Thursday, 11 August 2011

Dunia atau Akhirat??? Ataupun Kedua-duanya????

Dunia atau Akhirat??? Ataupun Kedua-duanya????

Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah Tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya Syaitan. Dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah.

Selawat dan salam ke atas baginda S.A.W Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.

Ilmu adalah sumber pengetahuan. Semua manusia di muka bumi ini perlukan ilmu tidak kira siapa pun dia, pasti ada suatu ilmu dalam dirinya. Lihat sahaja seorang anak kecil yang terbaring kemudiannya belajar merangkak sehinggalah mampu berjalan.

Setiap hari anak kecil itu akan memikirkan bagaimana dia ingin merangkak dan bagaimana ingin berjalan. Tanpa ilmu bagaimana mungkin anak kecil mampu berjalan? Begitu juga dengan manusia lainnya. Semuanya memerlukan ilmu untuk kelangsungan hidup.

Islam juga mementingkan ilmu buat umat-Nya. Masih ingatkah kita pada firman Allah yang mula-mula diturunkan kepada Rasulullah S.A.W menerusi Surah al-Alaq ayat pertama?
Allah berfirman : "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)" [Al-Alaq:1]

Perumpamaan ilmu itu adalah umpama cahaya yang menyinari hati dan akal fikiran. Tanpa hadirnya ilmu maka hati dan fikiran berada dalam kegelapan dan kesesatan. Sebab itulah Islam menekankan aspek keilmuan kepada umat-Nya kerana ilmu itu dapat diaplikasi dan digunakan untuk kemaslahatan agama, dunia dan akhirat. Perlu diingat ilmu yang dituntut itu adalah ilmu yang baik, berguna dan bermanfaat.

Abu Darda' berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesiapa yang menempuh perjalanan untuk menuntut ilmu, maka Allah memudahkan perjalanannya menuju Syurga. Malaikat akan menaungi penuntut ilmu dengan sayapnya kerana redha terhadap perkara yang dia lakukan. Semua penghuni langit dan bumi akan memohon ampun bagi mereka yang memiliki ilmu pengetahuan, demikian juga ikan di dalam air. Keutamaan seseorang yang berilmu pengetahuan atas seorang ahli ibadah bagaikan bulan dengan sekumpulan bintang. Ketahuilah bahawa ulama' adalah pewaris para Nabi. Dan para Nabi tidaklah mewariskan wang dinar mahupun dirham (harta), melainkan ilmu. Maka sesiapa yang mengambilnya, maka dia telah mendapatkan keberuntungan yang sangat besar." (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah, Baihaqi, dan Ibnu Hibban)

Berdasarkan hadis di atas, ternyata ilmu itu adalah harta yang sebenar dan berharga melebihi kekayaan dan kemewahan yang sementara. Ilmu adalah warisan para nabi. Para nabi membawa ilmu yang diilhamkan dari pemilik segala ilmu iaitu Allah S.W.T Biarpun para nabi membawa ilmu agama yang suci lagi mulia, tidaklah bermakna ilmu selain dari ilmu agama itu adalah sia-sia. Semua ilmu yang baik itu ada manfaatnya, tiada yang sia-sia. Cuma yang menjadikan ilmu itu sia-sia dan tiada harga apabila ilmu duniawi itu ditekankan lebih daripada ilmu Akhirat. Kadang-kala kita
terlalu membanggakan ilmu dunia sehingga mengabaikan ilmu yang akan menentukan nasib kita di Akhirat nanti.

Muhasabahlah diri sejenak, sedalam mana ilmu akhirat kita berbanding ilmu duniawi yang kita belajar sejak dari sekolah hingga ke universiti. Adakah kedua-duanya seimbang? Atau adakah ilmu duniawi menguasai hidup kita melebihi ilmu ukhrawi? Tepuk dada, tanyalah Iman kita. Punyai ilmu agama tidak bermakna kita tidak boleh menjadi seorang doktor, jurutera, usahawan dan sebagainya. Betulkan persepsi kita dan hayatilah ilmu Islam yang indah dan luas aspeknya. Maka dengan itu, ummah mampu melahirkan doktor, jurutera mahupun usahawan yang soleh dan solehah. Itulah yang terbaik.

Mari kita renung mesej yang besar maknanya dalam sebuah kisah ketika Rasulullah S.A.W telah wafat, disebutkan bahawa Abu Dzar al-Ghiffari r.a, pada suatu hari dia pergi ke pasar di Kota Madinah. Ketika itu dia merenung dan melihat masyarakat di sekitar kota itu penuh dengan kekacauan dan kesibukan. Mereka menyibukkan diri dengan pelbagai urusan duniawi dan menjadikan akal mereka sebagai Tuhan. Melihat peristiwa itu maka timbullah rasa takut dan bergetarlah hati Abu Dzar melihat kelalaian mereka.

Lantas Abu Dzar pun berteriak "Wahai sekalian manusia! Apa yang sedang kamu lakukan dengan harta dan perdagangan kamu sehingga tidak memerhatikan peninggalan dan warisan Nabi Muhammad S.A.W yang sedang dibahagikan di masjid ketika ini?"

Sebaik sahaja mendengar teriakan keras Abu Dzar itu, berlarianlah mereka semua ke Masjid Nabawi dengan harapan bahawa mereka dapat memperolehi harta warisan tersebut. Sesampainya mereka semua di masjid suci itu, mereka terkejut kerana tiada satu pun harta seperti yang dikhabarkan oleh Abu Dzar sebentar tadi. Hanya yang ada adalah mereka yang sedang sujud kepada Allah, serta para ilmuan dan murid-mudridnya.

Mereka pun kembali kepada Abu Dzar dan bertanya "Wahai Abu Dzar, kami tidak menjumpai satu harta warisan pun seperti yang engkau khabarkan melainkan hanyalah orang yang beribadah dan mempelajari ilmu!" Abu Dzar pantas menjawab, "Itulah sebenarnya warisan Nabi Muhammad S.A.W kepada kita semua."

Sama-samalah kita mengingatkan diri kita yang alpa ini. Dalam kesibukan kita mengejar ilmu dunia yang tidak terbatas, jangan sesekali kita lupa keutamaan ilmu suci yang dibawa oleh Rasulullah. Moga ilmu yang kita miliki menjadikan kita lebih dekat kepada Allah S.W.T
Insya-Allah.

Telah ku sampaikan
Akan pesan dan ingatan
Dari ilham Pemilik Ilmu yang Abadi
Kepada sekalian pewaris ilmu
Sekalian saudaraku
Agar kita beringat
Walau siapa pun kita
Kita milik Dia Yang Hakiki.

Wallahu'alam...........




...ustazpenang...




No comments:

Post a Comment