Simpanlah kenangan masa lalu kita, temukan kompas untuk hari esok
Adakah ketika ini kita masih mengingati apa yang telah terjadi pada satu tahun yang lepas? Masih ingat? Tentulah kita dan kebanyakkan orang akan menjawab: TIDAK
Pada beberapa hari yang lepas, saya telah terlihat catatan dalam sebuah diari lama dan membaca satu catatan pada Ogos tahun lepas yang tertulis: “Dua ekor anak kucing kesejukan di depan pintu rumah dan saya mengambilnya, membersihkannya dan memberinya makan.” Sememangnya ramai diantara kita yang tidak mempedulikan diari catatan harian, sehinggalah kita ingin mengetahui peristiwa silam yang tidak pernah kita ingati.
Saya berasa bertuah kerana telah mencatat semua peristiwa hidup dalam diari dan telah banyak manfaat telah saya perolehi dari perbuatan ini. Saya mendapat motivasi untuk menulis diari ini kerana galakkan daripada sahabat saya yang menerangkan betapa pentingnya catatan harian untuk masa yang akan datang.
Sahabat saya itu berkata: “Mudah – mudahan perkara ini akan membantu kita untuk mengingati kejadian atau hal yang istimewa.” Tulis lah catatan hidup kita pada setiap hari. Catatkan peristiwa – peristiwa yang penting dan kosongkan ruangan terakhir untuk kenangan yang paling indah.”
Pada mulanya, seperti kebanyakkan orang, saya mula menulisnya tetapi lama – kelamaan saya tidak mempunyai waktu atau motivasi untuk meneruskannya. Peristiwa ini terjadi empat tahun yang lepas, kerana sehingga hampir semua peristiwa saya catatkan. Oleh itu, untuk meneruskan aktiviti ini, saya telah menggariskan tiga panduan untuk menulis diari, iaitu
- Jangan pernah memasukkan perkara yang memalukan saya jika orang lain membacanya
- Tulislah dengan jelas
- Gunakan kata – kata kunci untuk untuk menjimatkan ruang
Kepentingan Menulis Diari
Catatan harian (diari) saya akhirnya telah menjadi teman yang amat berharga, yang memperkaya hidup saya dalam banyak cara. Inilah perkara yang saya lakukan dan mungkin juga dapat memberi manfaat kepada anda. Sebenarnya catatan harian kita merupakan rujukan yang paling berharga.
Sebuah diari dapat membawa kita untuk menemukan diri kita. Biasanya saya akan mencatatkan peristiwa – peristiwa yang menyenangkan sahaja, tetapi kerana hidup saya ini bukanlah sentiasa berjalan lancar, maka adakalanya saya sering mencatatkan perkara – perkara yang bersifat emosi seperti kesedihan, rasa cemburu dan kemarahan. Sekadar menulis perkara – perkara tersebut dapat membuatkan hati saya sedikit tenteram. Membaca kembali peristiwa – peristiwa itu kemudian akan membuatkan saya merefleksi diri dan memutuskan untuk lebih bijaksana lagi dalam menangani perkara seperti itu di kemudian hari.
Kita sebagai hambaNya yang biasa memang tidak akan dapat menduga hidup, namun dengan memelihara catatan harian beberapa minggu akan dapat menolong kita memahami apa yang memberikan kegembiraan dan apa yang membawa kesedihan. Perkara ini dapat memelihara perasaan kita ketika itu yang mungkin akan terluput daripada pandangan kita.
Diari atau catatan harian ini banyak menolong saya menerima penderitaan – penderitaan dengan perasaan sedih sebagai rencah kehidupan. Menjadikan hidup saya tenang dan tenteram.
Kepentingan menulis diari dan catatan harian ini dapat memperbaiki iman kita. Dapatkah kita mengingati perkara yang tidak baik kita buat dua atau tiga tahun yang lalu? Setahun yang lalu? Sudahkan kita insaf dan memperbaiki diri dari perkara tersebut? Barangkali tidak, namun catatan harian amat membantu. Dengan membalik – balikkan halaman catatan harian, kita mungkin rasa tercenggang betapa banyak hari yang menggembirakan telah diselimuti oleh tragedi – tragedi atau kesedihan yang tidak pernah disangkakan.
Tentu sahaja kesedihan akan menimpa setiap orang. Ketika saat – saat seperti ini, sebuah catatan harian dapat menjanjikan kepada kita bahawa di balik kesedihan itu terdapat kegembiraan atau hikmah yang ingin ditunjukkan oleh Allah. Beberapa waktu yang lalu, salah seorang sahabat yang amat saya sayangi telah meninggal dunia. Dalam diari tercatat: “Jasad dia telah selamat dikebumikan. Semoga Allah mencucuri rahmat.” – Hati saya menjadi sedih ketika membaca catatan ini. Barulah saya sedar tiada apa yang kekal didunia ini, dan Allah berhak mengambil kembali nyawa kita pada bila – bila masa sahaja.
Diari harian dapat meningkatkan kesedaran kita tentang sesuatu. Oleh kerana itu, diari amatlah berguna untuk membangkitkan kesedaran kita terhadap sesuatu perkara yang selama ini telah kita lupakan.
Wallahu'alam...
...ustazpenang...
No comments:
Post a Comment