Wednesday 15 August 2012

Belajar Memberi Teguran Secara Bijak

Belajar Memberi Teguran Secara Bijak




Asasnya, memberi teguran dan sentiasa memperbaiki diri dan orang lain tidak dapat dielakkan. Tidak dapat tidak, kita semua pasti akan terlibat di dalam proses ini. Bermula sejak kecil sehingga meniti ke hari tua.
Memberi teguran adakalanya membawa kesan positif. Tetapi sekiranya kaedah yang digunakan tidak sesuai, maka ia bakal membawa ke arah negatif dan secara tidak langsung ia membentuk sikap defensif bagi pihak yang ditegur. Oleh itu, mari kita lihat teknik teguran yang sesuai.
Betulkan Niat
Apabila terdetik sahaja dalam hati bagi menegur kesilapan orang lain, maka ‘pause’ diri kita terlebih dahulu dan tarik nafas. Betulkan niat supaya kita tidak terdorong untuk melampiaskan kemarahan ataupun rasa tidak puas hati di atas sikapnya.
Lazimnya, hati yang ikhlas memberi teguran akan lebih mudah diterima. Niat kita yang murni itu akan disampaikan oleh Allah dalam keadaan yang murni juga. Ini berlawanan sekiranya niat kita memberi nasihat dengan tujuan – tujuan lain, bukan nya tujuan untuk membetulkan kesilapan untuk dibaiki.
.
Teknik XYZ
Ahli psikologi bernama Haim Ginot mencadangkan satu teknik teguran yang diberi nama “Teknik teguran XYZ”. Teknik ini menganjurkan kita menggunakan frasa itu semasa menegur, “Apabila anda melakukan perkara X, ia membuatkan saya berasa Y, sebaliknya saya lebih menyukai anda melakukan perkara Z”
Contoh:

Amin apabila kamu buang sampah merata-rata di dalam bilik, saya berasa kurang selesa. Oleh itu, saya lebih suka sekiranya awak buang sampah di tong sampah yang disediakan. pasti awak dan saya berasa selesa dan gembira.
Kesimpulannya, apabila mahu menegur seseorang itu, maka kaedah “bawa berbincang” adalah kaedah terbaik. Elakkan daripada menyentuh peribadi pihak itu. Hal ini juga mampu membuatkannya lebih terbuka dalam menerima teguran itu.
.
Tegas Dalam Santun
Gunakan konsep dua dalam satu iaitu tegas dalam santun. Gunakan budi bahasa yang baik dan menyenangkan. Ini dapat mengurangkan kadar peratusan ‘terasa hati’ pada diri seseorang.
Namun, dalam kesantunan melakukan teguran, perlu ada ketegasan. Ini dapat memaparkan secara terus tentang hasrat kita yang bersungguh – sungguh dalam menegurnya. Kawal emosi secara bijak supaya orang yang ditegur tidak berasa dimarahi.
Ini bertepatan dengan firman Allah kepada Nabi Musa dalam misinya berdakwah kepada Firaun,

Pergi kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas, berbicara dengannya menggunakan perkataan yang lembut, mudah – mudahan dia akan ingat dan merasa takut (Surah Taha, ayat 33 – 34)
Contoh :

Khairil, saya mintak maaf. Tetapi saya perlu sampaikan teguran ini kepada awak. Saya harap awak tidak lagi mengeluarkan kata – kata kesat pada rakan – rakan lain dan saya. Senang hati saya sekiranya awak dapat berubah.
.
Mula Dengan Sesuatu Yang Positif
Manusia mana yang suka ditegur? Pernah saya dimarahi secara umum apabila lewat tiba ke bilik mesyuarat. Perasaan saya pada waktu itu begitu tidak puas hati walaupun saya sedar kesalahan saya.
Kewajaran “7 kritik 1 puji” dapat digunakan dalam konsep ini. Kita mengambil hati orang yang mahu ditegur, kemudian baru kita menjalankan niat kita tadi. Sebagai contoh:

“Kamu ini saya tengok memang bagus, sembahyang tidak tinggal, hormat ibu bapa, guru – guru sayang kamu, kacak pula. Tapi, satu sahaja yang aku tidak berkenan. Perangai kamu yang suka membuka aurat tu..”
.
Tegur Secara Hikmah
Cara menegur setiap orang adalah berbeza – beza. Cara menegur kanak – kanak dan orang dewasa juga adalah berbeza. Menegur berlainan jantina juga adalah berbeza. Perhatikan Rules of Thumb ini

Apabila menegur cuba duduk di sebelah orang yang ditegur, bukan di hadapan. Kedudukan di tepi menyebabkan orang yang ditegur kurang berasa defensif berbanding kedudukan di hadapan.Orang yang tinggi egonya, perlu diberi teguran secara cabaran yang dapat mencabar egonya sehingga dia mahu menunjukkan kebolehannya.Kadangkala, ada orang yang membuat perangai kerana rasa tidak diperlukan. Orang sebegini perlu diberi lebih peluang memikul tanggungjawab yang lebih besar.

Wallahu'alam......

...ustazpenang... 

Apabila DIA Bertanya

Apabila DIA Bertanya




Berfirman Allah SWT yang bermaksud :
Wahai anak Adam, bagaimanakah kamu mengaku bahawa kamu hamba Allah tetapi kemuadiannya kamu menderhakai-Nya?
Wahai anak Adam, kenapa kamu memilih untuk berbuat baik hanya kepada mereka yang berbuat baik kepadamu?
Wahai anak Adam, kenapa kamu memilih untuk bersilaturahim hanya kepada mereka yang bersilaturahim denganmu?
Wahai anak Adam, kenapa kamu memilih untuk berbicara hanya  kepada mereka yang berbicara denganmu?
Wahai anak Adam, kenapa kamu memilih untuk memberi makan hanya kepada mereka yang memberi makan kepadamu?
Wahai anak Adam, kenapa kamu memilih untuk memuliakan hanya kepada mereka yang memuliakanmu?
Wahai orang yang beriman, kenapa kamu mengatakan apa yang kamu sendiri tidak amalkan?
Wahai orang yang beriman, kenapa kamu menegah orang lain apa yang kamu sendiri melakukannya?
Wahai orang yang beriman, berapa banyak kamu menyuruh orang lain sedangkan kamu tidak mengamalkannya?
Wahai orang yang beriman, berapa banyak kamu mengumpulkan apa – apa yang kamu tidak makan?

Wahai orang yang beriman, berapa banyak taubat yang ditangguhkan dari sehari ke sehari, kemudian dari setahun ke setahun, kemudian untuk apa kamu menunggu? Adakah kamu telah selamat daripada mati? Adakah kamu telah terlepas daripada neraka dan telah terjaminkah keselamatan dengan mendapat syurga? Adakah antara kamu dan Tuhan terjamin rahmat?
Wahai anak Adam, kepada siapa engkau mengadu sedangkan Aku ialah tempat mengadu bagimu. Hingga bilakah engkau mahu melupai-Ku sedangkan Aku tidak menerima itu daripada kamu?
Wahai anak Adam, hingga bilakah engkau mahu kufurkan kepada-Ku sedangkan Aku tidak menzalimimu? Hingga bilakah engkau mengingkari nikmat – nikmat-Ku, hingga bilakah engkau mahu meringan – ringankan kitab-Ku sedangkan Aku tidak menyuruh apa – apa yang engkau tidak mampu membuatnya?
Wahai anak Adam, hingga bilakah kamu membenci Aku? Sampai bilakah kamu mengingkari-Ku sedang tiada Tuhan bagimu selain Aku? Dan apabila engkau sakit, maka doktor manakah yang menyembuhkan kamu, kalau bukan Aku?
Wahai anak Adam, bagaimana mungkin kamu tersangat ingin kepada ibadah sedangkan kamu berserta dengan perut yang kenyang? Bagaimana engkau akan mencintai Allah sedangkan engkau mencintai harta? Bagaimanakah kamu tersangat ingin mendapatkan hati yang terang sedang kamu banyak tidur?
Wahai anak Adam, bagaimanakah kamu akan takut kepada Allah, kerana yang kamu takut ialah kefakiran? Bagaimanakah kamu ingin mendapatkan warak sedangkan kamu tamak terhadap dunia? Bagaimanakah kamu akan mendapatkan keredhaan Allah, sedangkan kamu tidak mencintai orang miskin?
Wahai anak Adam, bagaimanakah kamu tamak dengan keredhaan, sedangkan kamu berserta kebakhilan? Bagaimanakah kamu tamak terhadap syurga sedangkan kamu berserta dengan hati yang mencintai dunia dan pujian? Bagaimanakah kamu ingin kebahagiaan abadi di akhirat sedangkan kamu serta ilmu yang sedikit?
Wahai manusia, dengan rezeki daripada-Ku jua engkau kuat melakukan maksiat kepada-Ku. Denga kehendak daripada-Ku engkau menginginkan sesuatu. Dengan kehendak daripada-Ku engkau mahukan sesuatu untuk dirimu. Dengan nikmat-Ku engkau berdiri, duduk dan beristirehat. Dengan pemeliharaan-Ku engkau berpetang – petang dan berpagi – pagi. Dengan nikmat-Ku engkau berbolak – balik. Dengan afiat daripada-Ku engkau bercantik – cantik tetapi kemudiannya kau melupai-Ku dan mengingati selain daripada-Ku. Maka kenapa kamu tidak menunaikan hak-Ku dan berterima kasih kepada-Ku?
Wahai anak Adam, adakah engkau melakukan maksiat kepada-Ku lalu mengingati kemurkaan-Ku? Adakah engkau berhenti daripada apa – apa yang Aku tegah ke atasmu? Adakah engkau menunaikan kewajipan kepada-Ku seperti yang Aku amanahkan kepadamu?
Wahai anak Adam, adakah engkau membantu orang miskin dengan hartamu? Adakah engkau melakukan kebaikan kepada siapa yang berbuat jahat kepadamu?
Wahai anak Adam, adakah engkau memaafkan siapa yang menzalimimu?
Wahai anak Adam, adakah engkau menghubungi siapa yang memutuskan hubungan denganmu?
Wahai anak Adam, adakah engkau berlaku adil kepada siapa yang khianatimu? Adakah engkau berbicara dengan siapa yang menjaujimu? Adakah engkau mengajar anakmu? Adakah engkau merelai jiranmu? Adakah engkau bertanya kepada ulama terhadap urusan agama dan duniamu?
Wahai anak Adam, bilamana Allah telah menjaminkan rezekimu, mengapakah panjang keresahanmu?
Wahai anak Adam, bilamana Allah telah menyediakan gantian (atas sedekahmu) mengapakah kamu bakhil?
Wahai anak Adam, bilamana Iblis ialah musuh bagi Allah, bagaimana kamu boleh lupa tentang itu?
Wahai anak Adam, bilamana balasan nanti ialah neraka, mengapakah kamu istirehat?
Wahai anak Adam, bilamana ganjaran Allah itu ialah syurga, mengapakah kamu melakukan maksiat?
Wahai anak Adam, bilamana setiap sesuatu itu adalah di bawah ketentuan-Ku, mengapakah kamu tidak sabar dan berdukacita?
Wahai anak Adam, apabila engkau tergolong dalam golongan pemerintah yang memasuki neraka kerana kejahatannya, orang Arab disebabkan kemaksiatannya, para ulama disebabkan hasadnya, peniaga disebabkan khianatnya, ahli ibadah kerana riyaknya dan yang memasuki neraka kerana kejahilannya, orang kaya kerana sombongnya dan orang miskin kerana penipuannya, maka siapakah sebenarnya yang inginkan syurga?
Wahai anak Adam, harta itu milik-Ku, engkau ialah hamba-Ku dan tetamu itu utusan-Ku. Apakah kamu tidak takut kalau Aku mencabut nikmat – nikmat-Ku? Rezeki itu ialah rezeki-Ku manakala kesyukuran itu bagimu. Manfaatnya akan kembali kepadamu juga. Kenapa engkau tidak memuji-Ku atas apa yang Aku berikan kepadamu?
Wahai anak Adam, apabila engkau inginkan rezeki, Aku berikan rezeki tersebut kepada engkau. Maka nafkahkanlah jangan bakhil dengan rezeki terhadap hamba – hamba-Ku. Sesungguhnya Aku telah menjaminkan bagimu gantian dan Aku janjikan bagimu ganjaran, maka kenapa kamu masih sangsi terhadap kitab-Ku?
Wahai anak Adam, berapa banyak orang – orang kaya mengharapkan akan fakir pada hari dia dihisab? Berapa banyak orang gagah yang dihina oleh sebab kematiannya? Berapa banyak kemanisan menjadi pahit? Berapa banyak kegembiraan dengan kenikmatannya, disengsarakan baginya kematian? Berapa banyak kesukaran yang mewarisi kedukacitaan yang panjang?
Wahai anak Adam, sekiranya tidak ditentukan bagi engkau melainkan hanya kematian dan kedahsyatannya sahaja maka telah wajiblah bagi engkau tidak merasa tenang waktu siang dan malam. Bagaimanakah keadaannya apa yang sesudah kematian itu lebih dahsyat lagi?
Wahai anak Adam, bagaimanakah kamu menanggung satu – satu urusan yang tidak ditakdirkan bagimu dan tidak pula kamu mengetahuinya sepertilah engkau tidak mengambil ganjaran bagi amalan – amalan yang tidak engkau kerjakan?
Wahai anak Adam, sesiapa yang jalannya ialah kematian bagaimana boleh bergembira terhadap dunia? Sesiapa yang rumahnya ialah kubur, bagaimana boleh merasa senang dengan rumahnya di atas dunia?

Wallahu'alam........

...ustazpenang,,,

Sering Ragu–Ragu Membuat Keputusan???

Sering Ragu–Ragu Membuat Keputusan???




Hidup adalah pilihan. Setiap pilihan pasti ada risikonya. Kekuatan kita adalah pada pertimbangan yang matang. Jangan menjadikan diri sebagai seorang yang bersikap ragu – ragu, kerana mereka yang bersikap ragu – ragu hanya akan membuahkan rasa bingung.
Dan semua orang juga akan sepakat bahawa menjadi bingung itu tidak baik dalam kehidupan.
Pelajarilah setiap tawaran yang datang dalam dalam hidup, walau apapun aspek kehidupan yang dicakupinya, Baik pekerjaan, persekolahan, pernikahan dan bahakan perkara – perkara yang mudah seperti belanja di pasar semuanya pasti akan menawarkan pilihan yang menuntut kita untuk bijak dalam memilih.
Belajarlah untuk berfikir dari segala aspek, lantas menjadi dewasa dengan sudut pandang yang berbeza. Mencuba untuk memahami pilihan orang dan berani menentukan pilihan sendiri adalah salah satu sikap yang harus ada pada kita untuk meneruskan kehidupan dengan lebih yakin. 
Belajar menjadi lebih komited
Ada banyak janji yang telah kita buat. Salah satunya adalah janji terhadap diri sendiri. Namun sejarah mungkin mencatat bahawa dalam banyak – banyak janji yang di lafazkan dalam hidup manusia, janji terhadap diri sendirilah yang sering diabaikan. Egolah yang selama ini menjadi penyebab. Ingatlah betapa janji adalah hutang dan hutang harus dibayar waima janji pada diri sendiri. 
Oleh itu, marilah kita belajar untuk cuba menepati apa yang sudah dijanjikan. Jangan cuba melupakan, atau sengaja untuk tidak ditepati, kerana itu tidak cukup mengasyikkan. 
Didiklah jiwa untuk setia dengan janjinya. Biarkan diri kita merasai kehebatan lantaran telah berjaya menepati janji sampai mati, Tidak perlu ada pengkhianatan, atau pembohongan terhadap janji yang mungkin akan membuat sakit hati.

Live well or live hell, you choose – Hlovate

Wallahu'alam.......


...ustazpenang... 

Lailatul Qadar : Memaksimumkan 10 Malam Ramadhan Terakhir

Lailatul Qadar : Memaksimumkan 10 Malam Ramadhan Terakhir




Lailatul Qadr (Malam Qadar) yang dinyatakan di dalam al-Quran sebagai, “lebih baik daripada seribu bulan” (97:3). Apa-apa ibadah yang dilakukan pada malam ini seperti membaca al-Quran, mengingati Allah, dan lain-lain adalah lebih baik daripada beribadah untuk 1000 bulan yang tidak mengandungi malam Qadar.
Rasulullah saw sendiri memaksa dirinya dengan ketaatan dalam sepuluh malam terakhir  berbanding pada masa lain.  
Aishah (RA) berkata bahawa nabi: Carilah Lailatul Qadr pada malam bernombor ganjil pada sepuluh malam terakhir Ramadan (Bukhari).
Nabi berkata: “Sesiapa sembahyang pada malam Qadar dengan iman dan harapan untuk ganjarannya, semua dosa-dosa sebelum ini akan diampuni.” (Bukhari dan Muslim dari Abu Huraira).
1.Luangkan masa untuk Allah.
Kita akan berehat seketika  untuk hampir segala-gala aktiviti didalam hidup. Kenapa tidak kali ini dengan memberi tumpuan kepada menyembahan dan mengucapkan terima kasih kepada Pencipta kita.
Sekurang-kurangnya kita mengambil sedikit masa jika boleh. Berjaga pada waktu malam untuk melakukan Ibadah qiamullail, tidak perlu risau tentang untuk pergi bekerja pada keesokan harinya. Insyallah, ia tidak akan menjejaskan kita pun. Siyes!
2.  I’tikaf.
Ia adalah amalan Rasulullah untuk menghabiskan sepuluh hari terakhir dan malam Ramadan, duduk dalam masjid untuk I’tikaf.
Orang-orang yang beri’tikaf tinggal di masjid sepanjang masa ini, melaksanakan pelbagai bentuk amalan (mengingati Allah), seperti melakukan solat sunat, membaca dan memahami al-Quran. 
3. Amalkan Doa khas ini.
Aishah, ra berkata: Aku pernah bertanya Rasulullah saw‘Wahai Rasulullah, jika aku tahu bila malam adalah malam Qadar, apakah yang perlu aku ucapkan semasa doa?’
Baginda berkata: “Katakanlah: Ya Allah, Engkau adalah Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkan aku. ” (Ahmad, Ibn Majah, dan Tirmidzi).
4.Merenung makna al-Quran.
Pilih surah terkini atau surah yang anda pernah mendengar dalam Tarawih dan membaca terjemahan dan Tafsir. Kemudian berfikir secara mendalam tentang makna dan bagaimana ia memberi kesan kepada anda.
5.  Berdoa supaya dosa dihapuskan.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) berkata: Sesiapa yang berdiri (mengerjakan sembahyang) pada malam Lailatul Qadar, mengharapkan pahala dari sisi Allah,  semua dosanya pada masa lalu akan diampuni. [Bukhari dan Muslim).
.
Cuba untuk membuat doa anda lebih panjang, lebih mendalam dan bermakna. Jika anda sudah biasa dengan surah yang   panjang, baca terjemahan dan penjelasan. Hayati makna daripada surah.
Ini adalah cara yang baik untuk meningkatkan tumpuan, walaupun dalam sembahyang, di mana ramai daripada kita cenderung untuk menjadi lalai dan / atau mudah terganggu.
6.Buat satu senarai Doa peribadi.
Tanya diri kita apa yang kita benar-benar mahu dari Allah. Buat senarai setiap dan segala-galanya, tidak kira betapa kecil atau berapa besar, sama ada ia berkaitan dengan dunia ini atau tidak. Allah suka mendengar doa dan permintaan daripada kita
.
7. Amalkan Doa Panjang, Ikhlas dan Mendalam
Salah satu masa terbaik untuk melakukan ini ialah pada bahagian terakhir malam.

Abu Huraira ra, berkata bahawa nabi bersabda: Apabila berakhir satu pertiga malam, Allah, Yang Amat Terpuji turun ke langit bumi dan berfirman: Siapakah yang berdoa untuk Ku? Siapa yang berdoa untuk ku memohon apa-apa akan ku perkenankan. Dan yang yang memohon keampunan kepada-Ku, Aku akan memaafkannya. (Bukhari, Muslim).
Bangun satu jam sebelum masa sahur untuk meminta kepada Allah untuk apa-apa dan semua yang kita mahu. Ini boleh dilakukan dengan  doa dalam bahasa kita sendiri ( tidak semestinya bahasa arab ), dengan ikhlas dan keyakinan.

8.Berbuka dengan keluarga
Jika kita selalu menghabiskan masa berbuka pada hari-hari bekerja di dalam pejabat di tempat kerja, kini beberapa hari terakhir Ramadan ini habiskanlah masa berbuka dengan keluarga kita

Tips ini adalah sebahagian kecil daripada apa yang boleh kita dilakukan. Tentukan bagaimana  malam yang lebih baik daripada seribu bulan ini digunakan. Ini akan membantu kita untuk mengelakkan daripada kerugian pada Malam Lailatul-Qadar iaitu dalam 10 hari terakhir..
Semoga kita dapat  meraih sebanyak mungkin pahala pada Ramadhan kali ini..

Wallahu'alam......


...ustazpenang... 

Elakkan Noda Hati

Elakkan Noda Hati




Bak kotoran yang menempel di wajah, ada beberapa noda hati yang harus dibersihkan daripada wajah hati kita. Perlu dibersihkan segala noda itu daripada terus menebal di hati agar hati selalu tenang. Dengan hati yang tenang wajah juga pasti akan nampak awet muda dan berseri-seri
1. Noda  Buruk Sangka
 Tepislah noda ini seawal mungkin. Jangan sesekali dibiarkan noda ini terus menebal di hati kerana noda ini akan meninggalkan bekas yang susah sekali untuk dihilangkan apabila ia semakin berkarat di hati. Basmi noda ini dengan sikap saling percaya dan menerima. Saling percaya akan mengasuh hati supaya tidak mudah berfikir negatif terhadap teman atau rakan dakwah
Apabila noda ini dapat dibersihkan daripada dasar hati, kita akan menjadi seorang yang tidak mudah menjatuhkan hukuman dan menilai secara sesuka hati terhadap orang lain yang tidak sependapat dengan kita. Sebaliknya, kita akan menjadi seseorang yang lebih mengutamakan baik sangka kerana menyedari betapa selama dia menjadi seorang muslim maka dia adalah saudara.

2. Noda Cinta Dunia & Panjang Angan-Angan
Hapuskanlah noda ini dengan menyedarkan diri akan takutnya kematian yang mungkin datang secara tiba-tiba. Kecintaan kepada hidup didunia akan menggiring kita kepada keterlenaan dan ketidakwaspadaan. Diri akan terjerat dalam sangkar alpa yang merasakan seakan hidup kita di dunia ini tidak akan bernoktah.
Kerana alpa, kita melalui dan menganggap hidup hanya masalah senang-senang sahaja, tanpa pernah tahu bagaimana cara memaknakan dengan lebih berharga. Hidup sarat dengan memupuk angan-angan setinggi gunung yang menjulang. Seolah tidak pernah ada  kata mati. Hidup dan terus hidup. Senang dan bahagia selalu tanpa ada kesedaran bahawa akan tiba masanya jiwa direnggut dari raga. Tidak pernah terfikir membuat persiapan menghadapi saat roh terpisah dari jasad.

3. Noda Bangga Diri
Bersihkan wajah hati daripada noda ini dengan mengingati betapa segala yang kita miliki adalah kurnia Allah SWT dan rasa takut terhadap bahaya yang menimpa sesudahnya. Yakinlah diri takut terhadap bahaya yang menimpa sesudahnya. Yakinlah diri bahawa segala yang kita banggakan hanyalah pinjaman daripada Allah. Ia bukan mutlak milik kita, tetapi hanyalah pinjaman.
kurniaan yang diberikan kepada kita jangan kemudian menyebabkan kita menjadi sombong, tetapi seharusnya membuat kita sentiasa bersyukur atas kelebihan yang dimiliki.
Sedarkan hati bahawa akan ada bahaya yang akan menimpa kerana kesombongan hati. Didik hati dengan seikhlas rasa agar tidak mengarah kepada kesombongan yang boleh membawa kepada kehancuran. Kuatkan kesedaran itu, agar hati selalu tenang. Tidak mudah berbangga diri dan merasa lebih tinggi daripada orang lain. Hindari daripada kesombongan , riak dan takkabur yang boleh menjerumuskan diri ke alam kemurkaan Allah SWT.

4.Noda Meremehkan & Kurang Menghargai Orang Lain
Sikap ini sangat penting untuk dibersihkan daripada hati kita. Kebiasaan masyarakat umum seringkali memandang manusia berdasarkan pakaian yang dipakai, pendidikan, kelulusan akademik yang dimilikinya dan perhiasan mewah yang menghiasi tubuh.
Noda ini akan menjadikan seseorang itu sering lupa diri sehingga bertemu dengan orang yang sederhana, tidak terlalu menyerlah penampilannya, mereka akan cenderung untuk memandang rendah.
Sekarang cuba tanya diri sendiri, mana yang lebih kita pandang. Orang yang mempunyai ijazah atau hanya pelajar lepasan sekolah pondok? Cuba jawab dengan jujur
Kita akan mengetahui jawapannya, apakah kita sedang terkena noda ini atau tidak. Tepislah noda ini dengan mengenali hak dan kehormatan mereka. Siapapun dia, dia berhak mendapatkan penghormatan yang selayaknya, juga diperlakukan sama dengan orang lain.
.
5. Noda Dengki
Noda ini memang sangan menular dalam kalangan golongan remaja. Terutamanya apabila melihat kawan-kawan mereka mendapat kebahagiaan dan sesuatu kelebihan, mereka akan merasa iri hati dan dengki dengan kenikmatan itu.
 “Kenapa bukan saya? Kenapa dia?”
Bersihkan noda ini dengan sikap rela dan menerima pemberian Allah SWT. Syukuri dan relakan apa yang sudah dikurniakan Allah SWT, sebagai nikmat terindah. Yakinlah bahawa apa yang dimiliki sekarang adalah apa yang sesuai dengan diri kita saat ini.

Wallahu'alam......

...ustazpenang...


HATI Seorang yang bernama WANITA

HATI Seorang yang bernama WANITA




Allah menciptakan kaum kalian dengan hati yang dihiasi dengan kelembutan.
Hati yang diselaputi dengan kesabaran.
Hati yang tahan untuk disakiti.
Hati yang belajar erti taat dan setia.

Dengan kelembutan hati wanita lah yang dapat mententeramkan jiwa lelaki
yang dipanggil suami
Dengan kesabaran hati wanitalah yang dapat mendidik anak-anak hingga dewasa
Dengan hati wanita lah yang dapat menahan segala karenah anak dan
suami walau disakiti
Dengan hati inilah wanita mencurahkan segala kasih sayang dan
kesetiaan yang tidak
berbelah bagi kepada seorang suami.

Muslimah sekalian,
Sedarkah kalian secara fitrahnya Allah menciptakan kamu dengan hati yang kuat.
Terkadang emosi kamu yang lebih menguasai hati membuatkan kamu lupa
betapa tabah dan kuatnya hati ini.
Betapa cantik dan indahnya Allah ciptakan wanita itu dengan kelembutan
dan kekuatan yang ada pada kamu.
Bertambah cantik lagi seorang wanita yang menghiasi emosi dan hatinya
dengan cinta kepada Illahi.

Wahai wanita,
Jika kamu sedar betapa kuat Allah ciptakan kamu, janganlah mudah
jatuh pada satu ujian yang diberiNya.
Emosi yang dianugerahkan Allah kepada kamu adalah tanda betapa hati
wanita ini sangat peka.
Peka dengan kehendak dan hati sang suami dan anak-anak.
Bukan tanda kelemahan tetapi sebagai pelengkap dalam rumahtangga.

Jika kalian jatuh hari ini,bangunlah.
Jangan pernah dikesalkan.
kerana
Hari ini mengajar kalian tentang hari esok.
Agar pengalaman hari ini membuat kalian lebih bersedia dan lebih
mengingatiNya pada perjalanan kalian yang seterusnya.
Insyaallah.


Wallahu'alam.....

...ustazpenang...

Mengapa Kita Semua Berbeza???

Mengapa Kita Semua Berbeza???




Jika kita pernah menjadi ketua kelas atau menjadi pemimpin, kita pasti selalu berhadapan dengan pelbagai ragam manusia, yang kadang membuatkan kita sakit kepala untuk menyatukan mereka. Banyak konflik. Banyak kecelaruan.
Kita selalu menganggap sesuatu yang berbeza memang tidak boleh disatukan dan diletakkan bersama. Perbezaan akan menyebabkan perpisahan. Kita sering meletakkan perbezaan itu umpama minyak dan air, yang tidak akan bersatu bila kita mencampurkan kedua bahan tersebut. Walaupun kita mengacau larutan itu supaya bercampur, lama-kelamaan ia akan terpisah jua manjadi dua lapisan minyak dan air. 
Tapi kita sebenarnya tak terfikir bahawa minyak dan air boleh dicampurkan dengan adanya kehadiran sabun. Sabun sebagai penyambungnya. Begitulah juga dengan perbezaan yang kita miliki, saling memahami dan kebijaksaanlah yang akan membuat sesuatu perbezaan itu dapat bersatu.
Memang setiap orang mempunyai pelbagai alasan yang berbeza. Namun setiap orang juga harus mempunyai berjuta alasan untuk saling memahami setiap berbezaan yang kita semua miliki. Sebab kita semua tak mungkin dapat mengelak dari perbezaan. Yang perlu adalah, kita harus yakin bahawa setiap perbezaan yang wujud adalah anugerah daripada Allah yang harus diterima dengan bijak. Sikap positif harus diterapkan didalam jiwa apabila kita semua terlibat dengan berbezaan pendapat dan perbezaan sikap. Fikiran positif akan membuatkan kita bersikap positif dan bijak dalam menerima sebarang perbezaan.
Perbezaan akan membuat kita belajar. Cuba perhatikan ibu bapa kita, mereka pada mulanya mempunyai pelbagai berbezaan. Tetapi setelah bersatu dalam ikatan perkahwinan, mereka belajar untuk memahami antara satu sama lain, belajar menerima perbezaan dan belajar untuk bertolak ansur, sehingga masih kekal sehingga kini. Yang penting menerima dengan dada yang lapang dan akal yang bijak. Kerana kebanyakkan masa, perbezaan lah yang kan membuat kita belajar banyak perkara, belajar tentang perbezaan itu sendiri, belajar mensyukuri perbezaan itu, dan belajar untuk saling melengkapi.
Cuba kita perhatikan dalam sebuah persembahan muzikal. Bunyi harmoni yang terhasil adalah bukan dari alat muzik yang sama, tetapi gabungan dari alat muzik yang berbeza. Perbezaan alat muzik, perbezaan suara, perbezaan peranan diaturkan supaya bunyi yang sedap didengar terhasil. yang penting, kita yang bijak mengaturkannya!

Wallahu'alam....

...ustazpenang...

Saturday 11 August 2012

Kenapa Kawan Baik Sendiri Yang Menyakitkan Hati???

Kenapa Kawan Baik Sendiri Yang Menyakitkan Hati???




Itu lah yang dirasakan apabila kita ‘terkena’ dengan rakan karib sendiri, yang maybe telah dianggap sebagai adik- beradik sendiri. Memang sesuatu yang normal bagi seorang manusia untuk berasa sakit hati. Itu fitrah untuk merasakan gembira atau sedih. Apatah lagi kita diciptakan oleh Allah sebagai makhluk yang bersosial yang mustahil untuk lepas dari kekhilafan.

Mungkin, jika hati ini sakit pada mereka yang tidak rapat dengan kita, kita tidak ambik pusing sangat. Who them to us. kan?

Tapi bila “terkena” dengan sahabat yang dianggap baik dengan kita selama ini, it’s feel torn apart inside. Memang sakit. Sakit tanpa luka. Mungkin kita tak dapat tersenyum, even untuk menutup perasaan ini daripada dibaca orang lain, walaupun pada hakikatnya kita tidak mahu orang lain mengetahui kesedihan yang menimpa kita.

Hati ini memang suatu organ yang sensitif, super sensitif, sebab hanya dengan kata-kata pun boleh menyebabkan ia luka. Kalu difikir-fikirkan balik, memang haruslah Islam melarang anak berkata walaupun “Uh!” kepada ibu kita, sebab dia pernah jadi kawan baik kita selama 9 bulan. Makan, kerja dan tidur bersama. Mungkin benda itu nampak simple bagi kita, tapi bagi mereka yang benar-benar sayang kepada kita, perkataan itu sangat menyakitkan. Begitu la juga bagi sahabat baik.

Mungkin selama ini kita pernah terasa dan sakit hati, tetapi masih mampu cover disebalik senyuman. Tapi sampai pada satu tahap, kita tidak dapat menerima perbuatan atau perkataan dia. Kutuk mengutuk itu perkara biasa la. Tapi perkara yang lebih serius daripada itu, maybe rase nak terajang atau cincang2 aje. Sabar, sabar dan sabar..

Tak perlu la kita membenci dia, tak perlu balas dendam.  Anggap sahaja ini suatu ujian.

Apa pun perkataan dia kepada kita, walaupun sangat mengguris hati, tentu itu terjadi dengan izin Allah. Anggap sahaja ini episod atau ujian yang harus kita lalui untuk menguji keimanan kita.

Pesan dan Nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya: “Wahai anakku, hendaklah kamu ingat kebaikan orang dan lupa kejahatan orang. Dan hendaklah kamu lupa kebaikan kamu terhadap orang dan ingatlah kejahatan yang kamu lakukan kepada orang.

Memaafkan.
Dia pernah menjadi sahabat baik kita, pasti terselit kebaikan yang pernah dilakukan kepada kata. Oleh itu maafkanlah dengan ikhlas dan dada yang lapang. Ya, dengan ikhlas.
Kenapa?

Kerana orang yang ikhlas selalu percaya bahawa Allah akan sentiasa memberikan yang terbaik kepada hambaNya. Orang yang ikhlas akan lebih mudah menangani hatinyanya untuk selalu menyerahkan segalanya hanya kepada Allah. Hanya kepadaNyalah dia mengantungkan harapan.

Memang sukar membiarkan cinta membimbing kita bila hati kita disakiti. Tetapi, biarpun luka hati itu kecil atau besar kita tidak akan boleh benar-benar bahagia sebelum memberi maaf dengan keikhlasan. Nescaya kita akan bahagia.

Wallahu'alam....

...ustazpenang... 

Percaya Kepada Ibu Bapa

Percaya Kepada Ibu Bapa




Berilah kepercayaan kepada ibu bapa kita. Sedarlah diri ini pada apa yang dia sampaikan, apa yang dia janjikan dan apa yang dia lakukan. Mungkin kita pernah dikecewakan, tetapi yakinlah dengan langkah yang kita lakukan. Ibu bapa memerlukan kepercayaan penuh daripada kita. Mereka mahu mengarahkan ke jalan yang lebih baik dan betul. 
Yang mereka perlukan, adalah kepercayaan kita sebagai anak-anak mereka.
Cubalah berkongsi pengalaman dengan mereka. Buatlah mereka bangga memiliki masa lalu atau pengalaman yang menakjubkan. Sanjungi mereka supaya mereka memiliki kembali kebanggaan dan kehormatan itu.
Dengan menceritakan pengalamannya semasa muda, atau pengalamannya selama mengharungi kerjaya atau pengalaman merintis sebuah perniagaan akan menjadi modal bagi pengetahuan kita. Dengarlah dan berkongsilah kerana ibu bapa adalah bekal terbaik kita untuk masa depan kelak.

“Reda Allah bergantung pada reda ibu bapa  dan murka Allah bergantung pada murka ibu bapa”

“Dan kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusuinya dalam dua tahun, bersyukurlah pada-Ku dan kepada dua ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu” – [Surah luqman: 14].

Wallahu'alam...

...ustazpenang...

Bercinta Menambah Musuh

Bercinta Menambah Musuh




Dengan berakhirnya cinta, tentu sahaja bekas kekasih menjadi individu yang dibenci. Apatah lagi bila putusnya hubungan tersebut kerana adanya peristiwa yang terdahulu. Adanya pihak ketiga, kecurangan dan pelbagai peristiwa yang lain. Bekas kekasih menjadi musuh luar biasa.

Mencemuh bukan main kalau terlihat wajahnya. Akhirnya dia menjadi musuh, bukan menjadi teman. Berbeza dengan konsep perhubungan dan persahabatan. Sama sekali tidak ada istilah bekas teman atau bekas sahabat.

Kalau berteman, ya untuk selamanya. Tiada nafsu meledak-ledak, tiada emosi yang berlebihan, semuanya apa adanya. Saling membantu saling menyokong. Tiada istilah bekas sahabat, semuanya akan selalu menjadi sahabat. Friendship forever!

Semakin banyak kekasih kita, maka semakin banyak pula “bekas” kita. Kalau bekasnya sudah banyak, nanti juga musuh kita akan turut banyak. Kita akan dikenal sebagai lelaki atau perempuan yang suka bertukar pasangan, playboy and playgirl.

Sejak sekolah menengah sudah mula bercinta, bayangkan kalau berkahwin diusia 30 tahun. Sudah berapa banyak kekasih yang sudah kita kumpulkan? Pasti banyak dan bahkan sudah lupa jumlahnya!

Berbeza dengan perhubungan cinta dan persahabatan. Teman seribu masih sedikit, musuh seorang sudah banyak! Kita selalu memerlukan teman, semakin banyak teman maka akan semakin berwarna hidup kita. Boleh bertukar fikiran, berkongsi wawasan dan saling menasihati dalam kebaikan dan amal soleh. Tiada kecenderungan apa pun, lebih asyik dan lebih lebih menjaga kehormatan kita sebagai manusia.

Tidak perlu ada kata cinta yang membuai, tidak perlu beradengan mesra yang mengundang dosa. Hanya sebuah perhubungan yang saling menjaga hati dan perasaan.

Wallahu'alam......

...ustazpenang...

Masalah Itu Manis!

Masalah Itu Manis!




Ketika kita ditimpa sebuah masalah, bererti Allah mahu kita lebih dewasa dalam menghadapi hidup ini. Ketika kita ditimpa musibah, bererti Allah ingin agar kita mendekat kepadanya. Ketika kita ditimpa kesusahan, bererti Allah telah menyediakan untuk kita kemudahan.

Kerana sesungguhnya disebalik permasalahan ada proses pendewasaan, disebalik musibah ada hikmah, disebalik kesusahan ada kemudahan.

“Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”( QS. al-Insyirah: 5-6)

Ketika permasalahan datang menghampiri, jangan mengeluh dihadapan sang pencipta, jangan memberontak akan keputusannya apalagi dengan mengatakan bahawa Allah tidak adil. Namun, mintalah agar kita diberi kesabaran serta ketabahan dalam menghadapinya, diberikan penyelesaian  yang terbaik bagi kita, dan selalu mengharap dia memberikan ganjaran pahala untuk kita.

Tanpa malam, bulan purnama takkan indah. Tanpa lapar, nikmat makanan takkan terasa. Tanpa dahaga sejuknya air takkan memberi banyak makna. Begitu juga kemenangan atau kemudahan takkan banyak memberi erti tanpa didahului rintangan masalah kesusahan. Setelah mendung terbitlah cerah.

Tak ada hidup tanpa masalah, kerana masalah adalah sunnah-Nya. Yang kita perlukan hanya dada yang lapang dalam menghadapinya. Jika ketabahan yang kita bina, nikmat masalah akan terasa. Jika keluhan yang sentiasa kita bina sengsara masalah akan selalu bertambah.

Masalah datang untuk kita hadapi, bukan untuk dicaci atau dimaki. Masalah adalah medium dalam proses pendewasaan. Tanpa masalah kita takkan pernah dewasa. Tanpa masalah kita takkan menjadi orang yang luar biasa.”Jalan yang lurus dan rata takkan pernah menghasilkan pemandu yang hebat. Laut yang tenang takkan pernah menghasilkan pelaut yang cekap. Langit yang cerah takkan pernah menghasilkan juruterbang yang handal.”

Di saat kita mencari solusi dalam suatu masalah, di saat itulah sebuah proses pendewasaan hidup akan bermula. Maka,senyumlah mereka yang memiliki masalah dan mampu mengatasi masalah tersebut dengan bijak, iaitu dengan tetap selalu bergantung kepada keputusan Allah yang maha adil setelah tawakal dilakukan.

Wallahu'alam.....

...ustazpenang...