Thursday, 11 August 2011

Sekali Air Bah, Sekali Tanah Berubah

Sekali Air Bah, Sekali Tanah Berubah

Air? Setiap hari kita pasti meneguknya. Cuma yang berbeza adalah perisa dan warnanya. Bila tekak sudah kembali sejuk, dan dahaga sudah hilang kita sering lupa asal usul air yang diminum itu. Air yang kita teguk itu sebenarnya diturunkan daripada langit sebagai hujan oleh Allah S.W.T kemudian ia melalui pelbagai proses kitaran alam semulajadi untuk kepentingan alam ciptaan-Nya.

Begitulah ciptaan Allah yang serba unik. Sama juga seperti api, air boleh menjadi kawan dan boleh juga membawa kemudaratan pada masa-masa tertentu.

Air yang bersih dijadikan minuman oleh manusia. Air yang kelihatan ringkas tersebut sebenarnya merupakan satu ciptaan yang sangat istimewa buat seluruh alam termasuk manusia. Ia mampu membekalkan oksigen kepada tubuh badan manusia dan menghilangkan rasa haus tekak kita.

Selain itu air juga berfungsi menghidratkan semula tubuh anda setelah bergerak aktif. Air juga berfungsi sebagai laluan untuk pergerakan zat-zat makanan dan ia turut membantu untuk mengangkut sisa-sisa proses kehidupan sel di dalam badan.

Air yang diturunkan oleh Allah S.W.T sebagai hujan pula berfungsi menyuburkan tanam-tanaman dan menjadi minuman untuk haiwan-haiwan. Air yang sedia ada di muka bumi melalui proses penyejatan, lalu ia diturunkan kembali sebagai hujan dan mengalir daripada tempat yang tinggi dan kemudian membentuk sungai yang panjang dan lebar.

Disebabkan air, hidupan laut mempunyai habitat yang sempurna dan boleh bergerak bebas. Di hujung sungai terdapat muara, terbentuk di sebelah pantai yang menjadi kawan kepada lautan. Dengan air juga, wujudnya pulau-pulau yang indah di kelilingi keindahan kebiruan. Kata orang, indah pantai kerana airnya. Tidak akan wujud istilah pantai sekiranya tidak dilengkapi air laut.

Lautan yang luas ini pula menghubungkan satu benua dengan benua yang lain dan menjadi laluan penting untuk manusia berhubung sesama manusia di kawasan lain. Begitulah hikmahnya Allah menjadikan lautan sebagai penghubung, manakala manusia itu berbeza sama sekali paras rupanya.
Air juga boleh berubah sifatnya menjadi ais yang pejal. Allah itu Maha Bijaksana.

Dia menjadikan udara yang sejuk agar dapat membekukan air menjadi ais. Dengan adanya ais, air yang panas boleh bertukar menjadi sejuk dan menyegarkan. Ais juga turun dalam bentuk salji di sesetengah kawasan yang ditakdirkan Allah. Salji yang turun menjadikan pemandangan lebih indah dan menarik. Iklim yang sejuk ini juga menjadi habitat kepada penguin dan beruang kutub untuk hidup dan mencari makanan.

Namun, air yang banyak memberikan manfaat ini juga mampu berubah sifat menjadi ganas. Pepatah mengatakan, "Sekali air bah, sekali tanah berubah".

Contohnya, hujan yang terlalu lebat, akan mengakibatkan banjir kilat dan banjir yang berpanjangan. Air banjir inilah yang telah mampu menenggelamkan seluruh kaum Nabi Nuh A.S yang ingkar pada perintah Allah S.W.T termasuk anak dan isteri baginda pada ketika zaman kenabian baginda dahulu. Pada masa yang sama juga air itu telah menjadi penyelamat kepada orang-orang yang beriman dan Nabi Nuh A.S kerana ia telah melayarkan bahtera Nabi Nuh A.S.

Hari ini, kita telah menyaksikan pelbagai musibah yang Allah S.W.T turunkan melalui air. Musibah-musibah ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita agar usah lalai dan leka dengan dunia sehingga lupa pada Allah Yang Esa. Marilah kita sama-sama berusaha menjadi hamba Allah yang bertaqwa kerana kita telah menyaksikan bagaimana air yang begitu kuat berupa Tsunami mampu menghayutkan dan menenggelamkan Kota Acheh, Kota Muda, Sri Lanka, Fukushima, Miyagi dan lain-lain tempat didunia. Mahukah kita sekiranya Allah menurunkan bala yang sedemikian rupa ke atas negara kita?

Selain itu, salji yang turun dari langit juga mampu mengakibatkan kemudaratan. Salji yang turun tanpa henti dengan lebat boleh menyebabkan cuaca sejuk yang melampau dan ini boleh mengakibatkan kematian dan kemusnahan alam. Salji yang membeku dan terapung di atas permukaan lautan juga boleh menjadi penyebab kepada karamnya sesebuah kapal dan lain-lain lagi.

Lihat, betapa sesuatu yang dianggap kecil mampu memberi impak yang sangat besar kepada seluruh alam baik impak positif mahupun impak negatif. Sungguh, Allah menjadikan sesuatu itu dengan penuh hikmah agar kita berfikir tentang kekuasaan-Nya.

Lihatlah dengan mata hati. Fikirlah dengan Iman dan taqwa. Dengan itu, insya-Allah kita akan beroleh teladan.
"Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?"- Surah al-Anbiya ayat 30.

"Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Dia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." - Surah an-Nur ayat 45.

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaran-Nya dan kekuasaan-Nya, Dia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan) dan Dia menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya." - Surah ar-Rum ayat 24.

Wallahu'alam...........




...ustazpenang...

No comments:

Post a Comment