Sunday 28 October 2012

Cinta Tidak Kenal Siapa...

Cinta Tidak Kenal Siapa...



"Mahukah engkau menjadi isteriku?" Soal Azman.
Azrina yang mendengar lontaran soalan itu terkejut sebentar. Dia tidak menyangka soalan itu akan muncul dalam ruang nafas waktunya.
Azman mula berkenalan dengan Azrina ketika dia belajar dan bekerja di salah sebuah bengkel di Negeri Sembilan sejak beberapa tahun yang lepas. Azman begitu serius dan bertekad untuk menikahi Azrina agar menjadi isteri yang sah sebagai pendamping hidupnya selepas ini.
Akhirnya, Azrina telah membuat keputusan dan bersetuju untuk menjadi isteri kepada Azman. Mereka tahu bahawa keputusan ini agak sukar kerana risau akan menjadi perhatian umum masyarakat kelak.
Tetapi, kerana inginkan hubungan yang halal dan cinta yang diredhai Allah SWT mereka nekad dan bersepakat untuk melalui kesusahan yang bakal dihadapi bersama-sama.
Tidak perlu didengar kata-kata serong orang.
Tidak perlu terasa ejekan menyindir.
Tidak perlu ditangisi senyuman sinis.
Kerana setiap kesusahan pasti ada kesenangannya nanti.
Setelah beberapa bulan, maka, berlangsunglah majlis perkahwinan di antara Azman dan Azrina. Majlis yang diadakan tersebut cukup sederhana. Semuanya berjalan dengan lancar sekali.
Kebetulan, seorang wartawan tempatan turut berada di majlis mereka memandang majlis perkahwinan tersebut serentak dengan jamuan hari raya Aidilfitri anjuran sebuah persatuan bengkel tempat Azman bekerja.
Pada mulanya, wartawan tersebut hanya hadir atas jemputan pihak persatuan untuk mendapatkan maklumat dan liputan semasa majlis tersebut agar dapat dimuatkan dalam ruangan akhbar tempatan pada keesokan harinya. Tetapi, entah mengapa dia juga amat tertarik dengan majlis perkahwinan Azman dan Azrina.
Ada sesuatu yang istimewa.
Usai majlis perkahwinan dan jamuan hari raya Aidilfitri, wartawan tersebut terus berjumpa dan sempat bertanyakan soalan kepada Azman.
"Tahniah atas perkahwinan anda berdua," wartawan tersebut memulakan bicara.
"Tetapi, sudahkah encik berfikir masak-masak sebelum mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan ini ? Tidak risau ke dengan pandangan masyarakat sekeliling nanti ?" wartawan tersebut meneruskan bicaranya lagi.
Wartawan tersebut terkesan dihatinya apabila Azman menjawab soalan yang ditanyakan olehnya.
Siapa sangka soalan itu dijawab oleh Azman dengan senyumannya yang melebar.
Menampakkan keikhlasannya menjawab.
"Kami hanya cacat anggota, tetapi hati kami tidak cacat. Sama seperti insan normal yang lain, kami mahu disayangi dan dicintai. Sebab itu saya nekad mendirikan rumahtangga walaupun sedar keadaan diri tidak sempurna," kata Azman yang kini berusia 32 tahun.
"Saya memberanikan diri melamar Rina (Azrina). Dia terkejut dan tidak menyangka hubungan kami berakhir ke alam perkahwinan memandangkan keadaan fizikal yang dikhuatiri akan menyukarkan hidup untuk menjalani kehidupan sebagai suami isteri," sambung Azman.
Rupa-rupanya, Azman lumpuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda selepas demam panas ketika berumur setahun. Perkenalannya dengan Azrina yang juga cacat anggota kaki empat tahun dulu menyemai bunga kecintaan sehingga bergelar suami isteri yang sah kini.
Cinta ini tidak mengenal siapa dan bagaimana keadaan orang itu. Apabila datangnya kesungguhan, maka, bersiap sedialah untuk mendambakan cinta yang ikhlas dan mengharungi segala onak dan duri bersama-sama. Sabar menempuh jalan dalam mengharungi ujian Tuhan.

Wallahu'alam....

...ustazpenang...

Bertemu cinta Dalam CINTA

Bertemu cinta Dalam CINTA




Arafah. Padang yang menyaksikan sejarah cinta sulung Adam dan Hawa bertemu.
Mewarisi ujian cinta di padang pasir, Ibrahim meninggalkan teman setianya Hajar dan buah hatinya, Ismail semata kerana Yang Esa. Sekilas wajah Yusuf, bertaut tulus cintanya Zulaikha beralih kepada Cinta Yang Maha Sempurna.
Tatkala Kerajaan Cinta antara Sulaiman dan Balqis bersemi dek Cinta Yang Memiliki Kerajaan langit dan bumi turut bersatu. Terpateri Cinta Agung Muhammad  cintanya untuk isteri dan ummat yang dikasihi, meresap ke dalam hati-hati sehingga tiba belabuh ke hati. Demikianlah sekeping hati setiap insan sehingga ke hari ini tidak pernah kering menerima warisan cinta itu.
Subhanallah... Madah cinta itu sungguh seni dan puitis.. Kehadiran cinta yang semenjaknya di syurga mana mungkin boleh ditolak oleh hati sedangkan ia adalah kurniaan Ilahi, anugerahnya kepada hambaNya untuk menyempurnakan fitrah kejadian insani.
Fitrah ingin dicintai dan mencintai. Andai hati ini tidak meminta untuk melintasinya, atau sekalipun membungkam seribu doa, malah mengalihkan pandangan, dan mengunci bicara, ia tetap ada, wujudnya sedia di batas hati setiap jiwa. Kadangkala tanpa sedar, tanpa paksaan ia hadir.
Adakah ini cinta? Tunggu sekejap! Wahai hati yang hidup dengan suluhan iman...Berhati-hati, jangan tertipu oleh penipu profesional iaitu nafsu dan bisikan syaitan! Keluarkan senjatamu.. DOA. Ya itulah senjata mukmin. Maka berdoalah!
"Ya Allah, aku berlindung kepada kalimatMu yang sempurna, dari apapun kejahatan yang Engkau ciptakan." -Amin Ya Rabb-
Seutama-utama cinta itu adalah Allah. Dia Yang menciptakan Cinta, maka cintanya adalah yang pertama dan utama.  Dialah yang selayaknya dicintai. Allah pasti membalas cinta itu dengan sifatnya Yang Maha Mengasihi.
Hingga hujung nyawa,
Aku tetap ingin menjadi pencintaMU,
Inginku isi rongga-rongga rindu ini,
Dengan madu cinta Pencipta Cinta,
Setiap hela nafas mengalir suci namaMU,
Tersemat utuh di hati tanpa noda,
Sucinya bersih menghiasi qalbu,
Penyuluh hidup, pengukir bahagia,
Tanpanya tiadalah segalanya,
Hingga hujung nyawa,
Ku ingin tetap bersama cintaMU.
Cinta itu hakikatnya suci, kadangkala menguji hati seperti Saidina Ali dan Az-Zahra. Adanya sabar dan tabah menyulami iman menterjemahkan kesetiaan di batas waktu yang menjadi rahsia Allah. Dalam memilih cinta, ajaran nabi jadi garis panduannya. Perlu bijaksana meletak prioriti cinta antara terutama dan utama.
Cita-cita jadi mahar cinta. Harapan disampaikan melalui doa, memohon pilihanNya dalam sejadah istikharah, musyawarah menetapkan kematangan dari yang berpengalaman, restu penjaga diri tulus dipinta. Jangan dinoda oleh serakah jiwa yang lemah. Jujur pada pendirian yang tidah tergugah.
Bijak mengurus, mengawal dan menterjemah dalam bimbingan PEMILIK HATI juga perlu di ambil peduli. Meng'upgrade' diri menjadi soleh atau solehah bukan kerana si dia, tetapi berusaha menjadi soleh dan solehah semata kerana DIA. Ikhlas dan tawakal pada pilihanNYA bukti pergantungan diri mensyukuri ketetapanNya. Bila dan siapa jodoh itu, pasti bertemu cinta di Arafah RahsiaNya, kerana empunya diri yakin pada janjiNya.
Taqwallah dan tulus iktikad demi REDHANYA pasti melestari ikatan ke Taj mahal Abadi.
Duhai manusia yang menyakini,
Teruslah mengemudi pelayaran dalam mengabdi dan membangun diri serta agamamu,
Usah dirimu sibuk menoleh dunia mencari raja atau permaisuri hatimu,
Masih banyak amanah dan tanggungjawab yang dikau galas,
Dunia ini hanyalah sementara,
Di sisi Tuhanmu ada yang lebih baik.
Duhai Manusia Yang Paling Bahagia,
Bukankah pergantunganmu sudah dikau letakkan kepada yang tidak akan buat dirimu kecewa,
Jika ya, usah bazirkan masamu tanpa berkhidmat kepada TuhanMu,
Bertemanlah dengan kesabaran kerana Tuhan Yang Satu,
Dia mengawasi dan menunjukimu setiap waktu,
Kerana janjiNya, bahawa Dia bersama orang yang sabar.
Duhai Manusia Yang Memiliki Ketenangan,
Hadapilah kenyataan dengan penuh keredhaan,
Dia Yang Maha Mengetahui ketetapan terbaik buatmu,
Dikau kan bahagia dengan mengingatiNya,
Kerana Dia memberikan cintaNya padamu
Bertemu cinta manusia
Dalam CINTA Agung di sisiNya.
InsyaAllah...
Bertemu cinta dalam CINTA akan kekal bahagia!

Wallahu'alam....

...ustazpenang...


Nikmatnya Perpisahan Insan 'Bercouple'.

Nikmatnya Perpisahan Insan 'Bercouple'.



Aku memang sangat mencintainya. Tapi aku terpaksa clash dengan dia.."
"Kenapa pulak?"
"Sebab aku selalu ingat dia sampai aku selalu lupa Allah."
Pergh.. terbaiklah bro! Alhamdulillah..
Beruntung siapa dapat kekasih sepertinya. Bayangkanlah.. Tentu dia sudah dapat merasai penangan cinta daripada Allah sehingga sanggup untuk berpisah dengan insan yang selalu disayanginya dengan cara yang salah.
Ya.. begitulah.. Memilih untuk berpisah kerana Allah adalah keputusan yang sangat bijak. Itulah pilihan iman sebenarnya. Apabila menyedari diri sering terjebak dengan dosa ketika ber'couple', iman yang ada dalam diri pasti akan menegur. Sangat terbaik orang yang sanggup menerima teguran daripada iman itu.
~Cepat-cepatlah terima teguran iman di hati sebelum nafsu mengambil alih. 
Sememangnya terbaik. Itulah keputusan yang membawa manfaat buat dirinya dan kekasihnya. Bercintalah. Tapi buatlah keputusan untuk tidak ber'couple'. Selepas keputusan itu dibuat, akan berkurang atau tiada lagi episod-episod berpegangan tangan, bersentuh-sentuhan, bermanja-manjaan, membuang masa bersama, tinggalkan solat bersama, dan macam-macam lagi yang tidak sepatutnya berlaku sebelum kahwin. Masing-masing terhindar daripada maksiat dan dosa.
Itu barulah 'saling menyayangi' namanya. Mahu berpegangan tangan hingga ke Syurga atau ke Neraka? Tiada siapa yang mahu bersama ke Neraka bukan? Namun siapa yang betul-betul mahu bersama hingga ke Syurga?
Kadang-kadang kita merasakan nikmat ber'couple' itu terlalu indah. Lalu kita suka. Tapi sebenarnya itu hanya sangkaan. Mainan nafsu. Direct to the point, ber'couple' (sebelum nikah) tidak baik untuk kita. Sebab itu Allah mengizinkan berlakunya 'kehilangan' atau perpisahan. Kerana 'kehilangan' atau perpisahan yang kita tidak suka itu sebenarnya baik untuk kita.
"biarlah kita kehilangan si dia kerana Allah. Jangan kita kehilangan Allah kerana si dia."
Sahabat-sahabat semua.. Marilah sama-sama kita renungkan... Belum tentu pasangan kita itu adalah suami kita atau isteri kita. Kita 'bercouple' bagai nak rak, tiap malam bergayut dengan suara manja tanpa kita menyedarinya, waktu pagi bertemu berkepit ke hulu dan ke hilir tanpa rasa bersalah, semuanya hanya keindahan yang sementara.
Jika pasangan kita itu ditaqdirkan menjadi suami atau isteri kita, keindahan yang selalu kita nikmati di fasa sebelum pernikahan semakin suram. Jika dulu hampir setiap hari bertemu, namun setelah berada di alam pernikahan pandang pun menjadi jemu. Segala keindahan alam perkahwinan yang sepatutnya dinikmati di fasa tersebut turut hambar kerana sudah pun dirasai sebelum akad termeterai. Tiada lagi kejutan mahupun 'suprise' yang membahagiakan kerana hampir kesemua telah kita hadam dan menjadi perkara biasa kepada kita.
Kesimpulannya, serahkan lah hati kita kepada Allah. Simpankan rasa itu semata-mata hanya untuk Allah SWT. Biarkan Allah temukan hati yang mencintai Allah itu dengan hati yang lain, yang mana hati itu juga turut mencintai Allah. Yakinlah, jika kita menghiaskan hati ini dengan cinta Allah, pasti cinta yang hadir itu sentiasa mekar dan tidak akan layu. Malah cinta itu pasti kekal sentiasa kerana sandarannya juga adalah Zat yang Maha Kekal. 
Marilah kita hayati dan amalkan doa ini. Semoga Doa Nabi Daud A.s ini memberi kita semangat dan teguh dalam mencinta Allah SWT sepenuh hati kita melebihi cinta kepada makhlukNya.
" Ya Allah, kurniakanlah daku perasaan cinta kepada-Mu, Dan cinta kepada orang yang mengasihi-Mu, Dan apa sahaja yang membawa daku menghampiri cinta-Mu. Jadikanlah cinta-Mu itu lebih aku hargai daripada air sejuk bagi orang yang kehausan, Ya Allah, sesungguhnya aku memohon cinta-Mu, Dan cinta orang yang mencintai-Mu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMu,
Ya Allah, apa sahaja yang Engkau anugerahkan kepadaku daripada apa yang aku cintai, Maka jadikanlah ia kekuatan untukku mencintai apa yang Engkau cintai. Dan apa sahaja yang Engkau singkirkan daripada apa yang aku cintai, Maka jadikanlah ia keredaan untukku dalam mencintai apa yang Engkau cintai, Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu sesuatu yang paling aku cintai daripada cintaku kepada keluargaku, hartaku dan air sejuk pada saat kehausan.
Ya Allah, jadikanlah aku mencintai-Mu, mencintai malaikat-Mu, Rasul-Mu dan hamba-Mu yang soleh, Ya Allah, hidupkanlah hatiku dengan cinta-Mu dan jadikanlah aku bagi-Mu seperti apa yang Engkau cintai, Ya Allah, jadikanlah aku mencintai-Mu dengan segenap cintaku dan seluruh usahaku demi keredhaan-Mu.
(Hadis riwayat At-Tarmizi, Rasulullah SAW bersabda, "Inilah doa yang biasa dipanjatkan oleh Nabi Daud a.s"

Wallahu'alam....

...ustazpenang...


Thursday 18 October 2012

Beribu Rahsia, Beribu Hikmah

Beribu Rahsia, Beribu Hikmah



"Hidup manusia bagai tersesat di hutan belukar yang penuh dengan onak dan duri, walau pedih dan bercalar, namun harus direntasi juga untuk kita temui jalan keluarnya".

Kita sering kali mengeluh setiap kali ditimpa ujian dan dugaan. Mungkin kadang-kadang kita sendiri tak sedar yang kita sedang melakukannya. Bukan sahaja mengeluh, malah mempertikaikan lagi kenapa semuanya harus terjadi pada diri kita. Pelbagai soalan yang dimulai dengan perkataan "kenapa" dan "mengapa".
Bila sahaja musibah menimpa, kita dipujuk dengan kata-kata 'cliche' yang kadang kala membuat kita rasa tiada siapa yang benar-benar memahami keadaan kita :
"Sabarlah, ni semua ada hikmahnya."
Dah biasa didengar kan?
Janganlah tolak bila ayat tu disebut walau berulang kali oleh orang yang berbeza, kerana ia BENAR! Dalam ayat Al-Quran di atas, Allah beritahu direct pada semua hambaNya tentang hikmah.
Apa it hikmah? Kalau mengikut tafsir yang dibaca, ia adalah kemampuan untuk memahami rahsia-rahsia agama. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Al-hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka dimana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya.." riwayat Imam At-Turmizi
Hikmah boleh datang cepat atau lambat. Bergantung pada diri kita untuk menyedarinya. Jika kita cepat redha pada perkara yang telah terjadi, iaitu menerima dengan hati yang lapang dan terbuka, maka cepatlah juga kita menyedari hikmah di sebalik kejadian yang berlaku. Begitulah juga sebaliknya. Apa yang penting ialah keredhaan. Keredhaan diri kita sendiri dalam menerima hakikat. Setelah itu, satu per satu kebaikan akan kita nampak, insya Allah. Tatkala itu, kita akan berkata:
"ooouhhhh, patutlaaaaa....begini"
"ooouuhhhh, patutlaaaa....begitu"
Alangkah bertuahnya orang yang menyedari hikmah! Dan alangkah beruntungnya orang yang diberi Hikmah oleh Allah SWT.
Pokoknya, kita tidak tahu bagaimana jalan hidup kita ini diatur. Kita tidak tahu apa yang Allah rancang untuk kita. Kita merancang, namun Allah jualah yang Maha Perancang dan Penentu segalanya.
Hakikatnya, harus kita yakini bahawa Allah Maha Mengetahui dan asbab itulah , apa jua perancanganNya, ia pasti lebih baik, malah yang terbaik untuk kita.
Tenanglah wahai hati dan redhalah dengan segalanya... Hikmah itu akan tiba jua bila sampai masanya. Hanya perlu untuk kita berusaha mencarinya.
".....Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran...." surah Ali-Imran, ayat 7

Wallahu'alam....

...ustazpenang...


Tersembunyi Cinta Pada Tabir Usaha

Tersembunyi Cinta Pada Tabir Usaha



Berjalanlah dan usah sesekali berhenti kerana anggapan manusia itu tidak mampu mengubah cinta Allah kepada kita. Dan sesungguhnya hal tepatnya jodoh itu adalah kerana keindahan waktu dan sedianya kita.
"Tanda cinta itu ialah berterusan rajin dan bersungguh-sungguh dengan kerinduan." -Junaid Al-Baghdadi
Hujan itu menderas turunnya. Membasuh hati yang hampa. Mengisilah hati yang penuh berharap. Sujudnya tanpa ingkar. Derainya tak mahu dihenti. Semahunya, mungkin biar ia tamat di sejadah cinta seorang hamba. Rasa kecilnya, tak mampu untuk dihuraikan. Rasa kasihnya tak mampu dijelmakan oleh perilaku terindah. Hamba itu mengisi pilu dalam senyumnya. Pada malam yang terindah, harapnya terukir secebis taqwa.
Taqwa itu yang sering dipinta dalam hari-hari cinta. Lebam matanya sentiasa dikaburkan oleh senyum dan gelak persisi sufi di zaman Nursi dan Rumi. Biar kalian tidak mampu menjiwai. Hamba itu sentiasa menanti malam. Yang Tuhan telah janjikan. Berjalannya dalam hidup yang sentiasa dinikmati. Hanya pinta cinta dari Tuhannya.
Kerana sang kumbang itu, waham benar perihal cinta itu bersifat mua'llaq. Semoga potensi kan sentiasa berkembang. Semoga nawaitu sentiasakan bercahaya. Menanti yang tertulis. Tepatnya kerana kebersediaannya menjadikan hadirnya sebagai tulisan terindah.
Tuhan itu menjaga apa yang kita berusaha untuk menjaganya. Dan Dia temukan dengan mereka yang sentiasa yakin dan bersangka baik dengannya. Tentunya yang terpelihara itu terindah. Tentunya juga yang biasa itu terindah. Mungkin lebih terindah saat taubatnya memekar, tika setiap saatnya bernyawa. Tuhan yang menerima keindahan jiwa yang ingin memperbaiki diri. Tuhan yang sentiasa senyum pada kalimah cinta yang melebihkan-Nya berbanding dunia semata.
Agungnya cinta yang bernawaitukan Penguasa Cinta. Pemilik haqiqi manusia yang ingin dilamunkan cinta. Kerna waham yang jelas bisa merungkaikan kefasikan cinta. Bahwa cinta itu kan melenyap bersama lenyapnya sebab untuk bercinta. Qayyim yang bijaksana telah berkata. Dan itulah realiti cinta.
Berusahalah selagi termampu. Dan lupuskanlah segala cerita yang singgah dalam hidupmu. Kerna cinta kurniaan Allah itu menyentuhnya lebih terasa. Andai kenangan itu mekar hanya sebagai duri yang berada dalam jalanmu menuju ke Sana. Yang menjaga itu sungguh kuat. Yang menjaga itu seorang mukmin. Bukan lagi seorang muslim. Yang tenggelam timbulnya akhirnya bersifat sama terhadap ikhtilat sekeliling yang menyapa.
Dan malam itu larut dengan penuh damai. Maka nokhtah terukir. Tanda cinta agung memeluk erat jiwa hamba. Yang setia menanti cinta yang terpelihara. Sulitnya menjaga. Enaknya memendam air mata.
"Bahawasanya Aku apabila Aku lihat pada hati hambaKu, lantas Aku tidak mendapatkan dalam hatinya cinta pada dunia dan cinta pada akhirat, nescaya Aku penuhkan hatinya itu dari 'cintaKu' (padanya)." - Israiliyat, Allah kepada Isa a.s.

Wallahu'alam....

...ustazpenang...

Doa Yang Tertangguh

Doa Yang Tertangguh



Apabila Permintaanmu Tidak Termakbul
Dah lama kita meminta. Dah lama kita berdoa. Bukan setakat berhari-hari. Terkadang berbulan-bulan. Bahkan sehingga bertahun-tahun.Tapi sehingga hari ini, permintaan kita tak kunjung tiba bayangnya.
Entah berapa titis air mata yang bercucuran. Setiap kali tangan diangkat selepas solat, saat itu juga hati sebak. Meminta dengan penuh pengharapan.
Letih, penat, lelah dalam berdoa.
Hingga ada antara kita yang berputusa asa untuk berdoa.
Hingga ada antara kita yang mula mempersoal,
"Ya Allah, bila Kau mahu makbulkan doa ku? Ya Allah, kenapa Kau belum makbulkan doa ku? Ya Allah, apa silapku sehingga doa ku masih belum Kau makbulkan? Ya Allah, apakah kerana dosa-dosa silamku? Ya Allah, tak terimakah Engkau akan taubatku?"
Minda penuh persoalan. Penuh tanda tanya. Tapi entah pada siapa soalan perlu dilontarkan, untuk mendapatkan jawapan.
Saat bila mana persoalan memenuhi ruang fikiran, bibit-bibit prasangka mungkin akan mula terbit.
Gopoh gapah
Benar. Kita gelojoh. Tamak. Gopoh. Meminta sesuatu yang dirasakan baik untuk kita, sedangkan sebenarnya Allahlah yang tahu apa yang terbaik buat kita. Apa, bila, di mana. Dia yang Maha Mengetahui.
Bila hati kita penuh persoalan, kita sebenarnya terlupa pada satu perkara. Keyakinan! Ya, Keyakinan yang padu kepada Allah SWT tanpa sedikitpun terselit rasa prasangka.
Keyakinan bahawa doa kita PASTI akan dimakbulkan Allah. KEYAKINAN yang sebenarnya merupakan piawaian KEIMANAN kita.
TRUST in His timing,
RELY on His promises,
WAIT for His answers,
BELIEVE in His miracles,
REJOICE in His goodness,
RELAX in His presence.

Jika hati masih tertanya-tanya. Jika hati masih ragu-ragu.
When in despair turn to DU'A
When in need of regular guidance turn to PRAYER
When in need of understanding turn to ALLAH

Dengarlah Doamu
Bila mengharapkan sesuatu, kita berdoa. Berdoa dan terus berdoa. Menyebut dan terus menyebut.
Hingga terlupa satu perkara.
Mendengar doa sendiri.
"Ya Allah, jika ini yang terbaik, permudahkanlah urusanku. Perkenankanlah permintaanku. Berilah yang terbaik untukku. Berilah petunjukMu padaku."
Ingatlah, kita meminta apa yang kita rasakan terbaik dengan memohon ALLAH TUNJUKKAN JALAN. MEMOHON ALLAH MEMBERI PANDUAN. Dan jawapan Allah? Mungkin dalam bentuk memperkenankan doa kita seperti yang diminta ATAU mungkin Allah menangguhkannya atau memberikan "hadiah" lain yang jauh lebih baik buat kita. Tapi itulah yang TERBAIK untuk kita.
"Allah would never rejected our du'a, but He may REDIRECT it to the correct path towards our definite fate"- Anonymous
Teruslah Berdoa
Bila mana Allah masih memberikan kekuatan kepada kita untuk berdoa, teruslah berdoa. Mintalah pertolongan daripada Allah untuk kurniakan kesabaran pada kita dalam berdoa. Untuk mengurniakan keikhlasan kepada kita dalam berdoa. Untuk terus mendidik jiwa kita menjadi hamba yang hanya bergantung harap semata-mata kepada Allah.
Apa yang diberikan sebenarnya lebih banyak daripada apa yang kita inginkan.
Nikmat yang telah Allah beri, jarang kita syukuri. Nikmat yang belum dimiliki, itulah yang sering kita ingini... Namun tidak salah untuk terus meminta... tetapi pintalah dengan hati yang bersyukur. Allah tidak akan gerakkan hati kita untuk berdoa, jika DIA tidak ingin memakbulkan doa itu. Justeru, kemampuan hati kita untuk berdoa... itulah yang terlebih dahulu perlu kita syukuri!
"Syukur... kerana dikurniakan hati yang masih mampu bersyukur". Ustaz Pahrol Mohamad Juoi
Moga hari esok kita bangkit dengan jiwa penuh syukur kerana masih diberi kekuatan untuk berdoa. Alhamdulillah 'ala kulli hal.  Dan satu hari nanti, apabila permintaan kita dimakbulkan, pandanglah sejenak ke belakang. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

Wallahu'alam....

...ustazpenang...



Cerpen : “Tengoklah Bintang Itu Andai Rindu ….”

Cerpen : “Tengoklah Bintang Itu Andai Rindu ….”




Keheningan malam kian terasa. Deru angin yang tidak putus-putus bertiup menambahkan lagi kesejukan suasana pada malam hari. Bayangan bulan sudah tidak kelihatan dek liputan awam malam yang menghalang pancaran bulan dari turun ke bumi, begitu juga dengan ketidakhadiran bintang terang pada malam itu seolah –olah mengetahui akan kedatangan hujan .
Hani mendonggak ke arah langit mengharapkan kedatangan bintang muncul walaupun dia tahu itu semua takkan berlaku kerana hujan telah pun mulai turun sedikit demi sedikit. Hani bukannya tidak boleh menunggu tibanya hari esok, tetapi dia bimbang sekiranya hari tersebut tidak sempat dirasainya lagi . Batuknya semakin menjadi-jadi dari sehari ke sehari, kesakitan mula terasa kadang-kadang terasa amat perit dan pedih sekali!!.
Hanya tuhan sahaja yang tahu bertapa seksanya dia menahan kesakitan yang ditanggungnya sehingga menyukarkannya untuk bergerak dan tidak boleh aktif seperti dulu lagi. Dia sedar bahawa Allah sedang mengujinya ,dan kepadaNYA la dia mengadu segala keperitan dan kesakitan yang dialaminya. Dia tahu kesabaran adalah penting dalam menghadapi segala ujian itu.
Jika dulu, dia seorang yang sangat dikenali di sekolah kerana keaktifannya dalam ko-kurikulum sehingga ke peringkat negeri dan setelah tamat sekolah menengah, dia menyambung pula pengajiannya di universiti terkemuka di tanah air. Walaupun dia seorang yang gemar bersukan, namun dia tidak pernah mengabaikan pelajarannya sehingga melayakanya berjaya menjejaki kaki di menara gading.
Begitu juga dari segi penjagaan ibadahnya yang sentiasa dititikberatkan seiring dengan kehidupannya, pesan ibu dan ayahnya tidak pernah dilupai supaya pandai-pandai menjaga diri dan maruah keluarga walaupun dimana sahaja berada. Kini dia sudah tidak seperti dahulu lagi, kesihatannya selalu terganggu dan sering kali berulang alik dari hospital. Mujurlah ada sahabat yang memahami keadaannya ketika itu, disaat dia memerlukan sokongan keluarga tersayang yang tidak ada didepan mata. Aisyah merupakan sahabat sebiliknya yang sentiasa memberi semangat kepadanya supaya sentiasa tabah dan sabar menghadapi semua ini.
Hani masih lagi ingat ketika doktor mengesahkan kanser paru-parunya sudah berada di tahap kritikal dan jika tidak diberi rawatan secepat mungkin, dikhuatiri boleh merebak sehingga membawa kepada kematian. Sukar untuk digambarkan perasaannya pada masa itu, hanya air mata yang berlinangan membasahi pipi.
Dia redha dengan berita yang diterimanya dan merasakan semua yang berlaku mungkin ada hikmahnya. Hanya Allah sahaja yang mengetahui segala kemungkinan ini. Sesungguhnya pengetahuan Allah adalah luas dan tidak terbatas, segala yang berlaku hanya DIA sahaja yang tahu.
Memang pada mulanya Hani menyangka batuk itu adalah batuk biasa, namun dari sehari ke sehari batuknya kian menjadi-jadi sehingga menjadi batuk berdarah. Semenjak dari hari itu, dia sentiasa mendapatkan rawatan susulan di hospital dan doktor menasihatinya agar selalu mengambil ubat serta tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh memenatkan dirinya sehingga boleh menyukarkannya bernafas . Symptom-symptom seperti batuk yang berterusan, sesak nafas, batuk berdarah dan sentiasa lemah dan lesu telah pun dirasainya. Namun begitu, dia tidak pernah mengeluh terhadap ujian yang dilaluinya dan tidak pernah berputus asa.
Sedar-sedar, sudah hampir empat tahun Hani berada di universiti, kini pengajiannya sudah di tahun akhir dan sedikit masa lagi dia akan menamatkan pengajiannya yang hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Sepanjang berada di universiti, Hani belajar seperti biasa sepertimana rakan-rakannya yang lain. Walaupun dia tahu akan keadaan kesihatannya yang tidak menentu, namun dia cuba berlagak sihat seakan –akan tidak ada apa-apa yang berlaku .
Kawan-kawannya juga tidak mengetahui akan penyakit yang dihadapinya kecuali teman roomatenya yang juga teman sekelasnya. Hani tidak mahu mereka tahu dan meminta Aisyah agar merahsiakannya daripada pengetahuan mereka. Hari demi hari, peperiksaan semakin menghampiri. Kesihatan Hani mula terganggu, dia sering batuk dan sesekali sukar untuk bernafas. Ubat -ubatnya juga sudah hampir kehabisan, dia sedar bahawa dia perlu mengambil ubat yang baru di hospital dan mendapatkan rawatan susulan yang disarankan oleh doktor.
Disebabkan kesibukan menelaah pelajaran dan membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan tidak lama lagi, dia terlupa untuk berbuat demikian. Dia sedar, kansernya semakin teruk dari hari ke hari, dia berdoa agar diberi kekuatan dan ketabahan dalam melawan penyakitnya sehingga dia dapat menghabiskan peperiksaannya yang terakhir.
Peperiksaan terakhir yang diambil oleh Hani telah pun selesai. Hani memanjatkan rasa kesyukuran kepada Allah kerana masih diberi kesempatan untuk hidup dan terus bernafas hingga ke saat ini. Segala urusan pengajiannya telah pun selesai, hanya Cuma tinggal keputusannya sahaja. Masing-masing bersalaman antara satu sama lain tanda perpisahan. Selepas ini mereka akan membawa haluan masing-masing. Mereka juga berharap akan bertemu lagi pada suatu hari nanti pada hari Konvokesyen.
Tetapi bagi Hani, dia tidak pasti sama ada dia masih ada ataupun tidak pada hari tersebut. Sesungguhnya manusia hanya mampu merancang, namun Allah menentukan segala yang akan berlaku. Hani sedar harapan untuk dia sembuh adalah sukar dijangka. Hani tahu hanyasanya dia tidak punya banyak waktu dan sampaikan bilakah dia mampu bertahan, hanya masa yang menentukan.
*****
Aisyah, sahabat karibnya tidak sampai hati untuk berpisah, mereka telah lama bersama dalam mengharungi suka duka semenjak awal perkenalan di universiti lagi. Tambahan pula mereka adalah rakan sebilik dan lebih memahami antara satu sama lain. Aisyah kelihatan sedih kerana sebentar sahaja lagi keluarga Hani akan tiba untuk membawanya pulang ke kampung halaman. Segala barang-barang telah pun siap dipacking dan diletakkan di dalam kotak . Aisyah pula masih lagi sibuk mengemaskan apa-apa yang patut. Sementara menunggu keluarga Hani tiba, mereka berbual-bual. Hani sempat mengerling ke arah kotak-kotak buku miliknya dan memastikan agar tiada barang yang tertinggal.
"Apa yang kau tengokkan tu? Alah... jangan risaulah tak larinya barang kau tu". Aisyah menyindir, setelah melihat kelakuan Hani yang sentiasa mengerling pada kotak barangnya sambil mengira bilangan kotak tersebut.
"Takde lah, sekadar nak memastikan semuanya ada supaya tidak ada yang tertinggal nanti. Bukannya dekat nak patah balik." Balas Hani sambil tersenyum.
Sambil itu, dia menuju ke arah beg sandangnya dan mengeluarkan sesuatu.
"Nah!, aku hadiahkan untuk kau". Hani menghulurkan sesuatu.
"Eh, apa ni Hani, birthday aku lambat lagi la". Pintas Aisyah sambil tangannya membuka bungkusan hadiah tersebut.
"Waaa..., cantiknya!". Hani hanya tersenyum melihat gelagat sahabatnya itu.
"Terima kasih Hani, Sayang kau Ketat-ketat..hi..hi". Tambah Aisyah lagi.
"Ye la tu...". Balas Hani sambil memuncungkan bibirnya..  
Aisyah tergelak dengan memek muka Hani sebentar tadi  lantas memeluk sahabatnya itu erat-erat tanda terima kasih atas hadiah yang diterimanya.
"Dah..dah..dah.. lemas pulak aku ni kan kau peluk lama-lama." Sindir Hani sambil ketawa.
Aisyah hanya mencebik mendengar Hani menyindirnya. Dia senyum.
"Nanti kalau kau teringat kat aku, kau tengoklah bintang-bintang kecil kat dalam botol tu." Suara Hani seakan  mendatar. 
"InsyaAllah, aku akan sentiasa ingat kau sampai bila-bila. Oh ye, boleh tak aku nak minta tolong sampaikan salam aku pada kawan-kawan kalau jumpa diorang pada konvokesyen nanti?". Pinta Hani penuh harap
Aisyah kehairanan. " Eh! Kau tak datang ke nanti? Tak bestlah macam ni...". Sambil menunjukkan mimik muka yang tidak puas hati.
"Aku tak janji la. Kalau tiada aral melintang, InsyaAllah aku datang ." Balas Hani.
"Okay!. Janji..?" Aisyah inginkan kepastian daripada Hani, dan Hani hanya mengangguk sekadar mengiyakan walaupun dia dapat merasakan pertemuan semula di hari konvokesyen itu tidak akan kesampaian. Namun, di sudut hatinya dia sangat mengharapkan semoga Allah memanjangkan umurnya sehingga tiba hari bersejarah itu. 
*****
Hari yang ditunggu-tunggu oleh semua pelajar telah pun tiba. Keputusan peperiksaan sudah dikeluarkan. kebanyakkan pelajar memperolehi keputusan cemerlang dan masing-masing sangat berpuas hati akan usaha yang mereka selama ini. Begitu juga Aisyah, dia sangat gembira dan bersyukur dengan keputusan peperiksaannya. Usahanya tidak sia-sia.
Setibanya hari konvokesyen, semua graduan hadir bagi menerima ijazah masing-masing. Ada yang datang bersama keluarga, kawan-kawan dan bagi mereka yang tinggal jauh, mereka datang seawal sebelum hari kejadian dan menyewa mana-mana hotel sebagai tempat penginapan mereka. Ada juga keluarga yang tidak dapat hadir dan hanya ditemani rakan-rakan dan saudara terdekat yang tinggal berdekatan dengan universiti tersebut.
Aisyah melihat-lihat ke arah orang ramai yang berasak-asak untuk masuk memenuhi ruang dewan. Matanya tercari-cari pada satu wajah. Wajah yang tersimpan rindu. Ternyata hampa, Wajah Hani tidak juga muncul.  Setelah puas menunggu, Aisyah beransur masuk ke dewan. Kedengaran satu demi satu nama pelajar dari pelbagai falkulti diumumkan untuk sesi penyerahan ijazah, begitu juga Aisyah.
"Ummu Hani Binti Haris" Suara dari pentas bergema di dalam dewan itu.  
Aisyah segera berpaling ke atas pentas. Ingin sekali dia melihat dan bertemu dengan sahabat karibnya itu.Tetapi hampa, kerana ianya bukan Hani, penyerahan ijazahnya diambil oleh ayahnya En.haris sebagai wakil. Aisyah semakin hairan dengan ketidakhadiran sahabatnya itu. 
"Empat tahun ditunggu-tunggu, tak mungkin Hani tak datang di hari bersejarah ni?" Bisik Aisyah. 
" atau Hani.......Tak, tak.. Tak mungkin" Aisyah terus mematikan fikiran negatifnya. Dia terus mendoakan semoga Allah sentiasa memelihara dan memberi kebaikan kepada sahabat karibnya itu.
Setelah upacara penyerahan sijil itu berakhir, Aisyah bertemu dengan keluarga Hani dan bertanyakan akan sahabatnya itu. Setelah diceritakan, tahulah dia bahawa sahabatnya itu telah pergi buat selama-lamanya disebabkan penyakit yang dihadapinya. Rupa-rupanya itulah hari terakhir mereka berjumpa dan masih lagi dia teringat akan pesanan sahabatnya supaya menyampaikan salam kepada rakan-rakan yang lain.
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Kini setiap kali Aisyah teringat akan sahabatnya itu, dia tidak lupa untuk sedekahkan Al –Fatihah. Kadang-kadang bila terasa rindu, dia akan melihat bintang-bintang kecil dari pemberian Hani dulu. Masih lagi terngiang-ngiang kata-kata Hani sebelum berangkat pulang .
"Nanti kalau kau teringat kat aku,kau tengoklah bintang-bintang kecil kat dalam botol tu." Sehingga ke hari ini Aisyah masih lagi mengingati sahabatnya itu, walaupun peristiwa itu telah lama berlalu.

Wallahu'alam...

...ustazpenang...

Lelaki Idaman


Lelaki Idaman

Lelaki idaman,
Sememangnya akan menjadi igauan,
Setiap gadis pasti berkeinginan,
Berjumpa dengan sebuah impian.
Namun duhai lelaki beriman,
Usah mencabar lemahnya iman,
Usah menduga sebuah perasaan,
Usah mencari picisan percintaan.
Andai dikau lelaki beriman,
Pasti engkau tidak sedemikian,
Menjunamkan diri ke lembah kebinasaan,
Membiarkan diri dalam kemaksiatan.
Sedarilah duhai lelaki beriman,
Allah Maha Menerima taubatnya insan,
Sedarilah sebelum terlambat dipesan,
Engkaulah a'bid, khalifah, da'ie harapan.
Usah hancurkan sebuah impian,
Usah ranapkan biah yang mapan,
Namun genggamlah dengan kesabaran,
Disaluti sutera keimanan.
Mari, galaslah sebuah amanah berkekalan,
tunjukkan pada mereka yang tidak ketahuan,
Islam itu indah, suci, berkekalan.
Tunjukkan jua contoh tauladan,
Bagi contoh untuk pemuda buktikan,
Lelaki yang petah berpidato dihadapan,
Lelaki yang dididik dengan tarbyah harapan,
Bukanlah lelaki picisan murahan,
Namun mujahid Islam zaman kegemilangan.elaki idaman,
Sememangnya akan menjadi igauan,
Setiap gadis pasti berkeinginan,
Berjumpa dengan sebuah impian.
Namun duhai lelaki beriman,
Usah mencabar lemahnya iman,
Usah menduga sebuah perasaan,
Usah mencari picisan percintaan.
Andai dikau lelaki beriman,
Pasti engkau tidak sedemikian,
Menjunamkan diri ke lembah kebinasaan,
Membiarkan diri dalam kemaksiatan.
Sedarilah duhai lelaki beriman,
Allah Maha Menerima taubatnya insan,
Sedarilah sebelum terlambat dipesan,
Engkaulah a'bid, khalifah, da'ie harapan.
Usah hancurkan sebuah impian,
Usah ranapkan biah yang mapan,
Namun genggamlah dengan kesabaran,
Disaluti sutera keimanan.
Mari, galaslah sebuah amanah berkekalan,
tunjukkan pada mereka yang tidak ketahuan,
Islam itu indah, suci, berkekalan.
Tunjukkan jua contoh tauladan,
Bagi contoh untuk pemuda buktikan,
Lelaki yang petah berpidato dihadapan,
Lelaki yang dididik dengan tarbyah harapan,
Bukanlah lelaki picisan murahan,
Namun mujahid Islam zaman kegemilangan.

Wallahu'alam.....

...ustazpenang...