Thursday, 28 July 2011

Man Jadda Wa Jada

Man Jadda Wa Jada

Anda pernah mendengar ungkapan Man Jadda Wa Jada? Namun sudahkah Anda mengaplikasikan prinsip ini? Banyak orang sudah tahu namun masih sedikit yang mengamalkannya.
Banyak contoh yang kita temui dalam kehidupan seharian, banyak orang yang tidak menerapkan prinsip ini. Mereka cepat menyerah, berhenti berusaha, dan menyerah pada nasib.


Mereka suka mengatakan “saya tidak boleh”.
OK, bagi yang tahu ertinya, man jadda wa jada bererti sesiapa bersungguh-sungguh pasti dapat. Setahu saya, ini bukanlah hadis, tetapi sejenis pepatah Arab yang mengandungi makna yang mendalam.
Kata kunci dalam pepatah ini ialah jadda atau maksudnya bersungguh-sungguh. Jadi, sejauh mana kita sudah mengamalkan pepatah ini,  sejauh kita bersungguh-sungguh?

Jawablah persoalan  ini dalam hati kita dengan ikhlas. Ukurlah diri kita tanpa dalih tanpa alasan (jika bersungguh-sungguh ingin maju).
  • Sudahkah kita bersungguh-sungguh melihat peluang?
  • Sudah berapa kali kita gagal dan bangkit mencuba lagi?
  • Seberapa gigih dan tabah kita dalam mencari solusi masalah?
  • dan sebagainya.

“Tapi saya…” jika kita masih suka mengatakan “tapi” sebagai dalih tidak berusaha, ertinya kita belum bersungguh-sungguh. Mungkin dalih kita benar, tetapi kita tidak akan meraih apa yang kita inginkan.
Jika kita memang bersungguh-sungguh, akan selalu ada jalan untuk mencapai apa yang kita inginkan. Akan selalu ada jalan untuk menyelesaikan masalah kita. Kekuatan fikiran, hati, dan tubuh kita sudah cukup untuk mengatasi masalah kita. Sebesar mana pun masalah kita.
Semua orang memiliki potensi yang sama, yang berbeza ialah sejauh mana kita menggunakan potensi tersebut. Sejauh mana kita menanamkan man jadda wa jada dalam kehidupan kita.


Wallahu'alam..........



...ustazpenang...

Hidup Bukan Untuk Loser

Hidup Bukan Untuk Loser

Hidup adalah bukan suatu perjalanan yang mendatar atau bergerak linear. Ada lika-likunya. Ada suka dan duka. Ada kejayaan pada satu waktu, kadangkala kegagalan di waktu lainnya. Bahkan iman kita, “yazidu wa yanqus” pada suatu saat naik, suatu ketika ia menurun.
Maka mempertahankan azam dan cita-cita adalah kekuatan yang membuatkan manusia mampu bertahan dalam hidup.
Memiliki harapan yang akan digapai adalah bahan bakar yang membuatkan kehidupan kita tetap menyala. Walaupun cita-cita itu telah tercapai, buatlah cita yang lebih tinggi lagi. Walaupun harapanmu telah kau gapai, buatlah harapan yang lebih besar hendak kau gapai.


Seperti jiwa Umar bin Abdul Aziz, menetapkan cita-cita memdapat isteri solehah, dan berharap menjadi amir kemudian khalifah. Semuanya tercapai. Ketika menjadi khalifah, dia mengerahkan segenap potensinya untuk meraih cita-cita terakhirnya, iaitu: masuk syurga. Maka dia pemimpin yang adil dan menyejahterakan negara, sehinggakan para amil kesulitan menemui para mustahik.
Mengapa kini kita menjadi orang-orang yang kehilangan daya untuk hidup, sebelum kehidupan meninggalkan kita? Atau orang yang diam hanya menanti kematian datang?

Manusia akan menjadi seperti itu jika dia tidak lagi memiliki harapan, cita-cita. Dan itu bermula dari kesalahan memahami erti kehidupan. Mereka melihat dunia ini dari sudut kebendaan sahaja . Bagi mereka, “jika tak tahan menderita, lebih baik mati sahaja”.

Tanpa harapan dan cita-cita,  manusia tetap boleh hidup. Namun, tiada lagi rasa ghairah dan semangat. Tiada lagi letupan – letupan jiwa yang menggerakkannya untuk hidup yang lebih berarti, lebih bermanfaat. Dia menyerah. Dia kalah.

Ada juga manusia yang pada awalnya memiliki cita-cita. Dia puas apabila cita-cita itu tercapai, lalu dia berdiam diri. Pada mulanya kita akan berasa puas. Lama-kelamaan kepuasan itu akan hilang, akan menjadi tidak bererti. Sebab tiada lagi azam untuk mencapai yang lebih tinggi.
Khalid bin Walid adalah contoh terbaik. Mencapai prestasi terbesar bukan diakhir hidupnya. Namanya telah mengharum sebagai pedang Allah, panglima perang yang selalu membawa pasukannya pada kemenangan. Dan puncaknya adalah Perang Yarmuk. 

Ketika dia berjaya membuat tentera Romawi kelam kabut, dia dipecat oleh Umar. Namun dia tetap berjaya memenangkan keikhlasan jiwanya. Berjaya mempertahankan azam untuk syahid fi sabilillah. Maka Khalid pun berjaya mendapatkannya. “Siapa yang berazam mendapatkan mati syahid, dia akan dicatat sebagai syahid meskipun matinya di atas katil.” Dan sehingga kini, namanya dikenang sebagai panglima besar Islam, sehingga Agha Ibrahim Akram memerlukan lebih dari 600 halaman untuk mencatat biografinya.

Belum terlambat bagi kita untuk menanam cita-cita. Menegakkan cita – cita itu supaya meninggi,  supaya berkibar di angkasa. Menguatkan akarnya hingga tidak pernah tercabut dari jiwa. Mengukuhkan tiangnya sehingga tidak pernah patah oleh sekencang manapun angin godaan yang menghempas menerpa. Jika cita demi cita menjadi nyata, ucapkan puji dan panjatkan syukur pada-Nya.
Namun ada satu lagi yang kita semua belum mampu memastikannya: Menggapai redhaNya dan memperoleh syurga. Bukankah itu setinggi cita-cita dan akan terus menyalakan semangat kita? Percayalah: hidup bukan  untuk kalah. 



Wallahu'alam.........



...ustazpenang...

Kisah Cinta Pohon Epal

Kisah Cinta Pohon Epal

Suatu ketika, hiduplah sebatang pohon epal besar dan kanak-kanak lelaki yang suka bermain-main di bawah pohon epal itu setiap hari.
Kanak-kanak itu suka memanjatnya hingga ke pucuk pohon, memakan buahnya, tidur dibawah keteduhan rendang daun-daunnya.
Kanak-kanak lelaki itu sangat sayangkan pohon epal itu.
Demikian juga pohon epal sangat sayang kepada kanak-kanak kecil itu.



Waktu terus berlalu.
Kanak-kanak lelaki itu kini telah dewasa dan tidak lagi bermain-main dengan pohon epal  itu setiap hari, seperti kebiasaannya.


Suatu hari dia mendatangi pohon epal itu.
Wajahnya nampak sedih.
“Mari ke sini bermain-main lagi denganku” kata pohon epal itu.
“Aku bukan anak kecil yang bermain-main dengan pohon lagi” jawab kanak-kanak lelaki itu.
“Aku ingin sekali memiliki mainan, tetapi aku tiada wang untuk membelinya.”

Pohon epal itu menyahut, “Erm, maaf aku pun tiada wang.. Tetapi kamu boleh mengambil semua buahku dan menjualnya. Kamu boleh mendapatkan wang untuk membeli mainan idamanmu” . Kanak-kanak lelaki itu sangat gembira. Dia memetik semua buah epal yang ada di pohon dan pergi dengan penuh suka cita.
Namun, setelah itu kanak-kanak lelaki itu tak pernah datang lagi. Pohon epal itu kembali sedih.

Suatu hari kanak-kanak lelaki itu datang lagi.

Pohon epal sangat gembira melihatnya datang.
“Mari bermain-main denganku lagi” kata pohon epal.
“Aku tiada waktu” jawab kanak-kanak lelaki itu.
“Aku harus bekerja untuk keluargaku. Kami memerlukan rumah untuk tempat tinggal. Mahukah kau menolongku?”
“Maaf aku pun tidak memiliki rumah. Tetapi kamu boleh menebang semua dahan rantingku untuk membina rumahmu” kata pohon epal itu.
Kemudian anak lelaki itu menebang semua dahan dan ranting pohon epal itu dan pergi dengan gembira.
Pohon epal  itu juga merasa bahagia melihat anak lelaki itu gembira. Tetapi anak lelaki itu tak pernah kembali lagi.

Pohon epal itu sekali lagi merasa kesepian dan sedih.

Pada suatu musim panas, anak lelaki itu datang lagi.
Pohon epal merasa sangat gembira menyambutnya.
“Jom bermain-main lagi denganku” kata pohon epal.
“Aku sedih” kata anak lelaki itu.
“Aku sudah tua dan ingin hidup tenang. Aku ingin pergi bersiar-siar dan berlayar. Mahukah kamu memberikan aku sebuah kapal?”
“Maaf aku tidak mempunyai kapal, tetapi kamu boleh memotong batang tubuhku dan menggunakannya untuk membuat kapal yang kau mahu. Pergilah berlayar dan bersenang-senanglah “
Kemudian, anak lelaki itu memotong batang pohon epal itu dan membuat kapal yang diidamkannya.
Dia pun pergi berlayar dan tidak pernah lagi datang menemui pohon epal itu.

Akhirnya, anak lelaki itu kembali  setelah bertahun-tahun kemudian.
“Maaf anakku” kata pohon epal itu.
“Aku sudah tidak memiliki buah epal lagi untukmu.”
“Tak apa. Aku pun sudah tidak memiliki gigi untuk mengigit buah epalmu” jawab anak lelaki itu.
“Aku juga tidak memiliki batang dan dahan yang boleh kau panjat” kata pohon epal.
“Sekarang, aku sudah terlalu tua untuk itu semua”  jawab anak lelaki itu.
“Aku benar-benar tidak memiliki apa-apa lagi yang dapat aku berikan padamu. Yang tinggal hanyalah akar-akarku yang sudah tua dan sekerat ini” kata pohon epal itu sambil menitikkan air mata.
“Aku tidak memerlukan apa-apa lagi sekarang” kata anak lelaki itu.
“Aku hanya memerlukan tempat untuk berehat. Aku sangat penat setelah sekian lama meninggalkanmu”
“Oooh, bagus sekali. Tahukah kamu, akar-akar pohon tua adalah tempat terbaik untuk berbaring dan beristirehat. Mari, marilah berbaring di pelukan akar-akarku dan berehatlah dengan tenang.”

Anak lelaki itu berbaring di pelukan akar-akar pohon.
Pohon epal itu sangat gembira dan tersenyum sambil menitiskan air matanya.

Apa yang dapat kita ambil dari cerita tersebut adalah ini adalah tentang cerita kita semua
Pohon epal itu adalah ibu bapa kita.
Ketika kita muda, kita senang bermain-main dengan ayah dan ibu kita.
Ketika kita semakin besar, kita meninggalkan mereka (seperti sekolah yang jauh dan universiti), dan hanya datang ketika kita memerlukan sesuatu atau dalam kesulitan.

Tidak peduli apa-apa pun, ibubapa kita akan selalu ada untuk memberikan apa yang dapat mereka berikan untuk membuat kita bahagia.
Kita mungkin berfikir bahawa anak lelaki itu telah bertindak sangat kasar terhadap pohon itu,
Tetapi kadangkala tanpa kita sedari begitulah sikap kita terhadap orang tua kita.

Orang inilah yang setiap hari bekerja keras untuk kesejahteraan kita, anak-anaknya.
Orang inilah, rela melakukan apa sahaja asal perut kita kenyang dan pendidikan kita lancar.
Sekarang, lihatlah ayah dan ibu anda  ketika sedang tidur. Bagaimana jika saat kita jauh tidak disampingnya, kita tak dapat lagi melihatnya kerana mereka sudah tidur untuk selamanya.
Rasakanlah getaran cinta yang mengalir deras ketika mengingat
Betapa banyaknya pengorbanan yang telah dilakukan mereka ini untuk kebahagiaan anda.
Cintailah mereka kita, dengan sebenar-benarnya cinta
Ucapkan pada ibubapa kita sekarang, betapa kita mencintainya; dan berterima kasih atas seluruh hidup yang telah dan akan diberikannya pada kita.
Bayangkanlah apa yang akan terjadi jika esok hari mereka “orang-orang dikasihi itu” tidak lagi membuka matanya, selamanya..

Aduhai ayah, ibu… terima kasih engkaulah pelita dalam hatiku..
Ya Allah Ya Ghaffar
Tak kuasa lagi aku merangkai kata ini…
Dan hanya permohonan dari lubuk hatiku yang penuh noda dan dosa dengan rahmatMu yang meliputi segala sesuatu Kasihanilah aku dan kedua orang tuaku…
Demi RahmatMu yang mendahului murkaMu, daku bermohon, ampunilah dosa kedua orang tuaku
Duhai Zat yang selalu mendengarkan jeritan inilah daku yang merendahkan diri dihadapanMu.  

Wallahu'alam............




...ustazpenang...

Wednesday, 27 July 2011

Ramadhan Yang Dirindui

Ramadhan Yang Dirindui

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa". (Al-Baqarah ayat:183)

"(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui" (Al-Baqarah ayat:184)

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur". (Al-Baqarah ayat:185)

"Setiap hamba yang berpuasa dijalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun".
(Bukhari-Muslim)

Ramadhan kembali menjelma lagi,
Terubat rindu di hati ini,

Rinduku pada solat Sunat Terawih,
Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:
"Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Terawih) dalam bulan ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu".

Rinduku pada taddarus Al-Quran,
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:
"Tidak berkumpul suatu kaum pada mana-mana rumah Allah, mereka membaca
dan bertadarus Al-Qur'an, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan
(sakinah), diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan Allah menyebut mereka pada
para malaikat"

Rinduku pada malam Lailatul-Qadar,
"Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rinduku pada segala-galanya di bulan ini..
Masih sempatkahku untuk menyempurnakan rindu itu,
Penuhilah hari-harinya dengan beribadat,
Kejarlah syurga dan jauhilah neraka,
Moga bahagia sepanjang hayat.

BERBUAT IBADAH DENGAN PENUH PENGHAYATAN,
AMALAN DIPERTINGKATKAN PAHALA DI GANDAKAN,
SINAR HIDAYAH SEPANJANG ZAMAN,
NERAKA DIJAUHI, SYURGA DIKEJARKAN.



Wallahu'alam..........



...ustazpenang...

Monday, 25 July 2011

Risaunya Hati...!

Risaunya Hati...!

Cemburu..
Itulah sifat yang terlalu akrab dengan seorang wanita. Sebab itu, hati para wanita ini perlu dibelai, dikasihi, dijaga sebaik-baiknya agar tidak terluka. Wanita, apabila hati sudah terluka sudah pasti lambat sembuhnya. Jika tidak kena pada caranya, hati wanita ini boleh bernanah dengan begitu teruk. Disinilah suami perlu bijak memainkan peranan. Memujuk tanpa jemu, ikutilah sunnah-sunnah nabi. Bagaimana Rasulullah S.A.W berjaya menggembirakan hati isteri-isteri baginda sebelum ini.

Lelaki juga apa kurangnya walaupun jarang-jarang cemburu tetapi apabila sesekali cemburu begitu hebat penangannya. Tetapi sangat sedikit lelaki yang mengaku bahawa dia sedang cemburu. Mungkin ego itu yang menghalang mereka daripada berterus terang. Mungkin kah?

Suami isteri selalunya bersengketa hanya kerana cemburu. Cemburu kadang-kadang boleh mendatangkan bahagia, tapi ianya lebih banyak cenderung kepada pergaduhan. Cemburu yang mendatangkan pergaduhan ini selalunya merupakan cemburu buta, jika tidak pun kemungkinan besar ada orang yang ketiga yang wujud dan sengaja menimbulkan pergaduhan antara suami isteri ini agar masing-masing bergaduh antara satu sama lain dan kemudian bercerai berai. Nauzubillah!

Apa yang ingin dikongsikan tentang sifat ini ialah mengenai pasangan yang terlalu memikirkan tentang perhubungan. ikuti luahan sebenar hati seorang insan bernama wanita:
Aku bahagia bertemu dengan si dia. Ilmunya, akhlaknya sangat aku kagumi. Dia seorang yang lemah-lembut terhadap wanita. Perkenalan dengannya yang begitu lama akhirnya telah menyatukan kami sehingga ke ambang perkahwinan. Aku sangat bahagia bersamanya.

Tapi, di saat aku terlalu menyayanginya. Allah menguji keimanan ku. Aku dapat tahu dahulunya dia pernah menyayangi seorang wanita sebelumku, aku cemburu dengan itu sedangkan dahulu, aku tidak pernah menyayangi mana-mana lelaki sebelumnya dan hakikatnya dialah lelaki pertama dan yang terakhir yang pernah aku sayangi.

Kemudian, aku mendapat tahu lagi perkara-perkara yang lalu tentangnya. Aku menjadi semakin gelisah, hatiku resah tidak menentu. Dahulu, suamiku seorang insan biasa. Dia tidak pernah menuntut di sekolah agama. Pendidikan agamanya hanya setakat sekolah agama rakyat yang dihadirinya diwaktu petang ketika zaman sekolah rendah. Menurut suamiku lagi, dia seorang yang amat jahil tentang ilmu Islam. Namun begitu, Alhamdulillah tahun demi tahun berlalu, akhirnya Allah telah berikan suamiku hidayah. Sebelum mengenaliku, dia telah dibukakan mata hatinya untuk berubah mencari yang hakiki. Atas dasar keimanannya itu, aku jatuh cinta padanya. Ketika diberitahu dia meminangku, aku tersenyum syukur. Aku memilihnya kerana nilai agama yang ada dalam dirinya. Masya-Allah!

Ketika aku menerima pinangan dan bernikah dengannya, aku tidak mengetahui langsung sejarah hidupnya. Dihadapanku ketika itu dia adalah seorang lelaki soleh, yang aku cintai dan terima seadanya. Sungguh tenang, seakan bercahaya wajahnya. Tapi, bila saat sejarah-sejarahnya dahulu diketahui olehku, aku menjadi bingung. Terngiang-ngiang ditelingaku pengakuan suamiku kepadaku bahawa suatu masa dahulu dia seorang yang kerap bersosial.

Dia pernah berkawan dan bermesra dengan beberapa wanita lain yang berbeza sebelum dia mendapatkan hidayah Allah itu. Aku menjadi terlalu cemburu dan agak marah ketika itu semuanya kerana aku berasa tidak adil kerana aku tidak pernah melakukan apa yang suamiku lakukan sebelum aku bernikah dengannya dahulu. Aku jadi sedih dan perasaanku bercampur baur. 

Kadang-kadang aku menangis merintih pada Ilahi mengapa sifat ini terlalu menikam-nikam jiwa batinku. Aku ingin menjauhi sifat seperti ini. Namun, semakin aku cuba untuk melawan semakin ia kuat mencengkam perasaan. Aku cuba mempositifkan diri dan minda, tetapi masih tidak berjaya. Salahku Ya Allah kerana aku terlalu cemburu?

Tatkala terbayang keadaan suamiku berhubungan dengan wanita lain dan terbayang saat suamiku bermesra dengan kekasih hatinya dan wanita-wanita seperti itu, aku jadi semakin sedih. Apa yang aku inginkan ialah suami yang suci dan tidak pernah melakukan dosa-dosa besar, tapi itu mustahil kerana aku telah memilihnya dan aku juga pernah melakukan banyak dosa tanpa disedari.

Hampir setiap saat aku memikirkan perkara ini selepas aku mengetahui kisah silamnya. Kepalaku jadi serabut yang teramat. Tetapi hubunganku dengannya tetap berjalan seperti biasa. Sungguh, aku tidak berani menyuarakan perasaan cemburuku ini padanya. Apabila kulihat mukanya kelihatan risau dan ingin meminta nasihat dan semangat setelah berpenat-lelah berjuang dan berdakwah di luar, aku memberikannya kata-kata semangat, walaupun di hati aku sedih dengan kisah silamnya tetapi aku cuba lupakannya demi cintaku pada seorang suami..

Hinggalah pada suatu detik, aku teringat akan kisah srikandi Islam yang mulia iaitu 'Aisyah'. Beliau adalah salah seorang isteri Rasulullah S.A.W yang paling muda dan yang paling kuat sifat cemburunya.

Pernah suatu hari, salah seorang isteri Baginda S.A.W datang berkunjung ke rumah Baginda ketika mana giliran Baginda untuk bersama Aisyah. Isteri Baginda S.A.W ketika itu hanya ingin memberikan sedulang makanan kepada suaminya dan madunya, 'Aisyah. Apabila 'Aisyah ingin menyambut makanan tersebut beliau sengaja menjatuhkan makanan itu. Dan, hal ini segera ditegur oleh Baginda S.A.W. Lalu Baginda S.A.W menasihati isterinya dan meminta agar 'Aisyah meminta maaf kepada madunya itu.

Ada juga kisah mengenai sifat cemburu 'Aisyah di mana Rasulullah S.A.W acapkali menyebut-nyebut tentang Saidatina Khadijah di hadapannya. Sehingga beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengapa Baginda selalu menyebut-nyebut tentang Saidatina Khadijah sedangkan Saidatina Khadijah sudah wafat. Lalu Baginda S.A.W bersabda bahawasanya Saidatina Khadijah ialah seorang wanita Islam yang terlalu banyak berkorban demi agama.

Kini, tersedar ku dari lamunan. Aku sedar, sifat ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Aku perlu kawal perasaan ini, bukan lawan. Kerana sifat ini merupakan fitrah insani. Cuma ianya perlu dikawal dengan sebaiknya.

Walaupun begitu. Aku tahu bahawa suamiku sudah banyak berubah. Semenjak aku mengenali suamiku, dia sudah banyak berubah. Dia menjaga batas-batas pergaulannya dengan wanita ajnabi. Dia menundukkan pandangannya daripada memandang wanita yang bukan mahram. Dia hanya berurusan dengan wanita apabila terdapat urusan penting sahaja. Alhamdulillah. Aku sepatutnya bersyukur ke hadrat Ilahi. Dia sudah berubah dan dia bukanlah dia yang sebelum ini lagi.

Suamiku selalu berpesan agar jangan diingatkan kisah yang lepas kerana kisah itu hanya kisah silam yang menjadi epilog silamnya. Memang benar apa yang suamiku katakan. Aku akan cuba berubah menjadi isteri yang solehah dan tidak memikirkan perkara-perkara lampau itu lagi!

Kini aku berdoa agar dikurniakan sikap yang lebih positif agar hatiku tenang bila bersamanya. Aku ingin sekali kami memupuk sikap saling percaya antara satu sama lain kerana bagiku kepercayaan itu penting dalam perhubungan suami isteri. Kami juga akan sedaya-upaya membina keluarga sakinah di mana keluarga itu yang sentiasa mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya. Pada pandanganku, apabila kita yakin dengan ajaran Islam (amal,ilmu,akhlak,hubungan suami dengan Allah terjaga), secara automatiknya kita akan yakin dengan perhubungan kita secara keseluruhannya. Insya-Allah.

Pesananku buat semua pasangan suami isteri, bercintalah kerana-Nya. Cinta itu suci, dan janganlah mengotori hakikat cinta itu. Hargai pasangan kita. Dan, jagalah hati pasangan kita sebaik-baiknya. Jika telah dikurniakan suami yang soleh dan baik, bersyukurlah pada Allah dan doalah agar dia akan kekal begitu. Usahlah cemburu membabi buta kerana kemungkinan besar cemburu itu akan lebih mengeruhkan keadaan yang sedia ada.

Wallahu'alam..........



...ustazpenang...

Bila Sudah Tertulis, Kau Tetap Jodohku

Bila Sudah Tertulis, Kau Tetap Jodohku

"Abang nak dengar cerita tak?" Soal Zahra, isteriku yang baru beberapa hari kunikahi. Lembut dan lunak sekali suaranya.

Ketika itu aku sedang menghadam kitab Usul Fiqh tulisan Syekh Prof. Dr. Abd Karim Zaidan. Ulama kelahiran Iraq yang tekun mendidik dan berdakwah di Yaman. Beliau terkenal dengan kealimannya dalam bidang Fiqh dan Usul serta Dakwah.

Sengaja aku meneruskan bacaan. Aku berpura-pura seperti tidak mendengar apa-apa.
"Abang, nak dengar tak cerita saya. Emm...tak pelah." Dia mencebik muka.

Itulah yang aku tunggu. Lantasku tutup kitab fiqh dan aku letakkan di atas meja kecil disisi sofa. Aku bangun melangkah dan mendekati isteriku yang sedang duduk bersimpuh di atas lantai beralaskan permaidani berona coklat. Aku memilih kedudukan betul-betul dihadapannya. Mata kami bercantum empat. Pandangan kami menyatu. Perlahan-lahan ku hulurkan kedua tangan, dan ku pegang pipinya. Lalu ku dekatkan bibir ke wajahnya. Dia menutup mata. Kemudian... tangan nakal ku mencubit lembut hidungnya.

"Haa! haa..!" Aku pantas bangkit dan melarikan diri.

"Abang!" Zahra cukup geram dengan perbuatanku tadi. Dia terus bingkas dan mengejar-ngejar aku dibelakang.

Suasana menjadi riuh dengan suara gelak dan tawa kami. Gelagat kami seakan-anak anak kecil yang sedang bermain kejar-kejaran. Mujurlah kami belum punya cahaya mata. Kalau tidak pasti mereka merasa pelik melihat gelagat kami yang seperti mengalahkan mereka ini. Melihat keadaan isteri yang semakin letih, aku tidak betah untuk terus berlari. Sengaja ku beralah. Pantas sahaja dia menangkap tubuhku, lalu melancarkan serangan. Berkali-kali.

"Sayang! Abang cubit sekali je tadi," ujarku cuba membela diri sambil ketawa.
"Ah. Tak kiralah abang yang mula dulu. Sekarang terimalah balasannya." Zahra sehabis mungkin mengenakanku kembali. Habis tubuhku dicubitnya manja. Dia mengilai riang, kemenangan. Aku tidak bisa berbuat apa-apa lagi, hanya mampu redha dengan kemenangan Zahra. Seraya itu, ku perhatikan tingkahnya. Suaranya. Gelak tawanya. Manja dan menawan hati. Dia benar-benar mampu mengubat hatiku, aku benar-benar gembira dan bersyukur pada Allah kerana dijodohkan dengan wanita semulia dan secantik Zahra. Terima kasih Allah!

Dalam kegembiraan dia mencubitku, dengan pantasku tangkap serangan terakhirnya. Aku pegang kedua tangannya. Zahra terdiam kaku. Aku pandang tepat ke wajahnya. Sedikit titik air terlihat dikelopak matanya. Aku sekat air mata bahagia itu dengan jari jemariku. Perlahan-lahanku kucup ubun-ubunnya, lembut dan kurangkul tubuhnya erat dengan penuh kasih sayang. Kasih sayang yang dibina kerana Allah. Aku bahagia, dan ku pasti dia juga turut merasai kebahagiaan ini.

"Abang ni, sampai hati kenakan Zahra tau!" Dia pura-pura merajuk dan membulatkan matanya, walaupun begitu tetap terpancar rona-rona keceriaan disebalik rajukan yang dibuat-buat itu.

"Sekali-sekala abang nak bergurau dengan Zahra, seronok juga kan." Selorohku sambil ketawa kecil.
Aku memimpin Zahra dan membawanya ke arah kerusi yang terletak di balkoni. Daripada balkoni itu, kami dapat menikmati angin bayu yang begitu mendamaikan kerana balkoni tersebut benar-benar menghadap pantai. Aku selesa disini bersama isteriku yang tercinta. Kami masing-masing mendiamkan diri, menikmati kedinginan malam dan keindahan bulan di langit. Butir-butir bintang berkelip indah, bukti kekuasaan Yang Maha Esa. Beberapa ketika selepas itu, aku memperbetulkan kedudukan ku diatas kerusi dan merebahkan tubuh ke sandaran kerusi berlapikkan span. Zahra tanpa disuruh, menyandarkan kepalanya ke dadaku. Hati ini terasa sejuk dan tenang sekali.

Alangkah indahnya nikmat Tuhan, aku dapat bermesraan dengan wanita yang halal bagiku, sudah tentu ia akan dikira sebagai ibadah. Dalam sepi aku terfikir, inilah hikmah perkahwinan yang seringku baca dalam kitab-kitab dan hadith-hadith Nabi, sesungguhnya Allah telah membuka pintu-pintu kenikmatan yang membuahkan pahala.

Lama membisu dan melayan perasaan, tiba-tiba Zahra mengungkapkan tutur yang membelah kesunyian."Pernah suatu ketika dulu, sebelum Allah menyatukan kita. Waktu itu kita sama-sama menuntut di universiti. Zahra begitu kagum dengan seorang pemuda. Zahra rasa dia adalah lelaki paling mulia di dunia. Dialah pemuda sejati yang menempatkan ibadah dan dakwah di atas segalanya. Sungguh Zahra kagum dengan keperibadiannya. Kebijaksanaannya menyantuni orang-orang sekeliling membuatkan hati-hati yang menjadi dekat dengannya. Bicaranya ibarat zikir-zikir yang sering mengingatkan orang-orang sekeliling akan Allah. Tingkahnya membuatkan orang-orang merasa senang bahkan bisa tersentuh."

Aku cuma mendengar. Membiarkan Zahra meneruskan kalimah-kalimahnya.
"Zahra tidak pernah menyangka Zahra sudah jatuh hati pada pemuda itu. Sungguh Zahra tidak pernah menyangka perasaan itu dan Zahra pernah berkali-kali menafikannya. Namun Zahra tidak kuat menolak cinta yang hadir dalam diri. Zahra tewas dengan perasaan sendiri."

Kemudian Zahra terdiam. Dia memandangku dengan pandangan sayu.
Wajahku seakan berubah. Demi Allah, aku benar-benar cemburu kepada pemuda itu. Masakan dia bisa mencuri hati seorang wanita mulia. Seorang muslimah yang sangat aku sanjungi dan kagumi keperibadiannya. Malah, wanita ini sekarang telah menjadi permaisuri hidupku. Aku ingin sekali bertanya. Pelbagai persoalan muncul di fikiranku namun ku biarkan Zahra dengan bicaranya dan aku akan cuba dengar dengan saksama.

"Namun abang, Zahra masih kuat untuk mendidik nafsu sendiri. Zahra tidak tertewas dengan pujukan syaitan yang berkali-kali mengajak Zahra menerobos ke ruang maksiat. Zahra masih punya sifat malu yang menebal. Mustahil untuk Zahra menanggalkan pakaian mulia itu. Pakaian yang dinamakan malu. Maka dengan perasaan malu yang mendalam itulah Zahra bertahan membuang segala rasa yang mungkin mengganggu hari-hari Zahra.

Zahra tidak mahu terjebak ke jurang cinta seusia itu kerana Zahra telah tekadkan dalam diri bahawa hidup saya semata-mata untuk menelaah ilmu dan menjunjung perintah Allah didalam al-Quran. Cinta sebelum bernikah adalah cinta semu yang tidak harus diagung-agungkan. Lalu Zahra pendamkan rasa cinta Zahra pada pemuda itu, kerana Zahra berkeyakinan bahawa jodoh adalah rahsia Allah yang tidak bisa disingkap oleh insan melainkan dengan kudrat-Nya."

Zahra berhenti berbicara seketika. Dia menarik nafas dalam-dalam. Perkara ini seperti terlalu serius dan penting baginya. Aku menjadi risau dan soalan demi soalan kian menjengah ke dalam fikiranku.
"Zahra berusaha mendekatkan diri kepada-Nya. Bulat-bulat Zahra berserah kepada Allah perihal jodoh.

Kerana Zahra yakin akan bicara Allah dalam kalam-Nya:"(lazimnya) perempuan-perempuan Yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki Yang jahat, dan lelaki-lelaki Yang jahat untuk perempuan-perempuan Yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan Yang baik untuk lelaki-lelaki Yang baik, dan lelaki-lelaki Yang baik untuk perempuan-perempuan Yang baik. mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) Yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan Yang mulia."
(Surah An-Nuur:26)"

Zahra memandangku lembut. Dia pasti dapat meneka riak air mukaku. Aku cemburu Ya Allah. Mengapa perlu isteriku ini bercerita perihal pemuda lain dihadapanku. Walaupun aku kini pemiliknya yang sah namun aku tidak dapat menghalang jiwaku daripada perasaan cemburu ini. Namun Zahra masih mahu menyambung kisah nya.

"Pemuda yang mulia untuk wanita yang mulia. Jadi, Zahra berdoa tidak henti-henti moga Zahra dipertemukan dengan pemuda itu jika Allah mengkehendaki."
Tanpaku sedari Zahra mencuri pandang kearahku. Dia kini seperti menangkap perasaan di hatiku yang sedari tadi membuak-buak rasa cemburu.

"Abang cemburu?" Soalnya lembut dan manja.
"Love is never without jealousy," jawabku perlahan. Zahra berterusan membisu dan memandangku seakan mengerti masih ada bait-bait kata yang ingin aku ucapkan kepadanya.
"Bertuahnya lelaki tu. Mesti dia seorang yang hebat kan? Yelah, seorang wanita secantik dan semulia Zahra pun memuji dan mencintainya. Siapa lelaki tu sayang? Abang kenal dia?" Aku menyoal Zahra bertubi-tubi namun nadaku masih lembut walaupun hatiku bergetar ingin tahu siapa lelaki yang isteriku cintai ini.

"Abang nak tahu siapa dia?" soalnya semula kepadaku. Eh, bukankah aku yang banyak bertanya soalan kepada dia tapi dia pula yang menyoalku kembali. Aku berasa sedikit geram dalam penantian.
Dia kemudian memegang tanganku dan diciumnya dengan penuh takzim. Lalu dengan sungguh-sungguh dia berkata.

"Abang, you are the man that i loved since the first time i met you in University. Zaid! Masya-Allah, now you've already be my husband, and i will give all my life to you, in the name of Allah." 

Hatiku gerimis. Basah dengan bicaranya yang penuh makna. Aku pandang wajahnya dalam-dalam sembari menikmati keindahan dan kecantikan wajahnya. Hatiku kini tenang. Sungguh benar sabda Nabi Muhammad SAW:
"Sebaik-baik isteri adalah yang jika kamu memandangnya membuatkan hatimu senang, jika kamu perintahkannya dia mentaatiku, dan jika kamu tinggalkannya maka dia akan menjaga untukmu harta dan dirinya."
(Hadis riwayat Ibn Jabir)

"Sayang, wajahmu seindah bidadari di syurga. Abang sangat beruntung dan bangga kerana menikahi seorang isteri solehah seperti sayang" Lirihku lembut.

"Dan abang adalah lelaki terbaik yang pernah Zahra temui. Abang cinta pertama dan terakhir Zahra." Lirihnya kembali.

Perasaan kami, jiwa kami, hati kami, segalanya kini bersatu. Aku mencintai isteriku dan berjanji akan selamanya menjaga amanah Allah ini hingga ke syurga. Akan kami teruskan ibadah yang suci ini dan kami mengharapkan akan dikurniakan anak-anak yang soleh yang akan memakmurkan bumi Allah dengan kebenaran dan rahmat Islam kelak.


"Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir."
(Surah Ar-Ruum: 21)

Wallahu'alam...........




...ustazpenang...

Indah Penciptaan Adam Dan Hawa

Indah Penciptaan Adam Dan Hawa

Pernahkah anda tertanya-tanya mengapa Hawa dijadikan oleh ALLAH S.W.T di saat Adam a.s tidur? Jawapannya seorang lelaki apabila kesakitan, maka dia akan membenci, manakala wanita sebaliknya.
Bagi wanita, saat dia kesakitan, maka semakin bertambah sayang dan cintanya. Seandainya Hawa diciptakan dari Adam As saat Adam terjaga, pastilah Adam akan merasakan sakit keluarnya Hawa dari tulang sulbinya, hingga dia membenci Hawa. Akan tetapi Hawa diciptakan dari Adam pada saat dia tertidur, agar Adam tidak merasakan kesakitan dan tidak membenci Hawa.

Sementara seorang wanita akan melahirkan anak  dalam keadaan terjaga, melihat kematian dihadapannya, namun semakin sayang dan cintanya kepada anak yang dilahirkan bahkan ia akan menebusnya dengan kehidupannya.

Sesungguhnya Allah menciptakan Hawa dari tulang rusuk yang bengkok yang tugasnya adalah melindungi qalbu (hati nurani). Oleh karena itu, tugas Hawa adalah menjaga qalbu. Kemudian Allah menjadikannya bengkok untuk melindungi qalbu dari sisi yang kedua. Sementara Adam diciptakan dari tanah, dia akan menjadi petani, tukang batu, tukang besi, dan tukang kayu. Wanita selalu berinteraksi dengan perasaaan, dengan hati, dan wanita akan menjadi seorang ibu yang penuh kasih sayang, seorang saudari yang penyayang, seorang putri yang manja, dan seorang istri yang penurut.

Dan wajib bagi Adam untuk tidak berusaha meluruskan tulang yang bengkok tersebut, seperti yang dikabarkan oleh Nabi Muhammad SAW, "jika seorang lelaki meluruskan yang bengkok tersebut dengan serta merta, maka dia akan mematahkannya." Maksudnya adalah dengan kebengkokan tersebut adalah perasaan yang ada pada diri seorang wanita yang mengalahkan perasaan seorang lelaki.

Maka wahai Adam janganlah merendahkan perasaan Hawa, dia memang diciptakan seperti itu. Apabila seseorang wanita mengatakan dia sedang bersedih, tetapi dia tidak menitikkan airmata, itu berarti dia sedang menangis di dalam hatinya. Apabila dia tidak menghiraukan kamu setelah kamu menyakiti hatinya, lebih baik beri dia waktu untuk menenangkan hatinya sebelum kamu meminta maaf.

Dan wanita sukar untuk mencari sesuatu yang dia benci untuk orang yang paling dia sayang.

Wallahu'alam.............



...ustazpenang...