Tuesday, 4 October 2011

Fikir Sahaja Apa Yang Kita Mahu

Fikir Sahaja Apa Yang Kita Mahu

Baru-baru ini, saya bertemu dengan Dr. Khairil, jiran lama. Banyak yang kami perbualkan. Sambil bertanya mengenai kliniknya di Seremban, saya berkata, selepas raya tentulah kliniknya didatangi ramai pesakit. Sambil mengiyakan, dia menjawab ramai yang datang mengadu batuk, selsema, demam dan cirit-birit. Pesakit-pesakit yang serius tidaklah ramai, tetapi kalau ada biasanya kes-kes kecemasan seperti kemalangan, kes jantung dan darah tinggi.

Menurut Dr. Khairil lagi, dari kalangan pesakitnya, terdapat juga mereka yang sebenarnya tidak sakit, tetapi berfikir yang mereka sakit. Mereka adalah pesakit yang datang berulang-kali ke kliniknya untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit yang sama. Biasanya, mereka mengadu pening kepala dan sakit-sakit badan. Untuk mereka ini, saya akan bertanya satu soalan yang boleh membuatkan mereka jarang datang ke kliniknya lagi kerana sudah hilang sakit!

Kata Dr. Khairil, "Untuk mereka ini, saya akan bertanya mereka... 'kenapa datang ke klinik saya?' Jawapan lazim mereka ialah, 'sebab saya hendak ubati penyakit.' Kepada mereka ini, saya akan tegur supaya memperbetul jawapan mereka. Ubah sahaja jawapan daripada 'saya hendak ubati penyakit' kepada 'saya hendak sihat.' Itu sahaja."

"Walaupun tujuan mereka datang ke klinik saya adalah sama, tetapi terdapat perbezaan jawapan yang benar-benar membantu seseorang itu bukan sahaja berfikiran positif, malah bersemangat. Jawapan 'saya hendak ubati penyakit' bertujuan positif tetapi memfokus kepada unsur yang negatif iaitu 'penyakit.' Sedangkan jawapan 'saya hendak sihat' hanya memfokus kepada yang positif semata-mata."

"Biasanya pesakit begini tidak datang lagi ke klinik saya. Kalau terserempak di tepi jalan, mereka memberitahu saya yang mereka sudah tidak sakit lagi kerana bukan sahaja mereka berfikiran positif, tetapi memfokus kepada yang positif semata-mata."

Sebelum berpisah, Dr. Khairil memberikan pandangan yang penting untuk renungan kita bersama. Katanya, pada hari ini, kita di kelilingi terlalu banyak perkataan-perkataan dan perkara yang berunsur negatif, sehinggakan kita menjadi suka kepada perkara-perkara yang buruk.

Saya bersetuju dengan pandangan beliau. Media massa yang mempengaruhi sebahagian besar daripada kehidupan kita banyak sekali menyampaikan sesuatu yang mempunyai unsur negatif dan melalui perkataan yang negatif juga hinggakan ia menjadi santapan minda kita. Jika kita membuka akhbar dan melihat tajuk berita 'Seorang Penumpang Maut Kemalangan Bas,' ia tidak menceritakan 40 lain yang terselamat. Begitu juga, kalau kemalangan yang tidak berlaku pun ditulis, 'Sekeluarga Nyaris Maut Kereta Terjun Gaung.' Ia tidak ditulis 'Sekeluarga Terselamat Kereta Terjun Gaung.'

Lihatlah berita-berita yang mengutamakan yang negatif di televisyen. Hinggakan kita diasuh untuk lebih berminat hendak melihat berita NGO berdemonstrasi, tetapi memandang enteng sebuah berita mengenai 10,000 tawaran kerja kosong berikutan dengan pelaburan sebuah syarikat antarabangsa. Lihatlah juga di alam siber, kisah-kisah yang negatif di blog, facebook dan twitter mendapat lebih banyak komen berbanding dengan tulisan-tulisan yang positif.

Apa hendak jadi dengan kita? Kita semua mengimpikan kehidupan yang baik, aman damai, harmoni, cukup makan pakai dan sejahtera hingga berpindah ke alam yang satu lagi. Namun dalam kehidupan seharian, kita seolah-olah ketagih dengan apa sahaja yang negatif. Malah, tidak keterlaluan jika kita lihat usaha kelompok manusia untuk memajukan masyarakatnya dalam bidang politik, ekonomi, sains dan sosial lebih banyak membicarakan mengenai masalah bukannya penyelesaian.

Bicara agama pun lebih banyak berkisar mengenai neraka dan bukan syurga, lebih banyak mengenai dosa dan bukan pahala, lebih banyak yang tidak boleh daripada yang boleh. Bukankah pembicaraan begitu tidak seiring dengan apa yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W sebagai pembawa berita gembira untuk umat manusia? Ucapan itu doa. Kerana itulah, pandangan, fikiran, bacaan dan perlakuan kita sepatutnya hanya yang positif.

Untuk benar-benar berjaya,
kita kena fikir sahaja apa yang kita mahu,
bukannya apa yang kita tidak mahu.

Wallahu'alam............



...ustazpenang...

No comments:

Post a Comment