Sunday, 31 July 2011

Lelaki yanG Baik,,,untuk Perempuan yanG Baik

Lelaki yanG Baik,,,untuk Perempuan yanG Baik

Lelaki yang bijak sentiasa berusaha menjadi pelindung kepada wanita.
Lelaki yang bijak takkan meminta dan mengharapkan sesuatu yang belum menjadi haknya.
Lelaki yang bijak sentiasa menjaga pandangan mata dan hatinya.
Lelaki yang bijak menyedari bahawa seorang perempuan itu hanya mahu dirinya dihormati.
Lelaki yang bijak hanya mahukan wanita yang terbaik untuk menjadi suri hidupnya.

Bagaimana seorang lelaki dapat menjadi pelindung terbaik bagi wanita? Adakah dengan menghubungi wanita itu selalu, bertanyakan khabar, mengajaknya pergi makan supaya dia tahu si gadis makan mengikut masa, atau dengan mengucapkan kata-kata sayang?

Saya hendak berkongsi sebuah kisah benar berkenaan seorang sahabat yang sering risau akan keadaan dirinya yang masih single and available. Risau bila dikatakan tidak mengikut trend. Risau bila huluran ikhlasnya tidak disambut oleh gadis yang dipuja. Sering merasakan dirinya LOSER kerana kononnya tak ada perempuan nak mahu padanya, sikit-sikit kena reject saja. Geli hatiku. Sampai begitu sekali fikirannya parah.
Persoalannya, adakah dengan SMS selalu, rajin bertanya khabar, dan rajin segala dapat menjamin dia menjadi pelindung atau hero paling hebat kepada wanita tersebut? Sekali kita mulakan langkah. pasti akan membawa kepada langkah seterusnya. One thing leads to another.Silap-silap lebih menjadi perosak daripada pelindung. 

"Merosakkan?"

Yalah. Merosakkan dengan menambah saham dosa yang ditanggung oleh perempuan. Pelindungkah?

Merosakkan dengan setiap tindakannya yang akhirnya membuatkan perempuan tersebut gila bayang padanya hingga melupakan yang mana langit dan yang mana bumi.
Pelindungkah?

Merosakkan dengan membuatkan perempuan itu merasakan setiap perbuatan yang dilakukan untuk 'mengeratkan hubungan' itu supaya terasa 'enak dan indah' walaupun hakikatnya masing-masing menyedari diri terjerumus dalam kancah dosa.
Pelindungkah?

Merosakkan dengan membuatkan diri anda dan diri orang yang 'disayangi', buah hati pengarang jantung berenang-renang dalam lautan dosa tatkala anda sedar tidak mampu memberikan sesuatu yang halal kepadanya.
Pelindungkah?


Merosakkan akhirnya hanya kerana pada awalnya telah MEMULAKAN.
Pelindungkah?


Jadilah pelindung kepada kaum Hawa dengan tidak memandang kami.
Jadilah pelindung kepada kami dengan menambahkan ilmu dengan amalmu,
supaya nanti pabila tiba masanya, dapat kalian menjadi pemimpin keluarga yang dihormati.
Jadilah pelindung kepada kami dengan menjaga sebaik-baiknya akhlakmu.
Jadilah pelindung yang terbaik dengan mencontohi Rasulmu!

Mahu menjadi pelindung? Mintalah pertolongan kepada Allah semoga Dia sentiasa melindungi. Kita hanya manusia biasa yang tidak berdaya. Di saat anda masih belum mampu, cukuplah dengan meminta Dia yang melindungi dan memerhati. Kita manusia dengan pelbagai keterbatasan, takkan mampu untuk menjadi superhero paling sempurna kerana tiada yang sempurna melainkan-Nya. Jadilah lelaki pintar yang sentiasa bijak menilai.


Lelaki yang pintar sentiasa risau dirinya akan membawa fitnah kepada wanita,
Lelaki yang pintar tidak akan sekali-kali gentar apabila seorang wanita bertindak tegas terhadapnya kerana dia sedar itulah wanita sejati!
Yang mempunyai harga diri, yang takut kepada Ilahi.
Lelaki yang pintar takkan risau dan gusar dengan status 'single' kerana dia tahu dengan izin-Nya kelak dia akan berjabat dengan seorang wali yang bakal memberikan titik noktah kepada status tersebut!

Wahai ar-rijal, bangkitlah kalian. Anda dikurniakan kelebihan berbanding kami, gunakanlah kelebihan tersebut. Janganlah ambil sifat kami. Kami insan lemah, anda yang harus kuat!


Jangan mengharapkan sesuatu yang kami tidak mampu beri.
Jadilah kalian pelindung yang sejati,
agar kita senantiasa berada dalam reda Ilahi,
sampai tiba saatnya nanti...

Soallah diri kita, kenapa kita masih belum mampu melaksanakan suruhan-Nya sedangkan kita tahu apa yang benar?
Soallah diri kita, apa guna kita mengharap syurga seandainya perintah yang disuruh-Nya tidak mahu dilakukan malah dipandang sipi dan diabaikan?

Soallah diri kita, jika setiap muslim sudah dijanjikan syurga, yakinkah kita akan meninggalkan dunia ini dengan husnul khatimah? Yakinkah kita akan meninggalkan dunia sebagai muslim? Yakinkah kita syurga milik kita? Yakinkah?

Soallah diri kita, andaipun syurga dijanjikan kepada kita, sanggupkah kita mengharungi neraka sebelum menjejak ke syurga lantaran "hutang" kita terhadap Sang Pencipta yang belum langsai? Sanggupkah?

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:"Sesungguhnya Allah Ta'ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta'ala berfirman: (Wahai para Rasul!) Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh. Dan Allah Ta'ala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman!) Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu. Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?" (Hadis riwayat lmam Muslim)

Bagaimana mungkin doa kita untuk ke syurga dimakbulkan andainya Allah memalingkan pandangan-Nya daripada kita lantaran 'haram' yang kita 'halal'kan? Kita yang muda kena sentiasa beringat bahawa kita merupakan harapan agama. Banyak lagi cabaran yang harus dihadapi dalam hidup ini, banyak lagi tanggungjawab yang menanti. Tolaklah ketepi perkara-perkara remeh yang tidak membawa manfaat kepada diri dan 'kawan' melainkan KEROSAKAN sahaja.


Lelaki yang baik takkan berusaha mendekati,
meskipun dengan niat yang suci,
kerana dia sentiasa menyedari,
niat mungkin terpesong sekalipun begitu murni,
kerana dia mengakui,
makhluk bertanduk dua sentiasa "ready"!
Ingatlah, Dia jua yang Maha Memerhati.

Fikirkan dengan akal, renungkan dengan hati. Tolak tepi nafsu di hati yang mengaburi hati kita daripada menilai yang baik dan buruk, kerana hati tidak pernah menipu.

Wabishah bin Ma'bad berkata: Aku mendatangi Rasulullah, dan baginda bertanya "Engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?"

Aku menjawab, "Ya, benar."
Baginda bersabda, "Tanyakan pada hatimu sendiri! Kebaikan adalah sesuatu yang membuat jiwamu tenang dan hatimu tenteram, sedangkan dosa adalah sesuatu yang menimbulkan keraguan dalam jiwa dan rasa gundah dalam dada, meski telah berulang kali manusia memberi fatwa kepadamu."
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Tiada gunanya segala apa yang diperkatakan andainya hati kita tertutup daripada kebenaran. Bersihkanlah hati kita, sesungguhnya itulah anggota yang paling berharga. Disebabkan kerosakan hati itulah berlakunya kerosakan-kerosakan yang lain. Rajin-rajinkanlah membersihkan hati.

Wallahu'alam...........



...ustazpenang...

Saturday, 30 July 2011

Dhuha Itu

Dhuha Itu

Dhuha itu,
Terang,
Pada cahayanya.

Terang,
Pada sujudnya,
Sang hamba,
Yang mendambakan,
Pandangan-Nya,
Pada doa,
Pada rintihan,
Pada pengharapan,
Yang mensyahdukan waktu Dhuha itu.

Bukankah dahulu,
Ar-rasul,
Antara solat awalnya dahulu,
Adalah Dhuha itu,
Dan ayat yang menyejukkan jiwanya,
Di waktu sengsara derita,
Adalah ad-Dhuha jua?

Kerana di situ,
Pada cahaya Dhuha itu,
Kita akan temui sebuah kekuatan..

Wallahu'alam.........



...ustazpenang...

Ramadhan Nanti

Ramadhan Nanti

Syaaban ingin pergi sayu menghiba diri,
Ramadhan ingin kembali riang bersua lagi,
Merangkak kita di lantai masa bersilang hari,
Merebak bulan di ufuk senja tahun berganti.


Telah terukir juga terzahir dibibir muara,
Akan kita insan yang sentiasa lupa dan lara,
Hidup bertunjangkan nafsu sesedap rasa,
Bermain dengan bara-bara yang pernuh noda.


Dosa, bila diungkitkan tentang neraka,
Lalu di selitkan tentang ajal yang menyusul tiba,
Insan baru padanya terkhabar dari lamunan,
Pantas dirinya menadah tangan mencari tuhan.


Maka sedar tika alpa dosa inginkan pahala,
Alpa dalam bicara nafsu inginkan puasa.


Wallahu'alam.........



...ustazpenang...

Calon-Calon Pemuda Pilihan

Calon-Calon Pemuda Pilihan

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..
"Berikanku sepuluh orang pemuda, maka akan ku goncangkan dunia.."

PEMUDA.. itulah kuasa seorang PEMUDA.. mereka bukan seperti pemuda biasa-biasa, bukan juga lelaki dalam kebanyakan manusia, tetapi merekalah PEMUDA harapan BANGSA, RIJAL impian AGAMA.

"Harapanku ialah agar rumah ini penuh dengan lelaki-lelaki seperti Abu 'Ubaydah ibn al-Jarrah, Muaz ibn Jabal dan Salim budak suruhan Abu Huzaifah, agar mereka semua dapat digunakan bagi meninggikan kalimah Allah!!"
- Khalifah Islam ke-2, Umar Al-Khattab

SubhanAllah, lelaki mana yang tidak mahu bercita-cita menjadi seperti ini?
Mustahil.. Jika mereka tiada berkeinginan untuk berusaha menjadi ke arah itu, mereka bukanlah PEMUDA yang digambarkan oleh Bung Sukarno, mereka bukanlah RIJAL yang dimahukan oleh Amirul Mukminin.. mereka hanyalah insan biasa-biasa, bukan INSAN LUAR BIASA.

"Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk.." - Surah Al-Kahfi [18:13]

Ya Allah, bukan mudah untuk menjadi pemuda seperti itu, tetapi ia bukanlah satu perkara yang ganjil dan janggal dalam dunia sejarah kegemilangan Islam.
Lihatlah Sultan Muhammad Al-Fateh, Usamah bin Zaid, Salahuddin Al-Ayyubi, pemuda-pemuda Al-Kahfi, Saidina Ali, Imam Syafie' dan ramai lagi pemuda kebanggaan agama dalam sejarah kegemilangan Islam.

Mereka semua PEMUDA, mereka semua hampir sebaya kita.. mereka semua bercita-cita.. tetapi bukanlah bercita-cita sekecil jiwa kita, cita-cita mereka HEBAT.. impian mereka BERSEMANGAT.

SubhanAllah, bukti apa lagi yang kita mahukan untuk membuktikan pemuda seperti kitalah yang seharusnya bangun dari lena, sedar dari angan-angan yang sia-sia, bangkit dari alam maya ke alam yang nyata.

Siapa lagi yang akan jadi PENDOKONG UTAMA AGAMA, jika bukan dari dalam kalangan pemuda itu sendiri.

Andalah PEMUDA harapan AGAMA itu!
Lihatlah realiti masa kini.. pemuda kian longlai, pemuda semakin kusut masai, pemuda mudah dihina, pemuda senang dicerca.. pemuda tiada wawasan diri, pemuda tiada pegangan AGAMA yang sejati..
Ya Allah..

Katakanlah dalam diri, kamilah PEMUDA PEJUANG, PEMUDA yang bukan hanya duduk senang lenang, PEMUDA harapan AGAMA, PEMUDA perubahan identiti BANGSA.. kamilah orangnya!

Kamilah RIJAL yang ditungu-tunggu kehadirannya.. kami!!
Ya, kamilah orangnya, katakanlah dalam diri.. tekadkan dalam sanubari.. tanamkan dalam hati.
Justeru, untuk berubah dari seorang lelaki biasa kepada PEMUDA LUAR BIASA ini, ada satu perkara yang amat penting untuk kita sama-sama telitikan. Apakah ia?
Itulah HATI ..

"Dan sesungguhnya Tuhanmu, benar-benar mengetahui apa yang disembunyikan hati mereka dan apa yang mereka nyatakan.." - Surah An-Naml [27:74]
Jika seorang tentera itu mahu kekuatan dalam dirinya, latihan FIZIKAL merupakan latihan utama.
Begitu juga seorang PEMUDA. Jika dia mahu kekuatan rohani dalam dirinya, latihan HATI merupakan latihan yang asasi.

Untuk menjadi PEMUDA penyumbang dalam usaha menggapai 'ustaziatul'alam, HATI perlu bersih, HATI perlu jernih .. bersih dan jernih dari kufur serta segala macam kemaksiatan.

HATI itu ibarat kubu sebuah istana. Kita perlu mempertahankan kubu kita daripada diceroboh oleh Syaitan dan Iblis Laknatullah yang durjana.. kita perlu ada cara dalam mengawalnya. Kita perlu ada strategi untuk mempertahankannya.
Apakah cara dan strateginya?
Kita perlu mempertahankan pintu masuk kubu istana. Itulah strategi utama. Jika ini kita mampu lakukan, nescaya tentera-tentera Syaitan dan Iblis pasti sukar untuk menceroboh masuk ke dalam istana.

Persoalannya sekarang, apakah pintu-pintu masuk kubu tersebut? Atau secara realitinya, apakah pintu-pintu masuk Syaitan dan Iblis ke dalam hati kita??
Pintu-pintu masuk tersebut adalah sifat-sifat kita sendiri..
Sifat hasad dengki, ammarah yang keterlaluan, sifat suka bermusuh-musuhan, malas, pengotor, pengeji.. itu semua adalah sebahagian pintu-pintu masuk 'kubu istana'.

Kawallah pintu masuk tersebut, nescaya selamatlah istana, kawal sifat-sifat mazmumah tersebut, nescaya selamatlah hati kita.

Itulah analoginya.. mudah untuk hadam dalam fikiran, tetapi payah untuk dilaksanakan.
Berusahalah untuk mendapat HATI yang suci, bersungguhlah demi memperolehi pangkat PEMUDA yang disegani RABBI .. nescaya pasti ada bahagian untukmu di Akhirat nanti. Percayalah!
Ayuh PEMUDA!!
Ayuh kita semarakkan semangat. Semangat yang kian lama terpendam, semangat yang sudah lama tertanam!

Jangan biarkan ia begitu sahaja, nescaya menyesal kamu di suatu ketika!
Gunakanlah jiwa pemuda kamu di tempat yang sepatutnya, di tempat yang membanggakan Islam, di tempat yang diredhai AS-SALAM.

Moga pemuda-pemuda pilihan seperti kita semua ini, bertemu gembira bukan sahaja di alam duniawi, malah bertemu riang di Syurga Firdausi. Insya-Allah.

Wallahu'alam...........



...ustazpenang...

Ramadhan Bulan Penyucian Jiwa

Ramadhan Bulan Penyucian Jiwa

Ramadan al-Mubarak bulan tarbiah dan juga tazkiyatun nafsi buat manusia agar kembali kepada fitrah yang suci. Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu." (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Maka kembalilah mereka ibarat bayi yang baru lahir suci daripada segala dosa.
Kita digalakkan memperbanyakkan amal ibadah dan memohon keampunan daripada Allah S.W.T serta banyakkan muhasabah diri. Sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah S.A.W bermaksud; "Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan, diikat semua Syaitan dan jin-jin yang derhaka, ditutup semua pintu Neraka dan tidak dibuka walau satu pintu, dan dibuka pintu-pintu Syurga dan tidak ditutup walaupun satu pintu.

Penyeru pun menyeru: "Wahai orang yang mengharapkan kebaikan, terimalah! Dan wahai orang yang mengharapkan kejahatan, berhentilah! Dan (yang ikhlas) kerana Allah, akan dibebaskan daripada api Neraka dan (penyeru itu akan menyeru) pada setiap malam Ramadhan." (Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)

Dikatakan Ramadhan ini bulan penyucian jiwa kerana pada bulan ini setiap umat manusia beragama Islam akan sebolehnya mengubah tabiat dan perangai. Pada bulan ini setiap daripada kita sedaya upaya melakukan perubahan diri berbanding pada bulan-bulan sebelumnya.
Segala benda dan perbuatan ini hanya boleh dilakukan dengan adanya rasa keimanan dalam jiwa. Menurut penceramah bebas, Ustaz Hazlin Baharin, Ramadan itu dikatakan sebagai bulan penyucian jiwa kerana ia dapat membersihkan jiwa orang yang berpuasa daripada sebarang kerosakan dan gangguan syaitan.

Tetapkan Taqwa
Ramadhan juga merupakan masa terbaik untuk menyucikan jiwa kerana orang yang berpuasa perlu menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa atau sekurang-kurangnya yang boleh mencacatkan puasa. Justeru, segala tabiat buruk sebelum ini perlu ditinggalkan.

Apabila cabaran utama yang hadir dalam diri ini mampu diatasi oleh manusia itu bermakna mereka telah berjaya melawan godaan nafsu Syaitan yang mahu merosakkan jiwa mereka. Maka sebahagian daripada penyucian jiwa telah berjaya dilepasi. Sekiranya halangan ini mampu dilepasi, maka mereka telah tergolong dalam kalangan orang-orang yang sabar dan secara langsungnya ini telah dapat menyucikan hati daripada melakukan perbuatan maksiat.

Wallahu'alam..........



...ustazpenang...

Sejauh Mana Anda Bersabar????

Sejauh Mana Anda Bersabar????

Pernahkah anda mengalami stress yang melampau? Mungkin ada antara kita yang pernah terfikir untuk melakukan perkara yang bukan-bukan seperti membunuh diri dan mencederakan diri sendiri ketika menghadapi tekanan yang melampau. Ada juga yang gemar menjerit terpekik terlolong ketika stress menyelubungi diri. Saya sendiri contohnya, pernah menghabiskan beratus-ratus ringgit semata-mata kerana memesan semua menu yang terdapat di McDonald akibat stress yang melampau.

Syeikh al-'Arifi, seorang penulis buku Arab yang terkenal menceritakan kisah beliau tatkala beliau berkunjung ke Madinah al-Munawwarah untuk menziarahi sahabatnya Khalid. Dalam pertemuan itu, Khalid mengajak beliau untuk menziarahi sahabat mereka berdua, Dr. 'Abdullah. Dr. Abdullah merupakan seorang cendekiawan yang terkenal dengan akhlak yang mulia dan beliau sentiasa tersenyum.

Kisah Dr. 'Abdullah ini cukup menyayat hati. Beliau diuji dengan dugaan yang sangat kuat oleh Allah S.W.T.
Suatu hari, anak lelaki sulung beliau membawa semua ahli keluarganya ke satu kenduri perkahwinan tidak jauh dari rumah mereka. Hanya Dr. 'Abdullah yang tidak ikut serta ekoran tuntutan kerjaya beliau di universiti. Siapa sangka itulah kali terakhir beliau hidup bersama mereka. Dalam perjalanan pulang, kereta yang dipandu anak sulungnya kemalangan dan mengorbankan keseluruhan ahli keluarganya, kesemua 11 orang!

Walaupun Dr. 'Abdullah selalu bersabar apabila dihadapkan dengan pelbagai ujian, tetapi beliau tetap merupakan manusia biasa. Beliau tetap punya hati dan perasaan dan mata yang bisa menangis. Dia juga mempunyai jiwa yang kadangkala gembira dan kadangkala sedih.

Sungguhpun berita itu sangat merapuhkan hati, beliau tetap menyembahyangkan jenazah dan mengebumikan mereka dengan tangannya sendiri. Setelah selesai pengebumian, Dr. 'Abdullah pulang ke rumahnya yang pernah dihuni oleh anak-anak dan isteri beliau. Dengan hati yang masih terluka, beliau mula menjelajah ke segenap pelusuk rumah. Sunyi, sangat sunyi. Tidak seperti sebelumnya.
Beliau memandang mainan yang terbiar di atas lantai. Tiada lagi Khulud dan Sarah yang riang bermain dan kadang-kadang berebut permainan sampai bertelingkah kecil. Sungguh girang hati-hati suci itu!

Beliau menjenguk kamar tidur beliau dan isterinya. Matanya tertancap pada katil yang tidak dikemas kerana tiada lagi Ummu Salih, isterinya yang dicintai sepenuh hati yang setiap pagi akan mengemas katil mereka berdua tanpa bersungut. Basikal Yassir sepi sendirian tersandar pada dinding rumah. Tiada lagi pemuda mulia itu yang setiap petang akan menunggangnya ke pekan.
Beliau masuk ke kamar anak gadis sunti beliau yang sudah merancang untuk berkahwin dengan pemuda soleh pilihannya sendiri tidak lama lagi. Pakaian pernikahannya masih elok tersusun tidak terusik apatah lagi dipakai.

Masya-Allah. Kamu menghadap-Nya di saat-saat pernikahanmu semakin hampir!
Alangkah hebatnya seorang hamba Allah redha akan ketetapan Tuhannya. Sesiapa sahaja yang melihat beliau ketika mendapat ucapan takziah daripada orang ramai akan pelik. Kerana seolah-olah yang meninggal itu bukan sesiapa baginya. Malah beliau yang sebaliknya menasihatkan tetamu yang datang dengan tazkirah ringkas beliau.

Beliau sentiasa mengulang, "Dari Allah kita datang, kepada Allah jua kita kembali. Segala yang Allah kurniakan, itu kepunyaan-Nya. Segalanya telah Allah tetapkan."
Bayangkan jika beliau tidak redha dan bersungut atas kehilangan mereka. Lama kelamaan, beliau akan mati kerana kesedihan yang melampau. Kerja tidak akan menjadi. Hidup tidak dapat diteruskan dengan sempurna.

Benar sahabatku! Jangan kamu cuba untuk bunuh diri dan janganlah setiap kali kamu berbual dengan orang ramai, kamu mula bersungut terhadap dugaan Allah sampaikan orang lain mulai jemu dengan kerenahmu.

Contohnya apabila seorang isteri kerap sekali mengadu kepada suaminya, "Bang, rumah ni dah lama sangat dah.. Bang, kereta buruk tu dah selalu sangat masuk bengkel.. Bang, baju ayang dah out of fashion.."

Sudah tentu lama-kelamaan si suami akan menjadi bosan dengan sikap isterinya itu dan tidak mustahil andainya si suami tersebut mula mencari-cari bakal isteri baru.
Adalah lebih elok kalau kita terima segalanya seadanya. Tidak guna mencemuh mengatakan itu begitu, ini begini, yang itu begitu, yang ini begini.

Ingatlah wahai diri dan sahabat, dugaan itu tidak merupa dalam bentuk kesusahan sahaja, malah kesenangan yang ada sekarang juga adalah dugaan. Dugaan yang diciptakan untuk menguji hamba-Nya yang bersyukur dan hamba-Nya yang kufur.

Wallahu'alam..........



...ustazpenang...

Ketenangan Ada Dijual Di Sini

Ketenangan Ada Dijual Di Sini

Pernah tak nampak signboard macam ni, "Ketenangan ada dijual disini, dapatkan segera!" atau iklan macam ni, "Ketenangan untuk dijual" ataupun bila buat carian di mudah.com, jumpa "Untuk dijual: Ketenangan". Pernah tak kita jumpa? Erm... saya yakin, belum pernah ada ketenangan terjual di mana-mana.

Penting ke ketenangan ni?
Pernah sesekali atau kerapkali mungkin, dalam hidup ini kita diuji dengan dugaan yang kita rasakan sangat berat, hingga kita jatuh terduduk, tergamam, terpana. Terasa jiwayang tenang mula berombak, fikiran yang lapang terasa sesak. Dunia yang semalamnya cerah, hari ini terasa gelap gelita, tiada cahaya, tiada apa-apa. Kita teraba-raba, mencari tangan-tangan untuk berpaut, mencari bahu-bahu untuk bersandar, mencari dinginnya embun nasihat buat menyejukkan hati, saljunya madah kata pemujuk jiwa yang bisa mengembalikan kelamnya hidup kita. Kita tercari-cari mana pasangan, anak-anak, sahabat-sahabat kita. Adakah ketenangan ada bersama mereka?

Namun, kita rasa hampa kerana tiada tangan yang datang menghulur, tiada bahu yang datang mendekat, tiada curahan kata, tiada madah pujangga, tiada apa-apa. Sedang hati kita semakin terjerut kehibaan, mengenang dugaan yang semakin memberat, sedang jalan keluar seakan tidak kelihatan, kita seolah-olah tersesat di hutan belantara, di malam kelam yang tiada bintang, tiada juga bulan penunjuk haluan.

Mungkin juga sesekali, seolah kedengaran sayup-sayup bantuan yang datang, ada insan-insan yang cuba menghulurkan pertolongan. Namun, suami, isteri, anak-anak, sahabat, saudara, juga tidak dapat meminjamkan ketenangan itu kepada kita. Entah mengapa, semuanya bagai tak kena. Masalah yang menimpa tidak juga menampakkan penyelesaiannya, sedang insan di sekeliling kita tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu kita. Kita keseorangan, sendirian, dalam kegelapan, kebuntuan...
 
Sungguh, kita terasa ingin lari jauh. Jauh kemana-mana saja, asalkan kita terlepas dari belenggu yang menyesakkan fikiran ini. Kita mahu mencari sesuatu... "Ya Allah, berikan aku ketenangan". Ya, tiada apa yang lebih kita inginkan, tiada lain yang kita perlukan saat ini, melainkan ketenangan. Kita ingin Allah pinjamkan kita ketenangan, biarpun seketika, biarpun hanya sedetik cuma.

Kita cuba memujuk hati yang walang, cuba mencari ketenangan yang diimpikan. Pergi bercuti untuk menenangkan fikiran, window shopping, keluar berhibur dengan rakan-rakan. Bermacam-macam cara kita mencuba, namun gundah jiwa kita masih tidak berkurang, dugaan yang menimpa tidak juga surut, malah makin menyesakkan fikiran.

Kita mencari-cari dimana kita bisa mendapatkan ketenangan itu. Andai ia terjual di mana-mana, ya! dalam saat ini kita rela berikan segalanya untuk sebuah ketenangan. Andai apa jua syaratnya, kita pasti mahu memenuhinya, asal saja kita mendapat ketenangan itu. Andai ada manusia yang menyimpan ketenangan itu, akan kita cari dia walau di puncak mana dia berada. Semuanya demi ketenangan, kita umpama pengembara yang kehabisan bekalan air, di padang pasir yang panas terik. Walau segunung permata yang kita miliki pada saat itu, tidak berguna, kerana yang kita perlukan adalah air. Dan sekiranya ada yang mahu menukarkan segelas air dengan permata yang kita miliki, maka kita sanggup?

Sungguh, ketenangan ini adalah satu anugerah yang sangat istimewa. Kerana ia tidak dimiliki oleh sesiapa, melainkan Allah S.W.T. Manusia tidak dapat memberikan ketenangan, harta bertimbun bukan syarat memiliki ketenangan, paras rupa bukan juga tukaran ketenangan, keluarga dan sahabat bukan jaminan, kerana di sinilah terletaknya Keadilan dan Keagungan Allah S.W.T.

Andai saja ketenangan itu mampu dibeli oleh si kaya, maka bagaimana dengan mereka yang miskin? Kalau ketenangan itu syaratnya kecantikan rupa paras, maka bagaimana dengan si hodoh? Sekiranya ketenangan itu pada pangkat yang tinggi, bagaimana pula dengan si hamba? Andai ketenangan itu pada kaum kerabat dan keluarga, bagaimana dengan si yatim piatu yang tidak punya sesiapa? Maha Adilnya Allah S.W.T.

Indahnya, Allah meletakkan ketenangan pada hati-hati yang dekat dengan-Nya, firman-Nya:
'Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana' [Al Fath: 4]

Ya, pastinya segala sesuatu di atas dunia ini ada harganya, begitu juga dengan ketenangan. Harganya bukan tukaran wang mahupun harta, namun adalah keimanan kepada pemiliknya ketenangan. Mana mungkin kita mendapat ketenangan, kalau pemiliknya kita dustakan! Lalu bila hatimu dipagut resah, jiwamu hilang arah, hatimu dirundung gundah, maka mendekatlah kamu kembali kepada Allah! Mintalah kepada-Nya. Hanya Dia. Hanya Dia yang mampu menurunkan ketenangan itu ke dalam hatimu. Dialah saja yang berkuasa mendamaikan hatimu, sedamai sungai mengalir tenang, sedingin salju menyejukkan perasaan, sebening awan berarak perlahan. Itulah yang ditunggu-tunggu, bagi pemilik jiwa yang kegundahan.

Lantas, yakinlah kita bahawa tiada sesiapa, tiada apa-apa yang mampu menghadiahkan ketenangan itu, melainkan Allah S.W.T. Namun tidakkah kita malu, di saat kita perlukan sesuatu, kita mencari-cari Allah, namun saat kita telah memperolehi apa yang kita mahu, kita lupa! Kita lupa kepada-Nya. Allahu Rabbi, di manakah tempatnya Allah di hati kita? Mungkinkah ini sebabnya Allah menarik seketika ketenangan dalam jiwa kita, kerana kita telah jauh daripada-Nya, kita lupa kepada-Nya!
Ayuh, sama-sama kita renungi. Andainya ada ketenangan di hati kita saat ini, maka bersyukur dan ingatlah selalu kepada-Nya. Namun sekiranya ketenangan itu diambil seketika oleh-Nya, maka kembalilah bersegera membawa hati kita kepada-Nya.

Dia sedang menunggumu,
Dia sedia menyambutmu,
Tunjukkan pada-Nya hatimu yang terluka,
Adukan pada-Nya betapa kau kecewa,
Kisahkan pada-Nya betapa kau hiba,
Pasti kau takkan kecewa kerana Dia sungguh kasih kepadamu,
Walaupun hari-hari yang lalu kau pernah dan seringkali melupakan-Nya.

Namun, hari ini pabila kau datang pada-Nya, Dia akan berlari mendapatkanmu. Namun, ingatlah! Jangan pernah lupa kepada-Nya bila telah Dia berikan ketenangan lalu membebaskanmu dari belenggu kesukaran! Bukankah Dia terlebih dahulu memujuk kita hamba-Nya dengan firman-Nya:
'(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram' [Ar-Ra'd: 28]

Wallahu'alam..........
...ustazpenang...

Bila Cinta Berputik. Adakah Dia Jodohku???

Bila Cinta Berputik. Adakah Dia Jodohku???

"Tiada terfikir,
Terlintas Engkau akan tiba,
Membawa perangsang.
Tiada terfikir,Terlintas,
Engkaukan membuka,
Sempadan perasaan.

Bunga kembang bertali hati,Bunga kembang di puncak akli"
Begitu indah cinta, membawa perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Akan tetapi diluah melalui boneka jasad serta lirikan mata, lidah kelu diam seketika, jantung berdegup pantas tidak mencemaskan tetapi indah.

Remaja pada awalan usia mereka merasakan diri mereka ingin dicintai dan ingin mencintai. Akhirnya mencari cinta. Cinta pada usia muda yang sering digelar cinta monyet.
Tidak kurang pula ketika mereka melangkah ke menara gading. Mitos memaksa mereka mencari pasangan sebelum mendaki anak tangga pentas konvokesyen, kononnya, menara gading tempat mencari pasangan hidup yang akan hidup bersama mereka selepas graduasi.
Akan tetapi, alangkah sedihnya cinta yang berputik dan berbunga-bunga akhirnya tewas, melebur membentuk luka yang pedih dan sakit. Sesak nafasnya!

Lebih teruk kesannya jika apabila mereka sedar (meskipun tidak mengakui atau tidak menunjuk) bahawa perjalanan kisah cinta mereka telah pun melangkaui batasan agama, bersentuhan, berkucupan, berkhalwat dan terlanjur. Malu dan kesal serta sedih kerana diri telah menjadi tidak suci dan kotor, akan tetapi orang yang bersama-sama untuk berkongsi kotor dan jijik tidak lagi bersama. Risau pula jika perbuatan mereka dikhabarkan.

Yang nyata dan pasti, kamu tidak terlepas dari pandangan Allah dan Allah mengetahui perbuatan kemungkaran kamu. Taubatlah!
Jika kamu merasakan dia jodohmu, adakah dia mengajak kamu kepada kebaikan lebih banyak daripada membawa kamu kepada kemungkaran?

Oleh kerana itu, saya ingin mengajak para adik-adik untuk berfikir sejenak apakah niat kita bercinta dan dimana kita mahukan ia berakhir? Terutamanya adik-adik yang bakal bergelar graduan.
Ketika cinta kamu berputik pada si dia dan kamu sendiri mengakui di dalam hati kamu bahawa kamu ada rasa sayang pada dia, dan hati kamu punya rasa cinta padanya, renung seketika, di mana kamu ingin meletakkan cinta Allah yang jauh lebih hebat dari dia.

Jika cinta Allah lebih kamu sayang, letaklah cinta Allah sebagai batasan pergaulan kamu.
Apabila kisah cinta mula melorot dari satu episod ke satu episod yang lain. Renung kembali apa salahnya kamu pada Allah dan apa ajarannya telah kamu ikuti?

Dan pada ketika itu, fikirlah adakah pernikahan yang kamu cari atau hanya suka-suka? Jika suka-suka, tiada cinta yang berharga dari kamu dan untuk kamu. Jika pernikahan yang kamu cari, maka tidak usahlah buang masa lagi. Dekatilah pernikahan kerana kamu perlu mencari keredhaan Allah.

Bersama keredhaan Allah, langkah-langkah kamu menghampiri pernikahan sangat mudah jadinya. Kadang-kala diluar jangkaan kamu. Namun, jika dugaan yang datang, tabahkan hati tetapkan niat kamu untuk mencapai keimanan yang lebih baik melalui pernikahan.

Kerapkan menunaikan solat sunat tahajjud dan istiqarah. Mohonlah ditunjukan jalan dan memastikan dialah jodoh kamu. Jika tidak diilhamkan bahawa dia adalah jodoh kamu, terima qada Allah, teruskan kehidupan dan persahabatan, serta carilah pasangan yang bakal menjawab istiqarah sebagai jodoh kamu.

Jauhi dari hati yang makin berbunga dan berputik cinta walhal kita sebenarnya jauh dari jodoh. Itu hanya melukakan hati yang sangat lembut ini.
Cinta sesama manusia tentu tidak setanding dengan cinta dari Allah SWT. Tetapi, kerana cintakan Allah, kita mencintai manusia juga.

Cinta berputik biar bertapis. Agar diberkati dan diredhai Allah SWT.

Wallahu'alam..........



...ustazpenang...

Love Just The Way You Are, Muslimah

 Love Just The Way You Are, Muslimah

Damn, I miss it...
The time when you looked so beautiful,
When, the cover you wear was long enough,
When, your words were carefully spoken,
When, your dress was so modest,
While in the real arena you were such a ferocious lioness, a real mujahidah,
I love that time, I love you just the way you are.

Damn, I miss it...
When you are not trying to look beautiful, you are,
When you quickly put your cover down when the winds blew it hard,
When you take another route just to avoid the opposite group,
I miss to see that calm sweet face,
I miss it when your face saddened by the reminders of God,
And I love you just the way you are.

Damn, I miss it...
When I tried to steal a look at your face,
I see tears rolling out with your hands up, praying,
When you deviate the gorgeous grey eyes away the moment  yours met mine,
When you take no single glance at me when we pass by each other,
I love the way you talk to me, such composure and grace,
I love when your heart was so fragile to the Holy Words,
I love that time, I love you just the way you are.

But now, I don't know what I am feeling,
The love is starting to fade, or what?
Jealous? Dissapointment? Hope?
I don't know...
It hurts me a lot, it's silently killing me inside.

Every single time I saw you in that apparel,
Every single time I saw you mingle freely without boundaries with the opposites,
Every single moment I saw that words coming from your precious lips,
Please, this is not the girl who I'd known before,
But still, remnants of my love are still there, I'm sure!

I really want you to be my company in this perilous journey,
I really want you to be at my side, sharing love and care,
I really want you to be the mother of my children,
I really want you to be my guidance to His Love,
Even death cannot do us apart, because we will reunited in God's Glorious Gardens.

But girl, please! I really love you just the way you are at that time,
The time when you looked so beautiful,
When I saw you at that time,
There's not a thing that I would change,
Cause' you are amazing, just the way you are,
The way of a Muslimah.

Wallahu'alam............

...ustazpenang...

Thursday, 28 July 2011

DALAM DADA ADA CINTA

DALAM DADA ADA CINTA

Dalam derita jiwa
Ada nyanyi sepi,
Rindu empunya diri
Muncullah sebaris puisi
Arahnya datang dari dalam dada
Pada suatu senja ketika asyik mengingatMu
Inilah bicara cinta daripada pemilik Cinta Sejati

Rasa cinta pasti ada
Dalam dada insan yang bernyawa
Rasakan debar getarnya ada, meliputi, rasakan ADA

Cinta harus dibuktikan
saksinya pengorbanan
Jangan dibebani jiwa dengan ribuan soalan
Tiada tersisa semuanya harus diserahkan
Jiwa raga akal budi seluruh zahir dan batin

Sebaris kata puisi terbitnya dari dalam dada
Buat insan lemas, lelah dan hilang arah
Apa lagi yang perlu kukorbankan
Demi menyatakan taat setia
segalanya sudah binasa
Aku hanya ada secebis rasa,
Adajiwa berahi merasa mabuknya rindu

Inilah saat senja hiba paling dalam mencengkam
Berpuluh tahun ditunggu saatnya tiba jua
Pernyataan kasih dan sayang
Menzahirkan hadir dan ADA
Tak terbilang, ESA
Tak tersembunyi, NYATA
Tak terbayangkan, WUJUD

Terima kasih senja, kala hadirnya cinta
semua pasti sangkaan akan punah binasa
Tatkala ini berubah segala wajah jiwa
Nyatalah dengan cinta wujud segalanya
Hadir dengan cinta kembali bersamanya
Takkan berpisah ombak dan laut
Takkan berpisah cahaya dan matahari
Selagi ada cinta dalam dada
ADA ESA NYATA WUJUD
 Wallahu'alam.........
...ustazpenang...

WANITA

Wanita 

Ketika waktu remajamu
Dipenuhi dengan suka duka kehidupan
Aku yang melihatnya bagaikan ingin berada ditempatmu
Pada ketika itu..
Kau sangat gembira disamping insan-insan tersayang..

Wanita
Kau sangat tabah meniti hari-harimu
Demi keluargamu kau sanggup melakukan apa sahaja
Demi kepentingan dan keperluan mereka
Kau begitu meyayangi mereka

Wanita
Kau begitu cekal dalam menghadapi segalanya
Dimana kau mendapat kecekalan dan keberanian hidup??
Kau telah menerima sesuatu yang sangat-sangat
Menjadikan hidupmu
Bagaikan awan hitam senantiasa menyelubung hidupmu
Tetapi kau tidak menyesalinya walau sedikit pun
Kau tetap setia setia setia dan setia

Wanita
Aku tahu tiada seorang pun yang sebaik dirimu
Semua orang menyukaimu dan menghormatimu
Kau mempunyai sesuatu yang tiada pada orang lain
Kau senantiasa memikirkan mengenai orang lain
Pernahkah kau memikirkan apakah impian dan keinginanmu??

Wanita
Pengorbanan yang kau lakukan tiada tandingannya
Setiap apa yang kau lakukan
Tidak mungkin dapat aku melakukannya
Begitu cekal,,tabah dan kuatnya hatimu..
Kau menjalani segalanya dengan tenang bagaikan tiada
apa-apa yang menyesakkan hatimu..

Wahai Wanita
Seberat mana dugaan yang kau hadapi
Kau tidak pernah mengeluh
Mengapa sesuatu itu berlaku kepada mu??
Kau tidak pernah menyalahkan sesiapa
Tapi aku yang melihat begitu sedih dan pilu
Ada ketikanya aku menangis melihat dirimu
Aku begitu menyanjungimu...
Begitu meyayangimu...mengasihimu..
Aku selalu mendoakanmu...
Ya Allah..hanya engkau yang memahami penderitaannya...
 Wallahu'alam...........
...ustazpenang...

Penampar Adalah Jawapannya

Penampar Adalah Jawapannya

Ada seorang pemuda yang lama belajar di luar negeri kembali ke tanahair dengan angkuh dan sombong. Di dalam benak kepalanya telah lama tersimpan 3 pertanyaan yang dianggapnya tiada siapa yang boleh menjawab. Satu
hari beliau bertemu seorang imam tua di kampungnya.
Pemuda: Pak imam apakah boleh menjawab pertanyaan-pertanyaan saya?
Pak Imam : Saya hamba Allah dan dengan izin-Nya saya akan menjawab pertanyaan kamu!
Pemuda: Pak imam yakin? Banyak orang pintar yang saya tanya tidak mampu menjawab pertanyaan saya.
Pak Imam: Saya akan mencuba sejauh kemampuan saya, insya'Allah.

Pemuda: Saya ada 3 pertanyaan

1. Kalau benar Tuhan itu ada, tunjukan kewujudan Tuhan kepada saya?
2. Apakah yang dinamakan TAKDIR?
3. Kalau syaitan diciptakan dari api, kenapa mereka dimasukkan ke neraka yang dibuat dari api, tentu tidak menyakitkan buat syaitan, sebab mereka memiliki unsur yang sama. Apakah Tuhan tidak pernah berfikir sejauh itu?
Dengan sepontan Pak Imam tersebut menampar pipi si Pemuda itu dengan amat kuat.
Pemuda (sambil menahan sakit) : Kenapa pak imam marah kepada saya?
Pak Imam : Saya tidak marah... Tamparan itu adalah jawapan saya untuk 3 pertanyaan yang awak tanyakan kepada saya.

Pemuda : Saya amat tidak faham...??
Pak Imam : Bagaimana rasanya tamparan saya?
Pemuda : Tentu saja saya merasakan sakit dan pedih...!!
Pak Imam : Jadi awak percaya bahawa sakit itu ada?
Pemuda : Ya....!
Pak Imam : Tunjukkan pada saya wujudnya sakit itu atau macam mana rupanya?
Pemuda : Tak boleh pak imam...!!!
Pak Imam : Itulah jawapan kepada pertanyaan pertama awak, kita semua merasakan kewujudan Tuhan itu tanpa mampu melihat kewujudanNya.

Pak Imam : Adakah malam tadi awak bermimpi atau telah tahu saya akan menampar awak?
Pemuda : Tidak....!!?
Pak Imam : Apakah awak pernah terfikir akan menerima sebuah tamparan dari saya hari ini?
Pemuda : Tidak....!!!?
Pak Imam : Itulah yang dinamakan TAKDIR!

Pak Imam : Terbuat daripada apakah tangan yang saya gunakan untuk menampar awak ini?
Pemuda : Kulit dan daging...!!!
Pak Imam : Terbuat dari apakah pipi awak itu...?
Pemuda : Kulit dan daging....!!!??
Pak Imam : Bagaimana rasanya tamparan saya?
Pemuda : Sakit dan pedih....!!!?
Pak Imam : Itulah...! Walaupun Syaitan terbuat dari api dan Neraka terbuat dari api, Jika Tuhan berkehendak maka Neraka akan jadilah ia tempat yang menyakitkan untuk syaitan.... walaupun sama unsur asalnya...!!
Pemuda : Allahuakbar!

Wallahu'alam............



...ustazpenang...

Berilah Kerana Allah

Berilah Kerana Allah

Seringkali saya berdepan dengan situasi di mana manusia mudah berasa kecewa apabila jasa baik mereka tidak berbalas. Baik sewaktu berada di sekolah, pusat pengajian tinggi sehinggalah di tempat kerja, sesama kaum kerabat, rakan dan jiran.

Sering terdengar kekesalan dan keluhan, "Dahulu sewaktu dia dalam kesusahan bukan main baik minta pertolongan kepada kita, kita pun berbesar hati tolong dia; sekarang bila tiba giliran kita dalam kesusahan langsung dia tidak ingat, apatah lagi hendak menghulur bantuan."

Seolah-olah timbul penyesalan kerana telah bersusah-payah memberi pertolongan kepadanya suatu ketika dahulu. "Kalau tahu perangai dia macam ni, sejak dulu lagi tak patut dibantu."

Seakan-akan menjadi lumrah manusia, apabila diminta melakukan sesuatu, maka pasti dia akan menimbang-tara antara kos dan manfaat. Kos yang perlu ditanggung dan manfaat yang akan diperoleh.
Kadangkala apabila saudara kita memohon pertolongan, antara perkara pertama yang akan kita fikirkan ialah adakah kelak bila kita dalam kesusahan dia akan tolong kembali. Itu yang utama.
Kerana untuk menolongnya, pasti kita terpaksa menanggung beban masa, tenaga dan mungkin juga wang. Jadi sekiranya kita mencurah masa, tenaga dan wang untuk membantunya; perlulah kelak menerima balasan setimpal. Sekurang-kurangnya bila kita susah, dia juga patut melakukan perkara sama.

Apabila bantuan telah diberi dan tiba kitaran waktu kita pula dilanda musibah, rasa kecewa memuncak di hati sekiranya bantuan yang kita pinta dari insan yang telah kita bantu dahulu ditolak.
"Dulu dia susah kita yang tolong, sekarang dah senang dia lupa kita."

Akibatnya ramai yang menjadi kecewa, dan budaya tolong menolong antara satu sama lain diganti dengan budaya penting diri sendiri dahulu sebelum orang lain. Kita akan hanya berkorban jika habuannya setimpal atau lebih besar. Budaya ini menular hebat dalam masyarakat; daripada penuntut-penuntut ilmu di pusat pengajian sehinggalah kepada pemimpin-pemimpin politik.

Adalah menjadi fitrah manusia itu akan senantiasa pertimbang kos dan manfaat, baik dan buruk sesuatu perkara sebelum membuat keputusan. Cuma malang sekali apabila manfaat tersebut dilihat dari neraca duniawi. Habuan yang diharapkan semuanya dalam perkara keduniaan: harta, pengaruh dan lain-lain.

Sebelum kita memberi wang bantuan yang dipinta umpamanya, kita akan berfikir kelak apabila kita susah adakah dia akan memberi wang bantuan juga? Adakah dia akan meluangkan masa membantu kita pula? Bolehkah dia mengembangkan pengaruh kita? Dan pelbagai lagi persoalan keduniaan yang bermain.

Kita lupa kepada ganjaran syurga dan pahala yang jauh lebih hebat. Hati kita lebih tertarik kepada kesenangan duniawi yang apalah sangat berbanding kesenangan Akhirat. Apabila tidak pula mendapat kesenangan duniawi itu, kita merasa kecewa pula. Adakah patut kita kecewa kerana dunia? Lupa pada Akhirat?

Allah menceritakan keadaan orang-orang baik (al-Abraar) di dunia dan balasan mereka di Akhirat kelak:

[5] Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan kebajikan), akan meminum dari piala: sejenis minuman yang bercampur dengan "Kafur", - [6] Iaitu sebuah matair (di Syurga), yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba Allah (yang taat); mereka boleh mengalirkannya (di tempat-tempat tinggal mereka) dengan aliran yang semudah-mudahnya dan menurut kemahuannya. [7] (Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini. [8] Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, [9] (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): "Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, [10] "Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut". [11] Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati). [12] Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera.
[Surah Al-Insaan; 76: 5-12]

Fokus kepada ayat 8 sehingga ayat 10. Pada ayat 8, Allah menceritakan bagaimana orang-orang baik ini memberi makanan yang mereka perlu dan mereka suka kepada orang lain yang lebih memerlukan; iaitu fakir miskin, anak-anak yatim dan tawanan perang. Lihat bahawa orang-orang soleh ini memberi apa yang mereka perlu dan suka. Itu baru kebajikan sebenar, seperti firman Allah:
[92] Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
[Surah Ali Imran; 3: 92]

Bukan seperti kebanyakan kita yang hanya memberi apa yang kita sudah tidak mahu lagi. Kebajikan sebenar ialah apabila kita berkorban apa yang sangat kita sayangi dan sukai.

Bukan itu sahaja, setelah orang-orang baik ini memberi apa yang sangat mereka sayangi, pada ayat 9 mereka berkata pula bahawa pemberian mereka adalah kerana Allah semata-mata, dan mereka tidak sedikit pun mengharap balasan daripada orang yang telah dibantu, bahkan ucapan terima kasih pun mereka tidak mahu.

Ramai antara kita yang mudah melatah sekiranya orang yang kita bantu tidak ucap terima kasih, bahkan ramai yang sebenarnya mengharapkan balasan sesuatu daripada orang yang dibantu. Sedangkan orang-orang yang baik itu mereka adalah sebaliknya. Jangankan balasan bantuan, ucapan terima kasih pun tidak mahu. Itulah semata-mata kerana Allah!

Pada ayat 10, diterangkan bahawa orang-orang soleh ini, apabila memberi bantuan, mereka hanya mengharap balasan daripada Allah! Mengharap kepada kasih dan rahmat Allah agar mereka selamat dan mendapat layanan baik dari Allah pada Hari Pembalasan - pada hari tersebut Allah menimpakan azab di mana orang-orang jahat akan berkerut wajah mereka kerana pedihnya dan beratnya azab hari tersebut.

Moga-moga Allah akan kasihankan orang-orang baik atas segala bantuan yang pernah mereka lakukan dahulu semata-mata kerana Allah tanpa mengharap apa-apa balasan. Maka pada ayat-ayat berikutnya Allah menceritakan bagaimana orang-orang baik ini mendapat ganjaran-ganjaran yang sangat hebat: Syurga dan diceritakan pula segala isinya yang akan dinikmati mereka.

Aduhai celakalah kita kerana tertipu dengan dunia. Mata hati kita tertutup daripada melihat kehebatan Syurga dan kehinaan dunia. Akhirnya berapa banyak persaudaraan dan persahabatan yang putus kerana kecewa akibat pertolongan yang tidak berbalas. Marilah sama-sama membudayakan amalan orang-orang baik; berilah semata-mata kerana Allah!

Lupakan balasan dunia, utamakan ganjaran Akhirat. Moga-moga kita tidak akan lagi dilanda kekecewaan dalam hidup, dan moga-moga Allah berasa kasihan kepada kita pada Hari Pertemuan dengan-Nya nanti.

Wallahu'alam......



...ustazpenang...

Peperangan Yang Dahsyat

Peperangan Yang Dahsyat

"Orang yang kuat bukan kerana mampu mengalahkan lawan, tetapi orang yang kuat adalah yang mampu menundukan nafsunya di saat dia sedang marah."

Demikian sabda Rasulullah S.A.W, bukan lantaran mampu menghentam tengkuk lawannya seseorang disebut "manusia kuat, manusia perkasa", tetapi siapa pun dari lapisan manapun yang mampu menaklukan nafsunya, mampu menjinakkan gelora cita-citanya, itulah manusia kuat dan perkasa.

Takluk Dan Salurkan; Bukan Mematikan
Itulah cara yang terbaik. Tidak usah mematikan nafsu tetapi pandai-pandailah menaklukkan untuk kemudian menyalurkan pada kedudukan benar tidak berlanggar dengan norma-norma Tuhan mahupun norma-norma yang manusiawi.

Menaklukkan nafsu ertinya tidak melampiaskan semahu-mahunya, tanpa peduli atau bertindak dengan dalih "hak asasi". Seseorang harus benar-benar memahami watak nafsunya yang selalu menuntut dan menuntut tanpa mengenal erti puas dan seseorang harus mampu mengenal keterbatasan dirinya sendiri, namun inilah ujian yang paling sukar, sebab manusia ternyata lebih pandai membaca diri orang lain daripada harus membaca dirinya sendiri.

Menyalurkan ertinya tidak usah mematikan nafsunya tetapi merealisasikan tuntutannya sepanjang ia membawa petaka baik bagi peribadinya mahupun sekelilingnya. Disalurkan sesuai dengan norma-norma Tuhan, semisalnya tuntutan nafsu seksual yang patut disalurkan melalui pernikahan yang sah. Demikian halnya sifat ingin kaya salurkan dengan kerja keras, tekun tetapi jujur tidak memanipulasi atau rasuah dan cara-cara lain yang melanggar hukum Tuhan.

Melampiaskan nafsu dengan cara-cara yang bertentangan dengan norma-norma Tuhan sudah pasti akan melahirkan kesan psikologi yang tidak baik. Entah sekalipun seseorang yang mengambil jalan haram boleh menjadi kaya, hidup dalam gelumang harta kekayaan, kemewahan dan kemegahan, namun siapa pun tidak mungkin mampu meredakan pertentangan batinnya, siapa pun tak mungkin mampu membaca jeritan hati nuraninya.

Manusia cuma pandai membohongi orang lain tetapi jangan harap mampu membohongi hati nuraninya sendiri. Bukankah suatu siksaan berat bagi seseorang yang bertindak melawan kata batinnya. Bagaimana ia mampu memperoleh ketenteraman jiwa.

Itulah sebabnya "KEJUJURAN" adalah pintu kebahagiaan, pintu ketenteraman yang sejati.
Bersikap jujur, wajar. Itu harus diawali dengan menundukkan nafsunya sendiri. Namun perang melawan nafsu itulah satu perperangan yang teramat dahsyat pada hidup seseorang sebenarnya.

Wallahu'alam..........



...ustazpenang...

Cinta Seorang Playboy Itu..

Cinta Seorang Playboy Itu..

Zaman remaja sememangnya zaman yang indah dan bahagia buat dia. Zaman di mana dia dipuja dan dipandang tinggi oleh wanita-wanita di sekelilingnya. Dia tersenyum bangga. Berbekalkan wajah yang sempurna, ketinggian yang mantap dan bentuk tubuh yang bisa menambat hati gadis-gadis, dia rasa begitu selesa dengan kehidupannya. Hatinya kini milik seribu wanita yang bergelar 'hawa'.

Untuk apa dia setia? Sedangkan rakan-rakannya yang lain kerap dipermainkan wanita walaupun mereka setia. Ada yang sanggup berhabis wang ringgit untuk teman wanita, akhirnya apabila sudah kopak, gadis tersebut meninggalkan mereka terkontang-kanting. Dia sendiri pun apa kurangnya. Sudah dua kali dia dicurangi makhluk yang bergelar kaum hawa itu walaupun dia telah korbankan segala kesetiaan dan kepercayaan kepada mereka.

Sudah dua kali juga dia menetapkan bahawa merekalah yang bakal menjadi permaisuri hidupnya tetapi sesungguhnya semua itu hanyalah sia-sia. Sekarang dia tersenyum puas. Puas kerana dapat mempermainkan hati lima gadis serentak! Dania, Ida, Zurin, Rushaida dan Lisya semuanya dia taburkan dengan janji-janji dan kasih sayang palsu. Andai salah seorang daripada mereka tidak berpuas hati pun dia tidak peduli. Asalkan dia bahagia melihat gadis-gadis tersebut terulit dibuai janji kosong.

Cuaca pagi itu tenang dan damai. Burung-burung bahagia berkicauan. 'Mungkin burung-burung tu pun bahagia sebab ramai awek,' bisik hati kecilnya. Dia tersenyum riang. Hari ini merupakan hari pendaftaran degree in law untuk pelajar junior. Jika bernasib baik, mungkin akan adalah seorang 'awek' cun tersangkut kat dia lagi. Sedang dia berdiri memerhati gerak-geri junior-junior yang kebanyakannya comel-comel belaka, pandangannya terhenti kepada salah seorang gadis ayu yang sedang duduk memerhatikan jam tangan di tepi kaunter pendaftaran kolej kediaman. Di dalam hatinya, itulah gadis yang bakal menjadi mangsanya seterusnya.

Sejak hari pendaftaran itu, dia bersungguh-sungguh mendapatkan serba sedikit maklumat mengenai gadis tersebut daripada rakan-rakannya dan junior. Hatinya menjadi lebih panas apabila mendapat tahu bahawa gadis tersebut merupakan seorang gadis yang sering mempermainkan perasaan lelaki. Hatinya melonjak untuk mengenali gadis tersebut agar dia dapat mempermainkan gadis tersebut pula! Dia cuba memulakan langkah untuk berkenalan dengan gadis tersebut. Dia mengatur ayat-ayat manisnya yang sememangnya menjadi bagi menjerat hati seorang gadis. Setelah seminggu lebih menjengah khabar berita daripada rakan-rakan dan junior, dia berjaya juga mengetahui serba sedikit tentang gadis itu.

Namanya tidaklah seglamour wajahnya. Bukan Aleesya, Areefa atau Natasya. Nama-nama tersebut adalah nama-nama biasa gadis-gadis cun yang dikenalinya selama ini. Tetapi kali ini, nama gadis yang cuba dikenalinya ini sungguh dalam maknanya. Gadis yang bernama Halimahtussaadiyah ini berasal dari Selangor. Setelah menaburkan ayat-ayat manis seperti biasa, tepat pada tarikh 8 Julai 2004, termaktublah bahawa mereka secara rasmi sudah menjadi sepasang kekasih.

Allah S.W.T  Yang Maha Berkuasa  tahu apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya. Dengan termeterainya perhubungan itu, niat yang pada mulanya berunsur khianat telah bertukar sepenuhnya. Perkenalan itu menjadikan mereka kenal akan erti kesetiaan, kasih sayang dan cinta. Tiada lagi istilah playboy dan playgurl dalam diri mereka. Tiada lagi istilah curang, khianat atau mempermainkan hati masing-masing. Dia telah pun memohon ampun dan maaf kepada bekas-bekas kekasihnya di saat zaman playboy nya dahulu. Hatinya kini terpaut kepada Halimahtussaadiyah seorang dan dia tidak berniat untuk bermain-main lagi dalam percintaan.

Episod-episod bahagia telah menjengah hari-hari mereka berdua. Dia yakin pada kata hati bahawa Halimahtussaadiyah lah yang sebenar-sebenarnya jodoh kurniaan Allah S.W.T baginya. Mereka bagaikan belangkas. Ke mana sahaja pasti bersama.

Tetapi lama kelamaan perkara ini menjadi masalah buat mereka. Akibat selalu kelihatan berdua-duaan, mereka telah dipanggil oleh jawatankuasa perwakilan Persatuan Rohani IPTA. Ketika itu mereka tersedar bahawa mereka telah melakukan dosa yang menghampiri fitnah dan zina. Walaupun setakat ini, mereka masih mengawal perilaku mereka, perkara sebegini masih haram di dalam Islam.

Sedangkan ber-couple itu juga adalah haram apatah lagi berdua-duaan. Astagfirullahalazim!
Namun mereka sudah terlalu mencintai antara satu sama lain. Setelah berbincang dengan ibu bapa masing-masing, mereka mengambil keputusan untuk bertunang dan bernikah. Bukan mudah untuk meyakinkan ibu bapa pada mulanya namun, mereka tetap bersungguh agar tidak dipisahkan.

Maka, tanggal 3 September 2005, mereka pun bertunang. Ketika majlis pertunangan dilangsungkan, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk memilih tarikh pernikahan pada bulan Disember 2005 iaitu pada tahun yang sama agar dapat mempercepatkan urusan membina masjid tersebut. Selepas bertunang, mereka menjaga pergaulan mereka. Mereka tidak lagi kerap berjumpa kecuali untuk urusan-urusan penting sahaja. Namun di dalam hati, masing-masing terasa sangat berdebar-debar menanti ketibaan hari yang ditunggu-tunggu.

Tetapi kata orang, kita cuma mampu merancang. Allah juga yang Maha Menentukan. Tanggal 21 September 2005, iaitu hanya beberapa minggu selepas mereka bertunang, hadirlah suatu peristiwa yang tidak akan pernah dia lupakan. Tarikh itu, tarikh dimana nyawa Halimatuhsaadiyah diragut kerana kemalangan jalan raya di Lebuhraya Elite sebaik pulang daripada rumahnya kerana terdapat perbincangan mengenai persiapan perkahwinan.

Halimatussaadiyah meninggal di Hospital Besar Kuala Lumpur tepat pada jam 9.30 malam itu. Kemalangan ngeri itu telah mengakibatkan gegaran otak yang kuat dan menyebabkan pendarahan di dalam kepalanya. Dia yang turut terlibat di dalam kemalangan tersebut hanya patah kaki dan koma selama beberapa jam namun, oleh kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, dia tidak dapat hadir ke pengebumian Halimatussadiyah, seorang gadis yang amat dia cintai.

Saat dia sedar daripada koma, soalan pertama yang terbit dibibinya ialah di mana Halimahtussaadiyah dan bagaimana keadaannya? Bagi mengelak kejutan yang teruk dan atas nasihat doktor, ibu bapanya terpaksa menipu dengan mengatakan keadaan Halimahtussaadiyah stabil dan sedang dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Hari ke enam pada bulan Ramadhan, dia dikeluarkan daripada Hospital. Sepanjang berada di rumah, die sibuk bertanyakan perihal Halimahtussaadiyah dan ibu bapanya hanya berdiam diri kerana takut terjadi perkara yang tidak diingini padanya jika terus berselindung, ibu bapanya meminta bantuan daripada ibu bapa Halimahtussaadiyah untuk memberitahunya khabar berita bahawa Halimahtussaadiyah telah pun kembali ke rahmatullah dan telahpun selamat dikebumikan. Sebaik mengetahui bahawa gadis yang dicintainya itu telah pun kembali pada Tuhan yang Maha Esa, hidupnya menjadi tidak keruan. Dia tidak mahu makan, tidak mahu mandi dan asyik menghabiskan waktunya untuk menangis dan meratapi. Hidupnya seakan-akan tidak terurus lagi. Pelajarannya ditinggalkan begitu sahaja.

Tetapi kisah dukanya tidak hanya terhenti di situ. Setelah tiga minggu mengetahui berita bahawa Halimatuhsaadiyah telah meninggalkannya selama-lamanya, dia mengalami masalah hilang ingatan akibat terlalu stress dan terlalu banyak berfikir. Ibu bapanya sudah puas menghantarnya membuat rawatan di hospital dan bertemu dengan ustaz-ustaz yang boleh mengubatinya namun masih tidak berhasil. Inilah ujian daripada Allah. Mungkin Allah S.W.T hanya akan mengizinkannya untuk mendapatkan kembali memorinya setelah dia tenang dan redha dengan pemergian Halimatuhsaadiyah. 

Alhamdulillah setelah berusaha tanpa jemu, pada pertengahan bulan Mac pada tahun 2008, barulah ingatan dia kembali pulih seperti biasa. Ketika itu, dia telah redha dengan pemergian bekas tunangnya dan berdoa agar roh Halimatuhsaadiyah ditempatkan di kalangan orang-orang beriman..

Sekarang, dia hanya meneruskan kehidupannya seperti biasa walau pedih untuk ditanganinya. Dia pernah bercerita, di dalam mimpinya arwah pernah hadir dan mengucapkan kata-kata yang telah membuatakn dia sedar apa yang patut dilakukannya. Arwah memintanya agar tidak berterusan bersedih hati dan terus mencapai impian merealisasikan cita-citanya.

Ajaib bukan? Seorang playboy bertukar menjadi seorang yang setia kerana kehendak-Nya. Seorang playboy diuji oleh Allah untuk menghapus dosa-dosanya. Jika selama ini dia menguji hati gadis-gadis yang dipermainkannya, kini hidupnya sarat dengan ujian Allah yang Maha Berkuasa. Allah menjadikan sesuatu pasti ada hikmahnya. Dipinjamkan oleh-Nya intan permata namun bisa ditarik bila-bila yang dikehendaki-Nya.

Di kesempatan ini inginku hadiahkan al-Fatihah buat Allahyarhamah Halimahtussaadiyah Binti Mohd Yusof (10 Dis 1985 – 21 Sept 2005). Jangan risau akak, impian dan cita-citanya tetap dia teruskan walaupun akak sudah tiada lagi di sisinya.

Wallahu'alam..........



...ustazpenang...

Mendabik Dada Atau Berkongsi Rasa???

Mendabik Dada Atau Berkongsi Rasa???

Saya tidak sangka dapat bertemu dengan wira bina badan negara, Dato' Malek Noor di Madinah sewaktu mengerjakan umrah. Ketika itu, kami sama-sama beratur untuk mengambil hidangan makan tengahari di hotel penginapan kami. Malek berbaju Melayu teluk belanga, berkain pelekat dan berkopiah, menampilkan kejohorannya.

Meskipun belum pernah berkenalan, namun senyuman manis dan sikap peramahnya menjadikan saya tidak kekok menyapanya. Malek menceritakan yang dia sudah tiga hari sampai daripada Makkah. Perbualan kami menjurus kepada pengalaman beliau ketika di Masjidil Haram.

Dengan wajah ceria, Malek Noor bercerita yang beliau mendapat apa yang dihajatinya. Walaupun tubuhnya sasa, nafasnya sesak juga apabila dirempuh jemaah lain, sehinggalah beliau dapat mengucup Hajarul Aswad. Dia juga dapat bersolat di Hijr Ismail dan berdoa di Multazam.

Sehari kemudian, saya terserempak lagi dengan Malek di lobi hotel. Kali ini beliau menceritakan pula bagaimana pada malam sebelumnya, beliau dapat bersolat di hadapan mimbar raudhah yang sentiasa penuh sesak dengan para jemaah sebelum menziarahi makam Rasulullah s.a.w. Saya kagum dengan rezeki yang diperoleh Malek. Itulah impian setiap orang yang berkunjung ke Masjid Nabawi.

Sekali pandang, apa yang diceritakan oleh Malek Noor seperti orang yang bercakap besar, seolah-olah bercerita dengan mendabik dada bahawa akulah orang yang dipilih Allah hingga mampu memperoleh semua yang dihajati. Namun, melihatkan keikhlasannya bercerita, saya tahu yang Malek hanya ingin berkongsi rasa. Sebab itulah hati saya tumpang gembira dan tidak meluat dengan ceritanya. Di dalam hati, saya ingin sekali mengikut jejaknya untuk memperoleh apa yang telah beliau lalui.

Bercakap besar dan berkongsi rasa adalah dua perkara yang berbeza. Bercakap besar ialah menyampaikan kejayaan-kejayaan diri dengan wajah riya', seolah-olah kita sahaja yang boleh mendapat atau mampu melakukan sesuatu sedangkan orang lain tidak boleh. Rasa bangga diri orang yang bercakap besar seumpama seorang kanak-kanak yang berdiri di atas busut seraya mendabik dada seolah-olah dia sudah berada di puncak gunung.

Sedangkan orang yang berkongsi rasa, menceritakan apa yang dialami serta kejayaan yang diperolehi dengan harapan si pendengar dapat mencontohinya. Kita di pihak yang menerima, andainya berfikiran positif, bersangka baik atau husnu dzon, kita akan memperoleh banyak sekali ilmu yang disampaikan. Sebaliknya, andainya kita mempunyai sikap negatif, bersangka buruk, atau suu dzon, maka apa jua kebaikan yang disampaikan akan disambut dengan senyuman sinis kerana memperlekeh apa yang dikongsikan.

Barangkali, oleh sebab bimbang dikatakan sebagai orang yang bercakap besar, maka ramai di antara kita lebih senang berdiam diri meskipun kita mengetahui sesuatu lebih daripada orang lain. Kejayaan kita dalam perniagaan, pendidikan anak hingga berjaya dalam kerjaya, pengurusan kewangan, teknik belajar, malah rahsia kita membuat teh tarik yang sedap adalah di antara kebaikan-kebaikan yang seharusnya dikongsikan dengan orang lain.

Kita mesti berani dan tidak segan untuk berkongsi rasa. Jangan sekali-kali kita berasa bimbang dianggap bercakap besar kerana yang utama adalah berkongsi ilmu. Tentu sekali dalam sepuluh orang yang mendengar perkongsian rasa kita, akan ada seorang dua yang mencemuh, tetapi itu tidak harus mematahkan semangat kita untuk menceritakan kebaikan pengalaman dan pengajaran yang kita lalui.

Apa jua kebaikan yang kita peroleh itu tidak harus disembunyikan dari pengetahuan orang lain. Lagi ramai orang lain tahu tentang kebaikan yang kita kongsikan, ia lebih bagus. Malah, daripada sudut agama pun, kita dituntut untuk menyebar kebaikan yang dialami sebagai tanda syukur kita terhadap nikmat Allah s.w.t.
Wa amma bi ni'mati rabbika fahaddith. Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (zahirkan sebagai tanda bersyukur kepada-Nya). Surah ad-duha, ayat 11 jelas menggalakkan kita untuk berkongsi rasa. Itu jua cara untuk memperoleh pahala. Kerana itu, jangan rasa malu untuk menceritakan kejayaan-kejayaan diri.

Wallahu'alam.........



...ustazpenang...

Magnet Hati

Magnet Hati

Kehidupan ini memiliki suatu misteri tersendiri. Bumi kita memiliki medan magnet yang sangat besar, Alam semesta pun memiliki medan magnet dan gaya gravitinya tersendiri. Semua beredar pada orbitnya dan berputar pada paksinya.

Manusia juga memiliki misterinya sendiri, kemampuan yang membuat seseorang boleh menjadi sangat ‘kecil’ mahupun boleh menjadi sangat ‘besar’.  Apabila terkongkong oleh fikirannya sendiri, manusia akan menjadi sangat kerdil. Dengan kebesaran hatinya juga manusia dapat menjadi besar. Kekuatan fikiran manusia adalah sangat tidak terbatas.

Dengan ‘magnet hati’ yang akan membuatkan kita mengenali kemampuan diri sendiri..
Mengapa ada orang yang senang berkawan dengan kita?
mengapa ada yang menolak kita? 
mengapa ada daya tarik menarik antara kita?
dan ada daya tolak menolak diantara kita?

Ini semua kerana disebabkan oleh magnet hati yang kita miliki.
Dari gelombang magnet yang kita pancarkan, itulah yang akan menarik apa-apa di sekeliling kita, yang sesuai dengan gelombang tersebut.

Medan magnet yang positif, akan membawa kebahagiaan.  Dengan mengunakan kekuatan gelombang medan magnet ditmabah dengan (cinta kasih, kasih sayang dan kesabaran) tentunya akan menghasilkan medan magnet yang dahsyat dan luar biasa.  Ia akan memberikan kita perkara yang positif pula. Ia akan memberikan kebahagiaan
Memberi kekuatan dalam menjalankan hidup kita, kerana semua perkara yang positif sudah terlekat pada diri kita.

Medan magnet negatif tidak perlu dibahaskan lagi, kerana tanpa disedari, setiap saat, setiap detik akan menghasilkan sesuatu seperti yang sering kita rasakan, iaitu derita yang tiada akhir…
Oleh itu, jika mahu mengubah hidup, hanya pilih medan magnet hati apa yang ingin kita gunakan.
Hidup ini penuh dengan suka dan  silih berganti,  seperti magnet dengan daya tarikan atau tolakan..

Wallahu'alam.........



...ustazpenang...

Terima Kasih

Terima Kasih

Sebenarnya, masalah merupakan peluang untuk membuatkan diri kita menjadi kuat..
Berterima kasihlah kepada orang yang telah menyusahkan dan mengecewakan kita,
Kerana dia telah melatih kegigihan hati kita..


Berterima kasihlah kepada orang yang telah menipu kita,
Kerana dia telah menambah pengalaman kita.

Berterima kasihlah kepada orang yang telah mengejar kita
Kerana dia telah membuatkan kita berlari sangat kencang,
melebihi kelajuan normal kita..

Berterima kasihlah kepada Orang yang telah menjatuhkan kita,
kerana dia telah menguatkan Kemampuan kita..

Berterima kasihlah kepada orang yang telah memarahi kita,
Kerana dia telah membantu menumbuhkan Ketenangan & Kebijaksanaan kita..

Berterima kasihlah kepada semua orang yang telah membuat kita kuat, tabah & berjaya..

Wallahu'alam..........



...ustazpenang...

Al-Quran Menjadi Peneman Hidup

Al-Quran Menjadi Peneman Hidup

Al-Quran merupakan senjata yang paling mujarab yang mana didalamnya terdapat ilmu yang melimpah ruah, mata air yang tidak mungkin kering, dipenuhi dengan nur hidayah rahmat dan zikir.
Al-Quran diturunkan untuk mengajar manusia tentang pengesaannya kepada Allah (tauhid). Konsep ibadat yang jelas dan menyeluruh agar manusia sentiasa mendapat bekalan yang baru dan segar. Mengajak manusia berfikir tentang ciptaan, pengawasan dan penjagaan yang ditadbirkan oleh yang Maha Agung agar dapat mengenal sifat-sifatNya yang Unggul.


Di dalam Al-Quran dipaparkan juga contoh tauladan dan juga kisah-kisah yang benar berlaku sebelum turunnya Al-Quran dan pada masa penurunan Al-Quran. Dengan itu manusia mendapat pengajaran dan panduan dalam mengharungi kehidupan sebagai muslim yang sejati dan benar dalam semua bidang kehidupan.

Al-Quran menjelaskan juga persoalan tentang akhir kehidupan manusia, situasi terakhir yang akan dirasai oleh manusia sebelum bumi ini dihancurkan oleh Allah untuk bermulanya hari qiamat dan nasib tiap-tiap insan sama ada ke syurga atau ke neraka.
Rumah yang jika dibaca di dalamnya al-Quran, akan dikunjungi para Malaikat dan dijauhi syaitan dan selesa kehidupan ahli rumah tersebut dan banyak kebaikan dan kurang kejahatan dan ada pun rumah yang tidak dibaca di dalamnya al-Quran dikunjungi para syaitan dan dijauhi para Malaikat. Tidak selesa kehidupan ahli rumah tersebut, sedikit kebaikan dan banyak kejahatan.
Bersempena dengan Bulan Ramadhan yang bakal menjelang, eloklah kita menjadikan Ramadhan kali ini sebagai medan untuk kita belajar memahami dan memperbaiki bacaan kita kerana di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menurunkan kitab suciNya (Al-Qur’an) yang menjadi petunjuk bagi manusia. Firman Allah SWT :
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Surah Al-Baqarah 2 : 185)
Inilah intipati dan agenda utama di dalam Bulan Ramadhan. Kita harus mendekati, berdampingan dan hampir dengan Al-Quran. Sepanjang masa dengan Al-Quran.
Marilah kita semua bersama-sama menghidupkan Ramadhan suasana Al-Quran. Bayangkan, di dalam bas, sekolah, dan masjid semua orang sibuk menatap, membaca dan memegang Al-Quran. Suasana yang sangat menyentuh hati!


Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:
“Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan menjadi kemegahan kebanggaan umatku ialah Al-Quran yang mulia”

Wallahu'alam......



...ustazpenang...

Susahnya Menolak Cinta

Susahnya Menolak Cinta

Sebenarnya, kehidupan tentang membuat pilihan cinta memang banyak ragam. Ada yang sukar mendapat jodoh kerana terlalu pemilih, ada juga yang sangat mudah mendapat jodoh namun akhirnya ditolak dengan alasan-alasan tertentu.
Memang susah untuk menolak seseorang apatah lagi jika dia pernah dekat dengan kamu. Tidak mahu menyakiti, takut kehilangan sahabat dan takut-takut yang lain lagi.


Jangan terlalu memberi perhatian kepada yang berlainan jantina

Bila kita memberi perhatiaan yang lebih terhadap rakan yang berlawanan jantina, orang mana yang tidak akan salah sangka. Mungkin dia menyangka kamu sukakan dia dan terus mengajak  kamu untuk bertunang.  Padahal perhatian diberikan kita adalah sama sahaja dengan semua rakan – rakan yang lain.

Inilah pentingnya untuk kita membataskan diri bergaul dengan lawan jenis. Bukan hanya untuk keperluan kita sendiri, tetapi juga orang – orang yang rasa mendapat perhatian dari kamu. Jika orang tersebut mengetahui kamu sebenarnya tiada perasaan terhadapnya, dia akan rasa dipermainkan. Dan kita sudah tidak akan dipercayai lagi.

Berhenti memberi perhatian kepada perkara yang tidak penting buat rakan yang berlainan jantina. Bergaulah sewajarnya, hanya yang sewajarnya. Jangan sehingga kita menyakiti sesiapapun,  sehingga merosakkan sebuah ukhuwah.  

Cuba fikir dan bayangkan, jika kita atau saudara kita terkena perkara yang sama, iaitu merasa dipermainkan setelah diberi perhatian sekian lama, pasti kita akan merasa marah bukan?

Jangan tertipu Oleh Perhatian
Akibat dari sebuah perhatian, biasanya bermula pada hati kecil yang mula merasakan jatuh cinta. Maka, kita  janganlah   mengambil kesimpulan bahawa si dia jatuh hati sdengan kita. Hindarilah perasaan-perasaan ini jika berdekatan dengan si dia, jangan disalah sangka setiap perhatian dari si dia. Ini sememangnya tidak mudah kerana fitrahnya manusia sangat suka diberi perhatian
Penyakit  tipuan hati ini memang lebih banyak dirasakan oleh wanita, kerana secara fitrahnya wanita suka dipuji, di berikan perhatian yang lebih. Sebab itu juga wanita yang paling banyak mengalami patah hati.
Oleh itu, batasilah berhubungan dengan lawan jenis yang boleh membuat semuanya kacau. 

Menolak Cinta
perkara sukar tetapi sebenarnya mudah, kesulitannya hanya kerana kita enggan menyakiti seseorang. kalau dia mengajak kita untuk berkapel, maka tolak sahaja. Jangan takut menyakiti hatinya, kerana dia hanya mengajak kita kearah kemaksiatan. Yang mana kita pilih, samada menyakiti dia ataupun menyakiti Allah?

Jika dia ingin ta’aruf, suruhlah dia datang terus ke rumah ibu bapa kita. Janganlah sampai kita tertipu ta’aruf kosong, iaitu menghalalkan kapel dalam bungkusan ta’aruf. Jika kita tidak sukakan dia, jangan terus menolak, apatah lagi jika dia mengajak kamu berkahwin. Lakukan Istikharah dahulu, serahkan semuanya pada Allah. Kerana siapa yang tahu jika ternyata dia yang terbaik untukmu.
Ingat, apabila kita ingin menolak, rendahkan suara kita. Jangan menggunakan nada yang tinggi. Agar ukhuwah tidak rosak.
 Wallahu'alam...........




...ustazpenang...

Andai Ini Adalah Solat Terakhirku

Andai Ini Adalah Solat Terakhirku

Ya Allah,
Andai aku tahu ini adalah solat terakhir ku,
Maka aku akan menyempurnakan wudhu dan niat solat ku
Akan ku baca ayat Mu dengan penuh penghayatan dan pemahaman
Akan ku penuhi sujud ku dengan doa kepada mu
Akan ku basahi sajadah ku dengan air mata pengingatan terhadap Mu
Akan ku biarkan derai ku mengiringi permohonan ampun ku kepada Mu

Ya Allah,
Jika aku tahu ini adalah solat terakhir ku
Aku tidak akan pernah menundanya walau hanya sedetik
Aku tidak akan menyegerakan rakaat agar solat ku cepat selesai
Aku tidak akan pernah terfikir pada urusan dunia yang sering  difikiran
Sungguh,
Aku tidak akan pernah menyiakan kesempatan terakhir ku untuk menganggungkan asma Mu

Tetapi Ya Allah,
Apakah aku tahu,
Yang manakah yang akan menjadi solat terakhirku?
Tetapi mengapa aku mensia-sia waktu seolah-olah aku akan tetap hidup selamanya

Yang manakah yang akan menjadi solat terakhirku?
Ketika semua yang ku lakukan hanya untuk menggugurkan kewajipanku
Terburu-buru ku habiskan dialogku dengan Mu
Hanya agar aku dapat segera kembali pada urusan dunia
Hanya untuk mengagungkan kefanaan

Aku tidak pernah merasa perlu memohon ampunan Mu
Aku belum merasa perlu bersyukur atas nafas dari Mu

Yang manakah yang akan menjadi solat terakhirku?
Ampuni aku Ya Allah…
Astaghfirullah..


Wallahu'alam..........



...ustazpenang...

Man Jadda Wa Jada

Man Jadda Wa Jada

Anda pernah mendengar ungkapan Man Jadda Wa Jada? Namun sudahkah Anda mengaplikasikan prinsip ini? Banyak orang sudah tahu namun masih sedikit yang mengamalkannya.
Banyak contoh yang kita temui dalam kehidupan seharian, banyak orang yang tidak menerapkan prinsip ini. Mereka cepat menyerah, berhenti berusaha, dan menyerah pada nasib.


Mereka suka mengatakan “saya tidak boleh”.
OK, bagi yang tahu ertinya, man jadda wa jada bererti sesiapa bersungguh-sungguh pasti dapat. Setahu saya, ini bukanlah hadis, tetapi sejenis pepatah Arab yang mengandungi makna yang mendalam.
Kata kunci dalam pepatah ini ialah jadda atau maksudnya bersungguh-sungguh. Jadi, sejauh mana kita sudah mengamalkan pepatah ini,  sejauh kita bersungguh-sungguh?

Jawablah persoalan  ini dalam hati kita dengan ikhlas. Ukurlah diri kita tanpa dalih tanpa alasan (jika bersungguh-sungguh ingin maju).
  • Sudahkah kita bersungguh-sungguh melihat peluang?
  • Sudah berapa kali kita gagal dan bangkit mencuba lagi?
  • Seberapa gigih dan tabah kita dalam mencari solusi masalah?
  • dan sebagainya.

“Tapi saya…” jika kita masih suka mengatakan “tapi” sebagai dalih tidak berusaha, ertinya kita belum bersungguh-sungguh. Mungkin dalih kita benar, tetapi kita tidak akan meraih apa yang kita inginkan.
Jika kita memang bersungguh-sungguh, akan selalu ada jalan untuk mencapai apa yang kita inginkan. Akan selalu ada jalan untuk menyelesaikan masalah kita. Kekuatan fikiran, hati, dan tubuh kita sudah cukup untuk mengatasi masalah kita. Sebesar mana pun masalah kita.
Semua orang memiliki potensi yang sama, yang berbeza ialah sejauh mana kita menggunakan potensi tersebut. Sejauh mana kita menanamkan man jadda wa jada dalam kehidupan kita.


Wallahu'alam..........



...ustazpenang...

Hidup Bukan Untuk Loser

Hidup Bukan Untuk Loser

Hidup adalah bukan suatu perjalanan yang mendatar atau bergerak linear. Ada lika-likunya. Ada suka dan duka. Ada kejayaan pada satu waktu, kadangkala kegagalan di waktu lainnya. Bahkan iman kita, “yazidu wa yanqus” pada suatu saat naik, suatu ketika ia menurun.
Maka mempertahankan azam dan cita-cita adalah kekuatan yang membuatkan manusia mampu bertahan dalam hidup.
Memiliki harapan yang akan digapai adalah bahan bakar yang membuatkan kehidupan kita tetap menyala. Walaupun cita-cita itu telah tercapai, buatlah cita yang lebih tinggi lagi. Walaupun harapanmu telah kau gapai, buatlah harapan yang lebih besar hendak kau gapai.


Seperti jiwa Umar bin Abdul Aziz, menetapkan cita-cita memdapat isteri solehah, dan berharap menjadi amir kemudian khalifah. Semuanya tercapai. Ketika menjadi khalifah, dia mengerahkan segenap potensinya untuk meraih cita-cita terakhirnya, iaitu: masuk syurga. Maka dia pemimpin yang adil dan menyejahterakan negara, sehinggakan para amil kesulitan menemui para mustahik.
Mengapa kini kita menjadi orang-orang yang kehilangan daya untuk hidup, sebelum kehidupan meninggalkan kita? Atau orang yang diam hanya menanti kematian datang?

Manusia akan menjadi seperti itu jika dia tidak lagi memiliki harapan, cita-cita. Dan itu bermula dari kesalahan memahami erti kehidupan. Mereka melihat dunia ini dari sudut kebendaan sahaja . Bagi mereka, “jika tak tahan menderita, lebih baik mati sahaja”.

Tanpa harapan dan cita-cita,  manusia tetap boleh hidup. Namun, tiada lagi rasa ghairah dan semangat. Tiada lagi letupan – letupan jiwa yang menggerakkannya untuk hidup yang lebih berarti, lebih bermanfaat. Dia menyerah. Dia kalah.

Ada juga manusia yang pada awalnya memiliki cita-cita. Dia puas apabila cita-cita itu tercapai, lalu dia berdiam diri. Pada mulanya kita akan berasa puas. Lama-kelamaan kepuasan itu akan hilang, akan menjadi tidak bererti. Sebab tiada lagi azam untuk mencapai yang lebih tinggi.
Khalid bin Walid adalah contoh terbaik. Mencapai prestasi terbesar bukan diakhir hidupnya. Namanya telah mengharum sebagai pedang Allah, panglima perang yang selalu membawa pasukannya pada kemenangan. Dan puncaknya adalah Perang Yarmuk. 

Ketika dia berjaya membuat tentera Romawi kelam kabut, dia dipecat oleh Umar. Namun dia tetap berjaya memenangkan keikhlasan jiwanya. Berjaya mempertahankan azam untuk syahid fi sabilillah. Maka Khalid pun berjaya mendapatkannya. “Siapa yang berazam mendapatkan mati syahid, dia akan dicatat sebagai syahid meskipun matinya di atas katil.” Dan sehingga kini, namanya dikenang sebagai panglima besar Islam, sehingga Agha Ibrahim Akram memerlukan lebih dari 600 halaman untuk mencatat biografinya.

Belum terlambat bagi kita untuk menanam cita-cita. Menegakkan cita – cita itu supaya meninggi,  supaya berkibar di angkasa. Menguatkan akarnya hingga tidak pernah tercabut dari jiwa. Mengukuhkan tiangnya sehingga tidak pernah patah oleh sekencang manapun angin godaan yang menghempas menerpa. Jika cita demi cita menjadi nyata, ucapkan puji dan panjatkan syukur pada-Nya.
Namun ada satu lagi yang kita semua belum mampu memastikannya: Menggapai redhaNya dan memperoleh syurga. Bukankah itu setinggi cita-cita dan akan terus menyalakan semangat kita? Percayalah: hidup bukan  untuk kalah. 



Wallahu'alam.........



...ustazpenang...