Friday, 6 April 2012

[ Cerpen ] : Syurga Dunia

[ Cerpen ] : Syurga Dunia







Mentari terik menegak tinggi di dada langit. Sayyidah Humaira menyeka keringat yang membasahi urat keningnya. Dia mengatur langkah bersama sahabat karibnya, Fatimah menuju ke sebuah restoran. Pertemuan telah di atur olehnya bersama Muhammad Afnan, seorang pengarah syarikat penerbitan buku. Manuskrip yang telah dihantarnya sebulan lalu, mendapat respon yang baik daripada Syarikat Mutiara Hati Sdn Bhd.

“Enti janji dengan Afnan pukul berapa?” Soal Fatimah yang sedang membetulkan tudungnya.
“Ana bagitahu dia datang pukul 3.00 petang. Tapi kita dah terlambat 15 minit ni. Harap-harap dia belum datang.”

“Kalau dia dah datang pun biarlah. Bukan kita sengaja kan? Train tu haa lambat sampai.” Rungut Fatimah.
Setelah hampir beberapa minit berjalan, akhirnya kami tiba ditempat yang telah dijanjikan, Restoran Ala Kampung. Kelibat Afnan dan Suffian, yang juga merupakan rakan sekelasku sewaktu sekolah dahulu sudah kelihatan. Suffian melambai-lambai tangannya kepadaku.

“Assalamualaikum.” Tuturku lembut.
“Waalaikumussalam.” Jawab Afnan dan Suffian serentak.
“Maaflah En. Afnan, Suffian. Terlambat pulak.. Train datang lewat tadi.” Aku merasa bersalah kerana membuatkan mereka terpaksa menungguku dan Fatimah.

Aku dan Fatimah mengambil tempat duduk yang bertentangan dengan mereka berdua.
“Eh, takpe Humaira. Kitorang pun baru sampai. Tak sangka aku dapat jumpa kau. Rupanya kau kenal bos aku.” Ulas bibir Suffian mengukir senyuman.

“Ana baru je kenal En. Afnan. Sebulan lepas masa ada seminar penulisan di Shah Alam.” Terang aku.
“Nak order apa? Makan?” Afnan menyoal sambil matanya mengerling sekilas kepadaku.

“Err, jus epal 2. Ana dah kenyang. Fatimah?” Tutur aku sambil mengalihkan pandangan mata ke arah Fatimah. Fatimah hanya menggelengkan kepalanya tanda tidak mahu mengorder makanan.
Afnan bingkas bangun dari tempat duduknya dan berlalu ke kaunter yang terletak disudut hujung restoran tersebut. Selang beberapa minit dia datang kembali.

“Kau kerja apa sekarang Humaira? Penulis?” Soal Suffian memecah suasana.
“Ana kerja di Rumah Anak-Anak Yatim Nur Raudhah di Bangi. Mengajar agama. Penulis ni sampingan je. Sebagai hobi.”

“Cikgu la ni?” Riak wajah Suffian kehairanan. “Bro, kalau kau nak tahu, Humaira ni masa sekolah dulu pemalu sangat. Dengan lelaki dia memang tak tegur. Kitorang memang tak berani tegur dia, nampak macam sombong.” Cerita Suffian kepada Afnan.

“Tak percaya ana boleh jadi cikgu? People changed Suffian. Eh, ana kenalkan ni Fatimah, kawan sekerja di Nur Raudhah.” Aku mengukir senyuman.

“Bro, tadi bukan main kau cakap banyak, tiba-tiba kau diam kenapa? Takkan terpesona kot?” Ucap Suffian kepada Afnan sambil dibibirnya meniti hilai tawa.
“Mengarut la kau ni Suffian!” Afnan seakan menggelabah.
“Ok, kita terus kepada perbincangan lah. So, macam mana En. Afnan dengan manuskrip ana?” Aku mengubah topik. Bimbang akan berlarutan kepada perkara yang sia-sia.

“Saya dah baca, pihak editor pun dah setuju untuk terbitkan buku Cik Humaira. Bulan depan Cik Humaira boleh datang ke pejabat saya. Kita akan bincangkan mengenai buku yang bakal diterbitkan. Dari A sampai Z la.” Terang Afnan.

Kelibat seorang pelayan wanita semakin menghampiri ke meja kami. Ditangannya terselit sebuah dulang yang terisi dengan makanan yang telah dipesan sebentar tadi.
“Baiklah, insyaALLAH.” Tutur aku.
“Humaira, ko nak pergi mana lepas ni?” Soal Suffian.
“Kitorang terus balik kot lepas ni. Kenapa?”
“Ha, bolehlah Afnan hantarkan nanti.” Suffian menjeling Afnan.

“Eh, tak apa. Kitorang boleh balik sendiri.” Aku menolak secara baik. Rasa kurang manis pula apabila orang melihat nanti.

Setelah selesai membincangkan tentang manuskrip hasil kerjaku itu, kami meminta diri. Aku membuat keputusan untuk terus pulang ke rumah, kerana cuti sekolah bakal bermula selama seminggu. Manakala Fatimah singgah dahulu ke Nur Raudhah untuk mengambil barang-barangnya yang tertinggal.
***
Tepat jam 8.00 malam aku sampai di rumah yang terletak di Kajang. Tidak jauh sebenarnya dari Nur Raudhah, tempat aku menabur bakti. Sudah hampir setahun aku mengajar di rumah anak-anak yatim itu, setelah aku tamat pengajian di UIA.
“Kurus anak umi sekarang.” Sapa umi kepadaku.
“Umi! Humaira dah cukup gemuk ni mi.” Aku merengek.
“Ye lah tu. Dah, pergi mandi. Nanti lepas solat, turun bawah. Baba dan umi ada nak bincang sesuatu.”
“Baiklah mi.”

Aku mengatur langkah ke kamar. Baba, panggilan manja ku kepada abah. Entah apa yang baba dan umi nak bincangkan, aku berteka teki sendiri. Mengenai pengajianku barangkali. Tamam pengajian ku di UIA, aku ada menyatakan hasrat kepada baba, ingin menyambung pengajian ke Jordan pula. Kata baba, sebaiknya aku berkerja dahulu, mengutip sedikit pengalaman. Aku tahu, baba bimbang mahu melepaskan aku ke negara orang. Tambahan lagi, hanya aku seorang yang umi dan baba miliki. Tuala yang tersangkut rapi aku gapai, berlalu ke kamar mandi untuk mensucikan diri.

Usai solat, aku memanjangkan langkah turun ke ruang rumah di bawah. Kelibat baba dan umi sudah menunggu di meja makan.

“Maaf mi, baba. Lama tunggu Humaira ek?”
“Tak apa. Duduklah.” Jawab baba tersenyum.
“Baba, mi cakap baba nak bincang sesuatu. Apa ba?”

“Kalau ye pun jom kita makan dulu. Sejak bila anak baba ni dah pandai tak sabar-sabar?” Baba tersengih.
“Mi, tengok baba ni. Humaira nak tahu je.” Aku memuncungkan bibir.

“Dah-dah. Tak baik buat muka macam tu depan rezeki. Kita makan dulu.” Umi menyelit.
Setelah selesai makan, aku menolong umi mencuci pinggan dan mengemas ruang dapur. Baba sudah berlalu ke ruang tamu, menonton TV. Seusai itu, aku dan umi berganjak menuruti jejak baba.
“Ha, baba! Sekarang dah selesai makan. Cepatlah beritahu hal apa yang baba nak bincang tu?” Aku melabuhkan kedudukan bersebelahan baba.

“Budak ni, dah besar tapi macam budak kecil lagi. Manja!” Tegur baba sambil ketawa.
“Sayang, nanti kalau baba dan umi cakap jangan terkejut.” Umi menyampuk.
“Baba dan umi ni buat Humaira suspen je. Cakaplah.” Aku kehairanan.
“Ada orang nak sunting Saiyyidah Humaira.” Tenang baba memberitahu.
“Hmm, sebenarnya kan mi, baba. Humaira nak sambung belajar dulu. Jordan tu macam mana?”
“Lepas Humaira nikah, baba izinkan Humaira pergi belajar.”
“Siapa?” Soal aku.
“Anak kawan umi, Ustazah Musliha.” Jawab umi.

“Baba dengan umi macam mana?”
“Ikut Humaira la.” Baba memandangku.
“Kalau Humaira, baik pada umi dan baba, Humaira tak ada halangan.”
“Jadi Humaira terima?” Soal baba seolah tak berpuas hati.
“Ye, Humaira terima.”
Ulas bibir umi dan baba menguntum senyum.
***
“Anak makcik ni tak macam kamu Humaira. Beruntung makcik kalau dapat menantu macam kamu.” Ustazah Musliha menyusun kata.

Setelah diterang serba serbi, baru aku tahu bahawa Afnan rupanya anak Ustazah Musliha. Sungguh kecil dunia ini. Itulah aturan ALLAH. Seorang yang berkerjaya, berpewatakan menarik, miliki segalanya. Namun, jauh dari ALLAH. Pelik bukan, sedangkan ibu bapanya seorang ustaz dan ustazah. Kuasa ALLAH, jika DIA tak beri hidayah maka akan terumbang ambing la umat manusia itu.

“Makcik, saya terima lamaran ini. Tapi dengan syarat.”
“Apa Humaira? Kamu nak cincin emas 2 bentuk ke?”
Aku tersenyum. “Makcik, kilauan emas tu akan hilang dan pudar warnanya di telan waktu. Saya tak perlukan semua tu. Cukup maharnya sekadar senaskah al-Quran. Dan tiba di hari pernikahan, saya nak Afnan serahkan al-Quran yang habis dibacanya 30 juzuk itu pada saya.”
“InsyaALLAH, nanti makcik sampaikan pada dia. Jadi Humaira betul-betul bersetuju ni?”
“Baba dan umi izinkan saya terima Afnan, jadi saya juga terima.”

“Terima kasih nak.” Tutur Makcik Musliha sambil jemarinya erat menggenggam jemariku.
Setelah tamat majlis serba sederhana itu, aku berlalu ke dapur, menolong ibu mengemas saki baki pinggan mangkuk yang telah digunakan.
“Umi bangga dengan anak umi.”
“Kenapa umi cakap macam tu?”
“Humaira tak menyesal terima Afnan? Sedangkan Humaira boleh memilih lelaki yang jauh lebih baik dari Afnan.”

“Kenapa baba dan umi terima Afnan sebagai calon suami Humaira?”
“Sebab dia perlukan Humaira.”
“Atas sebab itulah Humaira terima dia. Humaira tak menyesal mi. Humaira tahu, Afnan perlukan seseorang untuk mengisi jiwa dia yang kehausan ilmu ALLAH tu. Humaira anggap ini amanah dari ALLAH. Pasti ada sebabnya kenapa ALLAH kirimkan Afnan untuk Humaira.”
“Agak-agak Afnan boleh tunaikan syarat Humaira tu?”
“Kita tunggu dan lihat jela mi.” Aku tersenyum.
***
Pantas masa berlalu, sepanjang tempoh persiapan majlis, tidak sekali kami bertutur bicara, apatah lagi bersua muka. Jika ada hal yang dia inginkan, hanya dengan baba dan umi yang dia temui. Entah bagaimana agaknya dia menyambut syarat yang aku tetapkan itu.
“Humaira, jom turun. Ustazah Musliha datang tu.”
“Baik mi.”

Tersedar dari lamunan setelah umi menyapa, lantas itu aku terus mengenakan tudung dan turun ke bawah.
“Macam mana, dah bersedia nak jadi isteri?” Bakal ibu mertuaku menyoal.
“InsyaALLAH makcik.” Aku hanya mampu terseyum.

Debarnya tetap terasa. Malam ini selepas isya’ aku bakal dinikahkan oleh baba sebagai waliku. Ya ALLAH, moga dipermudahkan segalanya. Namun aku masih menunggu “penyerahan” al-Quran daripada Afnan. Jam menunjukkan pukul 6.00 petang. Aku meminta diri untuk berlalu ke kamar. Majlis pernikahan ini hanya dibuat kecil-kecilan sahaja. Kata baba, kenduri nanti baru nak jemput ramai kenalan lain. Untuk hari ini hanya saudara-mara dan jiran terdekat sahaja yang menjadi tetamu. Teringat perbualan dengan Fatimah semalam,
“Enti nak kahwin?”
“Yelah.”
“Dengan siapa?”
“Enti datang majlis ana nanti, enti tahu la. Datang tau!”
Sukar percaya, itulah reaksi Fatimah. Aku juga tidak menyangka secepat ini aku akan bergelar isteri orang. Namun aku yakin dengan setiap yang telah DIA tetapkan.
“Assalamualaikum.”
Sapaan satu suara menghentikan lamunanku. Aku menoleh ke pintu.
“Fatimah! Eh, masuklah!”
“Berangan ke?”
“Eh, enti ni. Ada pulak. Terima kasih tau datang.” Kami bersalaman.
“Dengan siapa ni enti nak nikah?”
“Ala, enti tunggu je lah malam ni. Nanti enti saksikan sendiri.” Aku tersenyum.
“Ada-ada enti ni tau. Eh, umi enti suruh enti siap-siap apa yang patut.”
“Yelah.”
***
Tepat jam 9.00 malam aku sah menjadi isteri kepada Muhammad Afnan. Hanya tampil dengan baju melayu silver, dan aku hanya berjubah juga yang senada warnanya. Alhamdulillah, hanya itu yang terlafaz. Airmata kesyukuran mengalir lembut membasahi pipi, wajah umi dan baba aku tatap. Riak gembira jelas sekali terpancar di wajah mereka.
“Tahniah sayang.” Ucap umi sambil memelukku erat.
“Humaira! Enti dengan…? Apa-apa pun tahniah!” Melopong mata Fatimah apabila mengetahui yang Afnan kini sah menjadi suamiku.
Usai itu, aku berlalu ke dapur. Mencari segelas air, tekak sudah kehausan minta diisikan air.
“Terima kasih.”
Aku menoleh, kelibat Afnan menghampiriku.
“Terima kasih untuk apa Afnan?”
“Janganlah panggil Afnan. Tak macam suami awak pun.”
“Err, ok. Abang. Kenapa ucap terima kasih?”
“Sebab terima abang.”
“Ha, kalau ikut syarat, abang belum tunaikan lagi tau! Mana al-Quran yang abang patut bagi pada saya tu?”
“Abang taknak kasi. Sebab abang berubah kerana ALLAH, bukan kerana nakkan Humaira. Kalau abang serahkan al-Quran pada Humaira, itu bererti abang hanya berubah kerana Humaira. Sekarang abang nak tanya, kenapa Humaira terima abang?”
“Sebab abang tak bagi al-Quran tu pada saya la.” Aku tersenyum.
Aku menyambung. “Saya percaya, yang abang betul-betul berubah kerana DIA, bukan kerana nakkan saya semata-mata. Lagipun saya terima lamaran abang kerana saya anggap abang mungkin amanah dari ALLAH untuk saya. ALLAH hadirkan seseorang yang kehausan ilmu dan kasih sayangNYA untuk saya, agar saya boleh isikan jiwanya itu dengan ilmu yang saya ada.”
“Alhamdulillah. Terima kasih sayang. Sememangnya Humaira jodoh dari ALLAH untuk abang.”
“Kasih abang diterima. Mulai sekarang kita sama-sama kemudikan bahtera yang kita bina ni agar kukuh dalam pelayarannya ok?”
“InsyaALLAH.”
Senyuman kami berpadu. Terima kasih ALLAH. Sungguh perancanganMU penuh dengan rahsia.

Wallahu'alam......




...ustazpenang... 

Jadi Sahabat Sahaja, Tak Perlu Kapel

Jadi Sahabat Sahaja, Tak Perlu Kapel.







Bolehkah merubah perhubungan dari seorang kekasih menjadi sahabat sahaja???
Boleh. Cuba ubah hubungan yang selama ini pasangan kekasih kepada menjadi hubungan persahabatan.
Ketika pilihan ini menjadi satu-satunya pilihan pemutus kerana iman, maka pilih dan beralihlah ke konsep hubungan persahabatan semata-mata. Dan tahukah kita bahawa seorang sahabat akan ikut berasa senang jika melihat sahabatnya senang? Dan sahabat sejati juga tidak akan meninggalkan kita dikala sedang sedih dan dirundung duka. Mereka akan selalu memberi sokongan, bantuan dan bahkan menghulurkan tangan sewaktu kita terjatuh.

Sedangkan kekasih, sebahagian besar hanya akan ada ketika kita dalam keadaan sengsara, terkena musibah atau masalah, mereka lebih memilih untuk mengelakkan diri. Banyak contoh sudah berlaku, kekasih dipenjarakan kerana sesuatu kesalahan seperti dadah, dan kekasihnya tidak mahu menemuinya lagi. Ada juga yang menjadi mangsa simbahan acid, dan kekasihnya terus meninggalkannya.

Konsep sahabat lebih menekankan pada hubungan apa adanya. Mereka menerima kita apa adanya, baik dari sisi positif mahupun dari sisi negatif kita. Mahu gemuk mahu kurus, mahu langsing mahu boncet, semuanya diterima. Kerana kita sahabat.

Mereka akan menegur jika ada salah dan ada khilaf yang terjadi pada diri kita. Mereka tidak akan menjauh, meskipun kita sudah salah terlalu jauh. Mereka tetap ada dan tetap bersama kita. Tetapi bagaimana mereka yang berkasih-kasihan???

Sebahagian besar orang yang bercouple hanya melihat pasangannya dari sudut positifnya sahaja. Mereka memilih kerana kita cantik, kita kacak, kita macho, hebat dan kaya. Tetapi apabila mereka tahu kita malas, diuji Allah dengan berpenyakit, mereka terus mengundurkan diri. Saat mereka melihat kekurangan pada diri kita, mereka cenderung memilih orang lain.

Sahabat jarang membuat kita sedih. Mereka biasanya ada didalam duka dan lara. Sedangkan kekasih lebih banyak membuat kita sedih dari bahagia. Lebih-lebih lagi yang jenis cemburu buta, obses dan terlalu protektif. Mereka tidak mahu membiarkan kita bebas. Selalu ingin menguasai dan dikuasai. Mereka selalu menghalang komunikasi kita dengan manusia lain dengan api cemburu. Tidak boleh itu tidak boleh ini.Mereka tidak sedar membuat kita berlinang air mata kerana sedih sebab mereka.

Sahabat adalah hubungan selamanya. Sahabat adalah sahabat meskipun jarak memisahkan. Sahabat akan menyayangi kita dengan tulus tanpa perasaan asmara yang penuh nafsu. Perhatian mereka juga tidak akan luntur walaupun usia bertambah seiring perjalanan nafsu. Sedangkan sayang seorang kekasih akan lapuk ditelan waktu. Semakin lama semakin hilang rasa sayang kerana rasa bosan. 

Hubungan persahabatan dibina atas perasaan saling menghargai dan bukan dirancang suatu saat akan terputus. Tetapi kekasih sungguh sangat berbeza. Adakalanya orang bercinta kerana diniatkan untuk putus dalam masa tertentu. Kemudian mencari kekasih lain yang lebih cantik dan lebih menarik.
Ada masa putus, ada masa berakhir dan ada masa gagal. Cinta yang diucapkan tidak lagi segar, malah layu kering dan tidak enak lagi didengar. 

Berpisah kerana Allah dan bertemu kerana Allah.

Wallahu'alam......


...ustazpenang...

Jangan Jadikan Takdir Sebagai Kambing Hitam

Jangan Jadikan Takdir Sebagai Kambing Hitam






Sering kita terdengar orang yang selalu gagal dalam mencapai kejayaan hidup  berkata, ” Ini sudah takdir saya, dan saya harus ikhlas menerimanya.”

Benarkah orang tersebut gagal kerana memang dia sudah ditakdirkan hidup sebagai seorang loser?
Ketika ada yang tidak lulus peperiksaan, apakah memang takdirnya ? atau dia yang tidak mahu belajar dengan bersungguh-sungguh?

 Ketika ada bisnesman yang jatuh bangkrap, apakah itu sudah takdirnya ? ataukan dia yang kurang kreatif dan inovatif sehingga perniagaannya kalah bersaing dengan bisnes pesaingnya?

Ketika ada selebriti yang sudah beberapa kali mengalami kegagalan dalam membina kehidupan  rumah tangga, apakah itu kerana takdir yang harus dilaluinya ataukah kerana selebriti tersebut tidak memiliki tekad dan komitmen yang tinggi untuk mempertahankan keutuhan keluarganya?

 Tulisan ini tidak bermaksud memanipulasi pengertian takdir sebagai suatu bentuk keimanan kepada Tuhan. Akan tetapi lebih kepada Takdir jangan selalu dijadikan alasan atas kesalahan kita dalam menghadapi pasang surutnya kehidupan. Hidup akan terus berjalan “Live is go on”. Masalah adalah bagaimana kita menghadapi setiap permasalahan hidup yang muncul dan tetap muncul sebagai pemenang.
 Untuk menjadi pemenang kita wajib memiliki mental sebagai pemenang atau juara
 Seorang pemenang akan selalu optimistik dan penuh harapan menatap masa depan meskipun harus mendaki bukit yang tinggi dan lembah yang curam. Seorang pemenang melihat setiap  masalah  sebagai suatu tentangan untuk dipecahkan dan bukan untuk dihindari.


 Takdir adalah ukuran. Takdir adalah hukum Tuhan yang diberlakukan untuk kehidupan manusia dan alam raya. Kata takdir (taqdir) berasal dari kata “qaddara” berasal dari akar kata “qadara” yang  bererti mengukur, memberi kadar atau ukuran.

 Jika kita berkata, ʺAllah telah menakdirkan demikian,ʺ maka itu bererti, ʺAllah telah memberi kadar, ukuran, atau batas tertentu dalam diri, sifat, atau kemampuan  makhluk‐Nya”.
 Kalau kita melihat dalam kehidupan seharian,  yang menjadi masalah bukan bagaimana takdir itu difahami atau diertikan. Ini sepertinya sudah “muttafaqun alaih” atau sudah kita sepakati bersama.
 Oleh itu, apa yang menjadi masalah?

 Yang menjadi masalah adalah bagaimana orang memahami posisi dirinya dalam takdir Tuhan. Bagaimana orang meletakkan dirinya dalam lingkaran takdir tuhan itulah yang membezakan dia dengan orang lain. Ini terjadi ketika kita membawa konsep takdir ini untuk menjelaskan nasib kita. Nasib di sini berkait dengan warna‐warninya keadaan diri kita, misalnya: berjaya‐gagal, sengsara‐bahagia, maju‐mundur, menang‐kalah, dan seterusnya.

Harapan akan membangunkan mimpi seseorang, dengan harapan seseorang dapat melihat dunia dengan segala keindahannya, mensyukuri keberadaan dirinya dan merasa mampu untuk tetap bertahan.
 Seorang penyair menyatakan bahawa harapan itu seperti sayap burung yang mampu membawa terbang dirinya ke alam bebas untuk  merasakan hidup yang sebenarnya

 Berbeza dengan orang-orang yang tidak mempunyai harapan, mereka akan cenderung berputus asa. Melihat dunia dari kegelapan, merasakan bahawa keberadaanya tak ada gunanya lagi sehingga banyak juga orang yang berputus asa akhirnya menyakiti diri mereka sendiri bahkan ada yang sanggup untuk mengakhiri  hidupnya sendiri, dan pada akhirnya  Takdir yang dijadikan kambing hitam atas kemalangan hidupnya.

Dengan menyedari bahawa Takdir adalah suatu ketentuan dari Allah SWT, namun tetap merupakan akiat atas segala tindakan yang telah kita ambil, maka kita akan meletakkan usaha atau ikhtiar sebagai jalan keluar atas segala permasalahan kita, dengan tentunya tetap bersandar pada kekuatan yang jauh lebih besar dari kita, iaitu kekuatan Sang Maha Pencipta.

Untuk itu doa tetap kita mohonkan agar usaha dan langkah yang kita ambil tidak hanya baik dan sesuai dengan keinginan kita, tetapi juga sesuai dengan kehendak-NYA sebagai pemilik dan penguasa alam semesta ini.

Wallahu'alam........




...ustazpenang...