Monday, 14 May 2012

CERPEN : Dan Lelaki Baik Yang Bercinta

CERPEN : Dan Lelaki Baik Yang Bercinta





Lelaki ini, sebenarnya apa mahunya? Lelaki jugalah yang mengatakan 
perempuan itu seperti mawar, dan kata mereka, "Untung duri ini 
menumbuhkan mawar." Namun pada ketika lainnya, mereka juga yang 
berkata, "Rugi sekali mawar ini mempunyai duri."

Lalu apa mahumu, wahai lelaki? Saya ini benarlah perempuan yang 
tidak tahu berfesyen, tidak tahu jenama make up apa yang sesuai 
untuk saya, dan tidak tahu serba-serbi, namun saya tetap juga seorang 
perempuan yang punyai hati bagi memberi cinta, tetap juga punyai 
hati bagi menerima cinta.
Namun lelaki ini pandai betul. Pada saat saya berkata begitu, ini 
pula jawabnya, "Cinta Tuhan itu juga yang dipinjamkan kepada 
hati kamu. Jadi, elok sangatlah sekiranya kamu dahulukan cinta 
Tuhan dan pasti kamu tidak akan kecewa. Malah cinta manusia 
juga yang akan menyusul. Ataupun mungkin sahaja, kamu boleh menjadi 
seperti Rabiatul Adawiyah."

Lalu diam sahajalah saya kerana, kata-kata lelaki itu adalah 'noktah' hati. 
Tidak ada salahnya pada kata-kata itu tetapi, untuk perempuan yang 
lemah seperti saya ini, bagi mencapai cinta Tuhan, perlukan bantuan, 
dan pastinya bantuan itu datangnya daripada seorang lelaki bernama suami. 
Tuhan tahu sekuat mana hamba-Nya, dan bantuan Dia tiba dalam 
bentuk cinta seorang lelaki.
Sekiranya tidak 'bantuan' yang Tuhan hantar itu, jadi bagaimana 
saya seorang perempuan yang lemah mampu memperoleh rahmat 
dan reda yang lebih daripada Allah? Lelaki juga tahu, perempuan 
yang taat kepada suami itu adalah perempuan yang menerima reda 
yang besar daripada Tuhan sehingga boleh masuk dari mana-mana pintu 
syurga yang perempuan itu mahu.

Jadi, mudahnya, saya ini tahu diri, saya adalah perempuan yang tidak 
kuat tetapi punya cita-cita besar bagi meraih cinta Ilahi. Lalu, para 
lelaki, bantulah saya ke arah itu. Namun, seperti kata saya tadi lelaki 
ini apa mahunya? Maksud saya, lelaki baik-baik ini, apa mahu kamu? 
Untuk lelaki-lelaki celaka di luar sana, tidak perlu tersenyum-senyum 
memberitahu mahumu. Jangan sampai ludahku, hinggap di wajah penuh nafsumu.
Soalan saya itu yang saya pendam-pendam dalam hati, sehinggalah 
pada suatu hari, saya mengerti juga, namun dalam bentuk yang 
membuat saya semakin bingung.

Ibu cantik
Begini sahajalah, biar saya ceritakan siapa saya, dalam satu ayat. 
Saya adalah perempuan yang berharap reda Allah, namun dalam 
masa yang sama saya adalah perempuan yang lemah. Itulah saya, 
dan lemahnya saya itu, adalah kerana tanpa sedar sering juga terpaut 
hati kepada lelaki baik itu dan lelaki baik ini dengan harap mereka 
menjadi suami saya.
Memanglah saya tidak melulu pergi kepada lelaki itu dan berkata "Kahwini aku", 
tetapi tetap juga saya berasa berdosa kerana mempunyai rasa seperti itu. 
Rasanya seperti, murah benarlah hati saya ini. Namun itulah yang saya 
beritahu tadi, saya lemah untuk urusan yang satu itu. Mujur juga saya 
masih kuat bagi menahan diri bagi tidak terlihat seperti perempuan yang murah.
Sehinggalah pada suatu hari, saya perempuan yang lemah ini sempat 
berbicara dengan seorang ibu yang sudah punyai lima anak, tetapi 
wajahnya tetap segar, muda dan saya takjub sekali dengan dia. 
Bayangkan sahaja, sudah punyai lima anak tetapi tetap disangka anak 
dara yang baru mekar. Luar biasa sekali.
Seperkara yang saya tahu, ibu itu keturunan yang memang 
sedia cantik dan awet muda, namun seperkara lagi, saya baru tahu 
pada hari itu dan melalui ibu itulah, saya semakin rungsing dengan 
cerita lelaki-lelaki baik ini.

Lelaki baik
Petang baru masuk bersama awan-awan yang berbentuk kasut mary jane. 
(Bentuk kasut yang saya baru belajar secara tidak sengaja dua hari lepas). 
Saya pula pada ketika itu dengan wajah yang baru dikesat minyaknya 
sedang duduk semeja dengan seorang ibu beranak lima yang cantik.
Memang sudah tugas saya, sebagai editor buku bagi bertemu dengan 
manusia-manusia yang mahu menulis, dan pada petang itu, saya 
bertemu ibu yang mahu menulis. Menurutnya, dia mahu menulis berkenaan 
mendidik anak gaya Saiditina Fatimah, dan untuk saya, itu sangat bagus 
bagi pasaran buku.

Lalu cepat-cepatlah saya bertemu janji dengan dia, dan mulanya, 
terus-terang sahajalah di sini, saya menyangka akan bertemu 
perempuan yang berwajah keibuan, menyejukkan mata, dan 
membuat saya berasa menjadi anak kepada dia.
Sangkaan saya itu benar pada perempuan yang berwajah keibuan, 
menyejukkan mata tetapi dia tidak membuatkan saya berasa menjadi 
anak kepada dia. Malah, saya berasa dia seperti rakan sebaya 
walaupun anaknya sudah lima. Semuanya gara-gara wajahnya yang segar itu.
Mulanya hajat mahu berbincang berkenaan buku yang dia mahu tulis, 
tetapi kerana kagumnya saya kepada dia, saya lebih banyak cuba 
mencungkil rahsia berkenaan dirinya. Bertanya itu, bertanya ini dan 
kemudiannya, sampailah saya kepada soalan yang membuat saya rungsing.

Soalan
"Yakin saya, Puan ini tetap muda kerana air wuduk yang tidak pernah 
sempat batal," kata saya cuba memancing rahsia.
Ibu beranak lima itu hanya tersenyum sopan, dan yakin saya lelaki 
yang melihat senyumannya itu, adalah lelaki yang paling bertuah di dunia.
"Tidaklah sampai air wuduk itu tidak sempat batal, dan malah kebanyakkan 
waktu, air wuduk saya batal," kata ibu muda itu pula.

Belum sempat saya memikir lanjut sebab air wuduknya sentiasa 
batal, terus ibu cantik itu menyambung, "Sekiranya ada waktu yang sempat, 
jangan pernah gagal bagi menyentuh suami mu. Paling tidak cuit lengannya, 
itu pun sudah cukup. Sentuhan-sentuhanlah yang menjadikan bahagia itu 
tetap hangat. Dan lebih utama, suami yang baik, juga pasti mengerti aturan itu."
Ibu cantik itu kemudiannya tersenyum-senyum malu. Mungkin kerana 
sudah berasa terlanjur menceritakan tips paling rahsia berkenaan kebahagian 
rumahtangganya. Saya pula, daripada memikirkan berkenaan ibu cantik itu, 
terus saya terbayangkan lelaki bertuah yang menjadi pasangannya.
"Bertuahnya lelaki itu," kata saya, spontan.
"Sebenarnya, sayalah yang bertuah," jawab ibu cantik itu pula.

Waktu itulah, saya berasa hairan. Mengapa pula ibu cantik itu yang 
berasa dirinya bertuah? Sedangkan, untuk saya ibu cantik itu, yang 
sebenarnya mendatangkan tuah lalu saya bertanya, "Lelaki yang bagaimana 
membuatkan Puan pula yang menjadi bertuah?"
Ibu cantik itu, tersenyum-senyum malu sebelum berkata, "Dia lelaki baik. 
Untuk perempuan, cukuplah itu yang mereka dapat dalam hidup mereka, 
iaitu lelaki baik, dan selepas itu, dunia seisinya sudah menjadi miliknya. 
Jadi, boleh kamu bayangkan betapa bertuahnya saya dengan hanya 
seorang lelaki saya sudah memperoleh dunia dan seisinya?"

Berdebar-debar dada saya saat mendengarkan jawapan ibu cantik itu. 
Sehingga begitu sekali? Lalu bertanyalah saya kepada soalan yang 
membuat saya menjadi rungsing.
"Bagaimana mahu mencari lelaki baik seperti itu?"
Ketika itu jugalah, ibu cantik tadi mula terlihat serius dan akhirnya berkata, 
"Lelaki yang baik akan sentiasa menjauhi diri kamu."
Saya diam, dan saya langsung tidak nampak di mana logiknya.
"Saya tidak faham. Adakah maksud Puan lelaki baik tidak akan suka 
kepada saya?" Saya juga mula ikut serius.
"Lelaki yang tidak suka kepada kamu akan menjauhi mu, dan lelaki baik 
yang menyukaimu, juga akan menjauhi diri mu," jelas ibu muda itu 
dan membuat saya semakin bingung.
"Adakah Puan ini ahli sufi?" telah saya, kerana untuk persoalan 
sebegitu, biasanya hanya sufi-sufi yang mampu membuatkan manusia 
terbingung-bingung.
Ibu cantik itu ketawa kecil dan berkata, "Saya bukanlah ahli sufi, tetapi 
itulah hakikatnya, dan biarlah saya terangkan sebabnya."
Saya mengatur duduk saya supaya semakin baik, saya diam dan saya sedia 
mendengarkan kata-kata ibu itu.
"Untuk lelaki yang tidak menyukai kamu, memang jelas dia akan menjauhi 
kamu atas alasan, dia tidak suka kamu. Manakala untuk lelaki biasa, yang 
menyukai kamu, dia akan cuba mendekati kamu, dan ini pasti kamu tahu. 
Cuma lelaki yang benar-benar baik, apabila dia menyukai kamu dia akan 
menjauhi diri dari kamu dan inilah yang saya mahu ceritakan."

Jauh
"Lelaki yang baik itu, tidak akan menyentuh kamu. Tidak akan sesekali 
cuba menyentuh kamu. Bukan sahaja tangan halus kamu, bukan juga 'menyentuh' 
mata bening kamu, tetapi yang lebih utama, dia tidak akan 'menyentuh' 
hati lembut kamu. Mereka tidak akan menyentuhnya selagi mana 
mereka tidak bersedia, dan pada ketika dia sudah bersedia, dia akan 
menikahi kamu dan pada saat itulah, barulah dia berani 'menyentuh' 
hati kamu. Lalu bagaimana mungkin lelaki baik tidak 'menyentuh' 
hati kamu sekiranya dia tidak menjauhkan diri daripada kamu? 
Sedaya upaya dia akan cuba menghindar, kerana dia tahu, pada ketika 
dia membuka mulutnya bagi berbicara, pada ketika itulah, bicaranya 
yang baik-baik akan 'menyentuh' hati kamu, dan 'mencengkam' hatinya 
pula. Terjadi rindu dan kamu pun tahu maknanya rindu kepada bukan 
mahram itu sangat halus sempadannya, antara rindu baik dan zina hati. 
Sangat-sangat halus, dan lelaki baik tidak mungkin mahu mengambil risiko itu."
Mendengarkan sahaja penjelasan itu, saya menelan liur. Bagaimana 
mungkin sehingga begitu sekali? Lalu, bagaimana nasib saya bagi 
berjodoh dengan lelaki yang baik sekiranya mereka menjauh dari saya?

"Lelaki baik itu, akan mendekatimu dengan niat mahu bernikah. Jadi 
pada ketika ada lelaki, yang berkata mahu menjadikan kamu isteri, dan 
pada ketika itu hati kamu terus berasa bahagia tanpa ragu-ragu, ketahuilah 
itulah lelaki baik, kerana kamu bahagia untuk perkara yang sudah kamu tahu. 
Bahagia itu bukan datangnya tanpa sedar, pasti sedikit-sedikit kamu tahu 
juga berkenaan lelaki baik di sekeliling kamu, dan tanpa sedar, kamu ada 
menaruh hati kepada dia. Lalu pada ketika lelaki yang kamu tanpa sedar 
suka itu, mengajak kamu nikah, kamu tidak akan ragu-ragu, malah kamu 
akan bahagia kerana kamu sudah tahu siapa dia," sambung ibu muda cantik itu lagi.
"Jadi, maknanya sebagai perempuan saya tidak punya peluang untuk 
berusaha bagi memperoleh lelaki baik, dan sekadar mengharapkan 
mereka tiba-tiba datang?" soal saya dengan hati yang sudah gusar.

"Siapa kata tidak perlu berusaha? Kamu taat pada perintah Tuhan, kamu 
patuh pada larangan, ibadat kamu tidak pernah berhenti, dan semua itu 
adalah usaha. Jodoh itukan misteri Tuhan, selain mati dan rezeki. Jadi, 
usahakan sahaja apa yang termampu, dan itulah antara usaha saya. 
Selain itu percayakan ibu bapa kamu sekiranya mereka mahu memberi jodoh, 
percayakan rakan-rakan yang kamu yakin bagus telahan hatinya 
kerana ibadatnya, bagi mencadangkan jodoh dan mencarikan jodoh. Selain itu 
berdoa dan terus patuh juga taat kepada Allah. Cuma sahaja, perlu jugalah 
kamu ingat, patuh dan taat kepada Allah itu, bukan atas urusan mahu jodoh 
yang baik, tetapi ikhlas mahu memperoleh reda-Nya. Kerana pada ketika 
kamu diberi jodoh yang sangat bertentangan dengan diri kamu, segeralah 
bandingkan diri kamu dengan Asiah yang bersuamikan Firaun, dan Nabi Noh 
yang beristerikan perempuan yang tidak percaya kepada Tuhan. Itulah tujuan 
kamu taat dan patuh kepada Tuhan, iaitu bagi mengikhlaskan ujian yang 
diberikan-Nya, kerana mungkin sahaja jodoh kamu dengan lelaki baik 
tidak di dunia ini, tetapi ditangguh sehingga ke akhirat."
Saya diam, dan saya akui saya rungsing hanya kerana memikirkan, 
adakah saya cukup kuat untuk semua perkara ini? 
Ah... lelaki baik apabila bercinta....

Wallahu'alam........

...ustazpenang...

No comments:

Post a Comment