Sunday, 24 February 2013

Mengatasi Masalah Sangat Pemalu

Mengatasi Masalah Sangat Pemalu



“Masalah yang saya hadapi adalah, saya seorang yang pemalu. Saya malu berbincang dengan orang – orang yang tidak dikenali, terutamanya lelaki. Perkara ini telah membuatkan orang lain beranggapan saya adalah seorang yang sombong. Saya tidak tahu bagaimana untuk menjalinkan hubungan dengan orang lain.

Semua rakan sekelas mengatakan saya seorang yang pendiam dan tidak pandai bercampur dengan orang lain. Inilah membuatkan saya resah dan berusaha mencari jalan penyelesaiannya”


Malu adalah sebahagian daripada iman. Sifat malu sangat penting untuk dimiliki oleh setiap muslim.  Malah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam sendiri merupakan insan yang pemalu. Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih malu sifatnya dari seorang gadis yang di dalam pingitannya.
Tetapi letaklah rasa malu di tempat yang sepatutnya.  Malulah dalam kebanyakan hal, namun dalam bab ilmu, menyatakan kebenaran dan mengejar ganjaran untuk berbuat kebaikan jangan pula malu menghalangi diri kita.
Kita semua harus sedar bahawa rasa malu yang tak bertempat akan membuatkan hidup kita kehilangan banyak kesempatan dan peluang untuk menikmati hidup yang lebih indah. Juga membuatkan kita tidak dapat bergaul dengan orang lain, tidak dapat meluahkan pendapat dan pemikiran yang dimiliki. Malah hanya boleh menjadi pendengar sahaja.
Untuk melawan perasaan malu ini, kita boleh melakukannya secara berperingkat – peringkat, dengan belajar cara etika pergaulan, selalu tersenyum dan mengingatkan diri sendiri bahawa orang lain ada kerja sendiri dan tiada masa untuk memperhatikan anda. Ingatlah kita sebenarnya mempunyai banyak keistimewaan. Kita boleh menulis dan membacanya setiap saat untuk meningkatkan perasaan percaya diri.
jangan terlalu memperbesar – besarkan kelemahan yang dimiliki dan jangan beranggapan bahawa orang lain menjauhi kita oleh kerana kekurangan tersebut. Setiap orang mempunyai kelemahan tersendiri, bukan kita sahaja yang memiliki kekurangan.
Yang penting adalah kita berusaha dengan semaksimum mungkin untuk memperbaiki kelemahan kita dengan tenang. Jangan sesekali kita beranggapan bahawa kekurangan kita akan menjadi bahan cemuhan orang lain. Inilah yang sebenarnya menyebabkan rasa malu, iaitu takut  menjadi bahan bualan dan cemuhan orang lain.
Selain itu, jangan malu untuk berkenalan dengan orang lain. Berkenalan dengan orang lain bukanlah perkara yang susah, selagi kita mahu berusaha dengan kesabaran untuk melakukannya.

Pemalu kepada Lawan Jenis

Ini adalah masalah biasa. Sesipa pun pasti malu bila berhadapan dengan lawan jenis. Tapi sebenarnya rasa malu ini boleh menambah kecantikan seorang gadis dan boleh memberi kehormatan yang tinggi dihadapan kaum lelaki. It’s better than dengan keberanian yang berlebihan yang boleh menurunkan nama baik seorang gadis itu dan menjadikan orang lelaki memandang rendah terhadapnya.
Untuk melawan rasa malu terhadap lawan jenis, katakan pada diri bahawa ini adalah bukan suatu perkara yang sukar. Berbicaralah dengan tenang dan suara yang jelas, selama perhubungan itu atas dasar pelajaran atau pekerjaan. Kita juga harus menjadi pendengar yang baik apabila ada orang bercakap dengan kita, supaya hati dia tidak tersinggung.
Kita mampu untuk mengatasi rasa malu itu, kita harus padamkan pemikaran yang mengatakan sukarnya untuk bergaul dengan orang lain. Ingatlah bahawa terdapat jutaan manusia yang telah berjaya untuk melawan rasa malu. Oleh itu, buanglah rasa malu yang tidak bertempat dan berbahagialah dengan kehidupan kita.

Wallahu'alam...

...ustazpenang...

Poyo. Sila Tunjuk, Bukan Menunjuk-Nunjuk

Poyo. Sila Tunjuk, Bukan Menunjuk-Nunjuk




Berbicara soal agama, dikata poyo.

Bertudung labuh dan menutup aurat dengan sempurna. Poyo!
Solat. Poyo!
Berusrah. Poyo!
Baca al-quran, pergi kuliah agama, mengajak manusia berbuat baik. Semuanya poyo!!
Apa jua yang berada dalam kategori agama, segelintir daripada kita memandang rendah. Pandang sahaja sudah rendah, bertambah pula dengan merendah-rendahkan orang. Kritikal~
Jika ada seorang ibu yang baru sahaja melahirkan anak, lalu dipeluk dan diciumnya anak itu… apakah yang akan kita katakan?
Jika ada seorang bapa yang gemar menasihati anak-anaknya.. apakah yang akan kita katakan?
Katalah apa sekalipun. Tetapi ingat. Jangan kita herdik, caci maki, persendakan, marah, dan melakukan dengan perkara-perkara yang tidak molek. Kerana, kita semua adalah milik-Nya. Belajarlah redha dengan meredhai-Nya terlebih dahulu. Juga redha dengan agama-Nya dan Nabi-Nya. Pakej!
Bagi yang pernah terkena, dan pernah merasa, dan ada pengalaman sebegini.. rileks. Jangan kita berputus asa. Tuhan tidak suka. Bila Tuhan tidak suka, sudah jauhlah rahmat-Nya. Bilamana sudah jauh dengan rahmat-Nya, agak-agak layak ke kita jadi ahli syurga-Nya?
Bangkitlah IMAN!!
Memang, Tuhan jadikan kita dengan adanya tujuan. Tetapi, disebalik tujuan itu.. tersingkapnya hikmah untuk kita meneruskan legasi kehidupan.
Kenapakah Tuhan pilih kita untuk hidup di akhir zaman?
Erm…
Sebab Allah itu Maha Hebat. Lalu, dengan kehebatan-Nya, ia menciptakan kita di akhir zaman ini.
Dan… ?
Dan, Allah Maha Hebat ingin mengajar dan mendidik kita supaya menjadi insan yang hebat. Biar tidak sehebat superman, batman, spiderman, facebookmen, twittermen,  dan bla.. bla.. bla…
Itu bukan ukuran.  Andai semua itu menjadi keutamaan, buang sahajalah IMAN di dalam diri itu.
Pada fasa kehidupan yang memuncak ini, kebaikan itu perlu ditunjuk dengan bersulamkan IMAN. Jika para ibubapa tidak menunjukkan sifat murni dan kebaikan kepada keluarga, rosak. Jika jiran tetangga tidak merealisasikan kebaikan, masyarakat hancur. Sebarkanlah kebaikan, walau diserang ujian kemanusiaan. Tunjukkan kebaikan, agar nanti keburukan tersungkur dan mengakui kehebatan kebaikan.
Kita pamerkan kebaikan, adalah kerana agama itu milik-Nya.

Usah kita menunjuk-nunjuk, dek kerana ingin mengejar gelaran keduniaan. Semua itu boleh mengundang kebinasaan akibat daripada keegoan dan kehendak diri yang tidak puas menganggu. Turutkan segala kehendak yang tersasar, sama sekali kita ikut telunjuk syaitan. Tergamakkah kita?

Wallahu'alam...


...ustazpenang... 

Valentine’s Day. Cerita Tentang Cinta Yang Hebat

Valentine’s Day. Cerita Tentang Cinta Yang Hebat





Alhamdulillah. Segala pujian adalah milik-Nya. Tuhan yang Maha Memiliki segala isi langit dan bumi. Allah yang Maha Kaya, Maha Memiliki. Buat utusan-Nya yang telus dan agung, yang sentiasa mengingatkan diri tentang hakikat cinta. Selawat dan salam serta doa buatmu Rasulullah SAW. Bagi yang menginguti, istiqomah itu adalah benih-benih cinta. Syukur kerana dengan nikmat-Nya, anugerah rasa diberi pada setiap insan walau diri tidak sempurna. Cukuplah kesempurnaan itu milik yang Maha Esa.
Sejarah Nabi Yusuf a.s dan Zulaikha. Cerita yang berkisarkan tentang cinta. Tidaklah seperti cerita cinta setia hujung nyawa. Kerana, cerita cinta Yusuf a.s dan Zulaikha ini lebih hebat. Cinta yang isinya adalah iman dan takwa. Bukan sekadar cerita, tetapi perkongsian ini Tuhan anugerahkan pada kita, agar kita memikirkannya. Moga-moga, dapat kita renungkan, mengambil sedikit ikhtibar, dan pedoman buat diri yang sentiasa jatuh bangun iman.
Insya-Allah.
Pada awal sirah ini, Zulaikha jatuh hati dengan baginda Yusuf a.s. Tetapi, sayangnya, cinta Zulaikha tidak berbalas. Boleh dikatakan, Zulaikha syok sendiri. Sedangkan pada masa itu, cinta Yusuf a.s, lebih pada cinta yang Maha Esa. Allah azza wa jalla. Namun, akibat terlalu ikutkan kehendak diri, nafsu yang tidak pernah puas.. telah menggoncangkan iman Zulaikha. Ia mengatur pelbagai cara untuk mendapatkan Yusuf a.s dengan mengkhianati suaminya serta mengadakan fitnah terhadap Yusuf a.s.
Cara Zulaikha kurang baik.
Boleh dikatakan, cinta itu tidaklah salah. Malah, cinta itu sifatnya fitrah. Namun, yang menyalahkan cinta adalah manusia sendiri. Menyalahkan cinta dengan cara. Pertama, Zulaikha sendiri mengkhianati cinta suaminya. Kedua, Zulaikha mengambil tindakan dengan mereka-reka fitnah dan telah menganiaya baginda a.s. Dengan cara sebegini, Zulaikha seolah-olah telah menerima hadiah yang telah diberi daripada Maha Pemberi lalu merosakkan ia dan mengubahnya. Akibat daripada itu, dia lemas seketika.
Subhanallah.
Penghujungnya pula, cerita cinta Zulaikha dan Yusuf a.s berakhir dengan romantik. Romantik bukan kerana dapat bunga berbakul-bakul serta dapat hadiah daripada Yusuf a.s. Tetapi, setelah mana Zulaikha sedar daripada lamunannya yang dahulu.. dia segera berubah. Dia bertaubat dan menjadi seorang wanita yang solehah. Lalu, Allah Yang Maha Mengetahui, telah mengarahkan Nabi Yusuf a.s menerima Zulaikha dengan mengahwininya secara sah dan halal. Yeay!  Setelah apa yang terjadi, Zulaikha dan Yusuf a.s terus menerus berbakti pada Maha Pemberi. Tidak lalai, dan alpa terhadap duniawi.
Allahuakbar!
Baik. Mungkin di awal waktu, cara Zulaikha kurang baik. Ya, sangat tidak baik. Namun demikian, setelah sedar akan kesilapan diri, Tuhan segera mengampuni para hamba-Nya. Ketika mana, Zulaikha sedar mana satu kaca dan mana satu mutiara, mana satu sementara dan mana satu hakiki. Rahmat Allah.

Apa kaitannya dengan valentine’s day?

Tidak dapat dinafikan bahawa, hari valentine menjadi hangat pada zaman kini. Akibat daripada ketidakfahaman tentang agama, dan mementingkan diri, setiap perkara kita ikut, turut secara membuta tuli. Maka, sedikit demi sedikit.. ia memakan diri sendiri. Merosakkan kepercayaan, merosakkan diri dan ummah, dan sehinggakan ada yang membinasakan diri dengan menyerahkan bulat-bulat maruah.
Astagfirullah.
Sekali lagi ditegaskan. Cinta itu tidak salah. Yang salah adalah kita.
Bagaimana kita melaksanakan cinta?
Jika cara islam, sudah semestinya dengan berkahwin. Tetapi, sekiranya tidak mampu.. islam mendidik kita supaya berpuasa. Berpuasa, bukanlah semata menahan lapar dan dahaga. Berpuasa, bukan semata menahan nafsu yang sentiasa bergelojak dalam diri. Tetapi, berpuasalah dengan membina keyakinan. Kita perlu ingat, apa yang baginda SAW perintahkan pada umat islam, bukanlah semata kerana keinginan baginda sendiri. Tidak. Apa yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW, adalah berpunca dari-Nya. Perintah daripada Allah yang Maha Raja.
Semak balik cara perlaksaan cinta kita. Dan, fikirkan kembali tentang perlaksaan cinta kita.
Bagaimana kita melaksanakan cinta?
Menyambut hari valentine’s day, sudah semestinya lari daripada ajaran islam. Islam tidak mengkhususkan hari berkasih sayang pada satu-satu masa. Islam tidak mendidik umatnya menjadi kejam pada diri sendiri juga pada orang lain, orang sekeliling. Islam tidak mengajar manusia tentang perkara-perkara yang tidak baik malah sia-sia. Jadi, adakah dengan menyambut hari valentine’s day, secara automatik kita boleh katakan bahawa kita telah menjulang tinggi agama Islam yang telah kita genggam?
Fikirkanlah. Andai jawapan itu boleh membukakan mata hati kita, dan kembali pada fitrah. Ia tidaklah salah. Malah, ia dituntut. Wajib!
Mengambil sedikit tarbiah daripada sejarah islam dahulu, zaman Nabi Muhammad SAW tidak ada sambutan hari valentine’s day. Pada zaman pemerintahan khalifah-khalifah yang benar pula, langsung tiada sambutan hari valentine’s day. Dan pada era salafussoleh, juga tiada data dan fakta tentang hari valentine’s day ini. Semua ini bukanlah semata ingin menuding mencari kesalahan lain. Tidak. Apabila dibangkitkan tentang perkara seperti ini, sedikit sebanyak mengajak kita supaya berfikir. Mana baik mana kurang baik. Mana yang perlu ikut, mana yang perlu ditinggalkan.

Akhir kata bagi yang ingin menyambut hari valentine’s day, kita ini mahu ikut yang mana satu. Sama ada, mahu ikut cara Rasulullah SAW atau mahu ikut cara nafsu dan syaitan?

Wallahu'alam...


...ustazpenang... 

Bagaimana Menghilangkan Perasaan Selalu Resah

Bagaimana Menghilangkan Perasaan Selalu Resah



Saya tidak pernah yakin dengan diri sendiri kerana saya bukanlah gadis yang cantik. Saya tergolong dalam gadis yang biasa dan saya berbadan gempal. Saya juga tidak pernah bercinta. Saya sering mendengar rakan – rakan bercerita bahawa ramai lelaki yang tertarik kepada mereka dan cuba untuk meminang mereka.

Saya selalu tertanya – tanya apakah sebenarnya kekurangan pada diri saya, sehingga tiada orang sudi meminang saya. Untungnya, saya bukanlah satu – satunya orang yang bernasib sebegitu.

Kemudian saya masuk ke sebuah universiti dan berjaya membentuk sebuah kelompok yang terdiri dari gadis remaja. Saya tidak bergaul dengan kaum lelaki dan tidak mahu terlalu banyak berbual dengan mereka. Saya terkategori sebagai orang yang sensitif, cerewet, tidak menganggap mudah sesuatu masalah, serta selalu keresahan.


Daripada tidak yakin dengan diri sendiri kerana merasa diri tidak cantik, bagaimana jika kita merasa puas dengan kecantikan yang kita miliki? Tentunya diimbangi dengan berusaha memakai pakaian anggun dan menutup aurat, selalu tersenyum dan selalu tampil bertenaga.

Perasaan Selalu Resah

Satu perkara yang harus kita ketahui, biasanya cerita rakan – rakan tentang lelaki tertarik dengan mereka kerana ingin mengahwini mereka, biasanya dibesar – besarkan dan hanya khayalan. Oleh itu tidak perlulah terjebak lagi dalam perkara yang membanding – bandingkan diri dengan orang lain. Kerana setiap orang telah ditetapkan rezeki dan jodoh masing – masing.
Yang perlu dibandingkan adalah keadaan kita sekarang dan keadaan kita pada masa yang lalu, serta apa yang kita inginkan, kemudian imbangi semua itu dengan  usaha yang gigih. Aturlah diri secara konsisten, secara tenang dan santai dan merasa puas dengan apa yang kita miliki, sehingga kita berasa bahagia. Keresahan dan tekanan jiwa akan menghalang mimpi kita untuk menjadi kenyataaan.
Berdoalah seperti dicontohkan oleh Rasulullah saw. Nabi pun meminta pertolongan Allah, apa lagi kita, jauh lebih memerlukan pertolongan Allah. Maka berdoalah.

Ya Allah, aku memohon perlindungan denganMu daripada keluh kesah dan kesedihan, rasa lemah dan kemalasan, Aku memohon perlindungan denganMu daripada sifat penakut dan kebakhilan, dan aku mohon perlindungan denganMu dari bebanan hutang dan dikuasai seseorang
(Hadith riwayat Abu Daud)

Jangan terlalu takut untuk bergaul dengan lelaki, lebih – lebih lagi jika ia melibatkan urusan pelajaran dan kerja, kerana itu akan menyulitkan hidup kita. Pergaulan lelaki dan perempuan memang ada batasnya, pandai – pandailah kita meletakkan had yang sepatutnya dalam pergaulan. Berusahalah untuk optimis dan menghilangkan perasaan sensitif yang berlebih – lebihan, jadikan ia modal utama dalam menjalani hidup ini. Jika kita sudah boleh melakukan hal ini nescaya kita akan merasa percaya diri dan mampu menghilangkan penderitaan yang kita rasakan. Insyaallah.

Wallahu'alam....

...ustazpenang...

Belajar Bagaimana Untuk Mati Secara Baik

Belajar Bagaimana Untuk Mati Secara Baik



Tiada siapa boleh mengatakan dengan pasti bahawa esok dia masih hidup” ( Euripides )


Kehidupan ibarat perjanjian kontrak. Di dalam perjanjian kontrak, di dalamnya pasti terdapat tarikh akhir kontrak. Begitu juga di dalam kehidupan, pada akhirnya apabila masa yang dijanjikan sampai, kita akan ditarik nyawa dan pergi menemui Allah.

Mati Secara Baik

Dloh mengatakan dalam di dalam ‘hub’nya, “Memandangkan kematian adalah salah satu pengakhiran kepada sebuah kehidupan seseorang, maka kita perlu belajar bagaimana untuk mati secara baik”
Sekiranya mahu pergi meninggalkan dunia ini secara baik, maka perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah dengan menjalani kehidupan ini secara baik. oleh itu, apa yang perlu kita pelajari untuk hidup secara baik? Jawapannya adalah kita belajar untuk mencintai Allah, Nabi Muhammad dan manusia.
Ramai manusia berjaya belajar mencintai Allah, tetapi gagal mencintai sesama manusia. Ada yang boleh diberi markah 100% di dalam pergaulan sesama manusia, tetapi solat selalu ditinggalkan. Maka ia masih boleh dikira gagal hubungannya bersama Allah. Oleh itu, Rasulullah mengajarkan kepada kita bagaimana caranya hidup dengan baik.
Pada suatu hari, semasa para sahabat sedang duduk di sisi Rasulullah, tiba – tiba muncul lelaki yang memakai pakaian yang begitu putih, berambut begitu hitam di hadapan mereka. Tidak kelihatan pada dirinya kesan – kesan musafir dan tiada sesiapa di kalangan sahabat yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi Muhammad. Dirapatkan kedua – dua belah lututnya ke lutut Rasulullah. Diletakkan dua tapak tangan di atas paha Rasulullah, seraya berkata, “Wahai Muhammad, terangkan kepadaku tentang Islam.”
Lalu Rasullah menjawab , “Islam itu adalah kamu bersaksi bahwa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, kamu mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke Mekah sekiranya kamu mampu mengerjakannya.”
Lelaki itu berkata, “Kamu benar.” Maka kami berasa hairan kepadanya, dia yang bertanya, dia pula yang membenarkannya.
Dia bertanya, “Terangkan kepadaku tentang iman.” Baginda menjawab, “Iman itu adalah kamu percaya kepada Allah, para malaikat-Nya, para rasul-Nya, Hari Kiamat dan kamu percaya kepada qadar yang baik dan buruk.”
Lelaki itu berkata, “Kamu benar.” Dia berkata lagi, “Terangkan kepadaku tentang ehsan.”
Rasulullah berkata :

“Ihsan itu adalah kamu menyembah Allah, seolah-olah kamu melihatnya. Sekiranya kamu tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.”

Berdasarkan hadis yang disampaikan oleh Ibnu Umar itu, maka dapat disimpulkan, bagi hidup secara baik maka kita perlu mempunyai tiga perkara iaitu Iman, Islam dan Ehsan. Dengan tiga perkara itu, kita akan terus berjalan lurus diatas landasan kehidupan yang benar dan bakal menatijahkan lorong kematian yang benar juga.
Mati itu boleh datang bila – bila masa sahaja , dan mereka yang bersedia menghadapinya sentiasa mempertingkatkan amalan masing – masing. Hati yang sentiasa mengingati mati akan sentiasa takut kepada Allah dan akan menimbulkan fokus dalam kehidupannya, iaitu segala – galanya adalah kerana Allah.
Oleh itu, bukan mudah untuk mati dengan baik. Bagi mati secara baik, kita juga perlu mempunyai kehidupan yang bermakna dan baik juga. Semasa kita menentukan bagaimana kita menjalani kehidupan ini, secara tidak langsung jalan yang kita pilih itu akan menentukan bagaimana kesudahan kematian kita kelak.

Wallahu'alam...


...ustazpenang...

Kepentingan Menulis Diari & Catatan Harian Dalam Kehidupan

Kepentingan Menulis Diari & Catatan Harian Dalam Kehidupan



Simpanlah kenangan masa lalu kita, temukan kompas untuk hari esok


Adakah ketika ini kita masih mengingati apa yang telah terjadi pada satu tahun yang lepas? Masih ingat? Tentulah kita dan kebanyakkan orang akan menjawab: TIDAK
Pada beberapa hari yang lepas, saya telah terlihat catatan dalam sebuah diari lama dan membaca satu catatan pada Ogos tahun lepas yang tertulis: “Dua ekor anak kucing kesejukan di depan pintu rumah dan saya mengambilnya, membersihkannya dan memberinya makan.” Sememangnya ramai diantara kita yang tidak mempedulikan diari catatan harian, sehinggalah kita ingin mengetahui peristiwa silam yang tidak pernah kita ingati.
Saya berasa bertuah kerana telah mencatat semua peristiwa hidup dalam diari dan telah banyak manfaat  telah saya perolehi dari perbuatan ini. Saya mendapat motivasi  untuk menulis diari ini kerana galakkan daripada sahabat saya yang menerangkan betapa pentingnya catatan harian untuk masa yang akan datang.
Sahabat saya itu berkata: “Mudah – mudahan perkara ini akan membantu kita untuk mengingati kejadian atau hal yang istimewa.” Tulis lah catatan hidup kita pada setiap hari. Catatkan peristiwa – peristiwa yang penting dan kosongkan ruangan terakhir untuk kenangan yang paling indah.”
Pada mulanya, seperti kebanyakkan orang, saya mula menulisnya tetapi lama – kelamaan saya tidak mempunyai waktu atau motivasi untuk meneruskannya. Peristiwa ini terjadi empat tahun yang lepas, kerana sehingga hampir semua peristiwa saya catatkan. Oleh itu, untuk meneruskan aktiviti ini, saya telah menggariskan tiga panduan untuk menulis diari, iaitu 
- Jangan pernah memasukkan perkara yang memalukan saya jika orang lain membacanya
- Tulislah dengan jelas
- Gunakan kata – kata kunci untuk untuk menjimatkan ruang

Kepentingan Menulis Diari

Catatan harian (diari) saya akhirnya telah menjadi teman yang amat berharga, yang memperkaya hidup saya dalam banyak cara. Inilah perkara yang saya lakukan dan mungkin juga dapat memberi manfaat kepada anda. Sebenarnya catatan harian kita merupakan rujukan yang paling berharga.
Sebuah diari dapat membawa kita untuk menemukan diri kita. Biasanya saya akan mencatatkan peristiwa – peristiwa yang menyenangkan sahaja, tetapi kerana hidup saya ini bukanlah sentiasa berjalan lancar, maka adakalanya saya sering mencatatkan perkara – perkara yang bersifat emosi seperti kesedihan, rasa cemburu dan kemarahan. Sekadar menulis perkara – perkara tersebut dapat membuatkan hati saya sedikit tenteram. Membaca kembali peristiwa – peristiwa itu kemudian akan membuatkan saya merefleksi diri dan memutuskan untuk lebih bijaksana lagi dalam menangani perkara seperti itu di kemudian hari.
Kita sebagai hambaNya yang biasa memang tidak akan dapat menduga hidup, namun dengan memelihara catatan harian beberapa minggu akan dapat menolong kita memahami apa yang memberikan kegembiraan dan apa yang membawa kesedihan.  Perkara ini dapat memelihara perasaan kita ketika itu yang mungkin akan terluput daripada pandangan kita.
Diari atau catatan harian ini banyak menolong saya menerima penderitaan – penderitaan dengan perasaan sedih sebagai rencah kehidupan. Menjadikan hidup saya tenang dan tenteram.
Kepentingan menulis diari dan catatan harian ini dapat memperbaiki iman kita. Dapatkah kita mengingati perkara yang tidak baik kita buat dua atau tiga tahun yang lalu? Setahun yang lalu? Sudahkan kita insaf dan memperbaiki diri dari perkara tersebut? Barangkali tidak, namun catatan harian amat membantu. Dengan membalik – balikkan halaman catatan harian, kita mungkin rasa tercenggang betapa banyak hari yang menggembirakan telah diselimuti oleh tragedi – tragedi atau kesedihan yang tidak pernah disangkakan.
Tentu sahaja kesedihan akan menimpa setiap orang. Ketika saat – saat seperti ini, sebuah catatan harian dapat menjanjikan kepada kita bahawa di balik kesedihan itu terdapat kegembiraan atau hikmah yang ingin ditunjukkan oleh Allah. Beberapa waktu yang lalu, salah seorang sahabat yang amat saya sayangi telah meninggal dunia. Dalam diari tercatat: “Jasad dia telah selamat dikebumikan. Semoga Allah mencucuri rahmat.” – Hati saya menjadi sedih ketika membaca catatan ini. Barulah saya sedar tiada apa yang kekal didunia ini, dan Allah berhak mengambil kembali nyawa kita pada bila – bila masa sahaja.
Diari harian dapat meningkatkan kesedaran kita tentang sesuatu. Oleh kerana itu, diari amatlah berguna untuk membangkitkan kesedaran kita terhadap sesuatu perkara yang selama ini telah kita lupakan.

Wallahu'alam...


...ustazpenang... 

Jangan Terlalu Tergesa – gesa Mengejar Jodoh

Jangan Terlalu Tergesa – gesa Mengejar Jodoh



Ketakutan terasa bila pendamping tidak kunjung datang. 


Kadangkala kita berasa tergesa – gesa seperti dikejar – kejar sesuatu. Padahal tidak ada yang mengejar kita. Hidup kita menjadi serta tidak teratur, serba rumit seakan tidak dikelola dengan baik. Gambaran – gambaran untuk mengisi waktu dan usia menjadi sangat tidak menentu.
Kiblat gaya hidup mengarah kepada Hollywood dan Bollywood. Hidup kita seakan diatur. Cara makan, apa makanannya, cara berpakaian, apa pakaiannya, cara berfikir, apa fikirannya dan bahkan cara menikmati tidur sekalipun.
Perlahan tapi pasti, gaya kita sudah ditetapkan sedemikian rupa. Tetapi kita tidak sedar. Bahkan kita sangat senang dan bahagia menikmati kebodohan ini.
Bandingkan diri kita ketika diminta menggunakan Al – Quran sebagai penunjuk jalan hidup. Kita mentah – mentah menolaknya. Kita berasa bahawa dengan menggunakannya, kita seperti dipaksa. Tidak seronok, tidak bebas, tidak sesuai dengan hak asasi manusia. Padahal dalam Al – Quran itulah segala hal aturan tentang hidup dibicara dan dititahkan. Itulah kalamullah dan bukan makhluk.

Terlalu tergesa – gesa mengejar jodoh?

Kebodohan ini juga berlangsung dalam kehidupan cinta kita. Memiliki pendamping hidup adalah sebuah kenescayaan. Kerana ada ruang dihati kita yang harus diisi. Namun, gaya hidup yang berlaku di sekeliling, memaksa kita untuk berasa tergesa – gesa memilih pasangan. Padahal, kita pada waktu ini sebenarnya masih tidak memerlukan.
Yang kita perlukan adalah relationship dalam konteks sahabat. Teman sekelas, teman sepengajian dan teman sepermainan.
Di usia kita yang sangat belia, kita tidak perlu bermesraan bak suami isteri. Namun kerana filem yang kita tonton, bacaan yang kita baca, cerita – cerita yang kita dengar, telah mengelabui dan kita akhirnya telah masuk dalam perangkap.
Hidup berasa tergesa – gesa sewaktu memiliki pendamping. Berasa ketakutan bila pendamping tidak kunjung datang. Akhirnya boleh ditebak, otak kita hanya melulu berterus – terusan memikirkan pasangan. Bagaimana mendapatkannya, bagaimana menjaga hubungan dengannya dan bagaimana mendapatkan keuntungan daripadanya.
“Tidak ada pengalaman?”
Yang kita perlukan adalah bukan pengalaman dalam menjalin hubungan, akan tetapi mempelajari ilmu rumahtangga untuk mengelola sebuah hubungan suami – isteri. Justeru bila kita berpengalaman dalam berganti – ganti pasangan ini menunjukkan ketidaksiapan kita menjalin sebuah hubungan. Bekal untuk menjalin hubungan tidak cukup kuat untuk menghadapi cubaan. Berbeza jika kita sangat sedar bahawa menjalin sebuah hubungan cinta akan menghadapi konflik.
Kerana mengejar jodoh – semakin besar rasa harap dan keinginan kepada orang yang kita cinta, maka semakin besar pula risiko kita untuk berasa kecewa. Jadi yang diperlukan ketika masih muda adalah memiliki ilmu hubungan cinta suami isteri. Bukan mencintai dalam konteks yang mudah gagal dan mudah rapuh.

Wallahu'alam....

...ustazpenang...