Tuesday, 4 October 2011

Setiap Saiz Ada Ukurannya

Setiap Saiz Ada Ukurannya

"Setiap orang yang bergelar muslim punya tanggungjawab untuk berkhidmat kepada ummat, walaupun dengan sekecil-kecil kebaikan. Memberi itu adalah pada kadar kemampuan masing-masing, tidak perlu melihat langit yang tinggi sehingga terlupa bumi yang dipijak."

Ya. Begitulah bunyinya. Bagaimana pula kefahamannya?
Para pemimpin dan tokoh berpengaruh, peranan mereka umpama memikul bukit yang besar. Tanggungjawab mereka lebih besar ke atas ummat ini. Suara mereka suatu kelebihan untuk didengar dan diikuti. Da'wah mereka suatu da'wah yang lebih hampir di hati. Suatu kerugian jika anda seorang yang berpengaruh dan anda ada suara yang didengari ramai, tetapi anda menggunakannya pada jalan yang tidak sepatutnya.

Alangkah ruginya jika anda seorang bos, tetapi anda membiarkan staff-staff anda tidak bersolat jema'ah. Sedangkan  anda mampu menyediakan suatu ruang solat di syarikat anda, dan anda pula mengimami solat mereka. Bukankah solat berjemah itu pemangkin produktiviti?

Alangkah ruginya jika anda seorang menteri agama, tetapi anda tidak berusaha mendedahkan ummat ini kepada ajaran Islam yang sebenar dan menyatukan mereka semua bawah satu kalimah. Ummatan wasatan (أمة وسطا – ummat bersederhana / pertengahan) yang dicanang-canang tu bukanlah ummat yang berendah diri atau lemah bersederhana dalam berkomunikasi dan tindakan, tetapi ummat gagasan al-Quran itu adalah ummat yang kuat jati diri dan tinggi kemahuan mereka untuk melihat Islam menjadi ajaran yang dipraktikkan dalam komuniti setiap pelusuk dunia.

Jika anda seorang pelajar pula, bersabarlah, tugas anda tidak sampai ke tahap menasihati pemerintah yang zalim lagi. Semangat muda memang membara, tetapi seringkali ramai yang mengabaikan tanggungjawab sebenar mereka terhadap diri, ibu bapa, dan agama mereka – belajar. Belajar dengan sebenar-benar makna belajar. Menuntut ilmu.

Itulah tugas sebenar seorang pelajar kepada ummat. Tidak perlu sibuk berpolitik lagi kerana telah ada mereka yang memperjuangkannya sementara menunggu anda menggantikan mereka. Mereka juga mengharapkan anda mencedok sebanyak mana ilmu yang ada sebelum benar-benar terjun ke perjuangan sebenar yang lebih banyak tipu daya dan dugaannya.

Bagaimana kita mahu mencorak ummat ini jika pena yang kita bawa itu berkarat tak berdakwat?
Cuba anda fikir, jika anda gagal dalam menuntut ilmu, mampukah anda meneruskan perjuangan menegakkan Islam yang lebih besar? Silap haribulan, andalah yang akan menggagalkan perjuangan tersebut!

Seterusnya, jika anda seorang peniaga pula, ada ruang di sana untuk anda membantu ummat ini. Sumbangan anda tidak hanya terhad pada menyumbang wang ringgit kepada fakir miskin sahaja. Mungkin ada yang tidak mampu. Namun, anda boleh menyumbang kepada ummat ini dengan mengamalkan prinsip jual beli yang diajar dalam Islam. Jangan memberi atau mengambil riba. Mencukupkan timbangan. Tidak menipu dalam muamalat. Bersedekah.

Insyaallah jika semua konsep muamalat Islam itu dipraktikkan, ekonomi ummat ini akan turut kukuh dengan izin-Nya. Jauhi konsep konvensional yang nampak gah diluarnya, tapi lompong di dalam.
Begitulah seterusnya.

Setiap orang ada tahap dan kemampuannya untuk menyumbang. Ada kadarnya dalam berkhidmat kepada ummat. Yang kecil menyumbang sekadar mampunya, yang besar menyumbang semampu-mampunya!

Wallahu'alam............



...ustazpenang...

No comments:

Post a Comment