Thursday, 4 August 2011

Otak, Akal, Minda Kurniaan Allah

Otak, Akal, Minda Kurniaan Allah

Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah, Tuhan semesta alam. Dialah yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah daripada segala macam kejahatan dan tipu daya Syaitan. Daripada segala dosa dan noda yang telah kami lakukan.

Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad S.A.W adalah pesuruh Allah. Selawat dan salam ke atas Baginda S.A.W. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.

Otak, akal dan fikiran adalah suatu nikmat dan anugerah Allah S.W.T kepada manusia. Seringkali ketiga-tiga kurniaan ini diaggap sama namun hakikatnya otak, akal dan fikiran adalah suatu yang berlainan tetapi saling berkaitan. Otak ialah ciptaan Allah yang bersifat konkrit dan kelihatan. Bagi yang belajar subjek Biologi tentu biasa mendengar teori Roger Sperry yang menyatakan otak terbahagi kepada dua bahagian iaitu kiri dan kanan. Kedua bahagian ini mempunyai daya fikiran yang berbeza. Bahagian otak kanan membolehkan kita berfikir dengan kreatif dan berimaginasi sebaliknya bahagian kiri otak membolehkan kita berfikir dengan logik dan analisis.

Akal pula adalah suatu ciptaan Allah yang unik. Tidak seperti otak, ia bersifat abstrak atau tidak kelihatan. Namun, ia tetap wujud. Jika anda melihat pembedahan otak dilaksanakan, yang anda akan lihat hanyalah otak bukan akal. Akal ialah anugerah yang besar daripada Allah S.W.T kepada kita semua makhluk-Nya yang bernama manusia. Dengan akal darjat kita ditinggikan berbanding makhluk Allah yang lain seperti tumbuhan dan binatang. Dengan adanya otak dan akal barulah fikiran boleh dihasilkan.

Perumpamaan otak dan akal adalah umpama hardware dan software dalam komputer. Kita andaikan otak kita adalah hardware manakala akal ialah software. Kedua-dua unsur ini perlu digabungkan untuk berfungsi dengan baik. Seperti yang kita tahu, setiap hardware memerlukan software untuk berfungsi manakala tanpa hardware pula, software tidak dapat digunakan. Mustahil untuk menggunakan komputer tanpa software dan mustahil untuk menggunakan software tanpa adanya komputer.

Begitulah juga hubungkait antara otak dan akal manusia. Tanpa wujudnya otak, akal tidak dapat digunakan dan tanpa akal pula, mustahil otak dapat digunakan. Jika kedua-dua otak dan akal digunakan maka akan wujudlah fikiran. Dengan wujudnya fikiran maka manusia boleh berfikir. Fikiran pula wujudnya dalam dua keadaan iaitu fikiran keadaan sedar dan fikiran bawah sedar. Dari sudut ilmiah, fikiran sedar digunakan dalam empat tahap iaitu mengenal pasti maklumat, membuat perbandingan, menganalisis dan membuat keputusan terhadap sesuatu maklumat.

Maklumat dikenalpasti dengan menggunakan pancaindera kurniakan Allah S.W.T iaitu bau, sentuhan, penglihatan, pendengaran dan perasaan/ rasa). Perbandingan dilakukan dengan merujuk kepada bahan dan pengalaman setiap manusia seterusnya dianalisis sebelum fikiran memutuskan sesebuah maklumat itu. Sungguh hebat ciptaan Allah, hanya beberapa saat sahaja otak kita mampu memproses dan menerima berjuta-juta maklumat. Subhanallah.

Firman Allah S.W.T:
"Yang telah menciptakanmu, lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuhmu) seimbang, dalam bentuk apa yang dikehendaki, Dia menyusun tubuhmu". (al-Infitar:7-8)

Minda bawah sedar pula adalah suatu keadaan di mana manusia berfikir di luar tahap kesedarannya. Mengikut teori pakar hipnosis, Milton Erickson, kemampuan berfikir di tahap bawah sedar adalah jauh lebih tinggi daripada fikiran sedar. Beliau menisbahkan kemampuan berfikir bawah sedar adalah sembilan kali ganda lebih tinggi daripada kemampuan fikiran sedar. Kadang-kala kita merasakan sesuatu memori itu telah dilupakan namun pada suatu ketika kita dapat mengingatinya kembali tanpa menyedari memori itu tersimpan di dalam otak. Maka ketika itulah fikiran bawah sedar akan keluar dan digunakan.

Sesungguhnya rahsia ilmu Allah itu sangat luas dan hakikat yang sebenar hanya Allah yang lebih mengetahui. Merenung penciptaan tiga anugerah Allah bernama otak, akal dan fikiran ini akan membuatkan kita berasa kerdil nya diri kita. Biarpun kita digelar manusia terpintar didunia ini, adalah mustahil bagi kita untuk mencipta satu ciptaan yang menyamai ketiga-tiga benda ciptaan Allah ini. Moga kita menggunakannya ke arah kebaikan dan diredha Allah S.W.T bukan sebaliknya kerana kita perlu ingat siapa yang menciptakan kesemuanya.

Wallahu'alam...........



...ustazpenang...

No comments:

Post a Comment