikmati Itu Milik Allah.


Bukan mudah sehalus kudrat jiwa yang lemah menongkah arus kehidupan yang dihuni pelbagai dugaan.  Tambahan lagi, di zaman yang kian mencabar minda dan fikiran.  Manusia bergerak, berinteraksi dan mencari peribadi sendiri diselimuti oleh kesibukan harian.  Manusia bertanding siapa kalah siapa menang mengumpul seberapa banyak timbunan harta yang menjadi impian.  Sehinggakan kita lupa tanggungjawab yang terpikul di bahu kita sebelum kita di hantar ke dunia pinjaman.
Janjinya kita apa???

Allah ‘Azza wa Jalla firmankan :
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepadaku”. [Adz Dzariyat [51] : 56].
Tetapi, perhatikan sekeliling kita.  Manusia tanpa segan silu menabur kaca pada nikmat kurniaanNya.  Nikmat yang di kurnia di sangka usahanya sendiri mendapatkannya.  Tidak sedar dengan sifat pemurah Allah swt.  Terus menerus mencari harta tanpa tutup mata menghadap kalkulator.  Mencongak-congak untung rugi hasil kerja.  Masakan ahli matematik seorang hartawan tidak pandai membilang waktu solat wajib yang cuma ada lima.  Kenapa masih ada yang bijak pandai dikurnia akal sempurna tidak mampu mengingat waktu solat yang ditelah difardukanNya.

Alangkah lupanya kita, bahawa harta setimbun gunung itu tidak mampu menjadi tanah yang empuk buat tidur lena yang lama.  Harta yang diburu tanpa kira waktu tidak mampu membuka mulutmu menjawab soalan malaikat.

Harta yang dimiliki hari ini belum tentu masih termiliki esok hari.  Jadi rezekimu cuma sekadar apa yang kau gunakan hari ini, makan di waktu ini dan pakaian yang dipakai kini.  Esok hari mungkin harta itu akan di tarik kembali kepada yang maha memberi.

Bersedekahlah, jangan takut kehilangan harta itu kerana berbuat baik kepada sesama makhluk akan mendamaikan hatimu.  Allah akan melipat gandakan apa yang telah kita sedekahkan.  Kalaupun tidak mendapat balasannya di dunia ini, akhirat nanti pasti akan terhitung tidak terkecuali.
“Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkat darjatnya”.
(Riwayat Muslim)
Sedekah itu yang akan menjadi jariah.  Duit yang dikumpul kini hanya akan menjadi baja tanah.  Kecuali amalan sedekah itu lah yang akan mengalir sampai kepada kita sesudah kita kembali ke alam barzakh.

Keluarkanlah zakat untuk menyucikan harta.  Namun, ramai di antara kita mengabaikan hal ini.  Alangkah ruginya mereka yang mengetahui tetapi tidak mengambil berat.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat : 103 yang bermaksud :
” Ambillah (sebagai) zakat dari sebahagian harta mereka (kerana) dengan zakat itu kamu membersih dan menyucikan mereka.”
Firman ALLAH Subhanahu wa Ta`ala yang bermaksud:
Orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya di jalan ALLAH, berilah khabar gembira akan mendapat siksa yang pedih.  Yakni di saat emas dan perak itu dipanaskan di neraka jahannam, kemudian diseterikakan ke kening, pinggang dan punggung mereka.  Inilah harta yang kamu simpan-simpan buat dirimu itu.  Nah, rasailah hasil simpananmu!”  (Surah At-Taubah, ayat 34-35)

Kita tidak pernah memiliki apa-apa tanpa pemberianNya.  Tanda syukurnya kita atas anugerah yang Allah kurnia, makanya apa dikesalkan jika kita sama-sama berkongsi nikmat ini dengan insan lain yang memerlukan.
 Usah sombong mendabik dada pada nikmat Allah, jangan nanti papa barulah mula menadah tangan meminta sedekah.  Kerana Dia berhak memberi dan mengambilnya kembali.

Wallahu'alam..........


...ustazpenang...


Dari Mana Datangnya Ketabahan Itu???

Dari Mana Datangnya Ketabahan Itu???

cinta

Kalau ikutkan kisah cinta aku ini, hanyalah secebis kesakitan pada orang lain. Jika hendak dibandingkan dengan kisah percintaan orang lain. Ada orang lain yang lebih teruk dipermainkan, lebih teruk diperbodohkan, lebih teruk merasai kepahitan itu.

Tapi sungguh, sejauh mana aku berada, kesakitan itu tak pernah hilang. Masih terkilan rasa hati apabila mengingati peristiwa itu. Ditinggalkan ketika hati masih sayang..

Ada orang bertanya kepada aku. ‘aku tengok kau ni kejap je sedih, biasa je, kalau aku, meroyan kot, bercinta dah lama, lepas tu kena tinggal. Ke kau memang tak sayang dia?’

Pertanyaan lagi ‘ aku pelik kau boleh jadi tabah, dalam masa yang singkat. Serius singkat. Orang lain sedih berbulan-bulan, ada yang bertahun-tahun, kau pulak seminggu je dah okay. Ada udang di sebalik mee ke?’
Siapa cakap aku tak sedih? Siapa cakap aku tak rebah? Tiada sesiapa tahu betapa teruknya keadaan aku pada masa itu kecuali Allah dan mama.

 Dan dari mana datangnya ketabahan dalam masa seminggu? Semua orang bertanyakan soalan yang sama.
Jawapan aku mudah. Bertaubat. Kembali padaNya.

Itu yang aku lakukan. Aku tidak pernah lupa untuk berdoa. Aku menangis mengingati dosa-dosa silamku. Aku serahkan sepenuhnya jiwa ragaku pada Maha Pencipta.

Kuasa Allah hebat. Manusia yang tidak tahu dan kurang tahu. Aku kembali mendapat ketenangan pada hari ketiga selepas peristiwa itu. Tidur malam ku kembali tenang. Fikiran ku tidak lagi melayang-layang. Sakit hati aku hilang sedikit demi sedikit.

Jangan lupa amalkan ini. Amalan yang boleh membuatkan sesiapa  menjadi tabah walau dalam masa yang singkat.
 
1)      Memaafkan seseorang.
Maaf. Perkataan yang paling sukar diungkapkan oleh sang mantan kepadaku. Semua kesalahan diletakkan di bahuku. Aku redha. Aku telah memaafkan dia. Bagi aku, tak ada sebab aku tidak mahu memaafkannya. Walaupun dia campak aku seolah-olah aku lebih busuk dari sampah, aku percaya hukum Allah. Biarlah orang kata aku ni hodoh, buruk asalkan aku nampak indah di mata Maha Pencipta. Maafkanlah orang yang menyakiti hati dan perasaanmu dan kau akan rasa ketenangan itu.
“Jadilah engkau pemaaf, dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah dari orang-orang yang bodoh.” Surah Al-A’raf : 199.
2)      Bermuhasabah diri
Walaupun kita sendiri tahu sebenarnya memang bukan 100% salah kita, tak apa. Biarkan apa kata orang. Biarkan orang sekeliling menuding jari kepada kita. Ingatlah, tidak mati dek keji. Mari kita bersama-sama bermuhasabah diri. Fikir kembali apa sikap buruk kita. Kita perbaiki diri kita sendiri. Kita buang sedikit demi sedikit sikap buruk kita. Ingatlah, walaupun bukan untuk mendapatkan sang mantan kembali, sekurang-kurangnya persiapkan yang terbaik untuk suami kita nanti. Insyallah..
3)      Berprasangka baik
Allah berfirman:
“Hai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kalian mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian kalian mengejek sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya.” (QS. Al-Hujurat : 12).

Bila kita ditinggalkan, kita pastinya ada sedikit syak wasangka terhadap sang mantan. Mesti ada. Walaupun sedikit. Beginilah, jika benar apa kata orang, jika benar apa yang kita prasangka sebelum ni sebenarnya kenyataan, lupakan. Cuba berprasangka baik.
Tanamkan dalam hati sendiri ‘ ada hikmah di sebalik semua ini’. Jangan sesekali menyerang atau mencetuskan pergaduhan hingga melibatkan orang sekeliling. Buruk padahnya. Ingat, Allah Maha Mengetahui yang disembunyikan dan yang tersirat. Jangan risau.
4)      Berserah segalanya pada yang Maha Esa.
Jangan terburu-buru mengejar cinta. Berhenti seketika. Toleh ke belakang, mungkin ada yang sedang mengejar anda, siapa tahu?

Kadang-kadang orang yang kita sayang, 9 atau 10 tahun pun, kalau sememangnya bukan jodoh kita, sekuat mana pun kita pertahankan, sedaya mana pun kita usaha, kita hanya merancang. Allah yang menentukan. Percaya pada ketentuan Allah. Percaya pada hukum Allah. Insyallah, Allah tidak akan menguji hambanya jika Dia tahu kita tidak mampu menghadapinya. Anggap la ini ujian dari Allah.
Ia benar. Aku telah mengamalkan semua ini dan masih mengamalkan. Alhamdulillah, aku tak pernah rasa tenang sebegini. Jika anda betul-betul bertaubat kepada Allah dengan seikhlas hati, anda pasti takot dan akan menangis teresak-esak mengenangkan dosa-dosa silam dan maksiat yang pernah anda lakukan.

Bangkitlah wahai wanita. Jangan sesekali tunjuk di depan semua orang kita lemah. Jika hari ini Allah tak temukan kita dengan orang yang kita damba, Insyallah, Allah akan temukan kita dengan orang yang mendambakan kita. Jika hari ini Allah tak temukan kita dengan orang yang kita sayang, Insyallah moga Allah temukan kita dengan orang yang sayangkan kita. Semuanya kuasa Allah. Percayalah..

Wallahu'alam.........
...ustazpenang...

Di Sebalik Liku-Liku..

Di Sebalik Liku-Liku..


Kerana aku di sapa ujian.  Aku belajar mengenal kehidupan.  Bahawasanya hidup bukan sahaja berteman suka dan bahagia.  Tetapi di corak hampa dan air mata.  Maka, aku mengenal erti sabar dan belajar tersenyum walaupun perit terus menerus menagih hiba.

Ketika kehendakku tidak bisa di genggam.  Aku belajar menjadi insan matang.  Mensyukuri segala yang ditakdirkan.  Bukan merungut mencipta sesalan.  Kerana ku tahu bahawa segalanya tidak semudah apa yang ada dibayanganku.  Dunia hanya persinggahan yang sering menagih pengorbanan.

Ku sedari aku bukanlah sempurna.  Aku belajar menjadi diri aku apa adanya.  Tidakku cemburu menatap kelebihannya dia.  Kerana ku yakini bahawa.  Allah itu menjadikan kita tidak sama.  Dan kita sememangnya memiliki kelebihan dan kekurangan yang tidak serupa.

Kegagalan semalam telah menghancurkan impian.  Namun kerana kegagalan itulah aku mengikat suatu kesimpulan.  Bahawa tidak semua yang kita kehendakkan, akan berjaya berada di tangan.  Kegagalan itulah yang menjadi guru memberi pengajaran.

Menyedarkan aku bahawa walaupun kita merancang,  Jangan pernah lupa bahawa Allah juga merancang.  Dan perancangan Allah sememangnya jauh lebih hebat dan penuh hikmah kebaikan di setiap kejadian.

Kehilangan yang terjadi sememangnya menebuk lubang terdalam dihatiku.  Namun kerana kehilangan itu aku belajar sesuatu.  Bahawa setiap yang datang akan berlalu.  Tiada apa yang kekal di dunia ini kecuali Allah yang satu.  Lalu ku isikan pecahan-pecahan yang telah terjadi di hatiku.  Dengan cintanya Dia yang mengukuhkan kembali hatiku yang layu.
Dunia telah mengajarkan aku memilih untuk selalu berasa kecewa dan terluka, namun hanya dengan mengingati Allah sahajalah aku kembali menyedari dan redha.  Bahawa segalanya adalah ketentuanNya dan akhirnya akan belajar dari segenap peristiwa.

Wallahu'alam..........


...ustazpenang...