Friday 10 June 2011

Berpijaklah Di Bumi Nyata.........

Berpijaklah Di Bumi Nyata.........


Bayangkan kita tidak berada ditanahair kita sendiri. Kita melihat sekeliling kita, semuanya terlalu asing. Dari bahasa hinggalah kebudaya, segala-galanya terlalu asing bagi kita. Dari warna kulit hinggalah ke cara hidup, segalanya terlalu kontra dengan keadaan diri kita. Apakah perasaan kita pada masa itu?

Apa yang saya ingin gambarkan di sini ialah kegelisahan, ketakutan dan bermacam-macam perasaan yang menyebabkan jiwa kita lemah ketika kita berada di luar tanahair kita; ketika berada di luar zon bahasa dan budaya yang mendarah daging dalam diri kita.

Sedar atau tidak, kitapun selalu lupa untuk berpijak di bumi nyata hinggakan kita merasa begitu terasing dengan kehidupan yang sedang kita lalui. Jiwa kita selalu keluh kesah dan tertekan. Perasaan ini tidak banyak bezanya dengan perasaan kita ketika kita berada di dunia yang asing bagi kita.

Cuba kita renungkan kehidupan disekitar kita! Cuba renungkan dengan mata hati kita dan pemikiran yang tajam. Hari-hari kita melihat ada saja orang mengalami kegagalan. Hari-hari kita melihat ada manusia menempuh hari baru dengan penuh kekecewaan. Bukankah ini yang dikatakan kehidupan; ada masa senang ada masa susah, ada masa kita berjaya dan ada pula hari-hari yang kita gagal.



Kerana kita tidak benar-benar mengenali hakikat kehidupan ini maka kitapun akan rasa tertekan, lemah semangat dan selalu keluh kesah. Sedangkan kita hanyalah sebahagian kecil dari gelombang kehidupan itu sendiri. Sudah tentunya kita tidak sentiasa berjaya; tentu ada hari-hari gagal dalam kehidupan kita. Jika kita tidak sedar bahawa kegagalan itulah teman setia kita, tentu kita akan terasa asing dalam kehidupan kita sendiri. Tentu tidak banyak pengalaman yang dapat kita pelajari dari teman setia kita itu. Bahkah orang yang berjaya itu adalah orang mengambil pengajaran dari kegagalannya hingga ada pepatah hukamak “Kejayaan yang sebenarnya ialah kejayaan yang dibina di atas puing-puing (serpihan dari keruntuhan) kegagalan”

Kita takutkan kekecewaan sedangkan kekecewaan itulah guru yang akan mengajar kita erti prinsip dan perlunya kita bangkit semula dari kegagalan kita. Kekecewaanlah yang akan mengajar kita betapa besarnya keburukan yang akan datang selepas kelalaian. Bahkan kekecewaan itu akan mengajar kita tentang perlunya kita berhati-hati ketika melangkah dalam kehidupan.



Jadi berapa lama lagi kita nak berada di dunia asing. Berpijaklah di bumi kita sendiri. Lihatlah teman setia kita yang akan mengajar kita erti kejayaan. Bukankah orang yang berusaha gigih untuk berjaya itu pernah menjadi sahabat karib kegagalan dan kegagalan itulah yang tidak jemu-jemu mengajarnya erti kejayaan. 

Inilah kehidupan kita; warna warninya ialah tawa dan tangis, lorong-lorongnya adalah kedukaan. Yang penting sekali bukanlah kenapa kita gagal atau berjaya tetapi apa sikap kita ketika berdepan dengan kegagalan dan bagaimana kita menerima kejayaan.

Berpijaklah di bumi nyata agar kita mampu melangkah dengan penuh kepasrahan dan ketabahan. KEPASRAHAN dan KETABAHAN itulah yang akan mengajar kita erti kebahagiaan dan ketenangan. Tetapi KEPASRAHAN dan KETABAHAN itu hanya akan kita temui ditanahair kita sendiri bukan di negeri asing. KEPASRAHAN dan KETABAHAN itupun ada pemiliknya dan tentunya Dia tidak menyerahkannya kepada orang yang tidak benar-benar mengenaliNya dan berkelakuan baik terhadapNya.

Wallahu'alam................






...ustazpenang...


No comments:

Post a Comment