Thursday, 28 July 2011

Berilah Kerana Allah

Berilah Kerana Allah

Seringkali saya berdepan dengan situasi di mana manusia mudah berasa kecewa apabila jasa baik mereka tidak berbalas. Baik sewaktu berada di sekolah, pusat pengajian tinggi sehinggalah di tempat kerja, sesama kaum kerabat, rakan dan jiran.

Sering terdengar kekesalan dan keluhan, "Dahulu sewaktu dia dalam kesusahan bukan main baik minta pertolongan kepada kita, kita pun berbesar hati tolong dia; sekarang bila tiba giliran kita dalam kesusahan langsung dia tidak ingat, apatah lagi hendak menghulur bantuan."

Seolah-olah timbul penyesalan kerana telah bersusah-payah memberi pertolongan kepadanya suatu ketika dahulu. "Kalau tahu perangai dia macam ni, sejak dulu lagi tak patut dibantu."

Seakan-akan menjadi lumrah manusia, apabila diminta melakukan sesuatu, maka pasti dia akan menimbang-tara antara kos dan manfaat. Kos yang perlu ditanggung dan manfaat yang akan diperoleh.
Kadangkala apabila saudara kita memohon pertolongan, antara perkara pertama yang akan kita fikirkan ialah adakah kelak bila kita dalam kesusahan dia akan tolong kembali. Itu yang utama.
Kerana untuk menolongnya, pasti kita terpaksa menanggung beban masa, tenaga dan mungkin juga wang. Jadi sekiranya kita mencurah masa, tenaga dan wang untuk membantunya; perlulah kelak menerima balasan setimpal. Sekurang-kurangnya bila kita susah, dia juga patut melakukan perkara sama.

Apabila bantuan telah diberi dan tiba kitaran waktu kita pula dilanda musibah, rasa kecewa memuncak di hati sekiranya bantuan yang kita pinta dari insan yang telah kita bantu dahulu ditolak.
"Dulu dia susah kita yang tolong, sekarang dah senang dia lupa kita."

Akibatnya ramai yang menjadi kecewa, dan budaya tolong menolong antara satu sama lain diganti dengan budaya penting diri sendiri dahulu sebelum orang lain. Kita akan hanya berkorban jika habuannya setimpal atau lebih besar. Budaya ini menular hebat dalam masyarakat; daripada penuntut-penuntut ilmu di pusat pengajian sehinggalah kepada pemimpin-pemimpin politik.

Adalah menjadi fitrah manusia itu akan senantiasa pertimbang kos dan manfaat, baik dan buruk sesuatu perkara sebelum membuat keputusan. Cuma malang sekali apabila manfaat tersebut dilihat dari neraca duniawi. Habuan yang diharapkan semuanya dalam perkara keduniaan: harta, pengaruh dan lain-lain.

Sebelum kita memberi wang bantuan yang dipinta umpamanya, kita akan berfikir kelak apabila kita susah adakah dia akan memberi wang bantuan juga? Adakah dia akan meluangkan masa membantu kita pula? Bolehkah dia mengembangkan pengaruh kita? Dan pelbagai lagi persoalan keduniaan yang bermain.

Kita lupa kepada ganjaran syurga dan pahala yang jauh lebih hebat. Hati kita lebih tertarik kepada kesenangan duniawi yang apalah sangat berbanding kesenangan Akhirat. Apabila tidak pula mendapat kesenangan duniawi itu, kita merasa kecewa pula. Adakah patut kita kecewa kerana dunia? Lupa pada Akhirat?

Allah menceritakan keadaan orang-orang baik (al-Abraar) di dunia dan balasan mereka di Akhirat kelak:

[5] Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan kebajikan), akan meminum dari piala: sejenis minuman yang bercampur dengan "Kafur", - [6] Iaitu sebuah matair (di Syurga), yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba Allah (yang taat); mereka boleh mengalirkannya (di tempat-tempat tinggal mereka) dengan aliran yang semudah-mudahnya dan menurut kemahuannya. [7] (Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini. [8] Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, [9] (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): "Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, [10] "Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut". [11] Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati). [12] Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera.
[Surah Al-Insaan; 76: 5-12]

Fokus kepada ayat 8 sehingga ayat 10. Pada ayat 8, Allah menceritakan bagaimana orang-orang baik ini memberi makanan yang mereka perlu dan mereka suka kepada orang lain yang lebih memerlukan; iaitu fakir miskin, anak-anak yatim dan tawanan perang. Lihat bahawa orang-orang soleh ini memberi apa yang mereka perlu dan suka. Itu baru kebajikan sebenar, seperti firman Allah:
[92] Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
[Surah Ali Imran; 3: 92]

Bukan seperti kebanyakan kita yang hanya memberi apa yang kita sudah tidak mahu lagi. Kebajikan sebenar ialah apabila kita berkorban apa yang sangat kita sayangi dan sukai.

Bukan itu sahaja, setelah orang-orang baik ini memberi apa yang sangat mereka sayangi, pada ayat 9 mereka berkata pula bahawa pemberian mereka adalah kerana Allah semata-mata, dan mereka tidak sedikit pun mengharap balasan daripada orang yang telah dibantu, bahkan ucapan terima kasih pun mereka tidak mahu.

Ramai antara kita yang mudah melatah sekiranya orang yang kita bantu tidak ucap terima kasih, bahkan ramai yang sebenarnya mengharapkan balasan sesuatu daripada orang yang dibantu. Sedangkan orang-orang yang baik itu mereka adalah sebaliknya. Jangankan balasan bantuan, ucapan terima kasih pun tidak mahu. Itulah semata-mata kerana Allah!

Pada ayat 10, diterangkan bahawa orang-orang soleh ini, apabila memberi bantuan, mereka hanya mengharap balasan daripada Allah! Mengharap kepada kasih dan rahmat Allah agar mereka selamat dan mendapat layanan baik dari Allah pada Hari Pembalasan - pada hari tersebut Allah menimpakan azab di mana orang-orang jahat akan berkerut wajah mereka kerana pedihnya dan beratnya azab hari tersebut.

Moga-moga Allah akan kasihankan orang-orang baik atas segala bantuan yang pernah mereka lakukan dahulu semata-mata kerana Allah tanpa mengharap apa-apa balasan. Maka pada ayat-ayat berikutnya Allah menceritakan bagaimana orang-orang baik ini mendapat ganjaran-ganjaran yang sangat hebat: Syurga dan diceritakan pula segala isinya yang akan dinikmati mereka.

Aduhai celakalah kita kerana tertipu dengan dunia. Mata hati kita tertutup daripada melihat kehebatan Syurga dan kehinaan dunia. Akhirnya berapa banyak persaudaraan dan persahabatan yang putus kerana kecewa akibat pertolongan yang tidak berbalas. Marilah sama-sama membudayakan amalan orang-orang baik; berilah semata-mata kerana Allah!

Lupakan balasan dunia, utamakan ganjaran Akhirat. Moga-moga kita tidak akan lagi dilanda kekecewaan dalam hidup, dan moga-moga Allah berasa kasihan kepada kita pada Hari Pertemuan dengan-Nya nanti.

Wallahu'alam......



...ustazpenang...

No comments:

Post a Comment