Thursday, 18 October 2012

Jangan Sampai Tersalah Memilih Orang

Jangan Sampai Tersalah Memilih Orang




Memilih perahu untuk berlayar itu sangat penting. Kalau tersalah pilih, boleh sahaja bocor di tengah lautan. Sedangkan lautan itu luas, pasti tidak cukup hanya berenang dan mendayung beberapa meter kemudian berhenti. Pasti memerlukan banyak tenaga untuk sampai ke pulau. Maka mendayung perahu, mengemudikannya sedemikian rupa memerlukan kepakaran agar tidak tersesat atau tersalah memilih pulau yang dituju atau tenggelam karam di tengah lautan.
Begitulah ibaratnya dalam memilih cinta. Jangan sampai tersalah orang dalam memilih cinta. Mencintai orang yang salah lebih memeritkan daripada tidak mencintai orang sama sekali.
Kerana seumur hidup waktu kita terbuang bersama orang yang salah. Orang yang tidak akan dapat bersama kita  dalam mencipta bahagia.
Apakah cinta yang sedang menghampiri itu sebuah cinta yang dapat diterima akal? Saat dia datang, melemparkan senyuman hanya sedikit tetapi rasanya sangat dalam. Apakah itu dapat diterima akal? Seseorang jatuh cinta pada sebuah senyuman, kemudian ketika ia berdegup kencang, ada labuhan cinta di dada, apakah itu juga boleh diterima?
Banyak muslimin & muslimah hanya menggeleng kepala apabila ditanya tentang itu. Apakah logik mereka menggelengkan kepala tetapi lisan mereka berkata, “Aku tidak tahu mengapa aku begini. Tetapi aku sangat menyukainya.”
Inilah sebuah kebingungan hati.
Kematangan kita diuji. Mampukah kita untuk tetap rasional disaat dibuai oleh dahsyatnya pesona? Mampukah kita untuk berdiri segagah perwira saat terkena rayuan maut? Tidak ramai diantara kita dapat menjawab dengan pasti. Biasanya akan berkata, “Saya tidak tahu, kita lihat sahaja nanti.”
Ke manakah kecerdasan dan kematangan kita disaat cinta  menghanyutkan kesedaran kita? Otak yang cerdas mendadak jatuh ke kepala lutut dikala cinta menguasainya..

Wallahu'alam...

...ustazpenang...



Khas Buat Wanita Yang Sedang Bersedih : Wanita & Hidayah Dari Allah

Khas Buat Wanita Yang Sedang Bersedih : Wanita & Hidayah Dari Allah




Tahukah muslimah semua berbeza antara fikiran dan rasa?? Fikiran itu dengan menggunakan akal dan rasa itu melalui hati...

Seringkali kalian mengetahui yang sesuatu perkara itu sememangnya baik untuk kalian tetapi mengapa kita masih tidak melakukannya?
Kerana muslimah sekalian, mujahadah itu memerlukan akal untuk kalian mengetahui manfaat perkara tersebut
dan hati untuk kalian merasa kebaikan dari perkara tersebut.

Ya kalian sentiasa tahu sesuatu itu baik untuk kalian tetapi hakikatnya hati kalian gagal untuk merasa. Dan kerana itulah akhirnya kalian cenderung memilih jalan yang salah itu. Kerana hati ini lebih merasa nikmat dan bahagia kepada perkara yang akhirnya melalaikan kalian dan menjauhkan kalian kepada-Nya.
Ketahuilah muslimah,
Hati itu pengawal keseluruhannya. Kerana itu ada istilah mengatakan jika baik hati seseorang itu,insyaalah baiklah keseluruhannya.
Seringkali akal gagal untuk memandu hati. Kerana itu bersihkanlah hati mu. Bila marah berdoalah moga dibersihkan hatimu. Ditenangkan hatimu. Berceritalah kepadaNya.Nescaya Dia akan menghadiahkan sebuah ketenangan kepada hati milikmu.
Ingatlah muslimah sekalian,
Jika hatimu bersih insyaalah dengan sendirinya rasa keimanan itu akan datang dan hadir dengan sendirinya ke hatimu.
Dan tahukah kalian jika terdetik walau sedetik hatimu untuk berubah, ianya adalah hidayah dari Allah untukmu. Kerana rasa itu milik Allah,dan hanya Dia yang dapat mengilhamkan rasa itu kepada kalian.
Cuma mungkin kalian diantara sedar atau tidak dengan perkara tersebut. Dan mungkin kalian yang mengeraskan hati dari menuju kepada rasa yang telah diilhamkan itu.
Wahai muslimah,
Sesungguhnya Allah sangat menyintai kaum Hawa. Diberinya kalian dengan perasaan yang halus dan peka. Hati yang lembut dan kerana itulah kaum kalian yang majoritinya diilhamkan dengan rasa itu. Kerana hati yang lembut dan penyayang itu sangat dicintai Allah. Maka kalian harus bersyukur dengan anugerah ini. Dekatilah Dia. Luahkan kesedihan kalian kepada-Nya. Insyaalah satu hari anda akan bahagia..

Wallahu'alam....

...ustazpenang...

Wednesday, 17 October 2012

PERSEDIAAN PERKAHWINAN YANG WAJIB DIKETAHUI

PERSEDIAAN PERKAHWINAN YANG WAJIB DIKETAHUI 




1. Memilih jodoh
Islam mengharuskan lelaki dan wanita mencari dan meneliti bakal isterinya serta suami masing-masing seperti yang diterangkan sebelum ini.

2. Memilih bakal isteri
Sunat hukumnya bagi lelaki yang ingin membuat pinangan supaya melihat terlebih dahulu bakal wanita yang akan dipinangnya itu. Islam memberi kebebasan kepada mana-mana lelaki untuk memilih bakal isteri yang sesuai bagi mereka. Untuk membentuk ikatan perkahwinan yang harmoni dan berkat, seseorang itu disarankan supaya mengambil kira panduan yang telah diberikan oleh Nabi S.A.W. iaitu mementingkan faktor agama selain daripada keturunan, harta dan kecantikan.


3. Memilih bakal suami
Perempuan juga digalakkan untuk memilih bakal suami yang baik dan mulia. Nabi S.A.W. menggalakkan wanita supaya memilih lelaki yang mempunyai ciri-ciri berikut:
-Beragama
-Berakhlak mulia
-Beradab
-Mempunyai harta dan keturunan mulia

Diantara tujuan pemilihan calon suami dan isteri ialah untuk memberi kepuasan hati dan keyakinan dalam memilih dan menentukan pasangan suka dan duka kelak. Ini penting sebagai ikhtiar dan permulaan kepada perancangan kehidupan berkeluarga.


4. Meminang

Meminang ialah lamaran seseorang lelaki terhadap perempuan untuk dijadikan isterinya. Dalam maksud lain meminang ialah suatu proses untuk menyatakan keinginan daripada seorang lelaki kepada seorang wanita yang boleh dikahwini dengan tujuan untuk mengahwininya serta suatu ikatan atau perjanjian untuk melangsungkan perkahwinan.



5. Mas kahwin

Setiap akad perkahwinan mestilah mempunyai mas kahwin dalam bentuk benda yang bernilai walaupun kecil atau faedah serta manfaat yang diberikan oleh suami kepada isterinya kerana akad perkahwinan.

Mas kahwin dibahagikan kepada dua jenis:

1. Mas kahwin yang ditentukan dan disebutkan semasa majlis akad dan dinamakan mahar musamma. Mahar musamma dibahagikan kepada 2 jenis:

-Mahar musamma al-Mua'jjal
Mas kahwin yang disebut di dalam akad serta dibayar oleh suami secara tunai dan segera.

-Mahar musamma al-muajjal
Mas kahwin yang disebut semasa akad, tetapi dibayar secara tangguh dan hutang.


2. Mas kahwin yang tidak ditentukan jumlahnya sewaktu akad dan dinamakan mahar mithil. Mas kahwin jenis ini mestilah dibayar kepada pengantin perempuan mengikut kadar penilaian ahli keluarga dan sandara perempuan isteri...


6. Hantaran

Hantaran mengikut adat orang melayu ialah barang yang terdiri daripada mas kahwin, persalinan, buah-buahan dan makanan. Hantaran dibawa pada hari berlangsungnya perkahwinan dan akad nikah sama ada bagi pihak pengantin lelaki kepada perempuan dan pengantin perempuan kepada lelaki dalam jumlah yang ganjil seperti 7,9,11. Membawa hantaran adalah harus dalam syariat Islam selagi benda tersebut bernilai dan membawa faedah serta suci dan tidak ditegah oleh syara'.



7. Kenduri kahwin

Kenduri ialah jamuan yang diadakan untuk meraikan perkahwinan sama ada bagi pihak pengantin lelaki ataupun perempuan. Mengadakan majlis kenduri sunat muakkad hukumnya, iaitu sunat yang sangat dituntut supaya dilaksanakan walaupun secara kecil-kecilan sahaja. Apa yang penting majlis kenduri bukanlah satu cara untuk menunjuk-nunjuk kekayaan dan tidak mencampurkan unsur-unsur maksiat dalam majlis yang berkat itu.


Itulah antara persediaan yang perlu ditempuhi oleh pengantin lelaki dan wanita untuk menempuhi dan melangsungkan perkahwinan. Apa yang penting, Islam tidak pernah menyusahkan seseorang dalam satu perkara. Jika tidak mampu untuk berbelanja besar, cukuplah dengan sekadar apa yang ada dan bersederhana dalam perbelanjaan.


Wallahu'alam....


(Rujukan : Ustaz Abd. Latif Muda & Ustazah Rosmawati Ali. 1997. Pengantar Fiqh. Pustaka Salam Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.)


...ustazpenang...


Saturday, 22 September 2012

RENUNGAN : ANTARA PERKAHWINAN, HANTARAN DAN ZINA

RENUNGAN : ANTARA PERKAHWINAN, HANTARAN DAN ZINA




Gadis : Masuk lah dulu, jumpa dengan ayah saya

Teruna : Boleh ke?
Gadis : Masuk je lah, saya nak siap



Menyusup masuk si teruna melalui pintu utama. Pintu yang siap terbuka mengaluka-alukan kedatangan si Teruna.



Teruna : Assalamualaikum.
Bapa G : Waalaikumussalam.



Melihat pada lantangnya suara bapa si gadis, terus si teruna kaku membatu. Lantas si gadis menarik tangan si teruna menyedarkan dari lamunan itu.



Gadis : Mari, duduk kat kerusi
Teruna : eh.



Setelah tangan dihulur dan salam bertaut, duduklah si teruna di kerusi hampir menghadap bapa si gadis. Hanya surat khabar yang menjadi tabir antara mereka.



Bapa G : nak jalan kemana hari ni?
Teruna : Bandar je cik, dia nak carik barang katanya. Barang apa tak tau lah saya
Bapa G : oh..
Teruna : ??



Hampir 5 minit senyap tanpa suara. Dan ibu si gadis keluar dari tabir ruang utama dan ruang belakang membawa air serta biskut kering. Si teruna senyum kelat.



Ibu G : minum la ni sikit. Kamu sudah sarapan?
Teruna : ehh. Sudah cik. Terima kasih.
Ibu G : kamu malu-malu pula dengan kami.
Teruna : segan cik. Hehe
Bapa G : bila kamu nak hantar rombongan?
Ibu G : eh. Apa ayahnya ni?
Teruna : ehh. Duit takde lagi. Hehe
Bapa G : kamu bawa anak kami kehulu-kehilir. Apa orang kata nanti
Teruna : (eh. Malu ngan orang ke malu ngan Allah, lagi takut orang kata dari Allah yang menghukum) Kami naik kereta je cik, tak de la nampak berkepit sangat. Boleh saya tanya cik sikit
Bapa G : boleh takda masalah
Teruna : pakcik ngan makcik nak letak wang hantaran berapa ye?
Bapa G : kalau boleh 20 ribu
Ibu G : ehh. Tak kisah la, tapi kalau boleh acik nak lebih tinggi sikit dari orang sebelah ni
Teruna : Berapa tu cik?
Ibu G : dalam 25 ribu ke atas dan dulang 25 keatas pihak lelaki
Teruna : (amboi, ko melantak dulang ke ape? Wuhaa.. 25 ribu. Mana nak dapat, aduh) Tingginya acik, tak boleh rendah lagi ke?
Bapa G : itu nasib kamu la, kamu yang nak kat anak kami. Lagipun dialah satu-satunya anak perempuan kami, kene lah market sikit. Nak grand-grand camtu.



Si teruna hampir hilang akal apabila disebutkan harga si gadis itu. Dan si teruna cuba berbincang untuk merendahkan harga si gadis.



Teruna : nak Tanya lagi, kenapa anak acik tak pakai tudung?
Bapa G : itu kenalah Tanya maknya
Teruna : (ehh. Boleh pas-pas pulak dah)
Ibu G : ehh. Awak lah. Apa pulak saya. Awak yang sepatutnya didik anak
Bapa G : saya kan kerja. Mana ada masa
Teruna : (pulak dah, gaduh nanti) Ehh-ehh. Makcik pakcik. Kita lupakan dulu soalan tadi sebab kalau ikut makcik pun tak tutup kepala jugak. Maksudnya lebih kurang jugaklah. Nak Tanya lagi, anak acik pandai masak?
Bapa G : hmm.. haram. Tau-tau bangun tido pukul 12 lebih, bukan bangun pagi dah tu. Bangun tengahari. Terus makan tengahari.
Ibu G : apa la ayahnya, orang ni nak buat anak kita bini, dia cerita buruk-buruk pulak.
Bapa G : maknya pun sama suka bangun lambat juga.
Ibu G : abahnya!
Teruna : (kah kah kah.. bengong. Camtu pun nak cerita) Ehh.. acik sekarang saya da tau. Okeh. Soalan lagi. Boleh tak dia baca quran?
Ibu G : boleh sikit-sikit kot
Teruna : kali terakhir bila?
Ibu G : err. Darjah 1 agaknya.
Teruna : hmm.
Ibu G : kenapa?
Teruna : takda apa makcik. Soalan cepumas. Dia solat tak?
Bapa G : apa motif kamu Tanya semua ni. Dia kan selalu ikut kamu. Kamu tau la.
Teruna : kalau kat luar saya ajak dia solat, dia cakap datang bulan. Hari-hari datang bulan. Dia tau solat atau tak?



Hampir terkedu si bapa dan si ibu. Dan pada raut wajah mereka berdua terdapat tanda-tanda kemerah-merahan menahan amarah.



Teruna : boleh saya sambung lagi. Dia tak reti masak, tak reti solat, tak reti mengaji, tak reti nak tutup aurat sebelum dia jadi bini saya lagi. Dosa-dosa dia terang-terang pegi kat makcik ngan pakcik. Lagipun tak berbaloi harga 25 ribu untuk dia. Lain lah dia ni hafizah, 30 juzuk dalam kepala, bertutup litup habis dari bawah sampai ke atas dan tau jaga batas, haa.. itu barulah berbaloi 100 ribu pun saya sanggup bayar. Tapi orang macam tu kalau kahwin mereka memilih untuk serendah-rendah mahar. Sebab sebaik-baik perkahwinan adalah serendah-rendah mahar. Mata bapa si gadis direnung tajam oleh mata ibu si gadis. Keduanya senyap tanpa suara. Ketiga mereka menundukkan kepala. Lumrah adat untuk menjadikan anak perempuan untuk dijadikan objek pemuas nafsu hati menunjukkan kekayaan serta bermegah-megah dengan apa yang ada. Terutamanya pada majlis perkahwinan. Adat mengatasi agama. Dibiarkan anak perempuan dihias dan dibuat pertunjukkan di khalayak ramai. Sedang pada waktu itu akad telah dilafaz si suami, dan segala dosa anak perempuan sudah mula ditanggung oleh si suami. Amatlah rugi. Mahar berpuluh ribu dibayar pada isteri dan sepatutnya hanya si suami seorang yang berhak melihat, tetapi pada hari pertama perkahwinan iaitu semasa persandingan sahaja berpuluh ribu mata yang melihat si isteri. Seolah-olah si suami membayar mahar untuk mereka sekali.

Bapa G : tapi kan. Pakcik nak anak pakcik rasa sekali. Benda seperti tu kan sekali seumur hidup.
Teruna : pakcik nak anak pakcik rasa ke pakcik yang rasa grand?
Ibu G : tentulah kami berdua pun turut gembira.
Teruna : yeke? Saya sambung lagi ya. Acik, saya bukan apa. Sekarang dosa anak pakcik, pakcik yang tanggung. esok lusa lepas akad nikah terus dosa dia saya yang tanggung. pastu pakcik nak buat bersanding pulak. Setiap mata yang memandang saya akan dapat dosa. Lagilah saya berdosa sangat-sangat. 

Ibu si gadis segera mengambil langkah mudah dengan menarik diri daripada perbualan itu. Si ibu tahu, si teruna bercakap menggunakan fakta islam. Dan tidak mungkin ibu si gadis dapat melawan kata si teruna itu.

Bapa G : kau memandai pulak nak cakap agama ngan kami.
Teruna : ehh. Sory pakcik. Bukan saya nak cakap pasal agama. Tapi itulah hakikat sebenar. Kita terlalu pandang pada adat sampai lupa agama.
Bapa G : camni lah. Kamu sediakan 25 ribu, ngan 31 dulang. Kalau takde, kamu tak boleh kahwin ngan anak aku!
Teruna : lama lagilah camtu. Dalam umur saya 30 lebih, baru dapat masuk meminang. Kalau camtu pakcik, ‘izinkan saya berzina ngan anak pakcik’?
Bapa G : hoi! Kau dah melampau, ko baik-baik sikit cakap tu. Jangan main sedap mulut je.
Teruna : dengar dulu penjelasan saya pakcik. Pakcik tau tak apa sebab orang berzina dan banyak anak luar nikah? Sebab benda nil ah pakcik. Selalu ibu bapa perempuan yang meletakkan berpuluh ribu ringgit sampai pihak lelaki terpaksa menangguh hasrat untuk berkahwin. Tetapi cinta dan nafsu kalau tidak diiringkan dengan betul, syaitan yang jadi pihak ketiga untuk menyesatkan manusia. Akhirnya mereka mengambil jalan pintas memuaskan nafsu serakah dengan berzina. Mula-mula memang ringan-ringan dahulu pakcik, pegang-pegang tangan, peluk-peluk, pegang pinggul, dan sebagainya. Tapi lama-lama jadi berat-berat. Yang berat-berat tu pakcik sendiri pun boleh bayangkan.

Bapa G : apa kaitan kamu nak berzina pula
Teruna : yalah. Dah pakcik tak bagi kami kahwin sekarang, biar ada duit dulu baru boleh kahwin. kami nak lepaskan nafsu camna pakcik? Tiap hari saya tengok dia, dia tengok saya. Susah pakcik. Nafsu. Sebab tu saya dengan rendah hati minta izin pada pakcik untuk berzina ngan anak pakcik. Apa yang penting pakcik tahu yang saya dan dia nak berzina. Sebab rata-rata orang yang berzina ni ibu bapa tak tau. Nampak je biasa-biasa sedangkan da berzina. Err.. berzina bukan sahaja yang ehem-ehem je. Ada yang zina-zina ringan. Tapi sebab ringan tu yang akan jadi berat.
Bapa G : hmm. Kamu ni peliklah. Nasib baik pakcik cool je. Kalau orang lain, da lama angkat parang. Tapi kalau takde duit, camna kamu nak bagi dia makan
Teruna : hehe. Pakcik. Pakcik lupakah dengan apa yang telah Allah bagitau.



“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.” (an Nur 32). Takkan la kita tak yakin dengan apa yang Allah janjikan. Lagipun pakcik, kalau makan dan minum tu insyaAllah, berdaya lagi untuk saya beri pada dia. Tempat tinggal tu kita boleh bincang lagi. Kalau benda ni boleh menghalang kami dari melakukan perkara dosa dan sia-sia. Baiklah disegerakan. Pakcik pun tak mau perkara-perkara tak elok kan. Senyap tanpa kata bapa si gadis, merenung kata-kata si teruna. Segera bapa si gadis memikirkan cara untuk mematahkan kata-kata si teruna. Dan bapa si gadis mendapat akal.



Bapa G : kamu tau la zaman sekarang ni. Kalau ikut cara kamu tu. Mungkin kamu tak suka dengan persandingan, pakcik boleh terima. Tapi kamu kena la ambil kira apa orang lain yang akan kata. Tau-tau orang akan mengata anak aku kena tangkap basah dan kena nikah paksa dengan kamu. Mana nak letak muka ni.
Teruna : bagus juga cadangan pakcik tu. Kena tangkap basah 2 ribu je denda. Kat Malaysia takde hudud, dan kalau untung. Boleh nikah masa tu jugak. Bagus-bagus.
Bapa G : serius lah sikit.
Teruna : betul dah tu pakcik. Hehe. Tapi pakcik, saya tak kata pun takde walimatul urus. Sedang walimatul urus itu perlu untuk hebahkan yang anak-anak dah kahwin. itu cara islam. Ok. Tapi yang tak oknya, bersanding tu ha. Kesian saya pakcik, saya seorang bayar mahar untuk anak pakcik, orang lain pun dapat tengok. Siap kalau berhias secara berlebihan dan orang lain yang lihat menaikkan nafsu syahwat mereka, saya yang berdosa pakcik. Saya yang tanggung dosa dia. insyaAllah pakcik. Kita bukan nak buat apa pakcik. Syariat memang camtu. Maha baiknya Allah sebab jaga kita selama ini, tapi benda remeh-temeh camni pun kita masih pandang ringan dan kita tak menjaga apa yang telah Allah janjikan. Susah lah camtu pakcik.,Sory lah pakcik kalau ada kata saya yang membuat pakcik kurang senang ngan saya. Segala-galanya kita serah pada Allah, kita merancang je. 

Azan zohor berkumandang, jaraknya tidak sampai 10 dari surau berdekatan rumah si gadis. Si teruna memohon untuk ke surau dan mengajak bapa si gadis untuk pergi bersama. Namun ajakan ditolak dengan lembut. Lantas memberi salam dan memohon untuk keluar. Di birai tingkap bapa si gadis melihat si teruna mengeluarkan kopiah dari poketnya dan segera di pakainya. Masuk ke dalam kereta dan hilang dari penglihatan bapa si gadis tadi. Sedang si gadis yang sedari tadi berdiri di balik tirai bersama ibunya menitiskan air mata mendengar luahan kata-kata si teruna terhadap ayahnya. Tudung pemberian si teruna sebagai hadiah pada hari jadinya yang lepas digenggam erat. Ibu si gadis juga menitiskan air mata melihat pada kelakuan anaknya. Segera ibu dan si gadis ke ruang tamu menghadap ayahnya.



Ibu G : apa yang budak tu kata betul. Kita ni tak beratkan pada agama selama ni. Kita sambil lewa abahnya.
Bapa G : hmm.. ntahlah, tak tahulah saya. Keras betul budak tu kata tadi. Satu-satu kena. Dia pesan tadi, suruh bersiap, lepas zohor dia amik kamu.
Gadis : takde mood nak pegi la ayah. Ntah,,



Si gadis terus mencapai telefon bimbitnya dan menaip mesej.



Si teruna yang selesai mengambil wuduk tersenyum apabila membaca mesej yang baru sahaja diterima daripada si gadis



“andai Allah telah memilih dirimu untukku,
aku redha dan akan terus bersama mu,
aku juga akan terus pada agama yang ada padamu.” 



“petang ni takde mood nak keluar, Sory."



Minggu depan ayah suruh hantar rombongan.


Wallahu'alam.......

...ustazpenang...

Friday, 14 September 2012

Hanya Cinta Pertama

Hanya Cinta Pertama



Yang mana satu pilihan anda, antara buah yang sedia jatuh berguguran ke tanah atau yang masih berada di atas pokok? Tentunya ramai yang akan lebih memilih yang di atas berbanding yang di bawah.
Demikian lah juga dengan saya. Akan memilih yang di atas dari yang di bawah. Kerana apa? Kerana biasanya buah yang jatuh berguguran itu telah rosak dan ada yang telah ditebuk binatang sebagai contoh dimakan oleh seekor atau lebih seekor dari serangga. Mungkin juga di makan oleh tupai atau monyet liar. Tetapi tidak buah yang di atas, belum disentuh dan menjadi idaman hampir setiap orang yang memandang. 
Begitulah boleh diumpamakan dengan nilai diri kita dalam memulakan episod cinta pertama. Rasa cinta pasti hadir bila tiba saatnya. Tanpa dijemput atau dipinta. Ia pasti hadir membuai rasa di hati kita. Keinginan untuk mencintai dan dicintai tidak perlu dipelajari. Itu fitrah. Tetapi jangan kita lupa, fitrah juga perlukan hidayah. Hidayahlah yang akan menunjuk arah sebenar perjalanan sebuah cinta suci.
Bagaimana yang dikatakan dengan cinta suci? Adakah seperti cintanya Romeo dan Juliet? Atau umpama cintanya seorang penyair Arab yang menyintai seorang wanita bernama Laila? Sehingga ia digelar "Laila Majnun" oleh masyarakat waktu itu kerana cintanya yang menggunung? Begitukah cinta suci yang kita inginkan?
Cinta suci meletakkan Allah sebagai 'matlamat'tertinggi. Cinta sesama makhluk cuma sebagai 'alat'. Alat untuk mencapai matlamat meraih kasih sayang dan redha Allah SWT. Untuk itu, sebelum terjebak dalam cinta, seharusnya kita berusaha 'menjadi diri yang tepat untuk mencintai' sebelum bersantai-santai 'mencari diri yang tepat untuk dicintai'. Semua ini tidak dapat lari dari 'hukum tarikan cinta' -sunnatullah yang tidak dapat diingkari. Saling cinta menyintai, saling lengkap melengkapi.
Namun, jangan ungkapkan kalimah cinta terlalu awal. Sebelum diri benar-benar siap menjadi diri yang tepat. Usah risau diri tidak disapa cinta manusia. Yakinlah pada aturan yang Allah lakarkan dalam setiap kehidupan yang ada. Telah tertulis jodoh, rezeki, ajal di tanganNya. Serahkan sahaja kepada Allah SWT. Apabila tiba saatnya, Allah akan temukan hati yang satu lagi. Hati yang penuh cinta untuk memberi cinta. Saat itu, hati kita telah sedia untuk menerima cinta. Tepat waktunya dan sesuai keadaanya.
Ayuh kita teruskan usaha untuk menjadi diri yang tepat. Usah risau soal bila cinta pertama akan menjelma. Itu urusan Allah, pasti ada aturan dari-Nya. Akan sampai satu masa, tempat dan keadaan yang tepat, cinta itu bakal muncul jua. Tanpa diayat, tanpa digoda, tanpa dipujuk rayu kita dengan mudah menyahut cintanya. Kerana cinta itu adalah soal rasa.
Saat itu, rasa hati yang menghadirkan rasa yakin dalam diri kita seolah-olah berkata, "Inilah dia cinta pertamaku yang ditunggu selama ini." Pada ketika itu, diri kita telah menjadi tepat. Tepat untuk memberi cinta dan menerima cinta.
Sesungguhnya janji Allah itu benar. Apabila kita telah tepat memilih untuk sebuah cinta, pasti akan hadir cinta yang tepat untuk kita. Hanya dengan menjadikan landasan cinta itu sebuah cinta suci, maka perjalanannya juga akan seiring dengan laluan matlamat utamanya. Matlamat yang hanya untuk meraih sebuah cinta yang hakiki. Cinta Ilahi. Apabila laluannya adalah tepat dengan tujuannya, pasti kita akan temui orang yang tepat menyambut dan meraih cinta kita. 
Yakinlah, kita tidak akan disia-siakan. Allah jualah sebaik-baik pentadbir dan pentaqdir sebuah kehidupan. Jika matlamat cinta telah utuh semata-mata kerana Allah, jadilah ia buah cinta yang ranum di atas pohonan rahmat dan kasih sayang-Nya. Lantaran cinta itu terpelihara di dalam jagaanNya. Jatuhnya hanya setelah ranum di atas dahan Rahmat. 
Dan mengkin juga buah cinta itu tidak akan jatuh sekalipun telah ranum di atas pohonan rahmat cinta Allah, akan tetapi hanya akan di capai dengan hormat dan selamat. Tidak ternoda oleh tangan-tangan nafsu yang mengikat. Dinikmati dalam bahagia yang penuh dengan keredhaan dan keampunan.
Dan itulah cinta pertama dan cinta selamanya (sampai ke syurga). Cinta yang tiada untuk yang kedua kalinya.

Wallahu'alam.......

...ustazpenang...


Remajaku, Mengapa Begitu?

Remajaku, Mengapa Begitu?



Rindu dan cemburu adalah permainan perasaan, ianya wujud pada setiap manusia. Tidak perlu disangkal rasa seumpama itu, kerana ianya adalah fitrah. 
Namun, agak janggal bagi setiap pasangan yang bercinta. Kelibat rindu dan cemburu melebihi segala-galanya. Perasaan sedemikian mengubah corak hidup mereka. Tiada lagi kebahagiaan, tiada juga ketenangan.
Kebiasaannya, bagi mereka yang tidak bercinta , rasa cemburu dan rindu berada pada tempatnya. Tidak dibayangi dengan ketakutan yang tiada jasadnya. Jika ada sekalipun, perasaan itu langsung tidak membunuh jiwa si pemilik nyawa.
Jiwa Tidak Bebas
Manusia yang dirantai dengan perasaan cemburu dan rindu berlebihan terpaksa menjalani kehidupan yang meresahkan. Setiap hari dan setiap masa fikiran mereka melayang jauh memikirkan perkara yang membebankan.
" uish.. Awek aku ni buat apa ni. Apasal tak balas mesej?"..
"hmm..pakwe aku ni keluar dengan perempuan lain ke, kenapa off handset?"
Walaupun pada mereka nampak bahagia, namun hakikatnya susah hidup dengan kehidupan sebegitu rupa. Ruang masa yang sepatutnya bebas untuk dinikmati dengan bahagia kini bertukar sengsara. Jiwa terasa sempit kerana asyik memikirkan hal orang lain yang belum tentu menjadi miliknya. Itu belum lagi termasuk hal peribadi yang lain.
Sedangkan jika sebelum status "single" bertukar kepada " couple" setiap urusan begitu indah untuk ditempuhi. Tidak perlu menyibukkan diri untuk memikirkan perkara yang remeh temeh, apatah lagi untuk menyeksa perasaan mencintai sesuatu yang belum halal.
Ini Puncanya!
Manusia yang berhadapan dengan situasi sebegini sebenarnya hanya perlu tahu seperkara agar hidup tidak lagi terganggu. Anda hanya perlu tahu bahawa anda terpaksa menelan pahit ketika ini kerana kekasih anda masih belum halal untuk dimiliki.
Tidak boleh disentuh, sedangkan anda ingin yang disebaliknya.
Tidak boleh keluar berdua-duaan sedangkan hati anda mahu sentiasa bersamanya. Walaupun hakikatnya pada saat ini ramai yang lebih gemar melanggar 'jalan agama' asal dapat keluar berdua-duaan bersama orang yang dicinta.
Tidak boleh berpisah dengannya, sedangkan jika diikut kata hati, pasti anda mengikutnya ke mana sahaja pasangan anda pergi. Walau beribu batu jauhnya, walau dekat sejengkal, anda ingin tetap bersamanya. Hatta walau dia hanya mahu membuang hajat sekalipun, anda ingin mengekorinya. Benarkan? Tetapi itulah realitinya.
Kesimpulannya, begitulah perasaan rindu dan cemburu yang menyeksakan kerana seseorang itu belum memiliki sesuatu yang dimahukan. Ironinya, inilah yang dimaksudkan dengan cinta yang berlandaskan nafsu semata-mata.
Lihat Mentari Esok
Di sebalik langsir kehidupan tanpa ikatan, cuba anda bayangkan pula situasi selepas kahwin. Pasti semuanya berubah bukan? Jika dahulunya tidak boleh berpisah biarpun sementara kini 24 jam si dia di sisi anda. Siang dan malam asyik mengadap muka yang sama.
Makan bersama, tidur bersama dan melakukan pelbagai aktiviti lain juga bersama. Akhirnya Perasaan suka mungkin bertukar jemu. Malah kemungkinan tiada lagi perkara yang patut untuk disembunyikan. 
Jika dulu adab sopan di jaga. Namun, selepas kahwin kentut pun dilepaskan begitu sahaja. Bertahak di hadapan pasangan sudah menjadi perkara biasa. Tiada yang istimewa menjadi rahsia untuk diterjemah. Semuanya telah diketahui sebelum ikatan suci bersemi. Akhirnya itulah perkara yang bakal menghiasi setiap hari pasangan berumah tangga.
Romantik sudah tiada, perasaan rindu dan cemburu pula entah ghaib hilang entah ke mana.
Bersabar Sementara
Kini, apakah anda sudah mengerti? Bahawa kita sebelum ini diperbodohkan dengan mainan perasaan yang dikawal syaitan. Jarumnya mencucuk hati dan fikiran manusia agar ia dapat mentertawakan manusia yang telah tunduk dengan arahannya.
Islam telah sempurna mendidik manusia dalam segenap sudut, termasuklah dalam aspek percintaan. Sebab itulah dalam hubungan umat islam dilarang sesekali melakukan perkara yang dilarang.
Tidak boleh keluar bersama selagi tiada ikatan, tidak boleh bersentuhan dan tidak boleh berurusan tanpa sebab-sebab yang utama.
Setiap perkara seakan ada halangannya, susahkan?
Anda tidak akan merasa sebegitu andai anda bijak meneka hikmah di sebalik semua itu. Kita hanya perlu menjauhi perkara yang dilarang dalam hubungan agar segala kekusutan terhindar.
Hanya perlu bersabar seketika, kerana itu ialah penawar untuk menempuh hidup yang bahagia di dalam alam rumahtangga. Namun jika anda masih tidak berpuas hati, Bernikahlah segera!

Wallahu'alam....
...ustazpenang...