Mendabik Dada Atau Berkongsi Rasa???
Saya tidak sangka dapat bertemu dengan wira bina badan negara, Dato' Malek Noor di Madinah sewaktu mengerjakan umrah. Ketika itu, kami sama-sama beratur untuk mengambil hidangan makan tengahari di hotel penginapan kami. Malek berbaju Melayu teluk belanga, berkain pelekat dan berkopiah, menampilkan kejohorannya.
Meskipun belum pernah berkenalan, namun senyuman manis dan sikap peramahnya menjadikan saya tidak kekok menyapanya. Malek menceritakan yang dia sudah tiga hari sampai daripada Makkah. Perbualan kami menjurus kepada pengalaman beliau ketika di Masjidil Haram.
Dengan wajah ceria, Malek Noor bercerita yang beliau mendapat apa yang dihajatinya. Walaupun tubuhnya sasa, nafasnya sesak juga apabila dirempuh jemaah lain, sehinggalah beliau dapat mengucup Hajarul Aswad. Dia juga dapat bersolat di Hijr Ismail dan berdoa di Multazam.
Sehari kemudian, saya terserempak lagi dengan Malek di lobi hotel. Kali ini beliau menceritakan pula bagaimana pada malam sebelumnya, beliau dapat bersolat di hadapan mimbar raudhah yang sentiasa penuh sesak dengan para jemaah sebelum menziarahi makam Rasulullah s.a.w. Saya kagum dengan rezeki yang diperoleh Malek. Itulah impian setiap orang yang berkunjung ke Masjid Nabawi.
Sekali pandang, apa yang diceritakan oleh Malek Noor seperti orang yang bercakap besar, seolah-olah bercerita dengan mendabik dada bahawa akulah orang yang dipilih Allah hingga mampu memperoleh semua yang dihajati. Namun, melihatkan keikhlasannya bercerita, saya tahu yang Malek hanya ingin berkongsi rasa. Sebab itulah hati saya tumpang gembira dan tidak meluat dengan ceritanya. Di dalam hati, saya ingin sekali mengikut jejaknya untuk memperoleh apa yang telah beliau lalui.
Bercakap besar dan berkongsi rasa adalah dua perkara yang berbeza. Bercakap besar ialah menyampaikan kejayaan-kejayaan diri dengan wajah riya', seolah-olah kita sahaja yang boleh mendapat atau mampu melakukan sesuatu sedangkan orang lain tidak boleh. Rasa bangga diri orang yang bercakap besar seumpama seorang kanak-kanak yang berdiri di atas busut seraya mendabik dada seolah-olah dia sudah berada di puncak gunung.
Sedangkan orang yang berkongsi rasa, menceritakan apa yang dialami serta kejayaan yang diperolehi dengan harapan si pendengar dapat mencontohinya. Kita di pihak yang menerima, andainya berfikiran positif, bersangka baik atau husnu dzon, kita akan memperoleh banyak sekali ilmu yang disampaikan. Sebaliknya, andainya kita mempunyai sikap negatif, bersangka buruk, atau suu dzon, maka apa jua kebaikan yang disampaikan akan disambut dengan senyuman sinis kerana memperlekeh apa yang dikongsikan.
Barangkali, oleh sebab bimbang dikatakan sebagai orang yang bercakap besar, maka ramai di antara kita lebih senang berdiam diri meskipun kita mengetahui sesuatu lebih daripada orang lain. Kejayaan kita dalam perniagaan, pendidikan anak hingga berjaya dalam kerjaya, pengurusan kewangan, teknik belajar, malah rahsia kita membuat teh tarik yang sedap adalah di antara kebaikan-kebaikan yang seharusnya dikongsikan dengan orang lain.
Kita mesti berani dan tidak segan untuk berkongsi rasa. Jangan sekali-kali kita berasa bimbang dianggap bercakap besar kerana yang utama adalah berkongsi ilmu. Tentu sekali dalam sepuluh orang yang mendengar perkongsian rasa kita, akan ada seorang dua yang mencemuh, tetapi itu tidak harus mematahkan semangat kita untuk menceritakan kebaikan pengalaman dan pengajaran yang kita lalui.
Apa jua kebaikan yang kita peroleh itu tidak harus disembunyikan dari pengetahuan orang lain. Lagi ramai orang lain tahu tentang kebaikan yang kita kongsikan, ia lebih bagus. Malah, daripada sudut agama pun, kita dituntut untuk menyebar kebaikan yang dialami sebagai tanda syukur kita terhadap nikmat Allah s.w.t.
Wa amma bi ni'mati rabbika fahaddith. Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (zahirkan sebagai tanda bersyukur kepada-Nya). Surah ad-duha, ayat 11 jelas menggalakkan kita untuk berkongsi rasa. Itu jua cara untuk memperoleh pahala. Kerana itu, jangan rasa malu untuk menceritakan kejayaan-kejayaan diri.
Wallahu'alam.........
...ustazpenang...
No comments:
Post a Comment