Sunday, 24 February 2013

Valentine’s Day. Cerita Tentang Cinta Yang Hebat

Valentine’s Day. Cerita Tentang Cinta Yang Hebat





Alhamdulillah. Segala pujian adalah milik-Nya. Tuhan yang Maha Memiliki segala isi langit dan bumi. Allah yang Maha Kaya, Maha Memiliki. Buat utusan-Nya yang telus dan agung, yang sentiasa mengingatkan diri tentang hakikat cinta. Selawat dan salam serta doa buatmu Rasulullah SAW. Bagi yang menginguti, istiqomah itu adalah benih-benih cinta. Syukur kerana dengan nikmat-Nya, anugerah rasa diberi pada setiap insan walau diri tidak sempurna. Cukuplah kesempurnaan itu milik yang Maha Esa.
Sejarah Nabi Yusuf a.s dan Zulaikha. Cerita yang berkisarkan tentang cinta. Tidaklah seperti cerita cinta setia hujung nyawa. Kerana, cerita cinta Yusuf a.s dan Zulaikha ini lebih hebat. Cinta yang isinya adalah iman dan takwa. Bukan sekadar cerita, tetapi perkongsian ini Tuhan anugerahkan pada kita, agar kita memikirkannya. Moga-moga, dapat kita renungkan, mengambil sedikit ikhtibar, dan pedoman buat diri yang sentiasa jatuh bangun iman.
Insya-Allah.
Pada awal sirah ini, Zulaikha jatuh hati dengan baginda Yusuf a.s. Tetapi, sayangnya, cinta Zulaikha tidak berbalas. Boleh dikatakan, Zulaikha syok sendiri. Sedangkan pada masa itu, cinta Yusuf a.s, lebih pada cinta yang Maha Esa. Allah azza wa jalla. Namun, akibat terlalu ikutkan kehendak diri, nafsu yang tidak pernah puas.. telah menggoncangkan iman Zulaikha. Ia mengatur pelbagai cara untuk mendapatkan Yusuf a.s dengan mengkhianati suaminya serta mengadakan fitnah terhadap Yusuf a.s.
Cara Zulaikha kurang baik.
Boleh dikatakan, cinta itu tidaklah salah. Malah, cinta itu sifatnya fitrah. Namun, yang menyalahkan cinta adalah manusia sendiri. Menyalahkan cinta dengan cara. Pertama, Zulaikha sendiri mengkhianati cinta suaminya. Kedua, Zulaikha mengambil tindakan dengan mereka-reka fitnah dan telah menganiaya baginda a.s. Dengan cara sebegini, Zulaikha seolah-olah telah menerima hadiah yang telah diberi daripada Maha Pemberi lalu merosakkan ia dan mengubahnya. Akibat daripada itu, dia lemas seketika.
Subhanallah.
Penghujungnya pula, cerita cinta Zulaikha dan Yusuf a.s berakhir dengan romantik. Romantik bukan kerana dapat bunga berbakul-bakul serta dapat hadiah daripada Yusuf a.s. Tetapi, setelah mana Zulaikha sedar daripada lamunannya yang dahulu.. dia segera berubah. Dia bertaubat dan menjadi seorang wanita yang solehah. Lalu, Allah Yang Maha Mengetahui, telah mengarahkan Nabi Yusuf a.s menerima Zulaikha dengan mengahwininya secara sah dan halal. Yeay!  Setelah apa yang terjadi, Zulaikha dan Yusuf a.s terus menerus berbakti pada Maha Pemberi. Tidak lalai, dan alpa terhadap duniawi.
Allahuakbar!
Baik. Mungkin di awal waktu, cara Zulaikha kurang baik. Ya, sangat tidak baik. Namun demikian, setelah sedar akan kesilapan diri, Tuhan segera mengampuni para hamba-Nya. Ketika mana, Zulaikha sedar mana satu kaca dan mana satu mutiara, mana satu sementara dan mana satu hakiki. Rahmat Allah.

Apa kaitannya dengan valentine’s day?

Tidak dapat dinafikan bahawa, hari valentine menjadi hangat pada zaman kini. Akibat daripada ketidakfahaman tentang agama, dan mementingkan diri, setiap perkara kita ikut, turut secara membuta tuli. Maka, sedikit demi sedikit.. ia memakan diri sendiri. Merosakkan kepercayaan, merosakkan diri dan ummah, dan sehinggakan ada yang membinasakan diri dengan menyerahkan bulat-bulat maruah.
Astagfirullah.
Sekali lagi ditegaskan. Cinta itu tidak salah. Yang salah adalah kita.
Bagaimana kita melaksanakan cinta?
Jika cara islam, sudah semestinya dengan berkahwin. Tetapi, sekiranya tidak mampu.. islam mendidik kita supaya berpuasa. Berpuasa, bukanlah semata menahan lapar dan dahaga. Berpuasa, bukan semata menahan nafsu yang sentiasa bergelojak dalam diri. Tetapi, berpuasalah dengan membina keyakinan. Kita perlu ingat, apa yang baginda SAW perintahkan pada umat islam, bukanlah semata kerana keinginan baginda sendiri. Tidak. Apa yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW, adalah berpunca dari-Nya. Perintah daripada Allah yang Maha Raja.
Semak balik cara perlaksaan cinta kita. Dan, fikirkan kembali tentang perlaksaan cinta kita.
Bagaimana kita melaksanakan cinta?
Menyambut hari valentine’s day, sudah semestinya lari daripada ajaran islam. Islam tidak mengkhususkan hari berkasih sayang pada satu-satu masa. Islam tidak mendidik umatnya menjadi kejam pada diri sendiri juga pada orang lain, orang sekeliling. Islam tidak mengajar manusia tentang perkara-perkara yang tidak baik malah sia-sia. Jadi, adakah dengan menyambut hari valentine’s day, secara automatik kita boleh katakan bahawa kita telah menjulang tinggi agama Islam yang telah kita genggam?
Fikirkanlah. Andai jawapan itu boleh membukakan mata hati kita, dan kembali pada fitrah. Ia tidaklah salah. Malah, ia dituntut. Wajib!
Mengambil sedikit tarbiah daripada sejarah islam dahulu, zaman Nabi Muhammad SAW tidak ada sambutan hari valentine’s day. Pada zaman pemerintahan khalifah-khalifah yang benar pula, langsung tiada sambutan hari valentine’s day. Dan pada era salafussoleh, juga tiada data dan fakta tentang hari valentine’s day ini. Semua ini bukanlah semata ingin menuding mencari kesalahan lain. Tidak. Apabila dibangkitkan tentang perkara seperti ini, sedikit sebanyak mengajak kita supaya berfikir. Mana baik mana kurang baik. Mana yang perlu ikut, mana yang perlu ditinggalkan.

Akhir kata bagi yang ingin menyambut hari valentine’s day, kita ini mahu ikut yang mana satu. Sama ada, mahu ikut cara Rasulullah SAW atau mahu ikut cara nafsu dan syaitan?

Wallahu'alam...


...ustazpenang... 

No comments:

Post a Comment