Thursday, 11 August 2011

Ingin Sekali Daku

Ingin Sekali Daku

Lagi bercerita mengenai cinta. Aku mahu jatuh cinta sebagaimana ayah jatuh cinta pada ummi lebih dua dekad yang lalu, 23 years to be exact. Ayah pada waktu itu senior, hampir di tahun akhir di Maktab Perguruan Ipoh (kini IPG kampus Ipoh) dan ummi? A freshie. Ah, cerita yang seakan dongengan bagiku.

Aku tanya pada ayah, "Apa ada pada ummi yang membuatkan ayah jatuh cinta padanya?"
Ayah senyum tanpa melontar sebarang kata. Lantas aku ulang lagi pertanyaan itu. Sekadar ingin tahu. Ya, juga mungkin lebih. Jarang sekali ummi dan ayah bercerita kisah cinta mereka. Segan mungkin, mungkin juga kerana hanya aku dan Muiz sahaja yang kami kira diri kami sudah sedikit dewasa berbanding yang lain. Dewasa hanya daripada sudut fizikal tetapi masih bersifat keanak-anakan. Aku yang manja dan Muiz yang mengada-ngada, untuk jangka masa yang lama suatu ketika dahulu hanya kami berdua permata hati ayah dan ummi.

Sehingga sekarang kami masih permata hati mereka, gelaran itu takkan pernah mungkin pudar. Bezanya sekarang kami berkongsi kasih bersama empat orang adik-adik yang lain, tanda cinta ummi dan ayah. Rakyat Malaysia, askar-askar di rumah, itulah gelaran yang aku berikan kepada mereka. Jarak usia antara kami jauh, sangat jauh. Bertahun-tahun ummi dan ayah mencuba and there came Huda, seven years younger than Muiz, the rest is history.

Berbalik kepada pertanyaanku, ayah tersenyum lagi. Seakan ada sesuatu yang bermain di benak fikirannya. Aku melontarkan pertanyaan lagi walau pertanyaan pertamaku masih tidak berjawab.
"Ceritalah, macam mana ayah kenal ummi?"
"Ayoh tengok ummi dok dapor. Maso tu ummi tengoh dok sibuk gula nga saen dio." Kata ayah dengan loghat Kelantannya.

Tahulah aku ayah dan ummi berkenalan di suatu majlis. Ayah yang ketika itu berdarah muda tertarik pada seorang gadis, gadis Melayu yang ayu berbaju kurung dan sopan berkerudung. Saat itu dapat aku simpulkan ayah sudah jatuh hati pandang pertama pada ummi, sang gadis yang sedang sibuk memasak di dapur. Ummi, si gadis manis yang pandai menguruskan kerja rumah dan jika dibandingkan dengan diriku sekarang? Jauh panggang dari api. Masih banyak yang perlu aku pelajari daripada wanita hebat yang ku panggil ummi.

Teringat peristiwa minggu sudah, jam dua pagi waktu Malaysia, tujuh petang di bumi asing ini dan ayah masih belum tidur. Bersengkang mata menolong ummi untuk tugasannya. Ya, ummi ku kini sedang menyambung pengajiannya. Walau hanya sekadar Ijazah namun kami tetap bangga dan Insya-Allah, aku dan ummi akan graduate pada tahun yang sama dan aku tanyakan pada ayah tika itu.
"Ayah buat apa belum tidur lagi? Mana ummi?"
"Ayah tengah buat assignment ummi. Dia dah tidur, penat agaknya. Seharian melayan adik-adik."
Ah, hebatnya ayahku ini. Betapa kasih dan cintanya dia pada ibu kepada enam zuriatnya. Itulah ayah, lelaki tabah yang kaya dengan senyuman. Agaknya daripada dialah aku mewarisi sifat peramah dan suka senyum. Sekadar andaian sendiri.

Pernah sekali, ummi menegur. Saat aku memarahi Munir yang bagiku saat itu sangat nakal dan juga keras kepala. Kata ummi, "Jangan marah kat adik macam tu. Awak dulu lagi nakal. Lagi degil, dalam ramai-ramai awak paling keras kepala. Sampai sekarang pun awak paling degil antara semua."
Aku sedikit tersentap tika itu kerana bagi mereka aku masih yang paling keras kepala dan keras hati. Tak makan saman bak kata orang kami dan ayah juga turut ada untuk menasihatiku, antara nasihat yang tidak kulupa.

"Janganlah tegas sangat dengan adik-adik awak tu."
"Tegur-tegurlah Muiz tu. Bagi motivasi sikit kat dia."
"Muiz macam mana? Awak dah call dia? Dah cakap dengan ummi dan adik-adik?"
Ayah selalu ada untuk mengingatkan. Sehingga sekarang walaupun jauh dapat ku rasakan kehangatan cinta ummi dan ayah. Masih lagi mekar berbunga dan ku doakan cinta mereka mekar sampai ke Syurga. Insya-Allah, ingin sekali aku jatuh cinta sebagaimana ummi dan ayahku dilamun cinta.

Ya Allah,
Rendahkanlah suaraku bagi mereka,
Perindahlah ucapanku di hadapan mereka,
Lunakkanlah watakku terhadap mereka,
Lembutkan hatiku untuk mereka.

Ya Allah,
Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya,
Atas didikan mereka padaku,
Pahala atas kesayangan yang mereka limpahkan padaku,
Peliharalah mereka sebagaimana mereka memeliharaku.

Ya Allah,
Apa saja gangguan yang telah mereka rasakan,
Atau kesusahan yang mereka deritakan kerana aku,
Atau hilangnya sesuatu hak mereka kerana perbuatanku,
Jadikanlah itu semua penyebab susutnya dosa-dosa mereka,
Bertambahnya pahala kebaikan mereka dengan Perkenan-Mu ya Allah,
Hanya Engkaulah yang berhak membalas kejahatan dengan kebaikan berlipat ganda.

Ya Allah,
Bila Maghfirah-Mu telah mencapai mereka sebelumku,
Izinkanlah mereka memberi syafa'at untukku,
Tetapi jika sebaliknya, maka izinkanlah aku memberi syafa'at untuk mereka,
Sehingga kami semua berkumpul bersama dengan Santunan-Mu,
Di tempat kediaman yang dinaungi Kemuliaan-Mu,
Ampunan-Mu serta Rahmat-Mu.

Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha Agung,
Serta Anugerah yang tidak berakhir,
Engkaulah yang Maha Pengasih diantara semua Pengasih.
Amin Ya Rabbul Alamin...

Wallahu'alam............




...ustazpenang...

No comments:

Post a Comment