Tuesday, 20 September 2011

Pilihan Di Tangan Kita!

Pilihan Di Tangan Kita!

Pada suatu hari nabi Nuh berdoa,"Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka telah mendurhakaiku, dan telah mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya tidak menambah kepadanya melainkan kerugian belaka,  dan melakukan tipu-daya yang amat besar.

Lantas mereka berkata: "Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwaa', yaghuts, ya'uq dan nasr". Sesudah itu mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia); dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kesesatan."

Pada saat itu, Nabi Nuh berasa amat sedih. Usahanya selama 950 tahun berdakwah kepada kaumnya hanya mampu memikat hati tidak lebih dari seratus orang sahaja untuk beriman kepada Yang Maha Esa. Seruan Nabi Nuh tidak menambah iman kebanyakan daripada meraka malah membuatkan mereka lebih jauh daripada kebenaran.

Segala cara dakwah yang telah dilakukan oleh Sang Nabi ini, baik dari segi terang-terangan, secara terbuka mahupun secara diam-diam, mereka tetap tidak mahu beriman kepada Allah S.W.T. Tatkala Nabi Nuh menyampaikan risalah yang diturunkan kepadanya, kaumnya memasukkan anak-anak jari ke dalam telinga mereka dan menutupkan baju mereka ke wajah-wajah mereka.

Akhirnya, Tuhan Yang Maha Mendengar segala rintihan hamba-Nya ini, memerintahkan kekasih-Nya itu untuk bersama-sama para pengikutnya, membina sebuah kapal yang begitu besar. Namun, orang-orang yang beriman yang terdiri dari kelompok yang begitu kecil ini, tetap lagi di uji oleh Allah.

Mereka dicemuh, dicerca, diejek malah dikatakan gila oleh kaum sendiri gara-gara membina sesuatu yang tiada faedahnya bagi mereka.  "Wahai Nuh! Sejak bila engkau telah menjadi tukang kayu dan pembuat kapal? Bukankah engkau seorang nabi dan rasul menurut pengakuanmu? Kenapa sekarang menjadi seorang tukang kayu dan pembuat kapal? Dan kapal yang engkau buat itu di tempat yang jauh dari air ini adalah maksudmu untuk ditarik oleh kerbau ataukah mengharapkan angin yang akan menarik kapalmu ke laut?" Sungguhpun begitu, mereka tidak menghiraukan segalanya itu, kerana mereka yakin, janji Allah pasti akan sampai, dan Dia akan menyelamatkan hamba-hamba-Nya yang beriman.

Waktu yang dijanjikan pun tiba. Janji Allah itu benar dan ia berlaku. Allah betul-betul membantu hamba-hamba-Nya yang beriman. Dan Allah betul-betul menghapus dan membinasakan makhluk-makhluk yang kufur dan ingkar.

Pada waktu banjir besar itu, jelas dan terbuktilah, golongan yang menjadikan nabi dan golongan yang beriman itu sebagai teman setia mereka telah terselamat dan benar-benar menerima bantuan dan rahmat Allah. Mereka diredhai dan dikasihi oleh Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Pada waktu itu, jelas dan terbukti juga golongan yang menjadikan syaitan dan golongan yang kufur ingkar sebagai teman rapat, dan menjadikan mereka sebagai tempat bergantung harap, tidak terselamat dan benar-benar telah dibinasakan. Mereka dimurkai dan dibenci oleh Tuhan yang Maha Kuat dan yang Maha Gagah!

Lihatlah, bagaimana nasib dua golongan kaum nabi Nuh ini, yang telah diceritakan lengkap oleh Tuhan Yang Maha Mengetahui di dalam Al-Quran. Dua golongan yang begitu berbeza. Satu golongan yang menjadikan nabi dan orang-orang yang beriman sebagai teman rapat, dan satu lagi golongan yang menjadikan syaitan dan orang yang durhaka pada Tuhan sebagai teman setia mereka.

Maka, orang yang kita pilih sebagai temanlah yang akan membentuk diri kita. Pemikiran, akhlak, gaya hidup, cara pemakaian, dan sebagainya, sebahagian besarnya dipengaruhi oleh teman-teman yang ada di sekeliling kita. Allah sentiasa mengingatkan bahawa pengaruh rakan ini sentiasa akan membawa sama ada kepada keburukan atau kebaikan. Masih ingatkah kita pada firman Allah S.W.T. di Surah al-Kahfi ayat 28:

"Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran."

Jadi, apa pilihan kita? Adakah kita mahu pilih teman yang sentiasa ingatkan kita tentang Tuhan, atau teman yang hanya buatkan kita lupa bahawa kita ada Tuhan? Teman yang baik ini sentiasa ingatkan kita tentang Pencipta, menegur saat kita lupa dan leka, bersama-sama berjalan dalam menunaikan tanggungjawab daie yang diamanahkan dan membantu tatkala diri memerlukan.

Sebaliknya teman yang lalai adalah teman yang sentiasa mempamerkan bahawa dunia ini adalah segalanya. Nafsu itu adalah raja. Hiburan itu adalah makanan rohaninya dan mati itu seolah-olah tidak akan kunjung tiba.

Jadi, pilihlah teman jenis apa yang kita mahukan, kerana pilihan sepenuhnya ditangan kita!

Wallahu'alam.............




...ustazpenang...

No comments:

Post a Comment