Wednesday, 17 August 2011

BERSIH Hati Bermula Ramadhan Ini..

BERSIH Hati Bermula Ramadhan Ini..

Mulianya seseorang tidak dilihat dari penampilan luarannya, melainkan dari hatinya. ‘‘Sesungguhnya, Allah tidak melihat rupa dan harta-harta kamu, tetapi melihat hati dan perbuatanmu.” (HR Muslim).

Dalam riwayat lain, Ali bin Abi Thalib r a menceritakan bahwa Rasulullah bersabda, ”Tiada satu hati pun kecuali memiliki awan seperti awan menutupi bulan. Walaupun bulan bercahaya, kerana hatinya ditutup oleh awan, ia menjadi gelap. Ketika awan itu berlalu, ia pun kembali bersinar.” (HR Bukhari dan Muslim).

Hadis ini memberikan gambaran yang sangat indah. Hati manusia sebenarnya bersih atau bersinar, namun kerap ditutupi oleh awan kemaksiatan hingga sinarnya menjadi tidak nampak. Oleh sebab itu, kita harus berusaha menghilangkan awan yang menutupi cahaya hati kita.
Bersempena dengan Ramadhan kali ini, marilah kita ambil peluang untuk membersihkan hati kita.
Bagaimana caranya?


Pertama, Muhasabah diri.
Muhasabah diri dalam bahasa Arab disebut muhasabatun nafsi, ertinya mengenalpasti apa sahaja penyakit hati kita. Semua orang akan tahu apa sebenarnya penyakit qalbu (hati) yang dideritanya itu.
”Hai, orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (QS Alhasyr [59]: 18).

Kedua, perbaiki diri atau  bertaubat.
Ini merupakan tindakan lanjut dari muhasabah diri. ”Hai, orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar- benarnya. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai ….” (QS Attahrim [66]: 8).

Ketiga, Taddabur Al Quran.
Menelaah isi Al-Quran lalu menghayati dan mengamalkannya. ”Maka, apakah mereka tidak memerhatikan AlQuran ataukah hati mereka terkunci?” (QS Muhammad [47]: 24).

Keempat, menjaga kelangsungan amal soleh.
Amal soleh adalah setiap ucapan atau perbuatan yang dicintai dan diredhai Allah SWT.  Amalan walaupun sedikit tetapi berterusan, adalah lebih disukai oleh Allah

Kelima, berzikir 
Sentiasa mengisi waktu dengan berzikir. Mulut yang sentiasa basah dengan zikir kepada Allah. Rasulullah SAW telah bersabda: pada hari kiamat orang yang paling beruntung mendapat syafaatku ialah orang yang banyak membaca kalimah ‘Laailaha illallah’ dengan hatinya dan jiwanya iaitu dengan hati yang ikhlas.

Tuntunan Islam, jika dilaksanakan dengan sungguh-sungguh, akan menghadirkan hati yang tenteram, bersih, serta bersinar terang. 

Ibnu Abbas r a menceritakan bahwa ketika menginap di rumah Rasulullah Sallallhu ‘alaihi Wasallam, ia pernah mendengar beliau mengucapkan doa berikut : ”Ya Allah, jadikanlah di dalam hatiku cahaya, di lidahku cahaya, di pendengaranku cahaya, di penglihatanku cahaya. Jadikan di belakangku cahaya, di hadapanku cahaya, dari atasku cahaya, dan dari bawahku cahaya. Ya Allah berikan kepadaku cahaya.” (HR Muslim).

Itu adalah perkara-perkara basic. Asas dalam menjaga kesihatan jiwa dan menghidupkan hati. Dalam apa jua peringkat umur, perkara-perkara inilah yang perlu diperhati. Semoga amalan ini berpanjangan, walaupun selepas bulan Ramadhan
 Wallahu'alam.........



 ...ustazpenang...

No comments:

Post a Comment