Fikirkan sekali lagi.
Jika kita terus beranggapan seperti itu, dan menjadikannya tabiat diri, jujur… keakuan di dalam diri, tersangatlah besar dan menebal. Sehinggakan, kita asyik dengan diri sendiri. Kita pentingkan diri sendiri! Andai kita mengatakan buat baik kepada yang baik ianya logik, ia sememangnya tidak logik sama sekali. Kerana, Allah dan Rasul-Nya tidak mengkhususkan kita untuk berbuat baik.
Fikirkan.
Jika Nabi Muhammad SAW berbuat kebaikan kepada yang baik, agak-agak agama Islam itu bagaimana?
Allah SWT secara maklumnya, mengamanahkan para rasul dan nabi agar menjadi baik, berbuat baik di dalam hidup. Bahkan, mengamalkannya secara berhemah dan menurut prinsip-prinsip Islam. Seperti dakwah Nabi Musa a.s kepada Firaun. Tidak cukup dengan itu, perhatikan dakwah Nabi Muhammad SAW. Baginda sendiri tidak pernah memaki, memaksa, dan melakukan perkara-perkara yang kurang elok kepada Abu Jahal dan kaumnya. Baginda SAW itu seorang pengasih dan penyanyang.
Tetapi… bagaimana sekiranya ada yang berbuat jahat kepada kita, menzalimi kita, menyakiti kita, dan melakukan bermacam-macam perkara yang kurang baik terhadap diri kita. Pastinya sukar untuk membalas kebaikan.
Tenang.
Tanyakan pada diri.
Kalau kita buat baik kepada orang yang buat baik kepada kita, itu tandanya kita buat baik kerana diri kita.. bukan kerana Allah SWT. Contoh, apabila kebaikan telah kita nikmati, maka timbul rasa ingin membalasnya. Baik dibalas baik. Ia bermaksud, kebaikan yang kita lakukan itu adalah kerana diri kita sendiri. Dan sekiranya kerana Allah SWT, pastinya berbeza. Kita tetap buat baik, walaupun tidak dibalas baik. Sekalipun kepada orang yang tidak buat baik kepada kita.
Meskipun terasa berat dan sukar, didiklah diri kita. Jernihkanlah hati kita. Jangan beranggapan bahawa, buat baik kepada orang yang tidak buat baik kepada kita itu satu kerugiaan dan sia-sia. Jangan! Sebaliknya, mulakanlah langkah, agar segala perkara yang kita lakukan dan pengharapan kita selama ini, semuanya fokus kepada Allah SWT. Kita lakukan, atas kerana kehendak-Nya, kerana perintah-Nya, dan untuk-Nya semata.
Hakikatnya, kejahatan juga boleh dijadikan kebaikan bila kejahatan itu dibalas dengan kebaikan.
Insya-Allah. Bilamana kita mengamalkan sikap baik ini, orang yang berbuat jahat kepada kita dan orang yang tidak berbuat baik kepada kita, sedikit sebanyak akan terpikat dengan kita. Yakinlah kepada Allah, kebaikan itu akan menghasilkan natijah yang baik. Malah lebih baik daripada apa yang kita sangkakan. Semuanya, berbalik kepada keyakinan kita terhadap-Nya.
Buat baik itu satu kewajipan setiap insan. Usah hadkan kebaikan yang kita lakukan. Ayuh, berikan kebaikan dengan tulus dan ikhlas.
Ini ialah akhlak!
Wallahu'alam...
...ustazpenang...
No comments:
Post a Comment