Saturday 11 June 2011

Cinta Dan Redha ALLAH.........

Cinta Dan Redha ALLAH.........


Cinta, adakah semudah mengikat tali kasut???
Manusia kalau tengah bercinta, orang kata macam orang yang mabuk. Dia sudah tidak kisah sekelilingnya. Dia sudah tidak kisah orang lain. Yang dia fikirkan adalah orang yang dicintainya sahaja. Orang kata, lautan api sanggup diredah, gunung everest sanggup dipanjat. Prinsip dan maruah diri sanggup digadai.
Saya berulang kali kata, saya tidak mengiktiraf itu sebagai cinta.
Pada saya, apa namanya cinta jika di akhirat nanti berbalahan??? Apa namanya cinta jika di akhirat nanti kedua-duanya terhumban ke neraka? Ketika itu, baru kita tersedar bahawa cinta yang kita kata cinta itu bukan cinta sebenarnya.
Pada saya, hubungan lelaki perempuan yang boleh kita katakan cinta adalah, apabila Allah redha dengan apa yang dikatakan cinta oleh kita itu. Hubungan yang membawa ke syurga. Hubungan yang menyisih dari neraka.
Dan soalan popular yang menyusul pandangan saya ini adalah:
“Bagaimana????”

Bagaimana bercinta dan nak Allah redha????
Itu soalan paling popular.
Jawapan saya mudah. Masa bercinta itu, buat apa yang Allah suruh, tinggal apa yang Allah larang.
Dalam bercinta, kita dapat lihat bahawa ruang melakukan maksiat sangat banyak. Kita akan terpanggil untuk berdua-duaan, bergayut telefon berpanjangan, ingin bersama keluar makan, ingin tenung menenung bergurauan, dan 1001 macam lagi perbuatan pasangan yang belum kahwin tetapi gaya macam dah kahwin yang hari ini kita boleh lihat dan perhatikan.
Maka, hendak bercinta dalam keadaan yang Allah redha, tinggalkanlah semua itu. Jalankan cinta dengan keimanan, ketaqwaan. Rasa pengawasan yang tinggi dalam melaksanakan hak-hak Allah SWT.
Jadi macam mana cinta kita berjalan?
Mudah. Kalau sudah jatuh hati, pergi selidik dahulu latar belakangnya. Lihat profilnya macam mana. Tidak salah kalau hendak mengkaji hidupnya. Tanya kawan-kawannya. Ini untuk yang rasa nak berhati-hati memilih calon pasangan. Tetapi kalau dah suka sangat, terus terang sahaja. Hantar surat, atau cakap direct. Tak salah.
“Saya suka awak, boleh awak jadi isteri saya?” Mudah. Dosa pun tidak.
Kalau dah setuju, lihatlah keadaan. Nak bertunang dulu ke, nak bersabar dulu ke. Yang penting, selepas ungkap cinta, pergi la ta’aruf dan berkenalan degan keluarganya. Jangan lupa beritahu mak ayah supaya bina hubungan dengan keluarganya.
Kemudian, nak dating? Pergi dating dengan satu famili sekali. Rindu nak jumpa? Pergi ziarah rumah bakal mertua. Habis cerita.
Pada saya, konsep nak bercinta untuk dapat redha Allah ini mudah. Apa-apa sahaja yang membuatkan kita dengan pasangan kita ke neraka, adalah apa yang perlu kita hindari. Kita tidak mahu bergaduhan di akhira nanti, salah menyalahkan sesama sendiri.
“Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)” Surah Az-Zukhruf ayat 67.

Susah la…
Ah…
Ini satu ayat lagi yang keluar. Saya tidak faham kenapa susah. Saya ingin tanya, yang kata susah ni, nak apa sebenarnya? Anda tetap nak berdating dua-dua, pegang tangan, manja-manja? Konon-konon taktik ni tak romantik dan sebagainya?
Ah… Saya tak pernah kata taktik ni romantik. Nak buat macam suami isteri, lepas kahwin la. Ini saya bagi jalan, untuk bercinta sebelum kahwin. Jadi kena buat gaya sebelum kahwin la. Kalau nak sentuh-sentuh, nak dua-dua kat taman, nak bonceng motor sama-sama, lepas kahwin la.
Di sinilah yang membezakan mereka yang serius bercinta untuk redha Allah, dengan mereka yang bercinta main-main.
Orang yang faham cintanya adalah untuk mendapat keredhaan Allah SWT, akan melihat masa hadapannya jauh. Dia akan lihat bahawa dia akan jadi suami/isteri kepada orang lain, dia akan jadi ayah/ibu kepada anak-anak, dia akan jadi ketua/pembantu keluarga, dan di akhirat kelak mereka akan menjadi yang dipertanggungjawabkan atas apa yang terjadi dalam keluarga mereka.
Mereka ini, tak akan bercinta untuk seronok-seronok sahaja.
“Apakah kamu mengira, Kami menciptakan kamu sia-sia sahaja? Dan kamu kepada Kami tidak akan dikembalikan?” Surah Al-Mukminun ayat 115.
Maka, adakah dengan kefahaman ini kita yang hendak bercinta kerana Allah akan melakukan apa yang Allah tidak suka dalam perjalanan cinta kita? Malah kita akan percepatkan perkahwinan kita bagi mengelakkan banyak perkara yang Allah benci.
Kalau betul nak romantik sangat, propose la. Habis cerita.
Kemudian sambung cinta kita dengan bercinta selepas kahwin.
Tapi kalau orang tanya, bercinta sebelum kahwin itu boleh atau tidak?
Saya kata boleh. Tapi bila bercinta macam saya cakap tadi la. Selain itu, saya tak kata boleh ya.

Projek Cinta, hanya yang serius
Saya suka la nak tanya geng-geng yang bercinta ni.
Korang semua, masa bercinta ada buat plan tak? Atau terus aja i love you, you love me dan sebagainya? Ada buat perancangan ke? Ada nampak tak cinta ini macam satu projek untuk dapat redha Allah SWT? Atau bila dah suka, pakai redah aja?
Lihat firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik – derhaka. Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).” Surah Al-Hasyr ayat 18-20.
Sebab itu, saya kira, ramai yang menafsirkan cinta itu buta. Saya fikir, ‘cinta buta’ itu tak termasuk dalam cinta. Pada saya, cinta itu menghidupkan dan menjelaskan. Itulah dia cinta orang yang beriman.
Bagi yang benar bercinta untuk dapat redha Allah, pastinya membuat perancangan akan cintanya. Macam mana dia nak approach, macam mana dia nak berkenalan, macam mana dia nak melamar, macam mana dia berkahwin, macam mana dia nak bina keluarganya, dengan apa dia nak sara keluarganya, dan sebagainya.
Saya tanya, siapa yang bila bercinta fikir semua ini? Ha… anda nampak beza orang serius dengan orang yang tidak serius?
Saya hairan. Kalau orang ambil peperiksaan, dan ada niat nak berjaya, mereka pulun tak boleh blah punya la. Studi sampai lewat malam. Ada yang sampai termuntah-muntah. Semata-mata nak berjaya.
Tetapi kenapa orang yang kata nak bercinta untuk dapat redha Allah, yang bercinta kerana nak bahagia dunia akhirat, tak ada perancangan, tak ada usaha yang kemas, tak mati-matian dalam menjalankan apa yang Allah nak atas jalan percintaan ini?
Saya hairan dan sangat-sangat hairan.
Sekarang saya mahu anda lihat kembali projek cinta anda.
Persembahkan projek cinta anda itu kepada Allah. Adakah anda rasa Allah akan menerimanya?

Penutup: Bercinta, diri, keluarga, masa hadapan
Dua orang yang bercinta, dan mereka fikir keseronokan diri mereka sahaja, hakikatnya mereka telah zalim kepada cinta itu, diri mereka, keluarga mereka, dan masa hadapan mereka. Mereka yang telah melangkah larangan Allah SWT dalam alam percintaan ini hakikatnya telah mencampakkan diri mereka ke arah kehancuran. Mereka telah menolak kebahagiaan.
Oh, ada yang berkata begini kepada saya:
“Saya buat yang syara’, tapi perkahwinan saya gagal. Kawan saya, dating-dating, couple-couple, tapi perkahwinan mereka sampai sekarang kekal”
Baik, berikan saya statistik kes kahwin ikut syara’ gagal dan kahwin tak syara’ berjaya, bersama dengan statistik bilangan anak luar nikah dan remaja yang jalankan seks bebas. Ya, berikan kepada saya. Jangan anda ukur sesuatu benda itu buruk dan baik hanya dengan kes-kes terpencil sahaja. Cuba anda lihat dunia sekarang yang mengalami masalah HIV dan AIDS yang tak reda-reda?
Saya tidak menilai baik itu apa yang manusia kata baik. Saya juga tidak menilai buruk itu apa yang manusia kata buruk. Saya menilai baik itu apa yang Allah kata baik. Saya juga menilai buruk itu degan apa yang Allah kata buruk.
Dalam bercinta juga demikian.
Kita nak cinta yang Allah redha. Cinta yang Allah senang.
Cinta yang menembus ke syurga.
Bukan cinta yang terhenti sekadar di dunia.

Wallahu'alam...........






...ustazpenang...

No comments:

Post a Comment