Cabaran Mahasiswa
Menerima surat tawaran untuk melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi adalah impian kebanyakan remaja yang bercita-cita tinggi.
Apatah lagi surat tawaran datang dari institusi pengajian tinggi (IPT) awam yang tersohor dan ternama.
Gaya hidup sebagai mahasiswa penuh prestij dan bergaya terbayang di mata. Namun, di sebalik itu semua, pernahkah terlintas di fikiran tentang kesukaran dan cabarannya?
RM... Ringgit Malaysia & Rungsingnya Mahasiswa
Secara zahirnya, bagi mahasiswa yang datang dari keluarga yang kurang mampu, isu kewangan adalah masalah yang paling utama. Bagi yang datang dari keluarga yang berkemampuan, wang kiriman FAMA (Father & Mother) dijadikan sumber kewangan tambahan di samping wang pinjaman PTPTN atau penaja lain.
Jika lebih bernasib baik, abang dan kakak yang telah bekerja boleh dicuit untuk membantu. Masalah kewangan adalah masalah umum mahasiswa.
Kos sara hidup yang meningkat seperti sewa rumah atau bilik, kos makanan dan minuman, pengangkutan dan kos membeli peralatan pengajian adalah congakan yang diambil kira dalam merancang perbelanjaan. Jika ada wang, nasi lengkap dengan lauk pauk menjadi pilihan. Kurang wang bererti roti dan mee segera menjadi makanan ruji.
Berat untuk diakui, tetapi itu realiti. Masalah kewangan menjadi salah satu tekanan yang berat dan memberi kesan kepada prestasi akademik mahasiswa.
Kitaran Hidup Mahasiswa
Lazimnya pengajian di universiti meliputi aktiviti-aktiviti yang rutin dan formal. Kuliah demi kuliah diikuti dengan senarai tugasan yang menyesakkan dada. Kuiz, ujian dan peperiksaan akhir adalah medan menguji sejauh mana kemampuan mahasiswa menghadam pengajian.
Bagi yang aktif sedikit akan terlibat dengan persatuan, sukan dan badan beruniform. Setidak-tidaknya untuk memenuhi keperluan markah bagi kokurikulum.
Dari sudut akademik, timbul persoalan, adakah pengajian formal yang diikuti mengikut bidang masing-masing mampu mematangkan minda dan personaliti mahasiswa?
Mampukah ilmu yang dipelajari dapat dijadikan sandaran untuk mahasiswa menempatkan diri dalam alam pekerjaan. Mengapa terdapat mahasiswa yang gagal dalam usaha mencari pekerjaan yang sesuai dan terpaksa mengambil keputusan menganggur?
Pasaran Pekerjaan : Merebut Atau Direbut
Cabaran dalam dunia global menuntut agar majikan merekrut pekerja yang benar-benar berkualiti jika ingin syarikatnya kekal dan bertahan. Kualiti mahasiswa yang diinginkan oleh majikan hari ini bukan setakat pencapaian 4.00 CGPA dan deretan keputusan 'A' bagi setiap subjek dalam transkrip akademik.
Sebaliknya kebanyakan majikan mahukan graduan yang berketrampilan, mudah menyesuaikan diri, kreatif dan kritis serta mampu berdikari. Majikan kini bukan mahukan pekerja yang taat membuta tuli dan bersikap 'yes-man'. Mereka mahu pekerja yang bukan setakat mampu bekerja tanpa pengawasan yang terlalu kerap tetapi juga mampu menyelesaikan masalah dan membuat keputusan yang bijak dan wajar.
Bagaimana mahasiswa dapat memenuhi kriteria-kriteria extra-ordinary seperti ini? Pengajian formal di bilik kuliah tidak menyajikan pengetahuan seperti ini. Sekadar bergantung kepada modul-modul dan satu-dua buku rujukan tidak mencukupi untuk membentuk bakal pekerja yang berkualiti.
Belajar bersendirian dalam karel-karel perpustakaan dan tidak bercampur dengan mahasiswa lain dalam perbincangan ilmiah harus dielakkan. Menjadi 'passanger' dalam pelaksanaan tugasan berkumpulan tidak harus diamalkan.
Konsep dan teori yang membicarakan tentang ciri-ciri dan personaliti pekerja yang ideal dicatat dalam pelbagai jenis buku pengurusan. Pelbagai jenis buku motivasi membanjiri pasaran buku yang boleh dijadikan rujukan.
Namun semua itu sekadar konsep dan teori. Mahasiswa sendiri harus berusaha mengubah 'mind-setting' dengan mengubah sikap dan cara hidup. Mahasiswa harus mengubah diri dengan rajin mengetengahkan diri dalam kerja berpasukan.
Dengan bimbingan para pensyarah melalui diskusi ilmu dan makluman am secara tidak formal, mahasiswa mampu memahami bagaimana pendekatan yang sesuai untuk dirinya dalam menganalisis dan merungkai permasalahan.
Mahasiswa boleh belajar dengan para pensyarah secara tidak formal untuk berfikiran kritis dan berfikir tahap tinggi. Dengan mengambil pandangan dari rakan-rakan sekuliah, mahasiswa sudah boleh membentuk personaliti dan pendekatan komunikasi yang sesuai untuk dilihat lebih berketrampilan.
Dengan bantuan rakan-rakan sekuliah, mahasiswa boleh mengambil kesempatan belajar bahasa asing terutama bahasa Inggeris dan cuba menguasainya.
Mulakan langkah pertama untuk melaksanakannya dan menguasainya. Semua itu akan menjadi sesuatu yang 'extra-ordinary' jika anda berada dalam kedudukan calon temuduga pekerjaan bukan?
Bukankah berat cabaran yang harus dilalui sebagai mahasiswa? Sudahlah terpaksa bersaing diperingkat sekolah dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi warga kampus.
Setelah menjadi warga kampus, cabaran besar menanti mahasiswa adalah persoalan 'how to survive'.
Mahasiswa menghadapi pelbagai cabaran untuk memastikan diri bergraduat dan membawa pulang ijazah dan transkrip yang merupakan impian diri dan harapan keluarga.
Perjuangan lebih getir bakal menanti mahasiswa yang berjinak-jinak mengintai peluang pekerjaan adalah sukarnya untuk mendapat perhatian bakal majikan untuk satu jawatan.
Cabaran Sebenar Mahasiswa.
Di sebalik semua cabaran yang tersurat ini, cabaran tersirat yang dihadapi oleh semua mahasiswa adalah cabaran untuk menangkis pelbagai tanggapan negatif masyarakat terhadap mahasiswa.
Jika suatu ketika dahulu, mahasiswa dianggap sebagai satu kelompok masyarakat yang elit dan dipandang tinggi. Dahulu mahasiswa menjadi idola dan contoh oleh pelajar-pelajar di bangku sekolah.
Ibu-bapa menjadikan mahasiswa sebagai role-model dan mahukan anak-anak mereka meraih gelaran yang sama suatu hari nanti. Menjadi budak 'U' adalah satu pengiktirafan yang glamour dan berprestij.
Bagi remaja lelaki ketika itu, gelaran budak 'U' dijadikan saham untuk menarik perhatian gadis pujaan.
Tetapi entah di mana silapnya, segelintir mahasiswa generasi kini menjadi bahan tohmahan dan cacian. Mengapa masyarakat setempat selalu mengaitkan mahasiswa dengan kes buang bayi, maksiat, khalwat dan pergaulan bebas? Mengapa mahasiswa generasi sekarang dianggap sebagai manja, tidak mampu berdikari, gemarkan hiburan, mensia-siakan waktu dan suka bergaya?
Mahasiswa berhadapan dengan cabaran yang sukar, iaitu cabaran untuk menghadapi diri sendiri. Berusaha mendisiplinkan diri, menguruskan diri sendiri dan berdikari serta kemampuan untuk memilih rakan yang betul adalah pendekatan pembetulan yang mudah.
Dunia mahasiswa adalah dunia yang bebas. Walaupun terikat dengan jadual kuliah dan tugasan, waktu selebihnya adalah bergantung kepada kebijaksanaan dan budi bicara mahasiswa berkenaan untuk menguruskan diri dan masa.
Mahasiswa yang intelek adalah mahasiswa yang bijak mengambil ruang dan peluang untuk mencari rakan yang boleh membimbing. Mahasiswa seharusnya bijak mengambil peluang bukan setakat untuk menuntut ilmu sebagaimana yang ditetapkan dalam silibus, tetapi meningkatkan penguasaan ilmu agama. Mahasiswa seharusnya menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai panduan hidup.
Pengamalan Islam sebagai cara hidup dapat membantu mahasiswa mengelakkan diri dari terjebak dengan pergaulan bebas dan aktiviti lain yang membuang masa dan sia-sia.
Bergaul dengan rakan-rakan boleh membimbing dan menggalakkan kita aktif dalam program-program keagamaan yang membantu membentuk ketrampilan diri. Selain dari itu, penghayatan dan pengamalan ajaran Islam dalam kehidupan seharian dapat membantu mahasiswa membina hubungan yang erat dengan keluarga, rakan sepengajian dan para pensyarah.
Hubungan erat sebegini bukan sahaja dapat meningkatkan sokongan moral dari semua pihak malah menambahkan keberkatan ilmu yang diperolehi. Insya-Allah.
Wallahu'alam..............
...ustazpenang...
No comments:
Post a Comment