Sunday 24 February 2013

Amalan Terencat Niat Sucinya

Amalan Terencat Niat Sucinya




“Eleh dia ni, baca novel boleh berjam-jam, tapi baca Quran semuka dua je. Entah apa-apa entah.”
Begitulah adu seorang saudara perempuan saya. Dia dicemuh kerana kegemarannya membaca novel. “Tapi saya baca juga Quran. Bukan tak baca langsung.” katanya lagi sambil mencebik dan hampir menangis.
Saya menarik nafas. Inilah yang menyebabkan orang-orang yang melakukan amalan terencat niat sucinya. Inilah yang menyebabkan orang-orang yang mulanya hendak beramal kerana Allah, tapi akhirnya jatuh kepada beramal untuk manusia. Nauzubillah.
Benar. Manusia yang tidak rugi itu adalah mereka yang sentiasa berpesan dengan kebenaran dan kesabaran (boleh rujuk surah al-Asr). Namun dalam berpesan dan menegur, perlu ada hikmah dan cara. Cukup baikkah kita, cukup banyakkah amal kita, cukup alimkah kita hendak mempertikai amalan orang lain?
Nabi Muhammad SAW ketika ziarah ke rumah orang sakit, tidak pernah pertikai orang itu selama ini banyak ibadah ke, orang itu selama ni rajin ke masjid ke. Nabi Muhammad SAW ziarah seseorang itu kerana dia adalah saudara semuslim.
Lalu kita, yang entah berapa banyak amal ni kenapa nak pertikai amalan orang?
Suka saya ingatkan, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda maksudnya : “Wahai manusia, laksanakanlah amalan-amalan menurut kemampuan kamu. Sesungguhnya Allah tidak akan bosan sebelum kamu merasa bosan. Sesungguhnya amalan yang paling disukai Allah ialah amalan yang ringan namun berterusan.” (Hadis Riwayat Muslim)
Mungkin, kita lihat orang tu baca novel berjam-jam. Namun sekurang-kurangnya dia ada baca al-Quran walaupun satu muka. Dan dia baca Quran itu secara berterusan. Itu lebih baik dari dia baca Quran 3 jam hari ni, tapi esok, esok, dan esok lagi dia tak baca langsung.
Nah, manakah yang lebih baik? Amalan yang sikit namun berterusan ataupun sekali saja beramal, lepas tu tak amal dah? Bukankah dalam Islam kita dituntut untuk istiqamah?
Jika kita menegur dengan kasar, mungkin nanti dia beramal, tapi amalannya hanya untuk puaskan hati manusia. lalu mana ikhlasnya, mana manisnya ibadah itu?
Tidak. Saya bukan ingin menangkan golongan yang baca novel, tidak juga ingin menyalahkan yang menegur. Cuma, hendak menegur itu ada cara. Dan ibadah itu ada peringkat. Mana tahu hari ini dia baca al-Quran semuka, tapi kerana berterusan, dia akan seronok beramal dan minggu hadapan dia akan mula dengan dua muka, tiga muka, malah mungkin bulan hadapan dia akan baca al-Quran satu juzuk. Yang penting adalah istiqamah dan berterusan. Bukan hangat-hangat tahi ayam, hari ni buat sungguh-sungguh esok lupa.
Islam itu luas. Islam itu indah. Kenapa perlu bersengketa?
Saya akhirkan tulisan ini dengan satu lagi hadis Nabi ;
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : Bertafakur sesaat adalah lebih baik daripada beribadat setahun. (riwayat ad-Dailani).
Dapatkah tangkap maksudnya? Amal yang sikit itu, namun dalam sikit itu ada keikhlasan dan kecintaan terhadap Allah, maka itulah yang bermakna berbanding yang melakukan amal ibadah sekali banyak, tapi tiada keikhlasan.

Wallahu'alam...

...ustazpenang...

No comments:

Post a Comment