Cantik Semulajadi Tanpa Solekan
Pernahkah anda melihat keadaan seorang wanita yang biasa bersolek dengan make-up tebal, ketika dia tidak berkesempatan untuk bermekap sama sekali? Atau mungkin ketika dia sedang bersantai bersendirian tanpa mengenakan sebarang solekan, seperti ketika tampil di khalayak ramai?
Bagaimanakah perbezaan wajah diantara dua keadaan itu? Adakah terlalu banyak perbezaan seolah – olah kita sedang menatap dua wajah orang yang berbeza. Bukan menatap wajah orang yang sama, tetapi dua orang yang berbeza.
Wajah yang penuh dengan solekan memang akan menampilkan kesan yang ketara sehingga tidak nampak lagi wajahnya yang asli. Bibir yang merah merona, warna mata yang berwarna – warni, dibaluti lipstik tebal sungguh mengganggu penglihatan. Pipi yang digebu dioles pelbagai warna seperti pelangi.
Tetapi disaat dia tidak berpeluang memakai makeup, sungguh sangat jauh perbezaannya rupa wajahnya, kelihatan pucat dan tidak berseri. Alisnya tidak menyerlah, kelihatan tiada kerana selama ini hanya lukisan pensil sahaja dan sangat jauh bezanya daripada penampilannya yang sebelum ini. Tiada sedikit pun wajah cerah dan berseri – seri pada raut wajahnya. Ia sungguh berbeza. Apa yang ada cuma wajah yang kusam, pucat dan tidak menarik dilihat.
Matanya tidak lagi kelap kelip seperti neon kota. Akan tetapi disebalik kerdipan matanya, yang terserlah mungkin hanya kerdipan sepasang mata persis kerdipan mata pungguk dari celahan dahan. Malah mungkin tiada seri pada kerdipan seperti kerdipan neon kota melainkan gurun pasir yang gersang. Anak – anak mungkin lari ketakutan melihat wajah kakak atau ibunya yang menyeramkan.
Sebenarnya apa yang ingin diutarakan kali ini adalah bahaya bahan kimia dan racun yang terdapat didalam bahan kosmetik itu sendiri. Tentunya kesannya lebih buruk apabila wajah terpisah daripada solekan make-up. kulit menjadi rosak, putih tak putih, hitam tidak hitam. Kulitnya kebingungan mencari warna, lantaran banyaknya ubat yang menyumbat pori – porinya.
Bahan kimia itu memang menjanjikan kecantikan segera. Dalam waktu yang singkat, wajah kita akan menjadi sangat cerah. Wajah yang kusam dan tidak bermaya akan segera berseri, menarik dan cantik. Kedutan ketuaan akan segera terhapus oleh solekan yang menyelimuti wajah. Demikian hebatnya kesan makeup.
Apa yang lebih dahsyat adalah bahan kimia ini menjadi punca terjadinya kanser yang merosakkan sel – sel kulit. Kulit tidak lagi bercahaya seperti biasa, tidak lagi tegang dan kekal kendur tanpa boleh lagi dipulihkan.
Inilah babak baru yang menggelisahkan. Ketika bahan kosmetik menjadi igauan ngeri kerana kesan buruk yang dibawanya.Ketika ini ubat -ubatan tidak lagi mampu memulihkan, impian untuk menjadi cantik hanya tinggal mimpi.
Wajah yang asalnya sempurna dalam sederhana, kini bertukar menjadi wajah yang kita sendiri tidak sanggup untuk menatapnya. Itulah harga yang perlu dibayar lantaran memburu kecantikan yang tidak berlandaskan aturan agama.
Kembalilah kepada kepada kecantikan semulajadi. Menjadi cantik tidak bererti kita perlu memilih risiko. Cantik adalah sihat tubuh badan dan sihat jiwa. Percayalah, kita akan kelihatan lebih cantik dengan kelakuan dan perangai yang cantik. Wajah yang dihiasi oleh cahaya keimanan, pasti akan menyerlah kecantikan semulajadi dan mampu meraih perhatian sesiapa sahaja.
Lebih utama lagi, biar sahaja kecantikan itu dapat meraih perhatian dan keredhaan Allah SWT, kerana perhatian Allah SWT lebih besar manfaatnya berbanding perhatian manusia. Mahu cantik tidak salah, tetapi biarlah bersederhana.
Pandanglah wajah anda baik – baik, dan tanyalah pada diri sendiri, adakah kita sudah bersedia untuk membuang semua kosmetik – kosmetik ini? Ini adalah sebahagian daripada cabaran hidup anda.
Kita tidak perlu tampil berlebihan, tetapi harus menjaga kesederhanaan dalam setiap perkara. Tidak terlalu menonjol dan memukau sehingga membuat pemuda tidak berkelip. Yang kita perlu hanyalah wajah yang selau bersih. Wajah yang memancarkan kesederhaan, ketenangan dan kesabaran. Itu yang terbaik.
Wallahu'alam...........
No comments:
Post a Comment