Hukum Hudud Dari Perspektif Seorang Muslim
Dengan segala patuh dan rasa hormat, saya ingin menyentuh tentang
tujuan sebenar Hukum Hudud ini. Sebelum kita mengkritik dan memberi
pandangan haruslah kita melapik perdebatan kita dengan ilmu. Kerana
kata-kata tanpa ilmu diibaratkan membelah kayu api diatas kaki sendiri.
Menurut Imam Syafie, setiap pandangan itu mesti berdasarkan atas ilmu
pengetahuan kerana ilmu pengetahuan itu datangnya dari Tuhan yang menciptakan.
Oleh itu mari kita hayati apakah sebab musabab lahirnya Hukum Hudud ini,
bila harus dipraktikkan, untuk siapa, serta apakah platform yang perlu ada sebelum
Hukum Hudud diimplementasikan.
Bukan semua Negara Islam mampu mengimplementasikan Hukum Hudud ini
oleh kerana ditakuti mencetus kontoversi apatah lagi pada rakyat yang bukan
Muslim. Pada zaman Rasulullah S.A.W. Hukum Hudud dilaksanakan sebagai
sebahagian kecil dalam syariah. Kecil disini bukan dimaksudkan dengan diambil ringan
mahupun hanya sebagai alternatif terakhir. Yang ingin disampaikan adalah kecil
yang bermaksud hadirnya hukum itu adalah pada keadaan yang memaksa disebabkan
kesalahan disisi syariat yang jelas telah dilakukan. Sebagai contoh, untuk membuktikan
mereka yang berzina (fornication) bukanlah suatu yang mudah. Tetapi perbuatan itu
nyata perlukan Hukum Hudud jika kita hadirkan 4 orang saksi yang dipercayai untuk
membuktikan tuduhan itu, melainkan perbuatan zina itu dilakukan dikhalayak ramai.
Jika kita merujuk pada surah An-Nur 1-19, Allah telah merangka hukum berzina
kepada umat Islam dengan terang dan nyata. Disini saya sertakan sedikit dari
potongan ayat itu untuk dijadikan rujukan kepada mereka yang bukan Muslim.
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap
seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh
perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum
agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan
hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh
sekumpulan orang-orang yang beriman (-percaya dan yakin pada Allah rujuk
Rukun Iman dalam Islam)” [An-Nur: 02]
Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan
yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat
orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah
kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah
orang-orang yang fasik;- kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu serta
memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”
[An-Nur: 04 & 05]
“Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi
membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan
empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang
yang dusta” [An-Nur:13]
Sekarang mari kita berpindah pada isi kedua yakni untuk siapakah
Hukum Hudud ini patut dilaksanakan. Dalam makluman saya, justifikasi
yang ingin dijalankan dengan Hukuh Hudud ini bukan untuk semua golongan
manusia tetapi hanya terhad pada orang Muslim. Walaupun begitu, terdapat
juga keadaan yang membolehkan Hukum Hudud ini dijalankan kepada yang
bukan Muslim. Merujuk pada sirah Rasulullah S.A.W. terdapat juga golongan
bukan Muslim dibawah naungan pemerintahan seorang Amir (ketua kerajaan atau
organisasi Islam). Walaupun Hukum Hudud ini pastinya untuk umat Islam, bagi
mereka yang bukan Islam diberi pilihan samada untuk menjalankan hukuman
dengan cara Islam ataupun dengan cara yang disarankan oleh agama mereka sendiri.
Dalam ertikata lain, lain agama, lain cara hukuman. Tetapi bagi agama yang tidak
mempunyai kitab untuk merujuk rang undang-undang agama mereka, maka amat
berpatutanlah jika dihukum dengan perundangan umum (tidak semestinya mesti
Hukum Hudud) yang telah dipersetujui dan mencapai kata sepakat. Pernah juga
terjadi kes dimana orang bukan Islam seperti Kristian dan Yahudi pada zaman
kegemilangan Islam memilih Hukum Hudud oleh kerana hukuman yang lebih berat akan dilaksanakan jika menurut pada undang-undang agama mereka sendiri.
Dalam menyeru kepada menegakkan agama diatas keredhaan Allah Taala
dengan melaksanakan agama Islam yang syumul (menyeluruh) ini dalam
segala perspektif, kita harus berfikir sejenak (lebih lama lebih baik) jika terdapat
lubang-lubang kelemahan dalam idea untuk mengaplikasikan Hukum Hudud ini.
Ini membawa kita pada perbincangan tentang platform yang perlu ada untuk
menyeru pada perlaksanaan Hukum Hudud. Untuk melaksanakan Hukum
Hudud, pastinya kita perlukan kepada dua perkara; rakyat yang berugama Islam
serta pucuk pimpinan dari seorang Muslim yang nyata.
Untuk ini saya akan membentangkan ertikata sebenar rakyat Islam yang
dimaksudkan. Umat Islam disini harus dilihat dari sudut yang lebih agresif, mengapa?
Ramai yang mengakui mereka beragama Islam tetapi tidak mendakap perasaan
taat setia pada agama (Islam hanya pada nama) na’uzubillah. Oleh itu, adalah
penting jika kita memastikan sebelum Hukum Hudud dilaksanakan, kita
mengukur sejauh mana Islamiknya umat kita ni. Adakah mereka menjalani
kehidupan sebagai seorang Muslim yang utuh dan patuh pada ajaran agama?
Apakah dari segi akhlak, perlakuan, pemikiran serta pertuturan menunjukkan
identiti Islam yang diakui? Jika tidak jawapannya, kita masih mentah dalam
mempraktikkan ad-deen (cara hidup Islam) tetapi berlagak besar untuk menjalankan
hukuman Hudud yang berat dan tidak boleh dipandang enteng ini. Ini dapat dianologikan
seperti ingin mengupas buah dengan pisau yang tumpul dan bekarat.
Bagi mendefinisikan pemimpin Muslim yang dinamik ini, kita harus mencontohi
corak pemerintahan Rasulullah sebagai pemimpin yang sempurna. Seorang
pemimpin (Ameer) itu haruslah terdiri dari mereka yang dalam ilmu agamnya
dimana mukanya bersinar cahaya keimanan, tingkah laku nya sejajar dengan
kalimah Islamik yang dipertuturkannya dan kecerdasan mindanya membuktikan
sifat khalifah yang telah Allah kurniakan padanya. Sifat Islamik yang ingin saya
tekankan disini dapat dilihat dengan menghayati ayat ini:
“Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua
perkara ugama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya
terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah
Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk
kembali (dalam segala keadaan)” [Asy-Syura:10].
Dalam satu sudut pandangan yang lain pula, saya ingin mengajak para
pembaca cuba akalkan beberapa perkara.
a. Mengapa harus kita takut pada hukuman yang ditetapkan agama jika diri
tidak mempunyai hajat atau niat melakukan kesalahan?
b. Mengapa harus kita takut pada hukuman yang dijalankan didunia?
Apakah kepercayaan kita kepada hari akhirat dengan azab yang lebih
menyeksakan itu tidak cukup untuk membina landasan taqwa(takut) pada Allah?
c. Daripada menyeru kepada Hukum Hudud, mengapa tidak kita menyeru
kepada perlaksanaan cara hidup Islam (Ad-deen) yang lebih utuh dengan
harapan kita bukanlah hanya sebuah Negara Islam yang dikenali dari segi material.
Agar kita dapat menarik lebih ramai manusia melihat betapa Indah dan syumulnya
agama suci Allah ini dimana setiap kalimah Quran membuktikan keesaan
(satu dan yang tiada sekutu buatNya) dan kebesaranNya dan bukan
menakut-nakutkan mereka dengan keadilan yang disalah interpretasikan.
"Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan
(dalam menjalankan ugama Allah) melainkan setelah sampai kepada
mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang disuruh dan
apa yang dilarang); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata
kerana hasad dengki sesama sendiri. Dan kalaulah tidak kerana terdahulu
kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga
kesuatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta
kepada mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab
ugama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan
terhadap Kitab itu. Oleh yang demikian itu, maka serulah (mereka-wahai Muhammad –
kepada berugama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya
sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau menurut
kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah: “Aku beriman kepada
segala Kitab yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku
adil diantara kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal
kami, dan bagi kamu amal kamu. Tidakkah patut ada sebarang pertengkaran antara kami
dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan
kita bersama (pada hari kiamat), dan kepadaNyalah tempat kembali semuanya
(untuk dihakimi dan diberi balasan)” [Asy-Syura:14&15]
Wallahu'alam.........
...ustazpenang...
No comments:
Post a Comment