Wednesday, 11 April 2012

Penyejuk Mata Dan Menjemput Bidadari

Penyejuk Mata Dan Menjemput Bidadari







Buat kaum Adam, para muslimin, ikhwani yang dihormati, yang bakal menjemput bidadari sang ratu hati, dan yang sudah menjemput bidadarinya.
Juga buat kaum Hawa, para muslimat, yang bakal dijemput sebagai bidadari, dan yang sudah dijemput dan sedang melalui alam perkahwinan.
Sekalian manusia menginginkan perkahwinan yang bahagia, alam cinta yang indah. Tiada yang menginginkan perkahwinan yang penuh duka dan duri. Inginkan bahagia, maka hendaklah dituruti jalan yang betul, agar sampai ke destinasi bahagia. Apakah yang menjadikan satu perkahwinan itu bahagia? Apakah jalannya?
Mahligai cinta yang bahagia lagi berseri, ada harganya. Harganya, adalah persediaan dan usaha yang betul sebaik-baiknya, sehingga layak bagi kita untuk memiliki mahligai bahagia, kurniaan Allah s.w.t. Persediaan demi persediaan. Usaha demi usaha.
Apakah usaha-usaha yang perlu kita lakukan, apakah tindakan-tindakan yang perlu kita ambil? Ada beberapa perkara yang perlu kita teliti.
Asas dan Halatuju Mahligai Cinta
Antara aspek penting yang perlu kita beri perhatian. Asas dan halatuju mahligai yang dibina.
"Dan izinkan kujemput bidadari. Untuk bersama menuju-Mu mengisi hari."
Sedap dan indah didengar dan dilafaz. Namun lebih indah lagi, apabila usaha ke arah menujuNya dilakukan dan dilaksanakan. Asas dan halatuju cinta insani ialah cinta Ilahi. Apabila asasnya betul, asasnya kukuh, nescaya bahagia hadir mendamaikan kehidupan. Sekiranya asasnya rapuh, bahagia menjadi sesuatu yang amat sukar dimiliki, very elusive.
Dan semestinya, apabila bercinta, hendak bercinta sehingga ke syurga. Syurga akhirat, Jannatullah.
Inilah halatuju mahligai cinta yang dibina. Cinta hingga ke syurga. Begin with the end in mind. Apabila betul dan tepat halatuju, disusuli dengan usaha dan amal yang bertepatan, disulami doa dan tawakkal kepada Maha Pemberi, nescaya mahligai cinta yang dibina bahagia, berkekalan dan berseri di bawah naungan redha dan rahmat Allah s.w.t.
Apakah usaha dan amal tersebut? Ia adalah usaha dan amal yang melayakkan kita kelak untuk menerima kitab amal dengan tangan kanan. Sama-sama kita renungkan.
Akhlaq adalah satu aspek atau kriteria yang dinilai oleh ibubapa dalam pertimbangan mereka tentang sejauh mana anak mereka bersedia dalam menggalas tanggungjawab sebuah perkahwinan. Akhlaq diri yang terpuji mampu meyakinkan ibubapa untuk 'melepaskan' anda ke dunia lain yang lebih mencabar, iaitu perkahwinan.
Ia juga satu kriteria yang dinilai oleh bidadari yang ingin dijemput, dan ibubapa kepada bidadari itu.
 pelajaran kepada para ibubapa, juga yang bakal menjadi ibubapa kelak:
1.    Kriteria penilaian nombor satu untuk bakal menantu, adalah kriteria akhlaq mulia.
2.    Bukan bermakna kriteria harta, keturunan dan keindahan wajah tidak penting. Semua itu perlu dipertimbangkan, namun nombor satu adalah berakhlaq mulia.
3.    Didiklah putera-puteri kesayangan agar menjadi Muslim dan Muslimah yang berperibadi mulia dan indah.
Pelajaran buat yang bakal menjemput bidadari dan yang bakal dijemput, berusahalah hiasi diri dengan akhlaq indah dan mulia, mencontohi teladan utama kita Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a., dan daripada mereka yang mengalir keindahan akhlaq baginda s.a.w. pada diri mereka, dikalangan para ulama', murabbi, keluarga terdekat dan insan-insan yang soleh dan solehah.
Buat para muslimin dan para suami, beramallah dengan amal ahli syurga iaitu amal-amal soleh, dan jadikanlah isteri kita wanita syurga.
Buat para muslimat dan para isteri, taatilah suami kalian, selagimana halatujunya adalah redha dan syurga Allah.
Semoga redha Allah sentiasa bersama dengan kita.
Wallahu'alam..........

...ustazpenang...

No comments:

Post a Comment