Dahulu aku terfikir bahawa 'menangis' ialah tanda diri ini lemah. Tetapi sebenarnya
ada hikmah di sebalik tangisanku kali ini. Baru ku sedar nikmat air mata dan kesedihan
yang ku alami ini mendekatkan diriku pada yang lebih layak iaitu Allah SWT.
Kini ku merasai cinta dan kasih sayang Allah, lebih berharga dan manis daripada
segala-galanya. 'Kehilangan' itu rupanya aku lalui supaya aku merasai satu 'pertemuan'
yang hakiki iaitu dengan Allah. Allah mahu mengujiku dengan menjauhkan ku dengan
orang yang ku sayangi, kerana Allah mahu diriku dekat dengannya.
Seandainya kesedihan yang teramat sangat ini membuatkan ku rindu untuk bertemu
denganNya, aku redha dan pasrah kerana Allah lebih ku cintai lebih daripada segala
yang ada di langit dan di bumi.
Aku juga yakin, semua ini pasti berakhir kerana ku yakin yang 'dia' sedang
menungguku.
Walau bukan di dunia yang fana ini, insya-Allah, dengan berkat kesabaran,
pasti di syurga nanti bersatu juga. Andai sudah ditakdirkan jodoh dengan dia,
tiada apa yang dapat mengubahnya kerana Allah Maha Berkuasa. Hanya
dengan sedikit kesabaran dan doa yang tidak putus, Allah pasti membalasnya
dengan kebahagiaan yang lebih bermakna.
"Mereka semuanya itu akan dibalas dengan mendapat tempat yang
tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan
menerima penghormatan dan ucapan selamat didalamnya.."
(Surah Al-Furqan, ayat 75)
Cinta yang ada di dalam hati adalah anugerah daripada Allah SWT. Allah menguji
hambaNya kerana sayang kepada hambaNya. Allah mahu cinta yang dianugerahkan
ini dijaga dan dikawal dengan sebaiknya. Bukannya untuk dirosakkan dengan
hawa nafsu dan menodainya dengan larangan-larangan yang dibenciNya.
Allah mengajar diriku erti KESABARAN yang selama ini aku tidak berapa fahami.
Memang betul, kesabaran mengajar erti hidup.
Aku yakin dengan Allah SWT. Moga Allah permudahkan segala urusan. Cinta yang
ikhlas dan abadi memang sukar untuk dimiliki kerana ia hanya layak untuk orang
yang bersabar dan berserah diri kepada Allah. Moga diriku tergolong dalam
kalangan orang yang sabar.
"Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini
(dengan sebaik-baik balasan) disebabkan kesabaran mereka;
sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berjaya.."
(Surah Al-Mu'minun, ayat 111)
Wallahu'alam.......
...ustazpenang...
No comments:
Post a Comment