Saturday, 2 July 2011

Syukur Itu Satu Ketenangan.......

Syukur Itu Satu Ketenangan.......






Syukur adalah kunci kekayaan yang menyebabkan dirimu tiada akan resah, gelisah dan banyak merungut-rungut dalam kehidupan. Syukur adalah sentiasa redha dengan Allah dalam apa jua keadaan. Syukur adalah memandang pilihan Allah lebih baik daripada pilihan dirinya. Syukurlah jika dirimu tiada dikenali kerana ia menyelamatkan dirimu dari sifat riak. Syukurlah jika dirimu dihina kerana ia menyebabkan nafsu kesombongan hancur. Syukurlah dirimu diberi sedikit kerana selamat dirimu daripada ketamakan dan panjang angan-angan. Syukurlah dirimu dipilih dalam golongan yang berzikir walaupun tiada dikurniakan keasyikan kerana engkau dapat menaiki tangga kewalian dengan kesabaran dan istiqamah.

Imam Ghazali rahimahullah Ta’ala ada menyatakan: “Hakikat syukur itu bukanlah dengan kamu membilang-bilang nikmat yang Allah kurniakan kepada kamu, tetapi hakikat syukur itu ialah dengan kamu mengetahui bahawa tiada yang memberi nikmat itu melainkan Allah Ta'ala."

Allah tetap mencurahkan (memberikan nikmat) kepada mereka, betapa kasih dan cintaNya Allah kepada kita! Sifat Ar-RahimNya pula hanya dikhususkan pada orang-orang Mukmin, yang benar-benar taat pada perintahNya. Firman ALlah,"

“Dan orang-orang yang beriman itu sangat cinta kepada Allah!” (Al-Baqarah: 165)

Namun masih ramai yang tidak menyedari betapa Allah amat mencintainya dan begitu sedikit manusia yang bersyukur kepada Allah.Firman ALlah,"

“… Dan sedikit sekali dari kalangan hamba-hambaKu yang bersyukur.” (Saba’: 13) 

Nikmat yang Allah kurniakan tidak terhingga banyaknya, maka wajiblah atas kita membalas cintaNya seperti mana kita berbudi terhadap orang yang telah banyak menolong kita,dan menggunakan pemberianNya dengan sebaik-baiknya.

Rasa syukur bukan semata-mata kerana nikmat Allah yang diberikan, malah setiap ujian dan musibah yang datang kita hadapinya dengan rasa syukur. Qalbi yang Allah berikan kepada kita, kita gunakan untuk mengingatiNya. Segala ibadah yang kita buat atas rasa syukur dan cinta padaNya. Tubuh badan yang Allah berikan kita gunakan pada jalan yang diredhaiNya dan lainnya.

Apabila tiap sesuatu itu dibuat atas dasar cinta, ianya tidak lagi menjadi satu kepayahan dan kesusahan. Semua ini dilakukan dengan rela hati terhadap yang dicintaiNya, tidak perlu lagi bermujahadah untuk beribadah.
 
Oleh itu kita tidak perlu lagi mencari cinta Allah kerana cinta Allah sudah ada pada diri kita. Balaslah cinta Allah dengan perasaan syukur setiap masa kerana Allah telah berjanji barangsiapa yang bersyukur Allah akan menambah nikmatNya sebagaimana firmanNya:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: ‘Demi sesungguhnya!Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya,jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.”            (Ibrahim: 7) 


Wallahu'alam.............





...ustazpenang...

No comments:

Post a Comment