Saturday, 11 June 2011

Panduan Menuntut Ilmu Cara Islam...............

Panduan Menuntut Ilmu Cara Islam...............


Antara panduan-panduan yang digariskan adalah:-

1)    Yang utama, pelajar hendaklah bersifat ikhlas dalam menuntut ilmu. Sifat ikhlas ini amat penting supaya membersihkan jiwa seseorang daripada bersifat riak dan takabbur sesame manusia. Hakikatnya, mereka yang mempunyai ilmu memiliki jiwa yang bersih yang sentiasa mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Manusia dituntut menguasai ilmu-ilmu agama, namun ilmu-ilmu duniawi juga tidak boleh diabaikan kerana ianya sebahagian daripada fardhu kifayah. Dalam era globalisaisi ini, manusia yang meninggalkan bidang ilmu ini menyebabkan umat Islam khususnya ketinggalan zaman yang serba canggih. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (Surah al-Mujahadah:11)

2)    Seorang pelajar perlu menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak murni. Ini disebabkan, hal ini amat mudah mendekati orang yang baik budi dan iwa yang tenang. Sekiranya hati pelajar tersebut dicemari dengan unsur-unsur negatif, dia sukar untuk menguasai ilmu yang disampaikan. Hal ini kerana, unsur-unsur sebegini dengan mudah merosakkan kemurniaan hati dan jiwa pelajar tersebut. Oleh yang demikian, secara prinsipnya ialah, ilmu itu bersifat suci.
Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang musyriq itu najis” (Surah al-Taubah:28).

3)    Para pelajar seharusnya tidak terlalu lalai dan alpa dengan hal duniawi yang boleh melalaikan pemikiran daripada menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Hal duniawi ini boleh menyebabkan pelajar tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar malah memalingkan fikirannya dalam usaha menuntut ilmu. Menurut Imam al-Ghazali, “Seseorang itu tidak dapat menguasai ilmu secara sebahagian, melainkan ia memberi perhatian dan tumpuan yang sepenuhnya”.

4)    Sifat-sifat mazmumah tidak seharusnya ada di dalam diri seorang pelajar. Maka, para pelajar tidak boleh bersifat angkuh, sombong dan bongkak terhadap gurunya. Pelajar wajib mematuhi dan menghormati gurunya demi mendapatkan ilmu yang bermanfaat. Selain itu, pelajar hendaklah sentiasa menunjukkan sifat rendah diri, berprasangka baik dan membantu guru ketika dalam kesusahan. Dengan ilmu yang dicurahkan oleh guru, pelajar haruslah merasa terhutang budi, memberikan ucapan berterima kasih dan mengharapkan keredhaan atas ilmu tersebut.

5)    Pada peringkat permulaan, seorang pelajar itu mestilah tekun dalam menuntut ilmu. Jika perlu, dia hendaklah mengelakkan diri dari perselisihan pendapat sesama manusia tentang sesuatu ilmu duniawi mahupun ilmu akhirat. Ini kerana, ia boleh mengelirukan pemikirannya terhadap ilmu yang baru dipelajarinya. Namun begitu, seseorang yang sudah mahir dalam sesuatu bidang, tiada halangan baginya untuk mengkaji dan mendalami perbezaan pendapat terhadap sesuatu ilmu. Hal ini kerana, perbezaan pendapat merupakan salah satu cara dalam penyelidikan ilmu.

6)    Seseorang pelajar tidak boleh meninggalkan ilmu yang dipelajarinya. Sekiranya dia mampu untuk menuntut ilmu, dia seharusnya mengambil peluang untuk meningkatkan pelajarannya ke tahap yang lebih tinggi. Dan jika sebaliknya, dia haruslah mengetahui perkara asas dan penting dalam ilmu yang dikuasainya mengikut kemampuannya.

7)    Dalam menuntut ilmu, pelajar tidak perlu memaksa untuk menguasai ilmu secara sekaligus. Tindakan yang bijak adalah dengan menguasai sesuatu ilmu itu mengikut tahap dan peringkat selain berdasarkan tahap kemampuan diri pelajar tersebut. Kemampuan seseorang adalah terbatas oleh beberapa faktor dari segi pengalaman, keadaan semasa dan keupayaan minda seseorang.

8)    Seseorang itu tidak boleh mencampuradukkan sesuatu ilmu dengan ilmu yang lain sebelum dia menguasai dan mahir dalam ilmu tersebut. Ini kerana tertib dalam ilmu adalah tersusun dan berkait rapat. Justeru itu, sekiranya pelajar itu dapat menguasai sesuatu ilmu dengan tertib, maka ia dapat menguasai konsep ilmu itu dengan baik. Kefahaman terhadap konsep ilmu itu akan lebih sempurna dan konsisten jika ianya dirancang dan disusun dengan sempurna.

9)    Setiap apa yang dilakukan semestinya ada objektif dan motifnya. Dalam menuntut ilmu, para pelajar perlu mengetahui hakikat dan objektif ilmu yang dipelajari. Ia bertujuan untuk menilai faedah ilmu tersebut kepada pelajar supaya ilmu tersebut dapat diaplikasi dalam kehidupan dan memberi manffat kepada masyarakat. Apa yang lebih penting, ilmu yang dituntut itu mestilah tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan membawa kemudaratan kepada umat manusia.


10) Para pelajar hendaklah mengetahui kaitan sesuatu ilmu yang dipelajari supaya dia mendahulukan ilmu yang utama daripada ilmu sampingan. Keutamaan ilmu itu amat penting kerana ia dapat mengukuhkan pemahaman pelajar tentang sesuatu perkara.

Wallahu'alam............






...ustazpenang...

No comments:

Post a Comment