Ayah dan Anak, Batasan Tetap Ada.......
Hubungan kekeluargaan itu penting. Kalau ia kukuh dan subur dengan kasih sayang, sudah tentu insan-insan yang lahir daripadanya juga bagus serta berkualiti. Namun, dalam berkasih sayang antara anggota keluarga, kadang-kadang kita terlepas pandang. Rupa-rupanya kita sudah pun terlanggar batas dan sempadan, lebih-lebih lagi antara ayah dan anak perempuan.
Menurut Prof Madya Hj Mohd Nor Mamat, pensyarah di Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, ayah merupakan wali iaitu penjaga kepada anak perempuan. Justeru, tidak ada salahnya untuk mereka saling meluangkan masa berdua. Ini kerana tambahnya, wali seolah-olah orang yang sentiasa menjaga dan menemani anak. Jadi, jika diikutkan, apabila bersama ayah, keselamatan anak perempuan sewajarnya akan lebih terjamin.
Meskipun begitu keadaannya, ada banyak perkara yang perlu diambil berat oleh ayah dan anak perempuan. Tegas Prof Madya Hj Mohd Nor, seorang gadis mahupun wanita tidak pernah bebas daripada hukum menutup aurat walaupun tatkala berhadapan dengan ayah kandungnya. Hal ini bukanlah untuk menyukarkan si anak, tetapi semata-mata untuk memberikan perlindungan kepadanya daripada sebarang kejadian yang tidak diingini. Antaranya termasuklah kes cabul yang dilakukan oleh ayah sendiri.
"Jikalau mengikut adab dalam Islam, aurat anak perempuan apabila berada dengan ayahnya adalah dari bahagian pusat hingga ke lutut dan anggota badan yang boleh menimbulkan fitnah. Dari segi konsep mengikut ulama fikah pula, anak perempuan kena menutup seluruh badannya kecuali bahagian yang dipanggil 'hujung-hujungan'. Yang ini ramai anak perempuan tidak mempraktikkannya apabila mereka berada di rumah," terang beliau.
Jelasnya lanjut, 'hujung-hujungan' yang dimaksudkan adalah dari lengan hingga ke hujung, betis hingga ke bawah dan leher hingga ke atas. Berdasarkan itu katanya, berpakaian secara kemban sudah tentu tidak digalakkan.
"Kalau berkemban, ada risikonya. Jika berlaku sesuatu yang tidak baik antara mereka, kedua-duanya akan sama-sama menanggung dosa. Tetapi kalau berlaku juga setelah si anak menjaga auratnya iaitu dengan menutup seluruh badan kecuali bahagian yang hujung itu, ayahlah yang akan menanggungnya. Ini bermakna berkemban tidak boleh. Tetapi kalau tidak jadi apa-apa, terlepaslah dosa sebab ia tidak menimbulkan fitnah. Sebab itu ulama-ulama fikah berpendapat, cara yang paling selamat ialah dengan menutup keseluruhan badan kecuali 'hujung-hujungan' sebab ia adalah subjektif,"........
Wallahu'alam............
...ustazpenang...
No comments:
Post a Comment