Drama Nora Elena yang baru saja berjaya menarik perhatian untuk menonoton. Kagum dengan lakonan Siti Saleha, yang berjaya melakonkan watak sebagai Nora Elena dalam drama romantis tersebut. Dalam drama yang beliau lakonkan, beliau berkahwin dengan seorang Cina bernama Seth Tan. Satu lagi perkahwinan campuran.
Ternyata kahwin campur bukan janggal di kalangan masyarakat Malaysia hari ini. Secara umumnya, masyarakat dapat menerima hakikat kahwin campur yang dapat memperkaya budaya dalam masyarakat serta mengukuhkan hubungan antara kaum.
Namun begitu, tidak kurang juga masyarakat berpendapat kahwin campur akan mengundang pelbagai masalah pada masa akan datang sehingga sampai ke tahap perceraian.
Soal hati dan jodoh, memang sukar dimengerti. Kalau sudah jodoh berkahwin dengan orang yang asalnya berlainan agama dan bangsa itu sudah suratan takdir.
Kahwin boleh menjadi salah satu faktor mendekatkan hubungan antara dua pihak, bahkan antara kaum. Dalam sejarah bukan sedikit perkahwinan telah menjadi faktor perdamaian dan interaksi harmoni antara budaya dan kaum.
‘Kahwin campur’ ataupun kahwin rentas kaum adalah kahwin antara pasangan yang berbeza kaum, seperti kahwin antara melayu dengan cina, atau melayu dengan india atau selainnya. Dalam konteks negara seperti Malaysia, bagi pendapat saya amat wajar menggalakkan perkahwinan yang seperti ini. Ini kerana ia boleh mendekatkan antara kaum dalam negara ini.
Kali ini saya akan berkongsi tips untuk memastikan kepeliharaan dan keharmonian rumah tangga bagi pasangan pengantin yang terlibat dalam kahwin campur ini;
1) Bagi muslim, hendaklah dipastikan keislamannya terpelihara. Bahkan dia wajar menunjukkan contoh pegangan dan akhlak yang baik kepada pasangannya. Sikap dan teladan yang buruk akan menyebabkan salahfaham terhadap Islam.
2) Perkahwinan antara kaum hendaklah tidak bersifat menghapuskan budaya dan nilai positif yang dimiliki oleh sesuatu kaum. Setiap pasangan berhak mengekalkan budaya dan adat resam kaumnya yang baik. Hendaklah setiap pasangan meraikan warisan dan budaya pasangannya yang tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip yang dipegang. Memaksa seorang cina menjadi ‘melayu’ atau melayu menjadi ‘cina’ selepas perkahwinan adalah tindakan yang salah dan tidak membawa keharmonian kaum.
3) Perkahwinan antara kaum patut dijadikan kesempatan memahami dan mempelajari nilai-nilai mulia yang dimiliki oleh setiap kaum bukan menghapuskan identiti kaum. Dengan itu, setiap kaum akan hormati dan cuba memahami kelebihan dan kekurangan yang dimiliki lantas melaksanakan apa yang Allah firman: (maksudnya):
Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).4) Fahaman agama yang sempit seperti menghalang pasangan yang menganut Islam berhubung dan berbuat baik kepada keluarga asalnya, menziarahi mereka atau menafikan nama keluarga seperti menukar nama ‘bapa’ adalah sesuatu yang tidak diajar oleh Islam. Bahkan nas-nas Islam menyanggahi hal tersebut. Ia adalah ‘kesempitan pemikiran setempat’ yang patut digugurkan dari masyarakat kita. Ia antara penghalang keharmonian kaum dan agama.
5) Perkahwinan campur hendaklah bebas dari anggapan bahawa sesuatu kaum lebih mulia dari kaum yang lain hanya atas faktor keturunan semata.
Sabda Nabi s.a.w
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).Maka, tidak boleh ada dalam perkahwinan campur itu pemaksaan budaya sesuatu kaum terhadap kaum yang lain. Jika hal-hal ini dihayati, perkahwinan campur boleh membantu mengeratkan hubungan antara kaum. Justeru itu, kita patut menggalakkan ia berlaku. Golongan berpengaruh dan kerajaan hendaklah menggalakkan hal ini. Bahkan insentif tertentu patut diberikan kepada pasangan yang ingin berkahwin rentas kaum seperti ini.
Wallahu'alam..........
...ustazpenang...
No comments:
Post a Comment