Tiada siapa boleh mengatakan dengan pasti bahawa esok dia masih hidup” ( Euripides )
Kehidupan ibarat perjanjian kontrak. Di dalam perjanjian kontrak, di dalamnya pasti terdapat tarikh akhir kontrak. Begitu juga di dalam kehidupan, pada akhirnya apabila masa yang dijanjikan sampai, kita akan ditarik nyawa dan pergi menemui Allah.
Mati Secara Baik
Dloh mengatakan dalam di dalam ‘hub’nya, “Memandangkan kematian adalah salah satu pengakhiran kepada sebuah kehidupan seseorang, maka kita perlu belajar bagaimana untuk mati secara baik”
Sekiranya mahu pergi meninggalkan dunia ini secara baik, maka perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah dengan menjalani kehidupan ini secara baik. oleh itu, apa yang perlu kita pelajari untuk hidup secara baik? Jawapannya adalah kita belajar untuk mencintai Allah, Nabi Muhammad dan manusia.
Ramai manusia berjaya belajar mencintai Allah, tetapi gagal mencintai sesama manusia. Ada yang boleh diberi markah 100% di dalam pergaulan sesama manusia, tetapi solat selalu ditinggalkan. Maka ia masih boleh dikira gagal hubungannya bersama Allah. Oleh itu, Rasulullah mengajarkan kepada kita bagaimana caranya hidup dengan baik.
Pada suatu hari, semasa para sahabat sedang duduk di sisi Rasulullah, tiba – tiba muncul lelaki yang memakai pakaian yang begitu putih, berambut begitu hitam di hadapan mereka. Tidak kelihatan pada dirinya kesan – kesan musafir dan tiada sesiapa di kalangan sahabat yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi Muhammad. Dirapatkan kedua – dua belah lututnya ke lutut Rasulullah. Diletakkan dua tapak tangan di atas paha Rasulullah, seraya berkata, “Wahai Muhammad, terangkan kepadaku tentang Islam.”
Lalu Rasullah menjawab , “Islam itu adalah kamu bersaksi bahwa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, kamu mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke Mekah sekiranya kamu mampu mengerjakannya.”
Lelaki itu berkata, “Kamu benar.” Maka kami berasa hairan kepadanya, dia yang bertanya, dia pula yang membenarkannya.
Dia bertanya, “Terangkan kepadaku tentang iman.” Baginda menjawab, “Iman itu adalah kamu percaya kepada Allah, para malaikat-Nya, para rasul-Nya, Hari Kiamat dan kamu percaya kepada qadar yang baik dan buruk.”
Lelaki itu berkata, “Kamu benar.” Dia berkata lagi, “Terangkan kepadaku tentang ehsan.”
Rasulullah berkata :
“Ihsan itu adalah kamu menyembah Allah, seolah-olah kamu melihatnya. Sekiranya kamu tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.”
Berdasarkan hadis yang disampaikan oleh Ibnu Umar itu, maka dapat disimpulkan, bagi hidup secara baik maka kita perlu mempunyai tiga perkara iaitu Iman, Islam dan Ehsan. Dengan tiga perkara itu, kita akan terus berjalan lurus diatas landasan kehidupan yang benar dan bakal menatijahkan lorong kematian yang benar juga.
Mati itu boleh datang bila – bila masa sahaja , dan mereka yang bersedia menghadapinya sentiasa mempertingkatkan amalan masing – masing. Hati yang sentiasa mengingati mati akan sentiasa takut kepada Allah dan akan menimbulkan fokus dalam kehidupannya, iaitu segala – galanya adalah kerana Allah.
Oleh itu, bukan mudah untuk mati dengan baik. Bagi mati secara baik, kita juga perlu mempunyai kehidupan yang bermakna dan baik juga. Semasa kita menentukan bagaimana kita menjalani kehidupan ini, secara tidak langsung jalan yang kita pilih itu akan menentukan bagaimana kesudahan kematian kita kelak.
Wallahu'alam...
...ustazpenang...
No comments:
Post a Comment