Friday 10 June 2011

Kadangkala, Orang Memang Takkan Memahami Kita..................

Kadangkala, Orang Memang Takkan Memahami Kita..................


Perjalanan hidup ini, memang akan ada dugaannya. ~

Kehidupan dan dugaan itu hakikatnya adalah kembar. Dilahirkan bersama dan takkan terpisah melainkan dengan kematian semata-mata.

Dan antara dugaan yang sentiasa mengiringi manusia, adalah dugaan berhubungan sesama manusia. Jangan kecilkan skop ini kepada pasangan lelaki perempuan. Hal ini boleh juga terjadi bersama rakan-rakan dan mereka yang punya tali persaudaraan. Tidak terkecuali ayah dan anak, guru dan pelajar, boss dan pekerja dan sebagainya. Manusia dengan manusia, itu kesimpulannya.

Antara yang menjamin hubungan yang baik, adalah kefahaman antara satu sama lain.

Tetapi biasanya yang menimbulkan kerosakan dalam perhubungan, adalah keengganan diri untuk memahami dan mendalami orang lain.

Anani diri

Ananiah adalah sikap ke’aku’an.

Ini adalah punca kepada permasalahan dalam perhubungan. Apabila ‘aku’ menjadi maudu’ utama, dan kita tidak mahu memasukkan ‘dia’ atau ‘mereka’ dalam perkiraan kita, maka hubungan itu akan retak.

Namun kebanyakan orang tidak akan mahu mengakui akan wujudnya sikap ke’aku’an ini di dalam diri. Kerana bersama sikap ke’aku’an ini, wujud kembarnya juga yang bernama ‘ego’ diri.

Dan manusia yang mempunyai ke’ego’an ini, memang tidak akan memahami.

Boleh dikatakan, mereka ini adalah “unreasonable person, but demand people to be reasonable to them.”

Mereka akan rasa bahawa mereka tidak silap. Mereka tidak akan meneliti pandangan dan cadangan. Mereka tidak akan merendahkan diri untuk mendalami dan memahami. Usaha mereka yang sikit dirasakan tinggi. Mereka akan sering menyalahkan orang lain, dan berlagak seakan-akan dirinya menjadi mangsa, sering dizalimi yang lain semua.

Ya. Dan orang-orang ini, memang tidak akan memahami.


Bersabarlah.....Bertenanglah ~

Berhadapan dengan mereka 1

Jangan cuba dicairkan sikap mereka dengan hujah dan pembentangan kebenaran. Kerana mereka akan menafikan sahaja. Walaupun hujah mereka sendiri adalah dangkal. Kita akan melihat nanti apabila hujah-hujah mereka tidak relevan dan tidak boleh diterima pakai, mereka akan beraksi seperti mangsa keadaan. Mereka akan menunjukkan seakan-akan mereka itulah yang ditekan-tekan. Lebih buruk lagi, biasanya manusia yang lain akan terpengaruh dengan perkara ini.

Kasihan kononnya.

Maka jadilah kebenaran itu yang batil, manakala kebatilan itulah kebenaran.

Dan manusia-manusia yang memegang kebenaran itu akan rasa sakit, kerana tidak adilnya insan dalam menilai.
Ya. Itulah realiti.

Sebab itu, nasihat saya, jangan sesekali mencuba untuk dicairkan sikap mereka itu, dengan hujah dan pembentangan kebenaran. Kerana mereka hanya kaum yang tidak akan memahami.

Berhadapan dengan mereka 2

Biarkan. Dan bersabarlah.

“Ha? Takkan itu sahaja solusinya?”

Ya. Itu sahaja solusinya. Pernahkah anda melihat Rasulullah SAW memperpanjangkan perdebatan dengan Abu Jahal?

Tidak. Kerana Abu Jahal bukanlah orang yang tidak mengerti sebenarnya. Tetapi dia hanyalah seorang yang degil untuk mengerti dan mengakui kebenaran. Dia adalah yang terlalu ‘ego’ untuk mengakui kesilapan dan kerendahan. Maka apakah gunanya segala dalil dan petunjuk? Kalau dibentang pun hanya akan memanjangkan perdebatan, dan tidak akan memberikan manfaat.

Kita lihat sendiri bagaimana mereka meminta ditunjukkan terhadap mereka mukjizat. Dan mereka berjanji bahawa selepas mukjizat itu mereka akan beriman. Tetapi lihatlah sikap mereka selepas dipertunjukkan mukjizat:

“Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan. Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku. Dan (telah menjadi adat) mereka mendustakan (Nabi Muhammad dan mukjizat-mukjizat yang dibawanya) serta menurut hawa nafsu mereka, sedang tiap-tiap perkara tetap (menurut keadaan yang ditentukan oleh Allah).” Surah Al-Qamar ayat 1-3.

Bila ditunjuk, mereka mengatakan pula itu adalah sihir. Lihat.

Begitulah juga samanya dengan manusia yang tidak mahu memahami tadi. Sekiranya kita berusaha untuk memahamkan mereka, mereka hanya akan menuduh kita memaksa, kita pula nanti akan dituduh sebagai yang ego, yang keras kepala, yang tidak ambil kira hati orang lain dan sebagainya.


Bertenanglah. Dunia ini sukar kerana adanya syurga.

Maka beraksilah sebagaimana aksi orang yang beriman

Allah SWT sendiri telah menjelaskan bagaimana hendak berurusan dengan mereka ini.

Allah SWT berfirman:

“Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik. (tidak memperpanjangkan pergaduhan dan perdebatan).” Surah Al-Furqan ayat 63.

Biarkan mereka. Kalau tidak mampu bersama mereka, tinggalkan mereka. Takut bersama mereka hanya menambah keburukan dan keegoan mereka. Takut kita pula terjerumus dalam lembah yang hina kerana bersengketa dengan mereka. Jika mampu kekal bersama mereka, teruslah berbuat baik dengan mereka.

Bertenanglah. Dunia ini sukar kerana adanya syurga.

Dunia ini sukar. Kerana wujudnya syurga.

Ya. Percayalah yang itu.

Bersabarlah.

Allah jugalah sebaik-baik hakim dan wali(penjaga) buat kita.

“…dan mereka menjawab: Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.” Surah Ali-Imran ayat 173.

Kebenaran itu, satu hari nanti akan terjelas juga. Sungguh Allah jugalah sebaik-baik pemisah antara haq dan batil.

“Ya Tuhan kami, berilah keputusan antara kami dan kaum kami dengan hak (adil) dan Engkaulah Pemberi keputusan yang sebaik-baiknya.” Surah Al-A’raff ayat 89.

Harinya akan tiba.

Kalau bukan di dunia saat manusia itu boleh kembali semula kepada kebenaran apabila menyedarinya. Pasti di akhirat sana, saat manusia terbelalak melihat kebenaran yang dinafikannya.

Yang leka dengan keegoan mereka akan bersusah payah di neraka Allah SWT.

Yang bersusah payah hidup dengan baik di atas muka bumi ini akan bersenang lenang di syurgaNya. Itu yang kita imani, itu yang amat amat amat kita percayai.

Wallahu'alam..............






...ustazpenang...


No comments:

Post a Comment