Thursday, 30 June 2011

Cintakah Anda Padanya???

Cintakah Anda Padanya???

Seorang pencinta akan taat pada kekasihnya. Seorang gadis yang mencintai arjunanya akan sanggup berbuat apa-apa sahaja demi arjunanya yang tercinta. Begitu juga seorang ibu yang mencintai anak-anaknya pasti akan sanggup berkorban apa sahaja bahkan nyawanya sendiri demi kebahagiaan anak-anaknya.

Apakah yang dimaksudkan dengan cinta? Cinta adalah pautan jiwa seseorang terhadap sesuatu yang dipandang dan dapat membahagiakan jiwa seseorang serta akan membina satu pautan yang kukuh. Jika pautan itu sangat kuat, maka ia dinamakan rindu, rindu inilah yang menjadikan seseorang ibarat hamba kepada kekasihnya.

Sudah adakah tanda-tanda cinta itu dalam dirimu?. Jika ada, pada siapa ya cinta dan rindumu itu? Pada kekasih yang jauh dimatakah? Ataupun pada arjuna yang setia menanti di hadapan mata? Mungkin juga pada keluarga yang tercinta? Namun bagaimana pula tahap kasih anda kepada kekasih Allah yang agung, yakni Rasulullah S.A.W? Baginda sangat mencintai kalian sebagai umat baginda sehinggakan di saat kewafatan baginda, baginda telah menyebut perkataan Ummati sebanyak 3 kali. Lalu adakah anda sebagai umat baginda telah melaksanakan perkara-perkara yang sewajarnya anda lakukan untuk membalas lambaian cinta baginda?

Muhasabahlah diri anda wahai rakan-rakan seperjuangan. Adakah anda benar-benar mencintai Nabi Muhammad S.A.W seperti mana yang sering anda ucapkan melalui lisan? Atau adakah ianya sekadar menanam tebu di tepi bibir semata-mata? Pernahkah anda melakukan 5 perkara seperti yang di bawah? Kerana 5 perkara inilah merupakan tanda-tanda anda mencintai baginda Rasulullah S..A.W:

1.      Apabila disebutkan nama Rasulullah S.A.W dihadapanmu, anda terasa suka dan gembira serta merasakan ketenangan dan dengan segera melafazkan selawat keatas Rasulullah S.A.W.

2.      Mendalami sejarah hidup baginda Rasulullah S.A.W serta cuba menghayati akhlaknya yang mulia, mengikut segala perintahnya   dan meninggalkan segala larangannya.

3.      Anda sering merasa rindu untuk berjumpa Rasulullah S.A.W dan mengharapkan dapat bersamanya di dalam Syurga.

4.      Sentiasa berselawat ke atas Baginda SAW dan menjadikannya sebutan dibibir anda dan hati anda.

5.      Mengingati peristiwa-peristiwa penting yang berkaitan dengan sejarah hidup Rasulullah S.A.W, dan perjuangan baginda.

Sungguh beruntung sekiranya kalian benar-benar mencintai Rasulullah S.A.W dan di dalam hati kalian tertanam tanda-tanda cinta kepada Rasulullah S.A.W.

Sabda Rasulullah S.A.W:
"Demi diriku berada digenggaman-Nya, tidak beriman seseorang dikalangan kamu sehinggalah Aku ini lebih dicintai daripda ibubapanya, anaknya dan sekalian manusia".
Berdasarkan hadis ini, kesempurnaan iman hanyalah akan tercapai jika Rasulullah SAW adalah kecintaan kita yang utama, melebihi kecintaan terhadap keluarga dan harta benda sekalian.

 Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
"..Sesiapa yang mencintaiku, maka dia akan bersamaku di dalam Syurga."
"Kamu akan bersama dan dikumpulkan dengan orang yang kamu cintai di akhirat."-Riwayat Bukhari dan Muslim.

Satu keuntungan yang besarlah jika ada tertanam di dalam hati kita semangat cinta kepada Rasulullah S.A.W yang begitu kental sekali melebihi segala-galanya.

Semoga Allah menanamkan di dalam hati kita kecintaan kepada Rasulullah S.A.W yang amat mendalam, serta dapat mengerjakan segala sunnah baginda dengan penuh taat dan kasih sayang, Amin....

Wallahu'alam............




...ustazpenang...

No comments:

Post a Comment