Thursday, 16 June 2011

Menanti Keajaiban dalam Kehidupanmu.............

Menanti Keajaiban dalam Kehidupanmu.............

Hidup ini kadang-kadang umpama medan peperangan. Musuh boleh muncul bila-bila masa sahaja. Sekejap tadi kita baru saja menarik nafas lega tetapi belum sempat nafas itu dilepaskan semula suasana gawat muncul tiba-tiba.

Begitu juga dengan kehidupan kita, ketika ketenangan datang menyapa mesra tiba-tiba sahaja fitnah dan ujian menerpa. Ketika kita dengan susah payah meneguk erti kebahagiaan kini keresahan dan kegelisahan mengintai dengan penuh rasa cemburu dan iri hati. Baru sekejap tadi kita melihat lautan kehidupan begitu luas bersama cahaya mentari yang menerangi horizon diri tetapi kini awan hitam mula menutupi pandangan bersama dentuman kekecewaan. Keresahan mula mengisi ruang hati apabila ketenangan mula mengundur diri.

Kitapun sedar bahawa dunia ini pentas ujian. Kita cuba pasrahkan diri namun kepasrahan itu sendiri tidak semudah ungkapan madah pujangga.

Disaat ini kita benar-benar menanti keajaiban. Kita panjatkan munajat keinsafan disetiap ruang dan kesempatan. Zikir tidak lekang dari mulut sedang hati kita penuh dengan pengharapan. Ya, pengHARAPAN itulah yang masih kita miliki ketika kita di puncak penderitaan dan kekecewaan. Harapan itulah yang akan menemani sesiapa sahaja yang terumbang ambing di lautan hidup. Dan HARAPAN itu tak pernah mungkir untuk setia bersama kita ketika apa saja dan sebesar mana musibah yang datang menimpa. Mungkin kerana itulah fitrah insan, bahkan atheis (mulhid) yang tak percayakan tuhanpun apabila terumbang ambing dipukul gelombang tanpa disedari akan mula menggenggam harapan agar dirinya terselamat.

Cuma mungkin kerana kita tersalah sandarkan harapan kita pada bukan tempatnya maka harapan kita berakhir dengan kekecewaan dan keputus asaan. Ataupun kita sandarkan pada tempat yang betul namun bukan dengan sepenuh keyakinan maka hasilnya masih keraguan dan keputus asaan. Tetapi jika HARAPAN itu kita sandarkan kepada DIA yang menjadikan alam dan makhluk sekeliannya, DIA yang mentadbir alam dan isinya dan DIA yang Maha tinggi kasih sayang dan keadilannya maka tentunya kita akan menemui suatu keajaiban yang pernah ditemui oleh umat terdahulu yang berdepan dengan musibah dan ujian yang berkali ganda lebih hebatnya dari apa yang sedang kita hadapi...


Wallahu'alam.............







...ustazpenang...

No comments:

Post a Comment