“Masalah yang saya hadapi adalah, saya seorang yang pemalu. Saya malu berbincang dengan orang – orang yang tidak dikenali, terutamanya lelaki. Perkara ini telah membuatkan orang lain beranggapan saya adalah seorang yang sombong. Saya tidak tahu bagaimana untuk menjalinkan hubungan dengan orang lain.
Semua rakan sekelas mengatakan saya seorang yang pendiam dan tidak pandai bercampur dengan orang lain. Inilah membuatkan saya resah dan berusaha mencari jalan penyelesaiannya”
Malu adalah sebahagian daripada iman. Sifat malu sangat penting untuk dimiliki oleh setiap muslim. Malah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam sendiri merupakan insan yang pemalu. Diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam lebih malu sifatnya dari seorang gadis yang di dalam pingitannya.
Tetapi letaklah rasa malu di tempat yang sepatutnya. Malulah dalam kebanyakan hal, namun dalam bab ilmu, menyatakan kebenaran dan mengejar ganjaran untuk berbuat kebaikan jangan pula malu menghalangi diri kita.
Kita semua harus sedar bahawa rasa malu yang tak bertempat akan membuatkan hidup kita kehilangan banyak kesempatan dan peluang untuk menikmati hidup yang lebih indah. Juga membuatkan kita tidak dapat bergaul dengan orang lain, tidak dapat meluahkan pendapat dan pemikiran yang dimiliki. Malah hanya boleh menjadi pendengar sahaja.
Untuk melawan perasaan malu ini, kita boleh melakukannya secara berperingkat – peringkat, dengan belajar cara etika pergaulan, selalu tersenyum dan mengingatkan diri sendiri bahawa orang lain ada kerja sendiri dan tiada masa untuk memperhatikan anda. Ingatlah kita sebenarnya mempunyai banyak keistimewaan. Kita boleh menulis dan membacanya setiap saat untuk meningkatkan perasaan percaya diri.
jangan terlalu memperbesar – besarkan kelemahan yang dimiliki dan jangan beranggapan bahawa orang lain menjauhi kita oleh kerana kekurangan tersebut. Setiap orang mempunyai kelemahan tersendiri, bukan kita sahaja yang memiliki kekurangan.
Yang penting adalah kita berusaha dengan semaksimum mungkin untuk memperbaiki kelemahan kita dengan tenang. Jangan sesekali kita beranggapan bahawa kekurangan kita akan menjadi bahan cemuhan orang lain. Inilah yang sebenarnya menyebabkan rasa malu, iaitu takut menjadi bahan bualan dan cemuhan orang lain.
Selain itu, jangan malu untuk berkenalan dengan orang lain. Berkenalan dengan orang lain bukanlah perkara yang susah, selagi kita mahu berusaha dengan kesabaran untuk melakukannya.
Pemalu kepada Lawan Jenis
Ini adalah masalah biasa. Sesipa pun pasti malu bila berhadapan dengan lawan jenis. Tapi sebenarnya rasa malu ini boleh menambah kecantikan seorang gadis dan boleh memberi kehormatan yang tinggi dihadapan kaum lelaki. It’s better than dengan keberanian yang berlebihan yang boleh menurunkan nama baik seorang gadis itu dan menjadikan orang lelaki memandang rendah terhadapnya.
Untuk melawan rasa malu terhadap lawan jenis, katakan pada diri bahawa ini adalah bukan suatu perkara yang sukar. Berbicaralah dengan tenang dan suara yang jelas, selama perhubungan itu atas dasar pelajaran atau pekerjaan. Kita juga harus menjadi pendengar yang baik apabila ada orang bercakap dengan kita, supaya hati dia tidak tersinggung.
Kita mampu untuk mengatasi rasa malu itu, kita harus padamkan pemikaran yang mengatakan sukarnya untuk bergaul dengan orang lain. Ingatlah bahawa terdapat jutaan manusia yang telah berjaya untuk melawan rasa malu. Oleh itu, buanglah rasa malu yang tidak bertempat dan berbahagialah dengan kehidupan kita.
Wallahu'alam...
...ustazpenang...
No comments:
Post a Comment