Monday, 5 December 2011

Mengapa Perasaan Perempuan Selalunya Lemah???

Mengapa Perasaan Perempuan Selalunya Lemah???


Duhai Hawa, mengapa kamu terlalu lemah??? Saya selalu terfikir mengapalah perasaan perempuan itu selalu lembut dan tersentuh. Bukan kamu tak pernah dengar, sekeras-keras hati perempuan, akan lembut juga. Kerana itu rasanya Allah jadikan ibu seorang perempuan.


Seorang ibu itu dia lembut dalam garang, marah dalam sayang. Dua sifat antagonis ni sangat sebati dalam diri seorang insan bergelar Hawa. Kadangkala sensitifnya terlebih, adakalanya penyayang bukan main lagi.


Peliknya, untuk memahami perasaan naluri dirimu sendiri, hatimu kadangkala seperti sebuah sampan di atas ombak yang kuat. Bergulir-gulir tanpa tujuan walaupun sudah dikayuh dengan kuat ke arah yang sudah ditetapkan.


Benar umum sudah mengetahui, cinta kepada Allah itulah paling hakiki. Tetapi untuk mereliasasikan cinta itu tidak semudah seperti sebutan di lidah semata. Banyak halangan yang perlu ditempuhi dan cabaran yang selalu menarik-narik diri ini untuk beralih arah dari mencapai Ilahi.


Benar, hakikatnya untuk mencapai cinta Ilahi ini, tidak cukup hanya dengan mentaati perintah-Nya semata-mata, dengan hanya menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulan Ramadhan dan juga membaca Al-quran.


Tetapi memerlukan pengorbanan yang lebih besar dari itu! Betapa ramai manusia hatta orang-orang soleh sendiri gagal dalam meraih cinta dari Allah saat kematian mereka kerana gagal melaksanakan perintah ini.


Itulah menahan diri dari perkara-perkara yang dimurkai Allah. Sukarnya menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang Allah larang kerana nafsu kita sangat-sangat cenderung kepada perkara tersebut.

Saidina Umar pernah berkata : "Seorang yang memiliki kualiti taqwa adalah seperti seorang yang berjalan di atas jalan berduri dengan berhati-hati. Seperti mana dia sangat berhati-hati untuk memastikan pakaiannya tidak terkena duri tersebut seperti itu jugalah seorang yang bertaqwa itu harus berhati-hati dalam setiap perbuatan yang dilakukannya."


Saidina Ali juga pernah berkata : "Taqwa adalah takutkan Allah, berbuat seperti mana yang disuruh oleh Allah, puas dengan apa yang ada dan bersiap sedia untuk hari pelepasan (kematian)."

Indahnya kata-kata mereka.




Kadang-kadang aku rasa marah pada diri sendiri. Kenapalah susah sangat nak menahan hawa nafsu? Terutama dalam perkara-perkara untuk menundukan pandangan. Memang benarlah firman Allah :

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka...." (Surah An-Nur : 30-31)


Kerana pandangan itulah akar kepada banyak maksiat yang berlaku sesama berlainan jantina.

Bagi aku, kadangkala sikap 'double standard' selalu ada apabila berhadapan dengan kawan yang bukan muslim. Namun rasanya tidak boleh sebegitu kerana dari situlah kita dapat berlatih untuk membersihkan hati kita.


Paling penting bukanlah menundukkan pandangan dengan menundukkan pandangan mata semata-mata, namun adalah menundukkan perasaan. Jika hawa dan adam berbual tanpa memandang sesama sendiri, namun jika gagal mengawal perasaan, banyak juga boleh jadi.


Selain itu, mungkin saja kita gagal dari menahan diri dari menonton rancangan televisyen yang mungkin mendedahkan aurat-aurat yang tidak patut kita nikmati.

Bukan itu sahaja, mungkin sahaja kita memandang kawan sekelas kita dengan merasakan sesuatu di dalam hati.


Dalam umur yang memasuki dewasa ini, perasaan adalah satu-satunya harta berharga yang perlu dijaga. Dan alangkahnya susah sebenarnya.


Oleh kerana itu kita lihat ramai orang solat dan menutup aurat namun tidak ramai yang dapat menjaga pergaulan. Sungguh, jalan menuju redha Allah penuh dengan duri dan jalan ke neraka penuh dengan keenakan duniawi.


Kaum Hawa, kuatkan jati dirimu dan lindungilah tamanmu dari dicemari oleh pandangan orang yang bukan menjadi hakmu.

Kaum Adam, peliharalah hatimu dari menjadi milik selain dari Rab-Mu. Semoga kita semua menang dalam menempuhi ujian di dunia ini. 

Wallahu'alam............


...ustazpenang...

No comments:

Post a Comment