Friday, 14 September 2012

Hanya Cinta Pertama

Hanya Cinta Pertama



Yang mana satu pilihan anda, antara buah yang sedia jatuh berguguran ke tanah atau yang masih berada di atas pokok? Tentunya ramai yang akan lebih memilih yang di atas berbanding yang di bawah.
Demikian lah juga dengan saya. Akan memilih yang di atas dari yang di bawah. Kerana apa? Kerana biasanya buah yang jatuh berguguran itu telah rosak dan ada yang telah ditebuk binatang sebagai contoh dimakan oleh seekor atau lebih seekor dari serangga. Mungkin juga di makan oleh tupai atau monyet liar. Tetapi tidak buah yang di atas, belum disentuh dan menjadi idaman hampir setiap orang yang memandang. 
Begitulah boleh diumpamakan dengan nilai diri kita dalam memulakan episod cinta pertama. Rasa cinta pasti hadir bila tiba saatnya. Tanpa dijemput atau dipinta. Ia pasti hadir membuai rasa di hati kita. Keinginan untuk mencintai dan dicintai tidak perlu dipelajari. Itu fitrah. Tetapi jangan kita lupa, fitrah juga perlukan hidayah. Hidayahlah yang akan menunjuk arah sebenar perjalanan sebuah cinta suci.
Bagaimana yang dikatakan dengan cinta suci? Adakah seperti cintanya Romeo dan Juliet? Atau umpama cintanya seorang penyair Arab yang menyintai seorang wanita bernama Laila? Sehingga ia digelar "Laila Majnun" oleh masyarakat waktu itu kerana cintanya yang menggunung? Begitukah cinta suci yang kita inginkan?
Cinta suci meletakkan Allah sebagai 'matlamat'tertinggi. Cinta sesama makhluk cuma sebagai 'alat'. Alat untuk mencapai matlamat meraih kasih sayang dan redha Allah SWT. Untuk itu, sebelum terjebak dalam cinta, seharusnya kita berusaha 'menjadi diri yang tepat untuk mencintai' sebelum bersantai-santai 'mencari diri yang tepat untuk dicintai'. Semua ini tidak dapat lari dari 'hukum tarikan cinta' -sunnatullah yang tidak dapat diingkari. Saling cinta menyintai, saling lengkap melengkapi.
Namun, jangan ungkapkan kalimah cinta terlalu awal. Sebelum diri benar-benar siap menjadi diri yang tepat. Usah risau diri tidak disapa cinta manusia. Yakinlah pada aturan yang Allah lakarkan dalam setiap kehidupan yang ada. Telah tertulis jodoh, rezeki, ajal di tanganNya. Serahkan sahaja kepada Allah SWT. Apabila tiba saatnya, Allah akan temukan hati yang satu lagi. Hati yang penuh cinta untuk memberi cinta. Saat itu, hati kita telah sedia untuk menerima cinta. Tepat waktunya dan sesuai keadaanya.
Ayuh kita teruskan usaha untuk menjadi diri yang tepat. Usah risau soal bila cinta pertama akan menjelma. Itu urusan Allah, pasti ada aturan dari-Nya. Akan sampai satu masa, tempat dan keadaan yang tepat, cinta itu bakal muncul jua. Tanpa diayat, tanpa digoda, tanpa dipujuk rayu kita dengan mudah menyahut cintanya. Kerana cinta itu adalah soal rasa.
Saat itu, rasa hati yang menghadirkan rasa yakin dalam diri kita seolah-olah berkata, "Inilah dia cinta pertamaku yang ditunggu selama ini." Pada ketika itu, diri kita telah menjadi tepat. Tepat untuk memberi cinta dan menerima cinta.
Sesungguhnya janji Allah itu benar. Apabila kita telah tepat memilih untuk sebuah cinta, pasti akan hadir cinta yang tepat untuk kita. Hanya dengan menjadikan landasan cinta itu sebuah cinta suci, maka perjalanannya juga akan seiring dengan laluan matlamat utamanya. Matlamat yang hanya untuk meraih sebuah cinta yang hakiki. Cinta Ilahi. Apabila laluannya adalah tepat dengan tujuannya, pasti kita akan temui orang yang tepat menyambut dan meraih cinta kita. 
Yakinlah, kita tidak akan disia-siakan. Allah jualah sebaik-baik pentadbir dan pentaqdir sebuah kehidupan. Jika matlamat cinta telah utuh semata-mata kerana Allah, jadilah ia buah cinta yang ranum di atas pohonan rahmat dan kasih sayang-Nya. Lantaran cinta itu terpelihara di dalam jagaanNya. Jatuhnya hanya setelah ranum di atas dahan Rahmat. 
Dan mengkin juga buah cinta itu tidak akan jatuh sekalipun telah ranum di atas pohonan rahmat cinta Allah, akan tetapi hanya akan di capai dengan hormat dan selamat. Tidak ternoda oleh tangan-tangan nafsu yang mengikat. Dinikmati dalam bahagia yang penuh dengan keredhaan dan keampunan.
Dan itulah cinta pertama dan cinta selamanya (sampai ke syurga). Cinta yang tiada untuk yang kedua kalinya.

Wallahu'alam.......

...ustazpenang...


No comments:

Post a Comment