Thursday, 24 May 2012

CERPEN : Bahagia kejutan Tuhan

CERPEN : Bahagia kejutan Tuhan





Humaira menyeka tangis. Ada cemburu. Ada sesal. Ada 
persoalan-persoalan yang tak terjawab dek logik akal manusia. Ada 
amarah pada sebuah kisah duka.

"Humaira, luahkan pada Allah tentang apa yang masih membelenggu 
jiwamu. Jika Humaira perlukan nenek, nenek sedia mendengar dan 
menasihat mana yang perlu", suara tua itu bagaikan datang tepat pada 
masa jiwa terluka Humaira memerlukan.

Humaira diam. Ada lara yang ingin dikongsi. Entah apa yang dimahukannya, 
dia pun tidak mengerti.
Ibu tua itu datang mendekat, memeluk Humaira erat-erat. Pelukan penuh
kasih sayang yang mengundang kembali tangis Humaira yang sudah pun 
bersisa tadi. "Humaira, seharusnya tangis itu Humaira hadiahkan pada Allah 
sebagai tangis sesal, tangis taubat atas kesilapan lalu. Biar tangis itu dihitung 
oleh Allah buat bekal ke Syurga nanti, sayangku"

Humaira yang kian tak malu melepaskan sendu cuba mengawal emosinya.
"Ceritakan pada nenek. Mana tahu nenek dapat membantu?", pujuk ibu 
tua itu sambil mengusap-usap kepala Humaira.
Humaira menceritakan kisahnya. Sesekali Humaira terdiam cuba mengawal 
tangis daripada turun meluru laju kembali. Ibu tua itu setia mendengar, 
sesekali mengusap-usap belakang Humaira. Biar Humaira melepaskan 
segala yang terbuku di hatinya. Lalu Humaira mengakhiri kisahnya dengan 
kata lafaz penuh sendu..

"... Dan begitulah berakhirnya sebuah kisah duka".. Matanya berkaca. 
Ada riak kecewa pada sebuah perjalanan kehidupan yang cukup mencabar 
sabar dalam jiwanya.

Ibu tua itu lantas memegang tangan Humaira sambil berkata penuh 
makna, "Humaira, sebuah pengalaman duka sememangnya harus diakhiri 
supaya dapat kita semua mula melangkah untuk memulakan coretan 
kisah-kisah bahagia yang baru"

"Akan adakah bahagia untuk Humaira?", katanya naif, masih tak lepas 
melayan emosinya.
"Terpulanglah.."
"Terpulang pada sejauh mana Humaira yakinkan Kasih Sayang Allah. 
Bergantung pada sejauh mana Humaira bersangka baik pada Allah"
"Allah...", terpacul sebuah nama indah dari bibir Humaira. Satu nama 
yang dimiliki satu zat yang Maha Berkuasa lagi Maha Berkehendak. Satu 
Zat Yang PengetahuanNya tiada langsung tandingan.

"Izinkan hati Humaira untuk melihat kembali dunia yang penuh dengan 
kebahagiaan dan keindahan. Izinkan kecintaan itu masuk menusup kembali 
dalam jiwa. Segalanya ada di tangan Humaira", kata-kata ibu tua itu 
bagaikan berdesing di telinganya. Humaira tahu, pasti bukan mudah.
"Tak salah untuk mencuba, kan?", ujar ibu tua itu lagi seakan-akan dapat 
membaca apa yang sedang bermain di fikiran Humaira.

Humaira mengangguk. Ditariknya nafas dalam-dalam, lalu dihembuskan 
segala baki kesedihan yang entah dari mana kembali datang 
menjengahnya tadi. "Astaghfirullahal 'azim.."
Saat itu, Humaira mula tahu. Bahagia itu perlu hadir dalam jiwanya sendiri, 
dengan berkat Cinta dan Kasih Sayang Allah, Tuhan semesta alam. 
Pengalaman pasti takkan terpadam, tetapi bakal menjadi guru terbaik 
untuk menjadi peringatan perjalanan ke akhirat.

Humaira memandang langit.. Namun terlalu jauh untuk akalnya mencari-cari 
akhirat, tempat pulangnya yang pasti..
Akalku menggeledah langit
Mengharap dapat mengintai akhirat
Biar matlamat terpasak dalam-dalam
Berpaksi dalam sebuah jiwa yang suram.
Aku mencari sebuah kisah langit
Satu-satunya kisah yang dapat menguat langkah
Kisah Syurga buat meninggi matlamat
Kisah Neraka buat hati-hati sangkaan jiwa yang gundah.
Aku menadah cinta langit
Menghayati limpahan Kasih Sayang
Yang tak pernah putus walau seketika
Hanya aku yang sering keras dalam merasa.
Kisah langit itu akhirnya kutemui
Rupanya ada pada sesuatu yang setia dalam genggamanku
Yang sering mengetuk-ngetuk jiwa
Pada kalam rindu Tuhan Yang Satu
Quran al-karim.
Humaira menutup bukunya. Bagai bayu indah datang menyapa. 
Akhirnya bertalu-talu bahagia datang saat diyakini kasih sayang dan 
cinta Dia yang Menjadikan. Kisah suram rupanya pemula sebuah kerendahan 
jiwa pada Tuhan. Sebuah kisah yang menyentap jiwa untuk kembali larut 
dengan rintihan taubat. Untuk mensyukuri keindahan wasilah bahagia 
yang datang mendamba sebuah hati yang tulus ikhlas kerana Dia.
Hati sudah tak pandai berbicara
Terkesima dengan rahsia manisnya bahagia
Terpegun dengan indahnya perancangan Tuhan
Malunya aku pada ragu persangkaan.
Terima kasih Tuhan
Kerana tak pernah membiarkan
Kaki ini melangkah jauh
Dari kepastian nikmat Syurga yang utuh.

Wallahu'alam......

...ustazpenang...



CERPEN : Hakikat Sebuah Ujian

CERPEN : Hakikat Sebuah Ujian





Suasana hening di pagi hari menyeliputi Hospital Tengku Rahimah, Klang. 
Burung-burung terbang bebas dan berkicauan sesuai dengan fitrahnya. 
Matahari sudah meninggi menyinari alam, sesuai dengan fitrah 
penciptaannya. Dan segerombolan manusia sudah bersedia memulakan 
hari baru, sesuai dengan fitrahnya.

Begitu jugalah Umar, urusan penjagaan isterinya di Hospital Tengku 
Ampuan Rahimah sudah menjadi rutin seharian baginya. Atas dasar 
terlalu mencintai isterinya, Umar sanggup mengambil cuti tanpa gaji 
dan menangguhkan hasratnya seketika menyambung pengajiannya 
di peringkat doktor falsafah. Semuanya demi isterinya yang tersayang, 
penguat dikala lemah dan penghibur dikala senang.

Perlahan-perlahan Umar duduk disebelah isterinya, "Masih tidur?" 
monolog hati Umar. Digapainya Al-Quran kecil disebelah isterinya, 
dan memulakan bacaan dengan nada yang perlahan bimbang menganggu 
waktu rehat isterinya. Bait-bait ayat dihayati dan membuatkan air mata 
Umar menitis tanpa disedari.Tiba-tiba suatu suara yang sangat 
dikenali menegurnya "Bang, kenapa abang menangis" tegur isteri Umar 
sambil mengusap air matanya
"Sayang dah bangun, tak ada apa-apa sayang" jawab Umar 
sambil memegang tangan zaujah kesayangannya.
"Abang kalau penat baliklah dulu, Mai boleh jaga diri." dilihat mata 
suami kesayangannya yang sentiasa berada disisinya.

"Abang okay, abang sanggup abang yang sakit dari sayang. Kenapa 
Allah bagi ujian seberat ini?" keluh Umar sambil air matanya bercucuran. 
Jiwa Umar tidak tenteram sejak isterinya disahkan menghidap 
Sirosis,kerosakan hati.

Humairah memandang suami, diusap wajah suaminya "Abang, sepatutnya 
abang bangga sebab Allah berikan penyakit ini pada Mai. Ini anugerah 
ujian yang sangat besar dan tanda Allah sayangkan Mai dan Abang."
"Abang, kita ini hanya hamba Allah. Ujian ini adalah medan terbaik 
untuk kita mengumpulkan pahala" tambah Humairah lagi. 

Kata-kata Humairah sangat memberi kesan kepada dirinya. Humairah 
Al-Qibtiyah wanita yang dibesarkan dalam kondisi tarbiyah. Dia sangat 
sayangkan Allah,Rasulnya dan Agamanya. Di dalam apa jua ujian yang 
mendatang kepadanya, sikap bersangka baik dengan Allah dan sentiasa 
melihat perkara dari kaca mata tarbiyah menjadikan dia seorang wanita 
yang sangat disenangi. Kemunculan Humairah dalam Umar, menjadi 
pelengkap kepada dua hati yang tertaut kerana Allah.

Kadangkala kita terlalu memandang berat sebuah ujian yang menimpa 
tanpa melihat hikmah atau hakikat sebuah ujian. Percayalah, bahawa 
ujian merupakan tanda kecintaan Allah kepada hambaNya dan beruntunglah 
sesiapa yang mengetahui hakikat sebenar ujian dalam kehidupan.

Wallahu'alam........

...ustazpenang...

Kerana Dengan Cara Ini Allah Mencintaimu

Kerana Dengan Cara Ini Allah Mencintaimu





Kadangkala kita terlupa apakah hakikat cinta yang sebenar. 
Jika dijadikan subjek cinta sebagai perbualan pasti ramai yang lebih 
gemar untuk berkongsi berkenaan cinta antara manusia, yakni 
cinta antara sepasang kekasih.

Tetapi berapa ramaikah diantara kita yang berkongsi suka 
dan duka tentang cinta antara dia dan penciptaNya? Dan pasti, 
ramai yang tidak gemar berkongsi cerita tentang cinta agung yang 
tiada tandingan ini kerana mereka tidak merasai kemanisan mencintai 
penciptaNya kerana kelemahan iman kita sendiri.

Jika kebiasaan cinta manusia, apabila seseorang mencintai kekasihnya 
ia pasti akan memberikan yang terbaik bagi pasangannya selagi ia 
terdaya dan cuba sedaya upaya untuk mengembirakannya dan tidak 
mahu kekasihnya dirundung rasa kesedihan. Itulah kebiasaannya cinta 
manusia. Namun, bagaimana pula caranya  Allah menunjukkan rasa cinta 
kepada hambaNya?

Mereka yang dekat dengan Allah, menerima ujian yang sangat hebat
kerana dengan cara inilah Alllah mencintai kekasihNya. Lihat sahaja 
bagaimana Allah Azzawajjala menguji kekasihnya Rasullah S.A.W dengan 
pelbagai ujian. Allah tidak memberikan jalan mudah untuk kepada 
Rasullah S.A.W untuk berjaya dalam usaha dakwah baginda di Mekah 
dan Madinah meskipun baginda adalah kekasihNya. Begitu juga dengan 
ujian sakit yang berpanjangan yang diterima oleh Nabi Allah Yaakub 
dan ujian yang Allah turunkan kepada Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Ismail 
apabila turunnya perintah supaya Nabi Ibrahim menyembelih 
anaknya Nabi Ismail.

Mengapa apabila semakin dekat kita dengan Allah Yaa Rabbul Izzati, 
semakin tinggi ujian yang Allah timpakan? Kerana dengan cara ini 
Allah mencintai hambaNya.

Hebatnya dan luar biasanya cinta Allah apabila Dia menggunakan 
ujian dan dugaan yang diturunkan kepada hambaNya untuk melihat 
tingkat ketaqwaan dan kekuatan iman hambaNya. Percayalah, apabila 
diturunkan ujian kepada kita walau seberat mana sekalipun Allah ada 
bersama kita. Allah tidak memerlukan kita, tetapi kita memerlukan Allah 
dan Allah sangat mencintai dan menyukai apabila hambaNya sujud, 
menangis, merintih dan meminta pertolongan dariNya. Unik dan luar 
biasa bukan cara Allah menunjukkan rasa cinta kepada hambaNya? 
Kerana dengan cara ini Allah mencintaimu.

Wallahu'alam........

...ustazpenang...