Saturday, 31 December 2011

Mari Memberi Hadiah!

Mari Memberi Hadiah!


Cuba ingatkan kembali, sepanjang hidup ini,
- Berapa kali kita memberi hadiah kepada seseorang?
- Beberapa kali kita memberi hadiah kepada ibu kita?
Rasulullah SAW menganjurkan supaya kita saling memberi hadiah walaupun sedikit. Hadiah tidak dilihat dari nilai harganya tetapi lebih kepada nilai maknawinya. Sabda Rasulullah,
 Daripada Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah S.A.W bersabda: “Saling memberikan hadiah di antara kamu nescaya kamu akan berkasih sayang”
Kehidupan para ulama salaf juga penuh dengan perkara seperti ini. Mereka saling memberi hadiah, sekecil apapun bentuknya, kadangkala ada yang hanya berupa kurma yang belum masak, ada yang berupa setangkai bunga mawar, ada yang hanya berupa garam yang ditumbuk dan tumbuhan yang wangi harumnya.
Adab dalam memberi hadiah adalah:
1. Tidak boleh mengambil kembali hadiah yang diberikan kepada orang lain. Perbuatan ini diibaratkan sama seperti anjing yang menelan semula makanan yang dimuntahkannya. [ Muttafaqun 'alaih ]

2. Boleh mengambil kembali hadiah yang sudah diberikan kerana alasan yang bersesuaian dengan syariat seperti curiga bahawa barang itu haram. Contohnya dikhuatiri hadiah yang diberi itu disyakki diperbuat dari barang yang tidak halal.

3. Hendaklah mengutamakan dalam memberi hadiah adalah keluarga yang terdekat, kaum keluarga seperti orang tua sebelah ibu dan bapa dan orang seperti mereka. Demikian juga boleh mendahulukan orang yang dekat di hati kita.

Imam Bukhari mencantumkan bab tentang siapa yang lebih dahulu patut diberikan hadiah. Lalu beliau mengetengahkan dua hadis. Pertama, beliau menyarankan kepada si penyoal diberikan kepada bapa saudara sebelah ibunya. Kedua, ketika ditanyakan keadaan beliau mana antara dua tetangga yang didahulukan dalam memberi hadiah, beliau menjawab. “Yang paling dekat pintunya darimu.” 

 4.  Ikhlas. Pemberian sedekah dan hadiah hendaklah dilakukan dengan ikhlas kerana Allah S.W.T. tanpa mengharapkan balasan daripada makhluk dalam bentuk pujian mahupun wang ringgit


6.Seseorang yang memberi hadiah tidak boleh merasa sedih apabila hadiahnya ditolak, dan hendaknya dia memahami alasan orang yang menolaknya. Atau tidak boleh merasa berduka, selama alasannya jelas.
Menerima hadiah yang diberikan:
Nabi Muhamad SAW memberi contoh yang menunjukkan perlunya sikap tawadduk atau rendah hati dalam menerima hadiah apa sekalipun,
“Sekiranya aku diundang untuk menyantap makanan yang berupa bahagian kaki atau bahagian bawah tumit, pasti aku akan penuhi undangan itu, dan sekiranya aku dihadiahkan perkara yang sama juga, pasti aku menerimanya.”
Jika kita renungkan lebih mendalam, apakah Rasulullah SAW masih memerlukan makanan daripada orang lain? Jawapannya sudah pasti tidak. Kerana sebagaimana yang kita ketahui , baginda diberi makan dan minum oleh Rabbnya. Akan tetapi, perkara ini adalah pelajaran praktikal supaya kita bersikap tawadduk dan rendah hati terhadap kaum muslimin walau apapun kedudukan mereka.

Menolak Hadiah: 
Sebenarnya kita tidak boleh menolak hadiah, kecuali terdapat sebab yang shari’e. Contohnya Ash-Sha’b bin Jatstsamah memberi hadiah seekor keldai liar kepada Rasulullah SAW, namun baginda menolaknya kerana sedang berpakaian ihram. Tetapi Rasulullah  berkata kepada beliau,  “Ketahuilah, sesungguhnya aku tidak menolaknya, hanya saja aku dalam keadaan sedang berihram.” (HR. Al Bukhari [2573], Muslim [1193])
Demikian juga  apabila pegawai yang sudah memiliki gaji apabila diberi hadiah, dia tidak boleh menerimanya. Ini seperti yang berlaku kepada Ibn al-Lutbiyyah dimana Rasulullah mengecamnya kerana menerima hadiah [ Muttafaqun a'alaih ]

Kita juga dibolehkan menolak hadiah yang dirasakan boleh menimbulkan fitnah dari hadiah tersebut. Contohnya hadiah daripada seorang ahli perniagaan kepada seorang pemimpin. Atau hadiah diantara lelaki dan perempuan bukan muhrim.
Penutup: 
Hadiah merupakan bukti rasa cinta dan bersihnya hati, padanya ada kesan penghormatan dan pemuliaan. Masih belum terlambat untuk kita  memberi hadiah kepada orang lain. Jika kita belum pernah, mulakan dengan memberi hadiah kepada ibu bapa dan keluarga terdekat kita. Mari ciptakan hubungan silaturrahim yang intim!

Wallahu'alam..........


...ustazpenang...


No comments:

Post a Comment