Friday, 6 January 2012

Wanita di Jadikan dari Tulang Rusuk Lelaki???

Wanita di Jadikan dari Tulang Rusuk Lelaki???


Dalam sebuah hadis yang sahih yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, nabi berkata,
“Aku berwasiat kepada kamu supaya menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana mereka dijadikan daripada tulang rusuk dan sebengkok-bengkok tulang rusuk adalah yang di bahagian teratas. Sekiranya kamu cuba meluruskannya, kamu akan mematahkannya dan sekiranya kamu membiarkannya akan terus bengkok selama-lamanya. Jesteru, berpesan-pesanlah tentang wanita (dengan kebaikan).”


Adakah ayat ini bermaksud bahawa wanita secara umumnya dijadikan oleh Allah daripada tulang rusuk lelaki? Sebenarnya,di dalam A-Quran Allah menyatakan dengan jelas manusia sebenarnya berasal dari nutfah (iaitu air mani yang sedikit) yang bercampur dengan benih wanita, kecuali nabi Adam yang berasal daripada tanah. Berhubung dengan ini dalam surah Al-Haj ayat 5 Allah menjelaskan
“Wahai manusia apabila kamu meragui hari kebangkitan (maka ingatlah) kami menciptamu dari tanah , dan kemudian daripada nutfah.”
Oleh kerana kenyataan Al-Quran berhubung dengan kejadian manusia begitu jelas sekali, hadis tidak dapat mencanggahinya. Jesteru hadis ini, yang menyatakan wanita berasal dari tulang rusuk lelaki, tidak dapat ditafsirkan dari bentuk yang mencanggahi Al-Quran. Sebenarnya, fokus hadis ini bukannya berkenaan asal-usul kejadian wanita sebaliknya berkenaan kepentingan menghormati dan menjaga wanita dengan baik. Jesteru, di dalam kitab Riadus Solihin, Imam Nawawi meletakkan hadis ini di dalam bab ‘Wasiat Untuk Menjaga Kaum Wanita Dengan Baik’.

Di dalam kitab Dalilul Falihin, diriwayatkan bahawa Imam Qurtubi berkata,
“Wanita dicipta dalam batas dan keadaan seperti tulang rusuk,”
dan bukan dicipta dari tulang rusuk. Dalam bentuk kiasan ia bermaksud, tulang rusuk dalam bengkok adalah berbeza daripada tulang yang lain sebagaimana wanita berbeza dari kaum lelaki. Perbezaan ini mempunyai kepentingannya jesteru tulang rusuk tidak boleh dicaci kerana berkeadaan seperti itu kerana tanpanya manusia menghadapi masalah. Begitu juga dengan wanita, tanpanya kehidupan tidak sempurna. 

Kaum wanita adalah cantik dalam keadaan semulajadinya walaupun dalam aspek-aspek tertentu mereka berbeza dari kaum lelaki. Pihak lelaki perlu menerima wanita dengan sifat semulajadinya dan tidak boleh bersikap keras terhadap mereka. Mereka disuruh menghormati wanita dan bekerjasama bagi mencapai matlamat yang Allah tetapkan. Wanita ada peranannya dan kadang kala peranan itu berbeza daripada kaum lelaki. Perbezaan peranan tidak melambangkan kehinaan.

Berbalik kepad isu berkaitan kejadian kaum hawa daripada tulang rusuk kaum lelaki, sebahagian ulama berpendapat hadis ini membicarakan berkenaan hawa secara khusus. Mengikut pandangan mereka, hawa berasal daripada tulang rusuk Adam. Antara ulama yang berpegang dengan pandangan ini ialah sahabat Abdullah Bin Abbas, Abdullah Bin Mas’ud, Imam Mujahid, Ibnu Al-Munzir, Ibnu Humaid dan ramai lagi. Namun, apabila Al-Quran dirujuk mengenai perkara ini, kita tidak menemui sebarang dalil yang menyokong pandangan ini. Sebagai contoh, berhubung dengan kejadian Hawa, dalam surah An-Nisa’ ayat 1 Allah menjelaskan dengan bermaksud,
“Wahai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang mencipta kamu dari diri yang satu (iaitu Adam) dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (iaitu Hawa) dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak.”
Dalam ayat ini dan yang seumpamanya kejadian hawa tidak langsung dikaitkan dengan tulang rusuk Nabi Adam.

Sebenarnya, Al-Quran lebih mementingkan supaya kualiti dan maruah wanita dipelihara dan tidak diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak. Dalam islam wanita dan lelaki adalah sama di sisi Allah sebagai hamba-hamba Allah. Sekiranya seorang wanita beriman dan beramal soleh dia diberi ganjaran yang tinggi dan diletakkan di tempat yang tinggi. Dalam surah Al-Imran ayat 195, Allah menyatakan yang bermaksud,
“Sesungguhnya aku tidak mensia-siakan amalan orang yang beramal antara kamu baik dia lelaki ataupun wanita kerana sebahagian kamu adalah keturunan daripada sebahagian yang lain.”
Tambahan daripada itu, Allah tidak pernah menghina ataup un memuliakan makhluk-makhluknya berdasarkan jantinanya. Sebaliknya kemuliaan seseorang adalah berdasarkan ketakwaannya. Berhubung dengan ini, dalam surah Al-Hujurat ayat 13 Allah menjelaskan,
“Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertakwa antara kamu,”

Wallahu'alam...........


...ustazpenang...

Pengaruh Wanita Dalam Kehidupan Lelaki

Pengaruh Wanita Dalam Kehidupan Lelaki


Al-Quran tidak pernah meletakkan kesalahan Adam yang melanggar perintah Allah dalam syurga atas bahu isterinya Hawa. Sekalipun Bible dan riwayat-riwayat Israiliyyat dalam sesetengah buku tafsir menyatakan Hawa adalah punca yang menyebabkan Adam memakan buah larangan dalam syurga, namun al-Quran tidak pernah menyatakan demikian.

 Menurut al-Quran, kesalahan tersebut ditanggung oleh kedua belah pihak. Sementara Bible (Genesis 3:6-17) menceritakan Hawa (Eve) telah mempengaruhi Adam, dengan itu Tuhan telah menghukum Hawa dengan diberikan kesakitan ketika melahirkan anak. Hal ini juga disebut oleh riwayat-riwayat Israiliyyat yang sering dibaca oleh sesetengah penceramah di masjid dan surau. Namun, para pengkaji hadis mendapati riwayat-riwayat itu tidak boleh dijadikan pegangan dan bercanggahan dengan apa yang disebut dalam a-Quran.


 Al-Quran menyebut:
“Dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Menetaplah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua suka, dan janganlah kamu berdua hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka kamu akan termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim. Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)” – (Surah al-Baqarah: 35-36)
Dalam Surah Taha pula Allah berfirman:
“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka pun sujud, kecuali Iblis, dia enggan sujud. Maka, Kami berfirman: “Wahai Adam! Sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga, kerana dengan itu nanti kamu akan menderita. Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa kamu tidak akan lapar dalam syurga dan tidak akan bertelanjang. Dan sesungguhnya kamu juga tidak akan dahaga dalamnya, dan tidak akan merasa panas matahari”. Kemudian, syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya (Adam), dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan kekal hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”. Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mula menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya). – (Surah Taha: 116-121)
Ayat-ayat ini jelas bahawa kesalahan Adam yang membuatkan manusia tercampak ke bumi, bukanlah berpunca daripada isterinya Hawa, sebaliknya berpunca dari kelemahan Adam sendiri yang ditipu oleh Iblis, yang akhirnya dia dan isterinya terlibat bersama dalam kesalahan tersebut. Ini berbeza dengan Bible. Berbeza juga dengan cerita-cerita sesetengah penceramah agama yang mengutip kisah Adam dan Hawa dari riwayat Israiliyyat, ataupun Bible atau diwarisi cerita dari satu ustaz ke satu ustaz tanpa dibandingkan dengan apa yang terkandung dalam al-Quran.

Lebih buruk lagi, kononnya Iblis masuk ke syurga melalui perut ular dan pelbagai lagi episod ‘kartun’ yang dimuatkan. Cerita Hawa yang dipergunakan oleh Iblis sehingga mengeluarkan manusia dari syurga adalah unsur luaran yang dimasukkan ke dalam pemikiran umat Islam. Kata Dr Abu Syahbah:
“Semuanya ini dari sumber Bani Israil yang mereka tokok tambah dan mencampurkan antara yang benar dan yang batil”. – (Dr. Muhammad Abu Syahbah, al-Israiliyyat wa al-Maudu’at fi Kutub al-Tafasir, 179. Kaherah: Maktabah al-Sunnah)
Maka, umat Islam atau lelaki muslim tidak akan menganggap bahawa punca kejatuhan lelaki kesemuanya bermula dari wanita. Walaupun wanita itu memang mempunyai pengaruh yang kuat ke atas lelaki, seperti mana pengaruh lelaki terhadap wanita, namun kejatuhan lelaki atau wanita dari kelemahan diri sendiri yang kadang-kala dieksploitasi oleh pasangannya.

Muslihat Wanita
Namun masa yang sama, al-Quran juga menyatakan kehebatan ‘usikan’ wanita atau lebih jelas ‘muslimat’ mereka jika mereka bermaksud ingin melakukan ‘perancangan halus’. Wanita jika kena gaya memang boleh menjadikan lelaki‘mengidaminya’ angau dan terpengaruh atas segala kehendaknya. Perancangan atau ‘plot’ wanita begitu hebat sehingga al-Quran merakamkan ungkapan yang ditujukan kepada isteri Menteri Mesir (riwayat Israiliyyat konon menamakannya Zulaikha) dalam kisah Yusuf:
“Ini adalah perancangan kamu (kaum wanita), dan sesungguhnya perancangan kamu (kaum wanita) itu hebat” – (Surah Yusuf: 28)
Perkataan Arab yang al-Quran gunakan dalam ayat berkenaan ialah Kaid yang bermaksud perancangan yang mempunyai unsur licik dan muslihat. Sebab itu Louay Fatoohi dalam bukunya The Prophet Joseph menterjemahkan perkataan Kaidsebagai scheme yang bermaksud tindakan yang licik dan perancangan sulit yang kadang-kala membabitkan tipu daya. Kata beliau: “..this word, which I have translated as scheme means guile and plotting that could involve lies, as in this case”. (ms 86. Kuala Lumpur: Islamic Book Trust).

Maka, atas kelicikan itu, ramai lelaki yang tewas. Wanita ada kuasa ‘licin’ dan licik. Walaupun Nabi Yusuf tidak tewas, tetapi ramai lelaki selain nabi yang tewas dengan ‘kaid’ atau perancangan halus dan ‘sulit’ wanita. Senjata rahsia wanita pada tubuh, bahasanya dan jelingannya. Walaupun bukan semua mereka ada kelebihan itu, namun bagi yang berkelebihan jika perangkapnya mengena, sukar untuk lelaki terlepas daripadanya, kecuali mereka yang memenangkan takwanya atau godaan atau kaid tersebut.
Nabi s.a.w pernah bersabda:
“Aku tidak tinggal cubaan yang lebih hebat ke atas lelaki lebih dari wanita” - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sabda baginda juga:
“Sesungguhnya dunia itu manis lagi hijau dan Allah menjadikan kalian berketurunan di atasnya. Allah melihat apa yang kalian perbuat. Takutlah kamu kepada (fitnah) dunia dan takutlah kamu kepada (fitnah) wanita, karena sesungguhnya awal fitnah yang menimpa Bani Israil dari wanitanya” – (Riwayat Muslim)
Maka, tidak hairan berapa ramai pemimpin yang gagah, tetapi ditewaskan oleh wanita idamannya, atau isteri kesayangannya. Betapa banyak reputasi pemimpin dirosakkan disebabkan isteri mereka, sehingga rakyat membenci seseorang pemimpin kerana gelagat isterinya. Dalam negara tertentu, kerenah wanita yang memakai gelaran ‘first lady’ boleh menghancurkan kerjaya dan masa depan politik seorang pemimpin negara. Demikian kerenah isteri pemimpin di pelbagai peringkat.

Maka, tidak hairanlah jika Elena Ceausescu, isteri bekas diktator Romania Nocolae Ceausescu dihukum mati bersama suaminya oleh rakyat Romania disebabkan peranannya dalam pemborosan harta negara dan kezaliman kuasa. Maka, jika suami tidak berperanan sebagai pembimbing dan pengawal yang soleh terhadap isteri mereka maka pelbagai kemungkinan boleh berlaku atas kemahiran wanita dalam perancangan atau kaid mereka.

Perhiasan Terindah
Namun wanita itu apabila solehah, mereka kadang-kala lebih baik daripada lelaki. Kehidupan yang buruk seseorang lelaki boleh diubah dengan kehalusan budi dan nilai yang ada pada seorang wanita. Nama baik seorang lelaki bertambah indah dengan kebaikan isterinya. Wanita benar-benar hiasan kehidupan lelaki. Lelaki tanpa wanita adalah lelaki yang cacat tabiatnya. Allah menjadikan wanita pasangan lelaki. Mereka tempat lelaki bermanja dan mendambakan perasaan kelakian. Nabi s.a.w bersabda:
“Dunia perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah” – (Riwayat Muslim)
Ada harta tiada wanita dalam kehidupan tiada ertinya. Ada rupa, tiada wanita tiada maknanya. Namun, wanita bagaimana yang lelaki perlukan dalam hidupnya dalam mengharungi bahtera kehidupan? Ya, wanita solehah yang membahagiakan suami, menjaga nama baik dirinya dan suaminya. Sabda Nabi s.a.w:
“Sebaik-baik wanita dia mengembirakan suami apabila engkau melihat kepadanya, mentaatinya apabila menyuruhnya, tidak menyanggahi suami dalam diri dan hartanya” – (Riwayat al-Nasai, Ahmad dan al-Hakim, dinilai hasan oleh al-Albani)
Sabda Nabi s.a.w juga:
“Tiga dari kebahagiaan: “Wanita yang apabila engkau melihatnya, ia mengkagumkan engkau, apabila engkau tiada bersamanya dia menjaga dirinya dan harta engkau” – (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai hasan oleh al-Albani)
Untuk menjadikan wanita itu berfungsi dengan baik, suaminya juga hendaklah baik. Jika tidak, kebaikan wanita akan hilang pada padangan suami yang songsang, seperti mana hilangnya kebaikan Asiah di mata firaun yang zalim. Suami yang baik juga, tidak akan dapat dilihat kemuliaannya di mata isteri yang jahat seperti isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut a.s.

Wallahu'alam..........


...ustazpenang...

Wanita Dari Rusuk Lelaki

Wanita Dari Rusuk Lelaki


Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, namun Nabi Adam a.s tetap rindukan Siti Hawa.

Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.


Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan dari-Nya. Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada zat Allah yang kekal, disitulah suisnya.

Akal setipis rambutnya, tebalkan dengan ilmu. Hati serapuh kaca, kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera, hiasilah dengan akhlak. Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan keadilan Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun tidak jadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri negara atau ‘women gladiator’. 

Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan. Itu bukan diskriminasi Tuhan. Sebaliknya disitulah kasih sayang Tuhan, kerana rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan lelaki-lelaki waja: negarawan, karyawan, jutawan dan “wan-wan” yang lain. Tidak akan lahir ‘superman’ tanpa ‘superwoman’.

Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula membengkokkan.
Lebih ramai lelaki yang dirosakkan oleh perempuan daripada perempuan yang dirosakkan oleh lelaki. 
Sebodoh-bodoh perempuan pun boleh menundukkan sepandai-pandai lelaki. Itulah akibatnya apabila wanita tidak kenal Tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri, apalagi mengenal lelaki. Kini bukan saja ramai boss telah kehilangan ‘secretary’, bahkan anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan  kehilangan puteri.

Bila wanita derhaka dunia lelaki akan huru-hara. Bila tulang rusuk patah, maka rosaklah jantung, hati dan limpa. Para lelaki pula jangan hanya mengharap ketaatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah pimpinlah diri sendiri dahulu kepada-Nya.

Jinakkan diri dengan Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya dibawah pimpinan kita. Jangan mengharap isteri seperti Siti Fatimah, kalau peribadi belum lagi seperti Sayidina Ali.

Wallahu'alam...........


...ustazpenang...

Apakah Terlarang Bercinta Sebelum Kahwin???

Apakah Terlarang Bercinta Sebelum Kahwin???

Berciuman dan berpelukan cinta berahi antara pasangan di tepi jalan ataupun di khalayak ramai adalah perkara biasa di dunia Barat. Hidup bagaikan suami isteri tanpa kahwin adalah fenomena yang tidak asing. Sehingga dalam banyak jemputan, dijemput bersama ‘spouses and partners’.

Memiliki anak tanpa perkahwinan bukanlah sesuatu yang ganjil. Sekalipun ini semua bukanlah budaya asal masyarakat Barat, tetapi trend hidup moden yang disuburkan oleh pelbagai faktor telah meruntuhkan banyak nilai-nilai tradisi yang pernah ada dalam masyarakat mereka dahulu. Ini termasuklah faktor eksploitasi naluri cinta dan seks oleh para pemodal; penerbit majalah, filem, ubat dan pelbagai lagi.

Apakah cinta itu seks? Apakah seks itu cinta? Perkataan cinta agak abstract. Ia boleh dipadankan kepada banyak perkara; cinta Allah, cinta keluarga, cinta negara, cinta seni dan selainnya. Cinta ertinya kasih, sayang dan ingin bersama. Dalam konteks lelaki dan wanita tentulah antara manifestasi cinta itu hubungan seks. Walaupun bukan semua yang melakukan seks itu bercinta, tapi seks itu utama dalam cinta pasangan. Maka ahli fekah pun mentakrifkan nikah itu sebagai akad yang menghalalkan persetubuhan. Suami yang tidak mampu melakukan seks boleh dipisahkan perkahwinan. Seks tidak keji, bahkan ia mendapat pahala jika mengikut peraturannya.

Cinta pasangan mendambakan seks; itu benar. Persoalannya; keinginan untuk melakukan seks semasa bila? Jika mengidamnya sebelum kahwin, itu salah. Jika mengidamnya selepas kahwin, itu pahala. Cinta atau kasih, bercinta atau berkasih sayang antara lelaki dan wanita yang ingin hidup bersama, itu normal. Cuma yang rumit, bagaimana mengawal dan menguruskan cinta.


Cinta dalam sejarahnya telah memeriahkan banyak kehidupan. Melahirkan banyak ungkapan indah puisi dan lagu. Ungkapan cinta dipetik dari zaman ke zaman. Ia dikongsi oleh hampir kesemua insan melainkan yang kontang fitrahnya. Dari Qais sehingga ke Celine Dion; ungkapan indah cinta antara lelaki dan wanita diulang-ulang oleh manusia. Ia sejagat. Ramai yang dah tua yang mengharamkan cinta untuk generasi muda hari, mereka pun pernah bercinta zaman mudanya.

Anti-Cinta
Melihat kerosakan masyarakat, maka ada yang ‘kuat agamanya’ menyalahkan cinta. Lantas, jatuh cinta kepada seseorang yang boleh dikahwini dianggap bagaikan satu dosa. Pasti jika seseorang yang kuat agamanya jatuh cinta, atau berbicara tentang cintanya itu dianggap sebagai sesuatu yang pelik dan telah hilang kekuatan iman.

Maka tidak pelik jika ada yang bertanya: apa hukum bercinta? Jika ada ustaz yang kata ‘haram’, punca syaitan dan budaya Barat maka sempitlah perasaan golongan hangat bercinta khusus yang masih muda. Mungkin ada yang akan kata dalam dirinya: ‘nanti tua sikit baru boleh aku kuat agama’. Ini kerana susah dia hendak meninggalkan cinta kepada kekasih yang diidami sebagai isteri.

Mungkin ada yang kuat agama terlajak akan berkata: “Kahwin teruslah. Cinta hanya lepas kahwin”. Tapi, si anak muda ini belum bekerja, belum mampu menyediakan belanja sebagai suami. Jika meminang pun, tentu bapa pasangan membantah. Hanya yang ada setakat ini ‘cinta’. Sama juga yang sedang bertunang belum nikah sebab hendak selesaikan urusan belajar ataupun selain. Dalam tempoh itu mereka bercinta pastinya. Berutus surat, email dan sms. Isinya menggambarkan cinta. Jika bercinta haram melainkan setelah kahwin, maka tentu mereka semua hambar.

Jatuh Cinta
Jika kita teliti nas-nas Islam, tiada dalil yang Allah dan RasulNYA mengharamkan mencintai seseorang yang ingin kita jadikan pasangan hidup. Bahkan al-Quran mengiktiraf cinta tersebut. Ini kerana jatuh cinta antara jantina yang berbeza adalah fitrah manusia. Ia bukan diada-adakan. Ia arus yang mengalir dalam jiwa tanpa boleh dihalang. Lihat firman Allah mengenai lelaki yang jatuh cinta kepada janda yang masih dalam edah kematian suami: (maksudnya)

“dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran) untuk meminang perempuan (yang dalam edah kematian suami), atau tentang kamu menyimpan dalam diri (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan mengingati mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis edah yang ditetapkan itu. dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam dada kamu, maka beringat-ingatlah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar”. (Surah al-Baqarah: 235)
Ayat di atas membicara larangan meminang wanita dalam edah kematian suami sebelum tamat edahnya. Ini kerana hukum edah mempunyai banyak maslahah termasuk membabitkan perasaan keluarga bekas suami. Namun Allah tetap tidak melarang sindiran yang mempunyai maksud ingin meminang, juga tidak salah keinginan yang tersimpan dan perasaan yang selalu teringatkannya. Itu semua tanda ‘jatuh cinta’. Cumanya, Allah memerintahkan agar mengikut peraturan yang ditetapkan.


Rayuan Cinta
Bahkan Nabi s.a.w pernah bersimpati dengan Mughith bekas suami Barirah yang masih mencintai isterinya itu. Tangisan dan rayuan cintanya mendapat simpati Nabi s.a.w. Dalam riwayat al-Bukhari daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas, katanya:
“Bahawa suami Barirah adalah seorang hamba bernama Mughith. Aku seakan masih terbayang dia mengikuti Barirah dari belakang serta menangis sehingga airmatanya mengalir atas janggutnya. Nabi s.a.w berkata kepada ‘Abbas: “Wahai ‘Abbas, tidakkah kau hairan melihat cintanya Mughith kepada Barirah dan bencinya Barirah kepada Mughith?”. Lalu Nabi s.a.w berkata (kepada Barirah): “Tidak mahukah jika engkau kembali kepadanya”. Barirah berkata: “Apakah engkau memerintahkanku?”. Nabi s.a.w bersabda: “Aku hanya mencadangkan”. Kata Barirah: “Aku tidak memerlukan dia”.
Nabi s.a.w tidak melarang Mughith membuat rayuan cinta, bahkan bersimpati dan cuba memujuk Barirah. Namun Barirah enggan, maka tiada paksaan dalam cinta. Apakah kita pula menghalang puisi dan lagu cinta yang beradab yang ditujukan kepada seseorang kerana ingin memperisterikannya?

Dua Kekasih
Nabi s.a.w tidak pernah membantah orang bercinta, sebaliknya cuba memastikan pasangan yang bercinta berakhir dengan perkahwinan. Seorang gadis yatim dipinang oleh dua orang lelaki. Seorang miskin dan seorang lagi kaya. Si gadis memilih yang miskin sedangkan penjaganya memilih yang kaya. Apabila hal ini diberitahu kepada Nabi s.a.w, baginda bersabda:
“Aku tidak melihat (penawar) untuk dua orang yang bercinta seperti nikah” (riwayat al-Baihaqi dan Ibn Majah, sahih).
Kata al-Imam al-Munawi (meninggal) mengulas hadis ini:
“Maksudnya ubat paling berkesan yang dapat merawati kerinduan ialah nikah. Ia adalah penawar yang tiada gantiannya jika ada jalan untuk mendapatkannya” (al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 2/584, Riyadh: Maktab al-Imam al-Syaifii’).

Justeru itu, Nabi s.a.w memberikan pilihan untuk isteri memutuskan perkahwinan yang berlaku atas perasaan benci.
“Seorang gadis dara datang kepada Nabi s.a.w memberitahu bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka. Maka, Nabi s.a.w memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya) (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah , dinilai sahih oleh al-Albani).
Haram
Menyimpan rasa cinta antara lelaki dan perempuan tidaklah dilarang dalam agama ini. Di samping ia boleh berlaku di luar kawalan insan, ia adalah fitrah antara lelaki dan perempuan. Ia tidak songsang. Melafazkan rasa cinta seperti Mughith ungkapkan kepada Barirah juga tidak dilarang. Bercinta seperti gadis yatim itu juga tidak dilarang. Puisi dan lagu cinta yang sopan juga tidak dilarang. Jadi apa yang dilarang?

Hanya yang dilarang adalah perbuatan zina. Kedua, -walaupun dosanya tidak seperti zina- perbuatan yang mendekati zina. Adapun bercinta yang masih mempunyai jarak antara antara lelaki dan wanita adalah fitrah insaniah. Menghalang fitrah itu boleh memberikan kesan yang buruk dalam jiwa manusia. Inilah juga yang boleh membawa kecenderungan seks sejenis kerana fitrah asal telah disekat. Jika itu berkembang dalam diri seseorang ia menjadi penyakit yang memusnahkan fitrah asalnya.

Islam tidak sempit. Ia tidak menghalang fitrah. Cinta yang membawa kepada perkahwinan adalah satu kebaikan. Jadi, jangan kata Islam mengharamkan perasaan cinta antara lelaki dan wanita. Katakanlah Islam mengharamkan zina dan mendekati zina!

Wallahu'alam........


...ustazpenang...

Nak Jadi Solehah Pun Kena Jaga Kecantikan Juga

Nak Jadi Solehah Pun Kena Jaga Kecantikan Juga


Innallah jamil, wa yuhibbu jamal: Allah itu cantik dan sukakan kecantikan.

kita sering melihat ramai akhwat ( akhwat = merujuk kepada wanita muslimah yang mungkin secara penampilannya lebih jelas mengikuti aturan syariat. Contohnya betudung labuh), kurang memberikan perhatian dan mengambil berat tentang penampilan diri. Tampil cantik dan rapi dianggap sebagai sesuatu perkara yang dianggap terlarang. Lantaran kekeliruan yang dialami, mereka tampil dengan tidak sewajarnya  dan menyebabkan orang sekeliling memandang sinis kepada mereka. 

Mereka tidak langsung untuk cuba menghias diri mereka walaupun secara minimum. Yang saya maksudkan secara minimum itu adalah berhias secara tidak berlebihan. Cukuplah seseorang muslimah itu tampil dengan wajah yang segar, normal, tidak berminyak,  tidak layu sayu atau kelihatan murung seperti dilanda kesedihan yang mendalam.

Seseorang muslimah sepatutnya menampilkan wajah yang ceria dan selalu berseri – seri. Wajah yang tenang dan tidak kelihatan seperti berada didalam kesusahan dan kesempitan. Kategori minimum juga termasuk tidak membiarkan tubuh mengeluarkan bau tidak enak, sehingga menggangu orang sekeliling. Tudung juga tidak sepatutnya dibiarkan berkedut seribu, lusuh dan tidak rapi dan dipakai secara berulang – ulang tanpa dibasuh. Jadi macam mana orang lain boleh menerima kita jika penampilan kita comot dan berbau busuk kan? 

Sebenarnya kita hanya keliru. Berhias adalah dibenarkan, tetapi hendaklah tidak sampai kepada hiasan yang tabarruj. Berlebihan dalam berdandan, menampakkan bentuk sanggul, dan bermekap secara berlebihan.
Ramai juga muslimah yang silap faham bahawa memakai minyak wangi adalah dilarang. Memakai wangi-wangian adalah dibolehkan untuk menutup bau badan, tetapi tidak boleh berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian orang di sekitar kita. ( Tapi lain pula untuk yang berada dirumah bersama suami, digalakkan untuk memakai wangian untuk menyenangkan suami) 

Untuk yang sudah bersuami:
  • Muslimah yang taat dan patuh kepada syariat, tidak seharusnya membiarkan dirinya tidak terjaga dan terurus. Suami berhak mendapatkan penampilan terbaik yang mampu mereka zahirkan berdasarkan apa yang mereka miliki. Paras ayu yang menggetarkan kalbu. Mata yang cantik yang tidak akan terusik. Indah dan selalu mempesona pandangan mata suami yang dicintai.

Ketaatan dalam bersyariat bukanlah alasan untuk kita mengabaikan penampilan diri. Islam muncul bukan sebagai pembelengu kecantikan, namun hanya mengawal dan mengatur saatnya bila kecantikkan itu harus ditampilkan dan bila kita harus menyembunyikan kecantikan yang dimiliki.....

Wallahu'alam...........


...ustazpenang...


Wajah Tampan Yang Sia-Sia Tanpa Keimanan

Wajah Tampan Yang Sia-Sia Tanpa Keimanan 



Wajah Tampan? Sia-sia!!  Jika kelak dilaknat Tuhan

Wajah Tampan? Sia-sia!! Jika hari-harinya tanpa amalan

Wajah Tampan? Sia-sia!! Jika tak ada Al Qur’an yang lekat dalam ingatan

Wajah Tampan? Sia-sia!! Jika tidak memburu keredhaan

Wajah Tampan? Sia-sia!! Jika hanya melakukan kesia-siaan

Wajah Tampan?Sia-sia!! Jika hatinya dikotori kebanggaan

Wajah Tampan? Sia-sia!! Jika tiada kehormatan

Wajah Tampan? Sia-sia!! Jika matanya masih liar tak juga mampu tundukkan pandangan

Wajah Tampan? Sia-sia!! Jika tak dapat  mengendalikan hawa nafsunya

Wajah Tampan? Sia-sia!! Jika hanya untuk menebar pesona dan memikat wanita

Wajah Tampan?Sia-sia!! Jika enggan mematuhi yang Kuasa dan malah bangga dengan dosa-dosa

Wajah Tampan? Sia-sia!! Jika akhirnya nanti mendapat siksa di neraka

Ketampananmu tak bererti kerana ia tak menjamin kamu akan diredhai
Ketampananmu tak berguna, kerana seseorang masuk syurga bukan kerana tampannya rupa.
Ketampananmu pasti akan pudar dan hilang seiring waktu yang berjalan. Sedang apa-apa yang engkau lakukan akan abadi dan pasti diminta dipertanggungjawabkan oleh Ilahi.

Ketampananmu tak akan dapat menjadi pembantu  disaat engkau dihadapkan pada pengadilan Yang Maha.
Ketampananmu tidak akan pernah dapat  menjadi pemberat amal-amal kebaikan di timbangan mizan. Tak juga dapat meringankan azab yang ditimpakan pada hari kemudian.
Ketampananmu hanya pemberian… hanya pinjaman yang tidak akan memberi pengaruh di dalam alam keabadian.

Cuba lihat  Bilal bin Rabbah dengan kulitnya yang hitam, lihat pula Amr bin Jamuh dengan kakinya yang pincang, lihatlah juga Abdullah bin Ummi Maktum dengan buta  penglihatan.
Mereka mulia di sisi Rabb mereka, Rasulullah mengakui keistimewaan mereka. Bukan kerana tampannya rupa, bukan pula kerana sempurna anggota badannya. Namun semuanya kerana kesetiaan pada ikrar syahadat yang diucap, kepatuhan pada aturan syariat, melaksanakan kewajiban tanpa keengganan, dan ketaqwaan yang menghunjam sanubari tanpa lekang.

 Tidakkah kamu belajar pada Yusuf ‘alaihissalam ketika dia digoda untuk berzina dia menolak seraya berkata, “Aku berlindung kepada Allah…” Dan ketika wajah tampannya menarik kaum wanita, baginda berdoa, “Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai dari pada memenuhi ajakan mereka kepadaku…”
 Tidakkah kau perhatikan perkataan Umar bin Abdul Aziz saat seorang sahabat lamanya -Muhammad bin Ka’ab Al qardhi- menyatakan kehairanannya atas penampilan Umar yang berubah setelah menjadi khalifah. Padahal ketika Umar menjadi gabenor Madinah tubuhnya berisi dan sihat, dan setelah menjadi amirul mukminin Umar menjadi kurus, sederhana dan bersahaja.

Umar berkata menjawab kehairanan Ka’ab, “Bagaimana kalau kamu lihat aku didalam kuburku tiga hari setelah kematianku, saat kedua mataku tanggal dari pipiku, dari hidung dan mulutku mengalir cacing dan nanah. Tentu saat itu engkau akan sangat menjauhi aku lebih dari  kehairananmu saat ini.”

Wahai pemuda yang sibuk dengan penampilan lahirnya…
Wahai pemuda yang terlena dengan pandangan dan pujian manusia…
 Jangan lagi tertipu akan kefanaan dan kenikmatan tanpa keabadian. Bersegeralah menuju penghambaan yang akan memberi keberuntungan. Apa yang akan kau banggakan saat kematian telah menjelang, apa yang akan kau persembahkan....

Wallahu'alam...........


...ustazpenang...

Menulis Diatas Pasir

Menulis Diatas Pasir


Ada sebuah kisah  tentang sepasang suami isteri yang sedang berjalan melintasi gurun. Di tengah perjalanan, mereka bertengkar dan suaminya mengherdik isterinya dengan sangat garang. Si isteri merasa sangat sakit hati, tetapi tanpa berkata-kata, dia menulis di atas pasir : HARI INI SUAMIKU MENYAKITI HATIKU.
Mereka terus berjalan, sampai menemui sebuah oasis dimana mereka memutuskan untuk mandi. Si Isteri, turun ke dalam air untuk berenang namun nyaris lemas,  tetapi berjaya diselamatkan suaminya. Ketika dia mulai sedar dan rasa takutnya hilang, dia menulis diatas sebuah batu : HARI INI SUAMIKU YANG BAIK MENYELAMATKAN NYAWAKU.

Suami bertanya  : “Kenapa setelah saya melukai hati awak, awak menulisnya di atas pasir dan sekarang awak menulis di atas batu?”
Isterinya sambil tersenyum menjawab : “Ketika perkara buruk terjadi, kita harus menulisnya di atas pasir agar angin maaf datang berhembus dan menghapus tulisan itu dan saya boleh melupakannya… Dan bila sesuatu yang baik dan luar biasa dilakukan oleh suami saya, saya akan memahatnya di atas batu hati, agar tidak  hilang tertiup angin waktu dan akan diingati selamanya.”

 Sahabat,
Dalam hidup ini sering timbul perbezaan pendapat dan konflik kerana pemikiran setiap insan adalah berbeza. Kadangkala ia  sangat menyakitkan hati. Oleh itu, kita hendaklah untuk saling memaafkan dan melupakan masalah yang lalu. Yang terpenting dari pelajaran  diatas, adalah :
 Belajarlah untuk selalu  MENULIS DI ATAS PASIR untuk semua perkar  yang MENYAKITKAN dan selalu MENGUKIR DI ATAS BATU untuk semua KEBAIKAN…

Wallahu'alam.........


...ustazpenang...