Akibat Menyakiti Hati Ibu
SETIAP kali ke utara tanah air, saya sukar melupakan suatu
peristiwa yang berlaku. Kira-kira pukul 10.30 malam, saya
mendapat panggilan telefon mengatakan ada kematian di kawasan
berhampiran tempat kediaman saya. Walaupun sudah 2 tahun berlaku,
ia masih lagi segar dalam ingatan dan tidak akan saya lupakan.Memandangkan malam sudah hampir larut, saya menangguhkan niat
menziarah Allahyarham. Saya mengambil keputusan menunggu sehingga esok pagi.
Saya tidak begitu mengenali Allahyarham. Apa yang diberitahu beliau
seorang wanita yang masih muda dan belum berumahtangga.
Bagaimanapun saya memang kenal baik dengan ibunya. Orangnya baik dan lemah lembut, senang
dibawa berbincang malah tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa.
Keesokannya, kira-kira pukul 8.00 pagi saya pun bergegas ke rumah
Allahyarham.
Sebaik tiba di sana orang ramai telah memenuhi ruang tamu. Segala
persiapan telah di-buat. Kain kapan, kemenyan, kapur barus dan sebagainya siap
sedia di sisi jenazah.
Saya lihat semua tetamu sedang khusyuk membaca surah Yasin. Hati saya
tertanya-tanya di mana pengurus jenazah? Dia tidak kelihatan,
sedangkan rumahnya hanya selang beberapa pintu dari rumah Allahyarham.
Masa terus berlalu, pengurus jenazah yang bernama Mak Siti itu tidak
muncul-muncul. Jam di dinding menunjukkan pukul 12.00 tengah hari.
Hati mula tertanya-tanya, siapa akan menguruskan jenazah ini?
Kesian...
Sudah lebih 12 jam jenazah terbiar. Saya menghampiri ibu Allahyarham.
"Mak cik, mana Mak Siti? Hari dah tinggi. Dia tak sampai lagi?" saya
bertanya.
"Entahlah , mak cik telefon dia tadi. Katanya dia datang lewat
sikit, ada hal mustahak," kata ibu Allahyarham separuh kesal.
"Jenazah tak elok dibiarkan lama-lama."
Mak cik akan cuba minta tolong orang
kampung sebelah," jawab ibu Allahyarham lagi.
Salah seorang waris keluarga itu terus ke kampung sebelah, meminta
pertolongan. Lebih kurang setengah jam kemudian dia muncul kembali.
"Macam mana? Ada tak orangnya?" tanya ibu Allahyarham.
"Tak ada. Dia ke Kuala Lumpur semalam... ke rumah anaknya," kata
lelaki itu.
"Macam mana ni ?" katanya kepada saya dengan wajah sedih.
"Bersabar mak cik. Semua yang berlaku mesti ada hikmah di sebaliknya.
Kita tunggulah Mak Siti, kalau tak ada juga baru kita cari ikhtiar lain,"
kata sahabat lain cuba mententeramkannya.
Kami mengambil keputusan menunggu saja kedatangan Mak Siti. Hari
semakin petang. Jarum jam terus berputar daripada pukul 1.00 ke pukul 2.00
dan akhirnya mencecah 3.00. Seorang demi seorang yang berada di ruang tamu meninggalkan rumah Allahyarham. Semakin lama semakin ramai yang meminta diri untuk
pulang.Melihat keadaan yang semakin lengang, ibu Allahyarham kelihatan serba
tak kena. Tentulah dia sedih memikirkan tiada siapa untuk menguruskan
jenazah anak kesayangannya.
"Macam mana ni , jam dah hampir 4.00 petang. Bayang Mak Siti
pun tak nampak," rintih ibu Allahyarham sambil air matanya berlinangan.
"Kesian saya tengok mak cik. Tak ada siapa yang nak uruskan. Macam
nilah mak cik... saya bukanlah nak ambil tahu hal keluarga mak cik, tapi
ada tak apa-apa kelakuan Allahyarham yang mengecilkan hati mak cik?" tanya
saya spontan. Sebenarnya saya sendiri tak tahu bagaimana saya dapat
mengeluarkan perkataan demikian pada waktu itu.
"Kenapa kamu tanya macam ni?" katanya agak terperanjat.
"Tak ada apa-apa. Cuma... kalau ada perilaku Allahyarham semasa
hayatnya membuat mak cik kecil hati, maafkan ajalah dia. Mungkin itu akan
dapat meringankan bebannya," kata saya bersungguh-sungguh.
Mendengar kata-kata itu, ibu Allahyarham terus menangis teresak-esak.
Saya tergamam seketika. Mulut saya terkunci.
"Memang mak cik merasa kecil hati dengannya. Dia tu suka melawan,
sepatah yang mak cik cakap, sepuluh dia balas. Puas adik-beradik nasihatkan
dia.Tapi dia tetap macam tu.
"Lagipun dia ni degil, tak pernah langsung mendengar nasihat mak cik.
Apa yang mak cik cakap semuanya dibangkang," katanya dengan linangan air
mata.
Menurut ibu Allahyarham lagi, walaupun demikian anaknya amat bersopan
santun dan mesra dengan orang lain. Tidak pernah dia meninggikan
suara jika berbual dengan sahabat atau saudara-mara.
"Dengan mak cik saja dia begitu.. Itu yang mak cik kecil hati.
Kadangkala mak cik terfikir di mana silap mak cik," tambahnya dalam esak tangis.
Malah kata ibu Allahyarham, anaknya seorang yang taat kepada suruhan
Allah.
Segala amal ibadat sama ada yang wajib atau sunat tidak pernah
ditinggalkan.
"Sampai sekarang mak cik kecil hati dengan dia. Sebab ni ke, tak ada
orang nak sempurnakan jenazahnya ye?" tanya ibu Allahyarham sambil
mengesat mata.
"Yang sudah tu sudahlah. Sekarang mak cik maafkanlah segala kesalahan
dan kesilapan itu. Insya-Allah segalanya akan berjalan lancar dan
jenazahnya akan disempurnakan dengan cepat," kata saya lagi. Sebaik saja saya
berkata demikian, ibu Allahyarham terus mengangkat tangan berdoa sambil
berkata,"Ya Allah, ya Tuhanku.
Aku ampunkan segala kesalahan, kesilapan dan dosa anakku ini. Lapangkanlah anakku dari segala seksaan." Dia kemudian
terus membuka kain penutup jenazah. Ditenung wajah anaknya agak lama.
Lebih kurang lima minit kemudian, tiba-tiba terdengar suara Mak Siti
memberi salam di muka pintu.
''Maaflahhhh, terlambat. Saya ke pekan, ada hal sikit tadi. Tak
sangka pula susah benar dapat teksi, tak macam selalu," kata Mak Siti sambil
bersalaman dengan tetamu-tetamu yang ada. Saya pandang wajah ibu Allahyarham.
Jauh di sudut hati, saya berbisik: "Alangkah besarnya keagunganMu, ya Allah.
Enam belas jam jenazah terbiar tetapi selepas dosanya diampunkan ibu,
mudah saja Allah lorongkan kebaikan."
Memandangkan semua sudah tersedia, Mak Siti terus memulakan tugasnya.
Tidak sampai satu jam, segala-galanya daripada mandi, kapan dan sembahyang jenazah siap disempurnakan.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan
berhampiran selepas azan Asar pada hari itu juga.
Wallahu'alam.............
No comments:
Post a Comment