Thursday, 24 May 2012

CERPEN : Bahagia kejutan Tuhan

CERPEN : Bahagia kejutan Tuhan





Humaira menyeka tangis. Ada cemburu. Ada sesal. Ada 
persoalan-persoalan yang tak terjawab dek logik akal manusia. Ada 
amarah pada sebuah kisah duka.

"Humaira, luahkan pada Allah tentang apa yang masih membelenggu 
jiwamu. Jika Humaira perlukan nenek, nenek sedia mendengar dan 
menasihat mana yang perlu", suara tua itu bagaikan datang tepat pada 
masa jiwa terluka Humaira memerlukan.

Humaira diam. Ada lara yang ingin dikongsi. Entah apa yang dimahukannya, 
dia pun tidak mengerti.
Ibu tua itu datang mendekat, memeluk Humaira erat-erat. Pelukan penuh
kasih sayang yang mengundang kembali tangis Humaira yang sudah pun 
bersisa tadi. "Humaira, seharusnya tangis itu Humaira hadiahkan pada Allah 
sebagai tangis sesal, tangis taubat atas kesilapan lalu. Biar tangis itu dihitung 
oleh Allah buat bekal ke Syurga nanti, sayangku"

Humaira yang kian tak malu melepaskan sendu cuba mengawal emosinya.
"Ceritakan pada nenek. Mana tahu nenek dapat membantu?", pujuk ibu 
tua itu sambil mengusap-usap kepala Humaira.
Humaira menceritakan kisahnya. Sesekali Humaira terdiam cuba mengawal 
tangis daripada turun meluru laju kembali. Ibu tua itu setia mendengar, 
sesekali mengusap-usap belakang Humaira. Biar Humaira melepaskan 
segala yang terbuku di hatinya. Lalu Humaira mengakhiri kisahnya dengan 
kata lafaz penuh sendu..

"... Dan begitulah berakhirnya sebuah kisah duka".. Matanya berkaca. 
Ada riak kecewa pada sebuah perjalanan kehidupan yang cukup mencabar 
sabar dalam jiwanya.

Ibu tua itu lantas memegang tangan Humaira sambil berkata penuh 
makna, "Humaira, sebuah pengalaman duka sememangnya harus diakhiri 
supaya dapat kita semua mula melangkah untuk memulakan coretan 
kisah-kisah bahagia yang baru"

"Akan adakah bahagia untuk Humaira?", katanya naif, masih tak lepas 
melayan emosinya.
"Terpulanglah.."
"Terpulang pada sejauh mana Humaira yakinkan Kasih Sayang Allah. 
Bergantung pada sejauh mana Humaira bersangka baik pada Allah"
"Allah...", terpacul sebuah nama indah dari bibir Humaira. Satu nama 
yang dimiliki satu zat yang Maha Berkuasa lagi Maha Berkehendak. Satu 
Zat Yang PengetahuanNya tiada langsung tandingan.

"Izinkan hati Humaira untuk melihat kembali dunia yang penuh dengan 
kebahagiaan dan keindahan. Izinkan kecintaan itu masuk menusup kembali 
dalam jiwa. Segalanya ada di tangan Humaira", kata-kata ibu tua itu 
bagaikan berdesing di telinganya. Humaira tahu, pasti bukan mudah.
"Tak salah untuk mencuba, kan?", ujar ibu tua itu lagi seakan-akan dapat 
membaca apa yang sedang bermain di fikiran Humaira.

Humaira mengangguk. Ditariknya nafas dalam-dalam, lalu dihembuskan 
segala baki kesedihan yang entah dari mana kembali datang 
menjengahnya tadi. "Astaghfirullahal 'azim.."
Saat itu, Humaira mula tahu. Bahagia itu perlu hadir dalam jiwanya sendiri, 
dengan berkat Cinta dan Kasih Sayang Allah, Tuhan semesta alam. 
Pengalaman pasti takkan terpadam, tetapi bakal menjadi guru terbaik 
untuk menjadi peringatan perjalanan ke akhirat.

Humaira memandang langit.. Namun terlalu jauh untuk akalnya mencari-cari 
akhirat, tempat pulangnya yang pasti..
Akalku menggeledah langit
Mengharap dapat mengintai akhirat
Biar matlamat terpasak dalam-dalam
Berpaksi dalam sebuah jiwa yang suram.
Aku mencari sebuah kisah langit
Satu-satunya kisah yang dapat menguat langkah
Kisah Syurga buat meninggi matlamat
Kisah Neraka buat hati-hati sangkaan jiwa yang gundah.
Aku menadah cinta langit
Menghayati limpahan Kasih Sayang
Yang tak pernah putus walau seketika
Hanya aku yang sering keras dalam merasa.
Kisah langit itu akhirnya kutemui
Rupanya ada pada sesuatu yang setia dalam genggamanku
Yang sering mengetuk-ngetuk jiwa
Pada kalam rindu Tuhan Yang Satu
Quran al-karim.
Humaira menutup bukunya. Bagai bayu indah datang menyapa. 
Akhirnya bertalu-talu bahagia datang saat diyakini kasih sayang dan 
cinta Dia yang Menjadikan. Kisah suram rupanya pemula sebuah kerendahan 
jiwa pada Tuhan. Sebuah kisah yang menyentap jiwa untuk kembali larut 
dengan rintihan taubat. Untuk mensyukuri keindahan wasilah bahagia 
yang datang mendamba sebuah hati yang tulus ikhlas kerana Dia.
Hati sudah tak pandai berbicara
Terkesima dengan rahsia manisnya bahagia
Terpegun dengan indahnya perancangan Tuhan
Malunya aku pada ragu persangkaan.
Terima kasih Tuhan
Kerana tak pernah membiarkan
Kaki ini melangkah jauh
Dari kepastian nikmat Syurga yang utuh.

Wallahu'alam......

...ustazpenang...



No comments:

Post a Comment